Arkib

Archive for the ‘Pengetahuan’ Category

Bimbingan dan Kaunseling Dalam Pemulihan Khas – Part 1

22 Oktober 2009 4 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda sentiasa sihat dan mendapat limpahan rahmat daripada-NYA. Semoga apa jua yang kita lakukan pada hari ini, akan mendapat rahmat dan nikmat, setimpal dengan apa yang kita telah lakukan pada hari ini.

Topik yang akan saya sentuh pada entri kali ini adalah Bimbingan dan Kaunseling dalam pendidikan Pemulihan. Salah satu ilmu dan kemahiran yang perlu dikuasai oleh semua guru terutamanya Guru Pemulihan Khas. Sebelum saya teruskan dengan topik ini, saya ingin maklumkan bahawa pada entri Bimbingan dan Kaunseling ini dan yang akan datang, saya akan selitkan nota kuliah yang telah disampaikan oleh pensyarah yang saya kagumi iaitu Mr. Lee.

Saya mengenali beliau semasa mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) satu tahun di IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur pada tahun 2008. Seronok belajar dan menimba pelbagai ilmu daripada beliau. Banyak tunjuk ajar beliau yang dapat saya praktikkan di sekolah.

Sehingga kini, saya sentiasa memegang kata-kata beliau

“kesudian anda mendengar adalah kejayaan anda sebagai kaunselor”

Banyak yang hendak dikongsi dan banyak yang masih ingin dipelajari. Baiklah, kita teruskan sesi yang pertama dengan tajuk  :

PENGENALAN KEPADA BIMBINGAN DAN KAUNSELING.

Kementerian Pendidikan (1984) Bimbingan dan Kaunseling

  • ‘pelajar remaja memerlukan pertolongan bukan sahaja akademik tetapi juga perkembangan sosial dan personaliti’

Hassan Langgulung (1986)

  • “untuk membentuk akhlak, persiapan untuk kehidupan, mencari rezeki, menumbuhkan semangat ilmiah dan melengkapkan pengetahuan pelajar dalam bidang profesional”

Seorang murid saya menangis setiap kali hendak pergi ke sekolah pada waktu pagi. Keadaan ini berlarutan selama dua minggu. Selama dua minggu itulah saya sedari prestasi kerja yang diberi semakin merosot. Tulisan tidak boleh di baca, latihan tidak siap dan murid tidak produktif.

Keadaan sedemikian turut di sedari ibu bapa murid terbabit. Ibu bapa murid berkenaan yang risau melihat situasi anaknya datang ke sekolah dan berjumpa dengan saya. Ibu bapa murid berkenaan ada bertanya akan masalah yang dihadapi kepada anaknya namun anaknya enggan berkata-kata. Setelah saya berbincang selama 30 minit, saya maklumkan akan cuba atasi masalah anak mereka secepat yang mungkin.

Persoalan yang bermain di minda saya ketika itu adalah :

  • Bagaimana murid yang riang, ceria dan cerdik di dalam kelas boleh bertukar menjadi seorang murid yang pasif dalam masa dua minggu?
  • Bagaimana prestasi murid boleh merosot dalam tempoh dua minggu?

Selepas waktu rehat, saya memanggil murid ini ke Bilik Guru dan berbual-bual. Selang 10 minit, saya mula ‘selami’ dirinya. Saya cuba tanyakan mengenai keluarganya, adik beradiknya, kawan-kawannya. Murid memberi respon yang sangat baik.

Saya cerita pula perihal ibu bapanya hadir ke sekolah. Kemudian, saya ajukan kebimbangan saya terhadap murid. Murid itu diam seketika. Kemudian dia berkata dengan menyambung sebuah cerita yang saya sendiri susah hendak faham (murid darjah satu – susunan ayat ketika berinteraksi tidak sama dengan orang dewasa).

Setelah mendengar ceritanya barulah saya faham apa yang hendak diperkatakannya. Murid tersebut memberitahu punca dia tidak mahu belajar lagi kerana dia tidak mempunyai seorang kawan pun. Dia tiada kawan untuk bermain, berkongsi cerita dan bergembira. Hal ini terjadi kerana rakan-rakannya yang lain tidak mahu berkawan disebabkan dirinya yang tinggal di Flet berbanding rakan-rakan lain yang tinggal di rumah teres di taman perumahan yang sederhana mewah.

Terdetik di hati saya, hal yang sedemikian rupa juga boleh mempengaruhi emosi rupanya. Maklum sajalah, kanak-kanak sedang alami proses pembelajaran. Pelbagai perkara yang sedih pasti akan mempengaruhi tindakan dan pemikirannya.

