Kanak-Kanak Disleksia – Part 2
Salam sejahtera,
Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera di samping insan tercinta. Semoga apa jua yang anda lakukan ketika ini akan mendatangkan manfaat yang besar untuk diri anda dan persekitaran anda. Terima kasih atas kesudian anda untuk mengunjungi laman ini. Maaflah kerana kesibukan diri sebagai pekerja dan pelajar serta tumpuan terhadap keluarga menyukarkan saya untuk mengemas-kini laman ini.
Baiklah, hari ini saya sambung lagi sedikit maklumat berkaitan kanak-kanak disleksia untuk perkongsian ilmiah kita bersama. Hari ni saya akan kongsikan pula punca-punca yang dikesan terjadinya masalah kesihatan kategori disleksia ini.
Punca terjadinya masalah Disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, pakar mendapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada kadar biasa dan tidak seperti kanak-kanak normal yang lain.
Perbezaan ini mungkin juga disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa bayi masih di dalam kandungan atau pun akibat daripada kemalangan yang melibatkan kecederaan di kepala.
Antara punca-punca disleksia yang dikesan adalah seperti yang berikut :
a) Keturunan atau genetik
Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi yang membezakan adalah darjah keterukannya.
Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia disebabkan oleh kromosom 15, 1 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun-temurun. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.
b) Biologi
Sejarah kanak-kanak disleksia biasanya adalah semasa dilahirkan tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidak-sempurnaan perkembangan otak dan fizikal kanak-kanak itu sendiri.
Sebahagian daripada kerosakan otak yang menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah untuk belajar dan kerosakan ini minimum. Mereka lambat berfikir tentang apa yang diperkatakan oleh guru. Mereka juga tidak boleh membuat kesimpulan ringkas tentang isi pelajaran yang disampaikan kerana mereka mengalami kesukaran ini.
c) Kematangan
Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangnya pada bahagian tertentu dalam sistem saraf. Pada kebiasannya kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak perempuan. Kelewatan kematangan pada kanak-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia
d) Pemakanan
Pemakanan adalah penting untuk pertumbuhan yang normal. Pemakanan yang cukup dan seimbang akan dapat membekalkan kalori yang mencukupi di samping bahan-bahan makanan yang tertentu seperti protein, zat galian, mineral dan sebagainya. Bekalan kalori yang cukup bergantung kepada fasa pertumbuhan kanak-kanak itu sendiri.
Sekiranya pemakanan tidak mencukupi semasa fasa pertumbuhan kanak-kanak, maka tumbesaran kanak-kanak akan terencat. Contohnya kanak-kanak pada tahun pertama dan pada usia remaja. Mereka mesti mendapatkan kalori, protein dan vitamin yang mencukupi pada fasa pertumbuhan ini. Jika mereka tidak mendapat semua ini secukupnya, kadar pertumbuhan mereka akan terjejas.
sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Admin
Teacher’s Department
Rujukan :
http://www.ceritarasahati2.com/2011/08/27/disleksia-dyslexia-pengenalan-disleksia/
http://www.cikgufais.net/2010/09/kenali-disleksia/
http://ms.wikipedia.org/wiki/Disleksia























.jpg)
Komen Terbaru