Arkib

Archive for the ‘Program LINUS’ Category

Kanak-Kanak Disleksia – part 1

29 April 2012 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera di samping insan tercinta. Semoga apa jua yang anda lakukan ketika ini akan mendatangkan manfaat yang besar untuk diri anda dan persekitaran anda. Terima kasih atas kesudian anda untuk mengunjungi laman ini. Maaflah kerana kesibukan diri sebagai pekerja dan pelajar serta tumpuan terhadap keluarga menyukarkan saya untuk mengemas-kini laman ini.

Baiklah, hari ini saya cuba untuk kongsikan sedikit maklumat berkaitan kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Tentunya saya akan sentuh mengenai Disleksia untuk bahagian pertama ini. Pernahkah terjadi kepada anda apabila melihat tulisan anak-anak yang kurang memuaskan seperti tidak konsisten, tidak sekata, ada huruf tinggi rendah, ada huruf kecil besar dan lebih banyak huruf yang terbalik atau bersifat cermin?

Ya, itulah yang saya hendak kongsikan sedikit maklumat mengenai kanak-kanak Disleksia ini. Kita akan pergi pada bahagian pertama yang menyentuh mengenai definisi kanak-kanak Disleksia terlebih dahulu. Disleksia adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan.

                        Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi seseorang disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Berikut adalah beberapa pendapat mengenai definisi Disleksia :

  • Word Federation Of Neurology ( 68 ) sebagai kecelaruan berbahasa di kalangan murid-murid yang telah mengalami pembelajaran dalam kelas biasa tetapi gagal untuk memperolehi kemahiran membaca ,menulis , dan mengeja separa dengan kebolehan intelektual mereka
  • Disleksia merupakan kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna (Persatuan Disleksia Malaysia)
  • Dyslexia is a specific learning difficulty that hinders the learning of literacy skills. This problem of managing verbal codes, others symbolic systems, such as mathematics and musical natotion , can also be affected.
  • Dyslexia can occur at any level of intellectual ability (British Dyslexia Association 1972)

Disleksia terbahagi kepada beberapa jenis atau kategori dan dapatlah dinyatakan kategorinya seperti yang berikut :

  • Disleksia Visual
  • Disleksia Auditori
  • Disleksia Visual Auditori

                        Disleksia Visual merupakan kategori masalah yang melibatkan penggunaan deria penglihatan bila mana seseorang kanak-kanak itu mengalami kesukaran untuk membezakan apa yang dilihat walaupun kita dapati secara kasarnya penglihatan mereka dalam keadaan yang baik.

                        Ini sememangnya kerap terjadi terutamanya bagi kanak-kanak antara usia lima hingga tujuh tahun. Kita akan mendapati tulisan mereka menjadi rapat bagi semua perkataan yang ditulis, tulisan cermin (terbalik) dan songsang. Hal ini akan menyebabkan kanak-kanak sukar untuk membuat intepretasi serta mengingati apa yang dilihat walaupun satu perkataan. Mungkin kerana masalah visual ini juga menyebabkan mereka mudah lupa tentang sesuatu perkara yang diajar oleh guru.

                        Disleksia Auditori pula merupakan kategori masalah yang melibatkan deria pendengaran. Dalam kes ini, kanak-kanak bukan tidak boleh mendengar bunyi, mereka boleh mendengar tetapi sukar untuk mendiskriminasikan bunyi, mengecam atau mengenal pasti bunyi bagi sesuatu perkataan atau membahagikan perkataan kepada beberapa suku kata.

                        Mereka juga didapati tidak dapat membunyikan huruf yang hampir sama seperti ‘f’ disebut ‘s’, ‘n’ disebut ‘m’, ‘b’ disebut ‘d’. Mereka juga mengalami masalah untuk membunyikan antara vokal dan konsonan serta mengaitkan antara bunyi kepada perkataan yang dicetak atau ditulis. Kanak-kanak yang mengalami masalah kategori ini sememangnya akan mengalami kesukaran untuk mengeja.