Selepas 30 minit berbual. Saya jelaskan sesuatu kepada murid tersebut. Murid tersebut tersenyum dan mengangguk (tanda faham) serta berjanji tidak akan menangis lagi.  Sebelum beredar, saya memintanya memanggil lima orang rakan yang mengejek dan memulaukannya. Kelima-lima murid tersebut telah diberi nasihat dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Hari demi hari berlalu, murid tersebut kembali kepada prestasinya semula (tidaklah 100%  hasil kerja cemerlang dalam tempoh yang singkat – murid ambil masa juga untuk kembali kepada prestasi sebenar). Semua tugasan yang diberi, berjaya disiapkan. Jika 10 latihan diberi, hanya dua sahaja yang salah.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Pemansuhan PPSMI mungkin 2011

21 Oktober 2009 1 komen

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

“Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu.

“Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk memansuhkan PPSMI pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Nor, Muhyiddin menegaskan, keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

“Ini adalah keputusan yang muktamad. Jadi apa pun keadaan kita telah menyatakan kesediaan untuk tidak kembali kepada dasar lama iaitu meneruskan PPSMI.

“Segala persiapan telah mula dilakukan mulai sekarang dan saya beri jaminan walaupun PPSMI hanya akan dimansuhkan mulai 2012, insya-Allah ia akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh tersebut ditetapkan kerana kerajaan memerlukan masa untuk membuat semua persiapan sebelum MBMMBI dilaksanakan.

Jelasnya, persiapan itu penting kerana kerajaan telah belajar daripada pengalaman lalu apabila tempoh terlalu singkat iaitu hanya enam bulan sebelum melaksanakan PPSMI menyebabkan pelbagai masalah timbul.

“Dasar baru ini memerlukan kita menyediakan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru Bahasa Inggeris baru yang mahir,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) mengenai pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam keputusan kerajaan, Muhyiddin menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu memahami keputusan yang dibuat oleh kepimpinan sekarang.

Jelasnya, walaupun Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tetapi penentangan bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu keras.

Sumber : www.utusan.com.my

Categories: Pengetahuan, Pengumuman Label:

Kerajaan tidak akan kembali kepada PPSMI: Muhyiddin

20 Oktober 2009 2 comments

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited tidak akan kembali kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah selaras dengan keperluan negara untuk martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ke arah usaha itu, kementerian tidak lagi menoleh ke belakang meskipun terdapat rayuan dan desakan supaya PPSMI diteruskan, namun kerajaan tidak mampu memenuhi permintaan semua pihak.

“Sebaliknya pandangan yang disuarakan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar (MBMMBI) berkenaan,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu apakah jaminan kerajaan untuk memastikan dasar baru tidak berubah kepada dasar lama.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata bagi mengelakkan timbulnya permasalahan kepada dasar MBMMBI seperti mana yang terjadi kepada PPSMI, kementerian menetapkan tahun 2012 sebagai tahun pelaksanaan selepas segala persiapan disediakan.

“Tujuan kita untuk dilaksanakan pada 2012 ialah untuk membuat persiapan penting kerana pengalaman waktu kita melaksanakan PPSMI dulu, tempoh untuk pihak kementerian buat persiapan ialah enam bulan. Oleh sebab itulah pelbagai masalah timbul antaranya menyediakan sejumlah guru yang mencukupi. – Bernama

Sumber : www.bharian.com.my

Dosa Mengumpat Hanya Boleh Diampun Oleh Mangsa

9 Oktober 2009 1 komen

Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat separti sabda nya bermaksud “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya”(Hadis Riwayat Muslim) Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak.

Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, is disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.

Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yangdiumpat” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad) Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

Hakikat inilah perludirenungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain.

Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah S.A.W. “wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya.

Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis riwayat Abu Daud) Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat.

Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab :” Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkan lah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

*Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara islam yang lain. Ilmu yang bermanafaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarkannya meskipun dia sudah mati.

Sumber : Syok.portal

Mukjizat di sebalik BISMILLAH

2 Oktober 2009 1 komen

Mukjizat di sebalik BISMILLAH

BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz “BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM” yang bermaksud “Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH

  • Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.

  • BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam..” (Hadith Qudsi)
  • Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.
  • Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya..
  • Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.
  • Jumlah huruf dalam BISMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 Ibnu Mas’ud berkata: “Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari.”
  • Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, “Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya. “
  • Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya..
  • Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.
  • Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.
  • Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Sumber : Portal SYOK.ORG

Rabun Jauh..Rabun Dekat

29 September 2009 2 comments

ARKIB : 13/09/2009
Rabun jauh rabun dekat

RABUN antara masalah penglihatan yang paling biasa berlaku kepada semua peringkat umur dalam masyarakat. Kini, masalah rabun juga sering dialami kanak-kanak sebelum tibanya usia persekolahan lagi. Pun begitu, tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk membantu memperbaiki tahap penglihatan.

