Salam sejahtera,
Semoga hari ini adalah hari yang baik buat diri anda dan juga saya. Semoga anda dikurniakan kesempatan dan peluang yakni rezeki yang melimpah untuk menjadi seorang yang hebat pada hari ini.
Terima kasih kerana anda masih sudi melayari laman ini. Kepada individu yang membeli ebook saya, jutaan terima kasih saya ucapkan. Saya masih menantikan reaksi anda yang telah mengaplikasi ebook berkenaan kepada anak didik. Tidak kira baik atu sebaliknya reaksi anda, harap anda dapat memberi maklum balas kepada saya secepat yang mungkin untuk saya membuat penambahbaikan.
Hari ni saya ingin kongsikan sedikit pengalaman yang mencabar kesabaran saya dalam tempoh hampir dua minggu umat Islam berpuasa. Hal ini tidaklah berat, namun disebabkan ianya terjadi semasa di bulan puasa, kesabaran saya benar-benar teruji.
Ceritanya begini, dalam kelas Numerasi yang saya ajar, terdapat seorang murid yang sangat aktif dan tidak boleh duduk diam. Pada awal tahun, saya hanya menganggap murid ini masih belum benar-benar mengenal alam persekolahan.
Namun, setelah lapan bulan sesi persekolahan berjalan, saya dapati murid berkenaan semakin serius dari segi tingkah laku. Sebelum ini iaitu pada bulan Januari dan May yang lalu, saya telah berjumpa dengan ibu bapa penjaga murid berkenaan supaya segera merujuk anak mereka kepada pakar.
Namun, disebabkan beberapa masalah yang saya tidak ketahui, perkara ini masih tidak dapat diselesaikan. Apabila saya mengajar seperti biasa, murid ini dengan sikapnya yang aktif akan mengganggu rakan lain belajar.
Berulang kali ditegur, murid ini seakan tidak takut dengan guru. Malah, bekas pensel diambilnya dan dibaling ke arah saya. Tidak terkejut dengan gelagat murid berkenaan, saya memujuknya supaya duduk. Tanpa disangka, murid berkenaan lari ke bahagian belakang kelas lalu mencapai sebilah gunting.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya segera meluru ke belakang untuk merampas gunting berkenaan. Belum pun sempat saya bergerak, dengan pantas murid tersebut menikam belakang rakan yang sedang menyalin latihan di papan putih.
Saya terpaksa melempar buku ke arah sebelah kiri murid sebagai tanda amaran supaya dia segera berundur. Tanpa rasa bersalah, murid ini memekik dan memaki hamun rakan yang ditikamnya tadi. Saya segera mendapatkan murid yang ditikam tadi.
Mujur hanya luka kecil. Murid tadi pergi ke hadapan kelas pula setelah melihat saya berada di belakang. Kali ini dia memanjat meja guru. Kemudian, melompat dari satu meja ke meja yang lain.
Memang ketika itu, saya sudah hilang sabar. Tapi, apabila difikirkan semula, tiada apa yang boleh saya lakukan untuk mendiamkan murid yang hyper ini. Saya segera mengeluarkan telefon bimbit dan merakam pergerakan aktif murid tersebut.
Barangkali dia tahu dirinya sedang dirakam, murid tadi duduk di mejanya dan berlakon seoalah-olah sedang membuat kerja. Rasa nak marah ada, hendak ketawa pun ada. Dalam hati saya berkata “ish..pandai pulak budak ni berlakon..tau pulak da kena rakam dia duduk diam..”
Saya segera ke hadapan kelas untuk menyambung tugas mengajar dan membimbing murid. Murid ini tadi bangun dan bergerak ke belakang. Bimbang insiden ditikam berulang, saya mengarahkan semua murid bergerak ke hadapan.
Murid ini sekali lagi buat hal. Kali ini semua beg murid lain di bahagian belakang diselongkarnya. Aduh! hari-hari macam ini perangainya memang pening kepala.
Saya segera menutup dan mengunci pintu belakang. Kemudian pintu hadapan kelas juga saya kunci. Kali ini, saya nekad untuk menangkap murid tersebut. Maka, berlakulah adegan kejar mengejar dalam kelas.
Sekejap sahaja, murid tersebut saya tangkap dan bawa ke depan. Saya dudukkan di atas kerusi dan memujuknya supaya bertenang walaupun saya tahu tindakan saya itu tidak membawa kesan.
Murid-murid lain pula mula menyerbu. “Cikgu, macam ni ek??..” Sengaja buat-buat bertanya soalan yang sudah dijawab betul atau salah, ada yang mengadu rakan tak buat kerja (iri hatilah tu) dan sebagainya. Aduh!. Pening.
Saya arahkan semua murid menyiapkan latihan dalam lembaran kerja yang di beri dan duduk di tempat masing-masing semula sambil memberi tahu saya akan ‘melayan’ mereka selepas selesai urusan saya dengan murid hyper tersebut.
Murid aktif ini tadi masih meronta-ronta mahu dilepaskan. Saya letakkan buku latihan dan pensel di atas meja. Saya pegangkan pensel di jari murid ini dan bimbing menulis. Murid ini meronta-ronta dan memaki hamun saya pula.
Rasa marah dalam hati semakin marah. Ikutkan hati hendak saya tampar mulut murid ini. Tapi, kalau ditampar murid yang sakit. Bukan semakin diam, tetapi semakin agresif.
Akhirnya, 30 minit terakhir sesi pembelajaran dihabiskan dengan saya terpaksa bersama murid agresif ini tadi sehinggalah kelas berakhir.
Dalam mesyuarat post mortem saringan ke-2 Numerasi yang lalu, saya ada ajukan masalah ini. Saya dimaklumkan, murid berkenaan sebelum ini tidak pernah ke sekolah atau berjumpa dengan sesiapa.
Murid berkenaan sebelum ini hanya berkurung di rumah sahaja. Apabila masuk ke tahun 1, murid seolah-olah mengalami kejutan kerana dalam sebuah ‘rumah’ (kelas) ada lebih 20 orang murid. Jika di rumahnya pula cuma ada dia dan abangnya sahaja.
Saya sendiri tidak faham kenapa ibu bapa murid ini tidak mahu menghantar anak mereka untuk menjalani pemeriksaan pakar. Bukan tidak mampu, jika tidak mampu sekali pun, masih ada alternatif lain yang boleh saya cadangkan untuk menyelamatkan murid ini.
Namun, semua ini berbalik kepada diri sendiri. Sikap. Masing-masing mengharap saya akan dapat membuat anak murid yang agresif ini bijak dan berjaya dalam pelajaran..Sabar sajalah..
Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department
p/s :
- maaf jika perkataan ‘si linus’ itu tidak sesuai digunakan dalam laman ini untuk tatapan pembaca.
Komen Terbaru