                        Disleksia Visual Auditori pula merupakan kategori masalah bagi kedua-dua deria iaitu penglihatan dan pendengaran. Penghidap kategori ini akan menghadapi kerumitan untuk mengintepretasikan apa yang dilihat mahu pun didengar. Akibat daripada gangguan visual dan auditori serentak ini mengakibatkan kanak-kanak mengalami kesukaran membaca yang teruk.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin

Teacher’s Department

Rujukan :

http://www.ceritarasahati2.com/2011/08/27/disleksia-dyslexia-pengenalan-disleksia/

http://www.cikgufais.net/2010/09/kenali-disleksia/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Disleksia

Mengajar Murid Cara Menulis Part-3

27 Februari 2012 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat luaran dan dalaman. Biar apa pun yang anda lakukan ketika ini, akan memberi banyak manfaat terutamanya kepada diri sendiri. Terima kasih atas kesudian anda mengunjungi laman ini.

Hari ini, saya sentuh lagi topik berkaitan kemahiran menulis yang sering kali menjadi dilema para pendidik termasuklah ibu bapa. Mari kita perhatikan gambar di bawah. Apakah yang dapat anda nyatakan daripada cara murid menulis berdasarkan gambar tersebut?

Ini adalah sebahagian murid yang tidak tahu menulis secara mendatar semasa menulis di meja masing-masing. Alasan diberi adalah tulisan tidak sama dengan guru kerana tulisan guru menegak di papan putih, di meja mereka pula secara mendatar.

Perkara ini adalah perkara biasa dan guru perlu sentiasa membiasakan murid menulis di meja masing-masing berbanding menulis seperti cara di atas kerana ia akan memungkinkan kesilapan menulis yang lebih banyak selain melengah-lengahkan masa untuk menyiapkan kerja yang diberi.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Admin,

Teacher’s Department

Mengajar Murid Cara Menulis Part-2

23 Februari 2012 7 comments

salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Terima kasih atas kesudian anda mengunjungi laman ini. Hari ini saya hendak kongsikan lagi topik yang saya telah sentuh sebelum ini iaitu berkaitan kemahiran menulis.

Sebelum ini saya telah pun menjelaskan tentang cara memegang pensel, menulis mengikut arah yang betul dan menulis sambil menyebut abjad yang disebut. Hari ini saya hendak jelaskan pula tentang teknik menulis yang salah dan perlu diperbetulkan.

Gambar di bawah merupakan tulisan daripada salah seorang murid saya yang kita dapat lihat cara atau pun teknik menulisnya kurang betul. Sebagai guru, dapatkah anda kesan apakah kesalahan dilakukan murid semasa menulis ini?

Gambar ini diambil dari sudut murid melihat dan dalam masa yang sama juga menulis. Kesilapan yang ketara apabila kita dapat lihat tulisan murid tidak betul, condong, terlalu jarak dan tidak boleh dibaca.

Faktor ini disebabkan cara menulis murid yang dilihat :

  1. tangan yang menulis itu menutup penglihatan menyebabkan murid tidak nampak huruf apakah yang hendak ditulis.
  2. apabila penglihatan semasa menulis terhad, murid akan tundukkan kepala dan menulis pada jarak meja dan kepala terlalu rapat. Keadaan ini menyebabkan murid mengeluh keana sakit leher.
  3. Cara murid memegang pensel yang terlalu tegak juga menyebabkan jarak penglihatan murid menjadi terhad

Murid sudah terbiasa dengan cara menulis yang seperti ini. Jika tidak diperbetul, maka sampai bila-bila murid akan terbiasa dengan cara dan kaedah menulis yang tidak betul ini.

Sebagai guru, gunakan pengalaman anda menulis untuk memperbetul cara memegang pensel, cara duduk semasa menulis dan jarak penglihatan pada postur menulis yang betul.

Bagi murid yang baru belajar menulis, jangan terlalu mendesak murid atau mengaharapkan mereka boleh terus menulis dengan cantik dan kemas. Ia akan mengambil masa untuk murid belajar biasakan diri dengan kaedah dan teknik menulis yang betul

Semoga berjaya!