*Jenis rabun

Terdapat dua jenis masalah rabun iaitu rabun jauh dan rabun dekat. Rabun jauh ialah keadaan di mana seseorang tidak dapat melihat objek yang jauh dengan jelas, tetapi dapat melihat objek dekat dengan jelas.

Perkara sebaliknya berlaku pada individu yang mengalami rabun dekat iaitu objek yang dekat kelihatan kabur, tetapi objek jauh pula boleh dilihat dengan jelas. Beberapa gejala kanak- kanak yang mengalami rabun jauh dapat dikesan dengan mudah.

Selalunya mereka akan membaca buku pada jarak dekat dan apabila melihat objek yang jauh, seperti televisyen, mereka akan mengecilkan kedua-dua mata supaya objek itu kelihatan lebih jelas.

*Punca Rabun Jauh

Setakat ini, tiada teori tepat mengenai punca berlakunya rabun jauh. Bagaimanapun, faktor keturunan mempunyai pengaruh terhadap berlakunya rabun jauh.

  • Kemungkinan seorang anak yang ibu bapanya menghidap rabun jauh untuk mengalami masalah sama ialah 40 peratus.
  • Ada teori mengatakan, rabun jauh berlaku jika seseorang gemar membaca pada jarak dekat.
  • Sesetengah pakar lain pula mengatakan, kerana rabun jauhlah seseorang itu membaca pada jarak dekat.
  • Rabun jauh bukan sejenis kecacatan. Sebenarnya struktur mata orang yang rabun jauh adalah normal.
  • Apa yang berlaku ialah, biji mata mereka lebih besar dan panjang berbanding orang yang tidak rabun.
  • Imej yang masuk ke dalam mata tidak dapat difokus dengan tepat ke atas retina, tetapi terfokus pada kedudukan di depan retina.
  • Situasi ini dapat diumpamakan dengan perbezaan manusia berambut lurus dan berambut kerinting, ada yang bercermin mata dan ada yang tidak bercermin mata.
  • Tahap kerabunan tidak bertukar atau bertambah akibat cermin mata selalu dipakai.
  • Sebenarnya, sama ada cermin mata dipakai atau tidak, tahap kerabunan akan meningkat setiap enam bulan di mana kuasa cermin mata harus ditukar.
  • Ini satu proses semula jadi yang dialami individu yang rabun. Penambahan tahap kerabunan berlaku sehinggalah individu berkenaan mencapai usia dewasa iaitu apabila meningkat umur 18 hingga 25 tahun.
  • Oleh itu, adalah penting memastikan kanak-kanak rabun memakai cermin mata untuk memberi keselesaan dan menentukan mereka dapat melihat sejelas mungkin di sekolah.
  • Faktor pemakanan tertentu memainkan peranan dalam tahap kesihatan mata. Tidak dapat dinafikan, vitamin A diperlukan dalam proses biokimia di dalam retina mata.
  • Namun, ini tidak bererti vitamin A dapat mengubat kerabunan, seperti mana dilakukan kebanyakan ibu yang memberi anak mereka makan sayur lobak merah dengan harapan masalah kerabunan itu akan hilang. Ini merupakan satu usaha yang tidak memberi manfaat.

*Rawatan

  • Kaedah rawatan paling mudah untuk masalah rabun adalah melalui penggunaan cermin mata.
  • Kaedah lain pula ialah menggunakan kanta lekap yang diletakkan di atas lapisan kornea.
  • Rawatan terbaru ialah rawatan laser atau lasik yang memberi seseorang itu keyakinan dan tidak perlu memakai cermin mata.

Sebilangan daripada mereka yang rabun mungkin mengalami komplikasi kelekangan lapisan retina. Ini berlaku apabila retina lekang daripada lapisan koroid, menyebabkan gangguan fungsi retina dan menyebabkan buta jika tidak dirawat.

Kelekangan retina boleh berlaku kepada seseorang yang rabun jauh. Pesakit mungkin akan mengalami kehilangan penglihatan di medan penglihatan sebelah bawah.

*Presbiopia

Sejenis masalah rabun yang berlaku apabila seseorang itu dapat melihat objek yang jauh dengan baik, tetapi tidak dapat membaca dengan baik dikenali sebagai presbiopia.

Ia biasanya berlaku pada seseorang yang mencapai umur lebih 40 tahun.

Ini disebabkan proses pengerasan kapsul kanta yang menyebabkan pengurangan pergerakan kapsul kanta ketika melihat objek.

Dalam keadaan seseorang ingin memfokus pada objek yang dekat, kapsul tersebut harus mengendur untuk menjadikan kanta itu lebih cembung.

Apabila berlaku pengerasan, proses ini sukar dilakukan dan keupayaan mata melihat objek yang dekat berkurangan.

Masalah ini perlu diatasi dengan memakai cermin mata untuk membaca yang harus ditukar setiap dua tahun.

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu menghidap presbiopia, kekaburan dekat berlaku pada kedua-dua mata dan ketajaman objek itu menjadi lebih jelas apabila objek dijauhkan sedikit.

Masalah ini juga tidak seharusnya disalahfahamkan dengan masalah katarak mata, terutamanya bagi mereka yang melebihi umur 40 tahun.

Penghidap katarak menghadapi kesukaran melihat objek jauh. Seseorang yang menghidap katarak tidak dapat melihat objek jauh dengan jelas dan objek tersebut masih kelihatan kabur walaupun dengan memakai cermin mata.

*Rabun dekat

Apabila seseorang itu rabun dekat, otot mata mereka harus bekerja kuat untuk memfokuskan objek ke atas retina.

Jika usaha ini terlalu kuat, akan terjadi tanda seperti kekaburan, sakit di atas kening dan mata yang selalu letih dan berair, terutama selepas membuat kerja yang menggunakan penglihatan dekat seperti menjahit dan membaca.

Kanak-kanak yang rabun dekat berkemungkinan mempunyai daya tumpuan yang singkat. Mereka juga mungkin menjadi juling.

Apakah kaitan di antara rabun dekat dan presbiopia? Mereka yang bermasalah rabun dekat atau hiperopia menghidapi presbiopia pada umur lebih muda iaitu sebelum 40 tahun berbanding mereka yang tiada masalah ini.

Seperti rabun jauh, rabun dekat juga dapat dirawat dengan memakai cermin mata atau kanta lekap.

Kadang kala, sebilangan kanak-kanak yang menghidap rabun dekat dapat memulihkan masalah kejulingan mata selepas memakai cermin mata.

Sumber : Utusan Melayu

Bahasa Inggeris Dalam Program Pemulihan

28 September 2009 4 comments

Oleh :

Puan Rubiah binti Ramli

Peserta KSPK pemulihan (IPBMM,KL 2008)

Program pemulihan telah disediakan untuk membantu murid mengatasi masalah kelemahan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Tanpa bantuan, mereka akan gagal membina keyakinan diri untuk belajar dan mencari pengalaman yang menggembirakan di sekolah dan mereka juga mungkin tercicir dari sistem persekolahan lebih awal lagi. Melalui program pemuliham keperluan murid yang mempunyai masalah pembelajaran dikenalpasti dan pihak sekolah memastikan mereka mendapat bantuan pemulihan untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Program pemulihan yang sedia ada memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran bahasa melayu. Program intervensi yang dilancarkan hanya membantu murid-murid pemulihan menguasai kemahiran membaca dan menulis di dalam bahasa melayu sahaja. Murid yang mempunyai masalah pembelajaran biasanya lemah dalam bahasa melayu mahupun bahasa Inggeris.

Penguasaan Bahasa Melayu yang baik membantu murid-murid pemulihan ini mengikuti matapelajaran yang lain dengan tetapi tidak bagi matapelajaran matematik dan sains Murid-murid pemulihan perlu juga didedahkan kepada Bahasa Inggeris . Ini adalah kerana sistem fonologi Bahasa Inggeris adalah jauh berbeza dengan bahasa melayu. Sebutan abjad bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah berbeza.

Di samping itu, sistem ejaan di dalam perkataan bahasa Inggeris tidak boleh dibatangkan. Sekiranya tiada pendedahan kepada bahasa Inggeris kebarangkalian, murid-murid pemulihan membunyikan perkataan Bahasa Inggeris mengikut ejaan Bahasa Melayu adalah tinggi.

Justeru, murid -murid yang masih belum menguasai Bahasa Inggeris pada tahap yang sepatutnya atau jauh ketinggalan dari rakan sebaya perlu mengikuti kelas pemulihan Bahasa Inggeris. Persoalannya adakah murid-murid ini sedang mengikuti program pemulihan Bahasa Inggeris yang selari dengan Program Pemulihan yang sedang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Memang diketahui umum, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid juga kurang memberangsangkan terutamanya murid-murid di luar bandar atau pinggir bandar. Namun demikian, tiada inisiatif yang bersifat kebangsaan untuk menangani masalah ini.

Penguasaan bahasa Inggeris yang kurang memuaskan ini telah menjejaskan pelaksanaan ETeMS sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Rata-rata orang ramai berpendapat penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan kemerosotan pretasi murid-murid dalam matapelajaran matematik dan sains.