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin,

Teacher’s Department

Mengajar Murid Cara Menulis Part-1

19 Februari 2012 6 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan ceria di samping dapat menjalankan tugas harian dengan sempurna. Semoga apa jua yang anda lakukan pada ketika ini akan memberi manfaat kepada diri anda dan orang-orang di sekeliling anda. Terima kasih atas kesudian anda melakukan kunjungan ‘rasmi’ ke laman ini.

Baiklah, topik yang hendak saya kongsikan pada hari ini adalah tentang kemahiran pra-tulis. Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya ‘dikekalkan’ oleh pihak pentadbir untuk terus memegang kelas paling hujung dan secara langsung mengajar murid-murid LINUS.

Di dalam kelas saya ada seramai 29 murid. 6 murid perempuan dan selebihnya adalah murid lelaki. Setiap kali mengajar, saya dapati murid mengambil masa yang terlalu lama untuk menulis sesuatu perkataan. Ada murid yang mengambil masa 30 minit untuk menulis satu perkataan. Apabila ditegur mengapa lambat menulis? murid ini akan menangis.

Saya mula membuat pemerhatian selama 30 minit terhadap cara murid menulis, apa yang mereka buat ketika menulis, mengapa satu patah perkataan pun tidak disalin ke dalam buku, dan macam-macam lagi. Segala aktiviti murid ketika itu saya tidak ganggu. Maka banyaklah jawapan dan kemungkinan yang saya peroleh dalam tempoh 30 minit itu.

Ada murid boleh menulis, tetapi disebabkan hilang fokus kerana asyik berbual daripada menulis menyebabkan kerja yang hendak disalin dalam buku tidak menjadi. Ada pula murid berangan, berkhayal dan bermain dengan pemadam, pembaris. Bila ditegur, satu-satu abjad disalin. Apabila dibiar, mereka akan bermain semula dengan pemadam, botol air dan sebagainya.

Dalam 29 murid saya ini, cuma 4 orang sahaja yang saya dapati memang mereka betul-betul tidak boleh menulis kerana tiada asas menulis. Jadi, saya tidak boleh mendesak mereka untuk menyiapkan kerja yang diberi. Melihat kepada cara mereka berempat ini memegang pensel yang tidak betul, arah menulis yang salah, postur badan tidak betul semasa menulis, maka saya harus perbetulkan semua itu.

Oleh yang demikian, langkah yang saya ambil adalah seperti berikut :

  • Minggu Ke-4 dan ke-5 : Mewarnakan gambar, menyambung titik-titik membentuk gambar, menyambung garisan putus-putus membentuk abjad. Tujuannya untuk membiasakan murid memegang pensel dengan cara yang betul dan menulis atau mewarna mengikut arah yang sesuai. Tujuan lain juga adalah untuk melembutkan tangan murid ketika memegang pensel agar tidak terlalu kaku. Latihan ini dapat memperbetul koordinasi mata dan tangan. Pada minggu ini juga, postur duduk murid dibetulkan supaya mereka tidak salah semasa menulis. Menulis mesti dalam keadaan menegak, bukan kepala disengetkan. Cara memegang pensel juga harus diperbetul. Tidak boleh pegang terlalu pendek atau terlalu panjang.
  • Minggu Ke-6 dan ke-7 :Menulis abjad di papan putih, menulis abjad di dalam buku bergaris, menulis suku kata di dalam buku. Bimbingan menulis secara individu, guru akan bantu murid menulis dengan memegang tangan murid dan membimbing murid menulis abjad mengikut arah yang betul. Mulakan dengan menulis abjad yang mudah seperti huruf ‘a’, ‘c’, ‘i’, ‘l’, ‘t’, ‘v’ dan ‘u’.
  • Minggu ke-8 : menulis suku kata ‘kv’ dan ‘kvk’. bimbingan berterusan daripada guru. Jika murid melakukan kesilapan semasa menulis, jangan izinkan murid memadam kesalahan itu. Biarkan kesalahan itu dan minta murid menulis di tempat yang baru. Kemudian minta murid bandingkan tulisan yang mana lebih baik. Minta murid ulang tulis suku kata atau perkataan yang betul dengan kerap. Ingatkan murid supaya lebih berhati-hati semasa menulis dan kurangkan kesilapan. Sentiasa berada di sisi murid setiap 10 minit untuk memastikan murid menulis mengikut arahan.