Sewajarnya, murid-murid yang mengikuti program pemulihan yang sedia ada juga perlu ‘dipulihkan’ dari aspek penguasaan bahasa inggeris mereka bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Seterusnya dapat mengikuti matapelajaran Matematik dan Sains dengan baik. Malang sekali tiada kelas pemulihan Bahasa Inggeris yang dilaksanakan secara terancang dan intensif seperti kelas pemulihan bahasa Melayu.

Senario yang ada kini ialah murid-murid pemulihan sekolah rendah akan ‘di bawa keluar’ dari kelas semasa mata pelajaran bahasa Melayu bagi mengikuti ‘kelas pemulihan’ dan mereka akan mengikuti mata pelajaran yang lain seperti biasa mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan.

Murid-murid ini akan mengikuti matapelajaran bahasa Inggeris, Matematik dan Sains seperti biasa meski pun mereka perlu ‘dipulih’ dari aspek penguasaan bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka akan jauh ketinggalan atau tercicir berbanding rakan-rakan yang lain. Masalah ini berlarutan hingga ke peringkat sekolah menengah di mana mereka sudah menguasai kemahiran bahasa Melayu dengan baik tetapi penguasaan bahasa Inggeris mereka sangat mengecewakan kerana tiada intervensi awal di peringkat sekolah rendah.

Program pemulihan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah perlu juga diberi keutamaan dan sewajarnya diintegrasi dalam program yang sedia ada bagi membantu murid meningkat potensi mereka untuk belajar dan mendapat manfaat dari sistem pendidikan.

Malang sekali masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sering dibincangkan tapi tiada mekanisma yang padu serta mantap bagi menangani masalah ini. Sudah tiba masanya kelas pemulihan bahasa Inggeris diwujudkan bagi memastikan kelestarian agenda pendidikan yang bertaraf dunia berlangsung seperti yang dihasratkan.

Sekian,

belalang

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Puan Rubiah adalah salah seorang peserta KSPK Pemulihan Khas. Kami menuntut dalam kelas yang sama pada 2008.

Program Bakul Ilmu

17 September 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan yang terbaik di samping melakukan rutin harian sama ada rasmi atau tidak. Semoga setiap amal yang kita lakukan pada hari ini akan diterima..insyaallah..Terima kasih kerana sudi mengunjungi laman ini.

Kali ini saya ingin sentuh isu masalah membaca dalam kalangan murid sekolah rendah. Isu yang selalu dirungutkan kebanyakan ibu bapa yang prihatin terhadap masa depan anak masing-masing. Juga isu yang kerap dibangkitkan oleh setiap guru pemulihan atau guru-guru aliran perdana yang menghadapi masalah serupa di dalam kelas.

Seperti yang guru-guru sedia maklum, terdapat pelbagai punca yang menjadi tunjang kepada kewujudan masalah membaca dalam kalangan murid-murid. Pelbagai faktor menjadi pendorong kepada isu ini sehingga guru sukar membuat kesimpulan tentang apakah sebenarnya yang berlaku.

Namun, walau apa pun punca, guru tetap terarah kepada tanggungjawab untuk mencari penyelesaiannya. Apa jua alternatif yang ada, diaplikasi sebaiknya ke atas murid. Segala teori dan praktikal dilaksanakan. Pelbagai bahan bantu mengajar dan sumber di sediakan khusus untuk murid-murid ini.

Situasi sama juga berlaku terhadap saya. Salah satu program yang saya telah laksanakan adalah ‘PROGRAM BAKUL ILMU’.

PROGRAM BAKUL ILMU

Matlamat Program

Realisasi daripada program ini diharap akan dapat mengurangkan jumlah murid yang tidak tahu membaca, mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, menambah kosa kata dan mendorong murid menggunakan istilah-istilah bahasa yang mempunyai nilai murni dalam kehidupan seharian berdasarkan bahan bacaan. Selain itu, murid akan dapat menghayati dan memahami isi kandungan bahan bacaan yang dibaca dan mengaplikasi kemahiran berbahasa dalam pelbagai situasi.

Pelaksanaan

Setiap pagi, guru akan dapati murid tiba seawal jam 6.50 pagi. Malah, ada juga murid yang datang ke sekolah lebih awal daripada itu. Pada kebiasannya, selepas murid tiba, mereka akan meletakkan beg di dalam kelas dan mula mengatur strategi untuk membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti bermain sejenis permainan yang akan menyebabkan baju yang bersih menjadi kotor dengan kesan-kesan peluh, debu-debu tanah dan sebagainya.

Justeru, saya mencadangkan supaya pada setiap pagi :

  • Selepas sahaja selesai murid cap jari untuk kehadiran, mereka perlu berada di tapak perhimpunan dalam barisan kelas masing-masing bersama sebarang bahan bacaan. Setiap murid dikehendaki membaca dan memahami sebarang bahan bacaan dalam tempoh 20 minit pada setiap pagi setiap hari bersekolah.

  • Untuk menjadikan program ini lebih menarik, setiap guru kelas dikehendaki menyediakan sebuah bakul bagi menampung sejumlah bahan bacaan untuk setiap murid kelas masing-masing dan disimpan di dalam bilik guru.

  • Guru kelas boleh menetapkan sama ada ketua atau penolong ketua darjah untuk mengambil bakul yang mengandungi bahan bacaan ini daripada guru kelas masing-masing pada setiap pagi. Bahan bacaan ini tadi kemudiannya akan di bawa turun ke tapak perhimpunan untuk dibaca oleh murid kelas yang berkenaan.

  • Guru Bertugas Mingguan(GBM) pula dikehendaki memastikan pelaksanaan aktiviti ini pada setiap pagi. GBM yang menjadi pengacara majlis pada hari berkenaan dikehendaki memilih lima orang murid secara rawak untuk memperdengarkan bahan bacaan mereka secara ringkas kepada semua murid. Tujuan murid ini dipanggil bagi memastikan mereka mengikuti program ini dan menjadi pengukur kepada semua guru terhadap keupayaan murid. Adakah murid mengikuti program yang dilaksanakan oleh guru? Adakah murid benar-benar faham akan bahan bacaan yang dibaca?

  • Bagi merealisasikan program ini, pihak sekolah wajar menjadikan program ini sebagai program  yang wajib di sekolah. Dengan berbekalkan pengalaman selama empat tahun di sekolah ini, saya percaya pihak pentadbir sedia maklum akan sikap segelintir murid sekolah yang akan menjadi ‘dalang’ kepada program yang bakal dilaksanakan ini. Sehubungan dengan itu, saya berharap agar pihak sekolah dapat bertegas dengan program ini dan mungkin akan mengenakan satu bentuk denda yang difikirkan sesuai terhadap murid yang mengingkari pelaksanaan program ini.

Sekian,

belalang

NORHAIDI BI HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Sekiranya anda ada pandangan mengenai program lain di bawah seliaan anda, adalah digalakkan untuk anda berkongsi bersama dalam ruangan ini.
  • Terima kasih

Memupuk Amalan Membaca

16 September 2009 5 comments

Oleh :

Puan Che Aisah binti Ishak

Peserta KSPK pemulihan (IPBMM,KL 2008)

Kebolehan membaca adalah amat penting untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Kebolehan membaca membolehkan manusia mengumpul ilmu pengetahuan daripada buku-buku ilmiah dan bahan-bahan bacaan yang lain.Orang yang berilmu pengetahuan adalah orang yang luas pembacaannya. Seperti mana kita tahu kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran sama ada membaca,menulis, atau mengira.

Adalah menjadi harapan pelajar-pelajar pemulihan mempunyai minat membaca yang tinggi. Sehubungan dengan itu cara yang paling berkesan menanam tabiat membaca ialah dengan menguasai kemahiran membaca .

Secara ringkas,membaca bolehlah dimaksudkan sebagai memahamkan perkataan-perkataan dalam bentuk tulisan.Oleh itu kebolehan membaca bolehlah dirumuskan sebagai memahami isi kandungan dalam tulisan.Kebolehan melafazkan bunyi-bunyi bahasa sahaja tanpa memahami ertinya tidaklah boleh dianggap sebagai membaca dalam erti kata sebenar.

Proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan meningkatkan penguasaan kemahiran membaca .Ramai murid yang gagal menguasai kemahiran membaca kerana mereka telah diajarkan dengan cara pendekatan yang kurang sesuai. Kegagalan menguasai kemahiran membaca tentu akan menjejaskan taraf pencapaian pelajaran mereka. Murid-murid yang belum menguasai kemahiran membaca tidak akan memahami mata pelajaran yang mereka pelajari. Sifat minat membaca tidak dapat dipupuk kerana kegagalan menguasai kemahiran membaca.

Guru haruslah berusaha dengan menjalankan strategi pengajaran dan pembelajaran mengikut Kaedah yang sesuai supaya murid-murid pemulihan boleh menguasai kemahiran membaca dengan sepenuhnya. Prof Atan Long dalam tesisnya yang disiarkan dalam “masalah Pendidikan” menyarankan kaedah penggabungan vokal dan konsonan dan suku-suku kata menjadi perkataan yang pada pendapatnya lebih berkesan daripada kaedah mengajar huruf demi huruf.

Faktor-faktor mengapa murid kurang minat membaca juga disebabkan kekurangan bahan-bahan bacaan yang sesuai.