Pada minggu ke-7, saya mula mendapat hasil bagi dua orang murid yang dapat memahami konsep menulis. Mereka mula menunjukkan peningkatan dalam aspek menulis. Walaupun masih ada kesalahan, tetap saya benarkan dua orang murid ini memadam kesalahan dan memperbetulkannya kerana mereka sudah tahu bagaimana hendak menulis abjad mengikut bentuk dan arah.

Dua orang murid lagi masih ketara kelemahan dilihat dalam menulis. Kadang-kadang mengambil masa satu jam untuk menulis empat abjad. Perkara ini tidak merisaukan saya kerana saya faham mereka tiada asas pendidikan diterima sebelum ke tahun satu. Oleh yang demikian, saya perlukan masa yang panjang untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikesan. Insyaallah, jika semuanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, baki dua murid ini lagi akan mengikut jejak rakan-rakan mereka yang sudah boleh menulis.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin,

Teacher’s Department

Coming Soon – 2012

16 Disember 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda semua sihat sejahtera di samping rakan-rakan sejawat mahupun keluarga tersayang. Bagi yang sedang bekerja, semoga segala tugas anda dipermudahkan. Terima kasih kepada anda yang masih sudi melayari laman ini. Terima kasih juga saya ucapkan atas kesudian individu-individu yang telah membeli ebook saya yang terdahulu. Untuk makluman semua, setiap RM2 hasil jualan ebook yang anda beli telah saya sumbangkan ke tabung derma insan-insan yang memerlukan. Walaupun jumlahnya tidak banyak, sekurang-kurangnya anda telah menghulurkan sumbangan.

Tahun baru 2012 bakal menjelma. Saya pasti masih ramai murid atau anak-anak yang masih belum bersedia menerima pendidikan yang sepatutnya mereka dapat pada masa cuti sekolah. Jangan biarkan mereka terus ketinggalan dan banyak bermain pada musim cuti sekolah sehingga pelajaran mereka terabai.

Atas kesedaran itu, saya telah menghasilkan sebuah lagi modul pembelajaran pantas khusus untuk murid-murid bagi memastikan jurang tidak boleh menguasai 2M itu dapat dikurangkan.

Akan datang - Modul Pantas Celik Huruf

Segala kandungan akan saya paparkan kelak di dalam lama ini apabila modul ini siap sepenuhnya 100%. Semoga dengan kehadiran modul ini akan menambahkan lagi semangat dan azam semua pendidik untuk memastikan peratus murid LINUS, Pemulihan dan Protim akan dikurangkan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Lagi Gambar Big Book

6 Disember 2011 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Hari ni saya hendak kongsikan beberapa contoh Big Book untuk pelajar LINUS lagi. Big Book ini dihasilkan oleh guru-guru Zon Bangsar dan Pudu.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Gemar Bercakap Kuat, Faktor Kurang Pendengaran.

3 November 2011 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Lama saya tidak menjenguk ke laman ini. Masa lapang yang ada semakin dipenuhi dengan pelbagai aktiviti rasmi menyebabkan saya menjadi terlalu sibuk. Maaf kepada individu yang menghantar email kepada saya. Masih ramai yang belum kesempatan untuk saya menjawab pertanyaan anda.

Baiklah, topik hari ini saya hendak sentuh tentang sisi murid LINUS yang biasanya dilihat gemar bercakap kuat atau suka menjerit. Tidak merujuk kepada mana-mana kajian, saya menulis berdasarkan apa yang saya lalui. Saya dapati kebanyakan murid LINUS memang gemar bercakap seakan-akan menjerit walaupun rakan mereka hanya di sebelah sahaja.

Tidak diketahui punca utama mereka bersikap sedemikian. Barangkali hendak menarik perhatian, menunjukkan kuasa ‘memerintah’ rakan, atau lain-lain sebab. Apabila bercakap, mereka akan meninggikan nada suara.

Faktor inilah yang menyumbang kepada punca kebisingan. Bayangkan jika kelas tanpa guru. Tentu riuh rendah jadinya.