Pihak sekolah seharusnya memain peranan penting menggalakkan minat membaca di kalangan murid. Pihak sekolah hendaklah memastikan terdapat banyak buku-buku yang bersesuaian di pusat sumber sekolah .Murid-murid membuat anggapan hanya buku teks sekolah lebih penting untuk dibaca berbanding dengan buku-buku lain. Guru haruslah membuang tangggapan negatif  itu dalam kalangan pelajar.

Guru pemulihan atau guru kelas boleh menanam minat membaca dengan mengadakan satu sudut bacaan dalam kelas , di mana buku-buku cerita, majalah pelajar dan kad-kad bergambar . Tiap-tiap murid mesti membaca kad-kad gambar dan guru hendaklah menanda di dalam buku. Pihak sekolah juga boleh menganjurkan pertandingan bercerita, penulisan, bersajak dan lain-lain.

Progaram Nilam yang dijalankan di sekolah sekarang perlulah diselaraskan dengan baik supaya memberikan kesan yang lebih positif. Ibu bapa juga haruslah menunjukkan minat membaca semasa di rumah supaya menjadi teladan kepada anak-anak. Ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke kedai –kedai buku atau ke perpustakaan yang berdekatan seperti Perpustakaan Negeri dan sebagainya.

Pepatah ada mengatakan “Membaca Jambatan Ilmu”. Membaca diibaratkan seperti pelita hidup. Seseorang yang rajin membaca akan menjadi orang yang berilmu. Negara akan lebih maju dan membangun jika rakyatnya minat membaca bagi menambahkan ilmu pengetahuan seterusnya akan menjadi para bijak pandai.

Usaha menanam minat membaca dalam kalangan murid-murid adalah menjadi tanggungjawab bersama guru, ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat. Sikap ini akan menghasilkan warga yang berpengetahuan dan sentiasa berusaha untuk maju ke depan.

Rujukan: Pemulihan, Pengayaan dan Isu Pendidikan (Mok Soon Sang)

Sekian,

belalang

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Puan Che Aisah adalah salah seorang peserta KSPK Pemulihan Khas. Kami menuntut dalam kelas yang sama pada 2008

Panik Boleh Diatasi

15 September 2009 2 comments

ARKIB : 08/09/2009
Panik boleh diatasi

Oleh : NOOR FAZRINA KAMAL

Kemunculan wabak H1N1 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia telah mencetuskan serangan panik kepada sesetengah individu.

MEMBACA serta menonton laporan di akhbar dan televisyen selain ramalan pakar perubatan di Internet tentang penularan pantas wabak pandemik Influenza A H1N1 membuatkan Sharina Manaf (bukan nama sebenar) diselubungi kerisauan. Dia menarik nafas panjang lalu dihela perlahan-lahan dan sesekali matanya rasa berpinar kerana sukar mempercayai begitu banyak jumlah kematian dalam tempoh singkat akibat virus tersebut.

Tidak semena-mena nafas Sharina menjadi sesak dan dada terasa sempit. Segera dia mengajak suaminya ke hospital kerana menyangka dirinya hampir meninggal dunia kerana mempunyai gejala seperti H1N1. Setibanya di wad kecemasan, jururawat mengambil tekanan darah dan memeriksa corak pernafasan Sharina namun hasilnya normal.

Masih tidak berpuas hati, Sharina mengarahkan jururawat menjalankan pelbagai lagi ujian kesihatan ke atasnya termasuk ujian elektro kardiologi gram (ECG) dan ujian darah – keputusan yang diterima masih sama, normal. Dia juga tidak demam dan doktor yang memeriksa mengesahkan dia sihat sepenuhnya tetapi Sharina belum lagi berpuas hati dan meminta dimasukkan ke wad, malangnya tidak diterima kerana dia sememangnya sihat.

Sharina sebenarnya mengalami apa yang dikatakan sebagai ‘serangan panik’. Kenal pasti simptom serangan panik Presiden Persatuan Psikiatri dan Kesihatan Mental ASEAN, Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, ramai yang mengalami serangan panik tidak menyedari mereka menghadapi masalah tersebut.

“Serangan panik membuatkan seseorang itu merasai satu perasaan di mana mereka seperti tidak boleh bernafas, dada seakan sempit, degupan jantung kuat, berpinar dan gelap mata, ada juga kes yang pengsan dan sakit di bahagian perut,” jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.k

Mohamad Hussain, menambah ciri-ciri serangan panik termasuk gangguan tidur, mimpi berulang atau mimpi ngeri. Katanya, simptom-simptom di atas berlaku secara episodic atau berulang-ulang namun ia tidak terjadi setiap masa cuma pada ketika tertentu sahaja.

“Ada faktor pendorong seperti berada di khalayak ramai, dalam lif yang sesak, dalam ceramah, jemaah di masjid dan ada juga kes terkena serangan ketika memandu. “Kes-kes ini ada yang dirujuk kepada rawatan kecemasan kerana mereka beranggapan diri mereka mengalami penyakit jantung atau lelah. Tetapi selepas ujian didapati mereka tidak mempunyai masalah kesihatan justeru mereka tidak mendapat rawatan sempurna untuk penyakit yang dialami,” jelasnya.

Menurut Mohamad Hussain, mereka yang mengalami serangan panik ini patut mendapat rawatan psikiatri untuk ubat serta cara rawatan yang sesuai. “Tak perlu malu untuk mengenengahkan penyakit ini. Kalau jantung boleh sakit, otak juga macam organ lain, jadi bila kita semua beranggapan sebegini maka tidak timbul perasaan malu.

“Apa yang dikhuatiri, individu yang mengalami serangan panik mula menjauhi tempat yang mereka tidak senangi dan ada sesetengah kes di mana mereka tidak boleh berinteraksi sekali gus tersisih daripada aktiviti sosial.

” Masalah lain menjurus kepada penurunan produktiviti. Isu utamanya kerana mereka tidak tahu kenapa secara tiba-tiba gementar dan gemuruh berepisod,” jelasnya. Tambahnya, penyakit ini boleh menjadi kronik dan berlarutan hingga bertahun-tahun lamanya.

“Memang penyakit ini tidak bahaya tapi ia boleh mendatangkan kesusahan kepada diri sendiri, keluarga dan majikan. “Justeru setiap ahli keluarga perlu didedahkan dengan pengetahuan ini agar mereka boleh membantu ahli keluarga yang mengalami serangan panik,” katanya.

Punca serangan

Menurut Mohamad Hussain, banyak perkara boleh menjadi punca serangan panik antaranya tekanan berpanjangan sama ada di tempat kerja atau di rumah bersa suami atau anak-anak.

“Ada juga yang mengaitkan dengan personaliti seseorang yang memang jenis cepat gelabah dan kurang keyakinan diri. Individu yang sejak kecil sering ditakut-takutkan dengan kisah hantu dan sebagainya juga cenderung mengalami panik.

“Ada juga individu yang mengalami serangan panik datang daripada keluarga yang tidak mengendalikan emosi dengan sempurna terutama ketika berhadapan dengan tekanan. Selain perkara di atas, faktor genetik juga adalah dikenal pasti sebagai punca,” tambahnya.

Mohamad Hussain berkata, kajian terkini mengenai otak mendapati bahawa pengurangan dalam tindak balas kimia serotonin pada bahagian otak tertentu turut mengakibatkan serangan panik.

“Dulu ketika penyakit HIV/ AIDS mula dikenalpasti ramai yang mengalami serangan panik. Ketika itu individu yang berada di tempat yang dihuni pesakit AIDS merasakan mereka juga boleh terkena penyakit itu.

“Serangan panik ini mungkin berlaku mengikut masa dan keadaan, tetapi sebenarnya ia bukan sahaja berlaku ketika musim berpenyakit tetapi juga kerana dorongan emosi yang keterlaluan.

“Lelaki dan wanita punyai risiko yang sama, malah serangan panik tidak mengenal status dan peringkat usia kerana sesiapa sahaja boleh mengalaminya,” katanya.

Rawatan Berkesan Elak Serangan

Mohamad Hussain berkata, rawatan yang diberi biasanya mengikut tahap keseriusan serangan namun sebaiknya mereka berjumpa pakar psikiatri sejak peringkat awal serangan lagi. Jika serangan panik yang dialami menyebabkan prestasi hidup atau kerjaya terjejas, pakar mungkin menyarankan pengambilan ubat secara berterusan.

“Antara ubatan yang digunakan untuk merawat serangan panik ialah daripada kelompok anti-anxiety dan anti-kemurungan. Namun paling utama pesakit mesti mendapat rujukan pakar dan rawatan susulan perlu juga dijalankan,” ujarnya.

Mohamad Hussain menambah, selain ubat-ubatan, rawatan tanpa ubat atau rawatan sampingan dengan ubat juga disarankan. “Mereka yang mengalami serangan panik akan diajar teknik bernafas dengan betul, digalakkan melakukan senaman seperti aerobik, berjalan pantas, yoga, terapi seperti psikoterapi, kaunseling atau hipnosis.

“Bagi yang pernah mengalami serangan panik juga tidak digalakkan mereka mengambil minuman seperti teh dan kopi. “Kita juga perlu didik masyarakat bahawa penyakit ini bukannya kompleks dan dengan pengetahuan terkini di bidang perubatan ia mudah diubati. Kelewatan mendapat rawatan menyebabkan banyak masalah untuk dipulihkan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Categories: Kesihatan, Pengetahuan Label:, ,
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 107 other followers