Murid-murid yang gemar bercakap dengan nada suara yang tinggi atau menjerit saya dapati selalunya mereka tidak akan dapat mendengar dengan jelas apabila guru mengajar atau ketika menerima arahan.

Keadaan ini lebih buruk jika murid ini turut mempunyai masalah pendengaran walaupun di tahap sederhana. Dalam hal ini, guru perlu selalu menasihati murid supaya tidak bercakap dengan nada seperti menjerit. Memadai dengan bercakap seperti biasa atau sopan.

Murid perlu dibimbing supaya belajar untuk menghormati rakan, guru dan orang lain dengan nada pertuturan yang sopan. Mereka masih kecil dan terlalu mentah untuk bercakap seperti orang yang matang.

Walaupun tidak semua murid suka bercakap kuat, tetapi pengaruh sikap gemar bercakap kuat ini seolah-olah sudah menjadi ikutan. Di mana-mana sekolah saya pergi, semua ini dapat dilihat.

Murid yang pendiam dan tahu buat kerja sendiri itu tidak mengapalah. tetapi bagi murid yang sukar dikawal, suka terpekik dalam kelas walaupun ada guru, sikap itu perlu sentiasa ditegur. Murid perlu sentiasa diberi peringatan supaya mereka tahu dan sedar tindakan mereka yang gemar bercakap dengan cara menjerit itu tidak sesuai diamalkan.

Admin,

Penyelaras Program LINUS

Bengkel Penulisan Buku LINUS (Big Book)

27 September 2011 Tinggalkan komen

Bengkel Penulisan Buku (Big Book) LINUS

Bagi Zon Bangsar & Pudu

2011

Tarikh : 28 September 2011

Tempat : Banquet Hall, Aras 1

Kuala Lumpur International Hotel

Masa : 8.00 pagi hingga 4.30 petang

Makluman :

  • Semua Penyelaras Program LINUS diwajibkan menghadiri bengkel tersebut

Sekiranya ada kemusykilan, sila hubungi :

  1. Pn.Sharidah binti Maarus : 03-2031 0695
  2. Pegawai FasiLINUS             : 03-2031 0704

sekian,

Admin

Teacher’ Department

Nota : Makluman mengenai bengkel ini dengan lebih lanjut akan saya laporkan pada 30 September 2011 dalam laman ini.

SARINGAN LINUS 2011 – Saringan 2 dan 5

15 September 2011 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Alhamdulillah, saringan lisan dan bertulis LINUS sudah selesai bulan lalu. Data juga telah dihantar kepada pegawai LINUS yang berkenaan. Pengurangan separuh daripada jumlah murid yang mengambil saringan amat memuaskan. Cuma tinggal saki baki murid TEGAR yang masih belum mencapai tahap yang dikehendaki.

Terima kasih kepada semua guru yang terlibat dalam sesi pengajaran dan saringan lisan serta bertulis untuk murid tahun satu dan dua atas kerjasama anda membantu dan bertindak untuk mengurangkan jumlah murid tidak boleh membaca. Tahniah kepada guru-guru Matematik tahun satu dan dua kerana berjaya memastikan sasaran NUMERASI kepada 99.9% dicapai.

Bagi program LITERASI, masih banyak yang perlu dilakukan. Port Mortem telah dilakukan dan dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat LINUS peringkat sekolah pada minggu hadapan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Penyelaras LINUS

‘Tunjuk & Eja’ Perlu Betul

8 September 2011 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih atas kesudian anda meluangkan masa melayari laman ini.

Topik pada kali ini berkaitan dengan sistem ‘mengeja dan sebut’ yang diajar oleh guru di sekolah, tetapi gagal dipraktik dengan baik oleh murid.

Cuba perhatikan cara murid belajar mengeja di bawah :

sistem 'menunjuk semasa mengeja' yang tidak betul

Gambar 1 menunjukkan murid mengeja sambil menunjuk pada perkataan. Cara ini perlu diperbetul bagi mengelakkan murid terus ketinggalan. Ini kerana murid menutup perkataan yang hendak dieja. Kebanyakan guru tidak perasan apabila membimbing murid mengeja dalam kumpulan.

Sistem yang salah terus diamalkan. Jadi, tidak hairanlah murid lebih banyak menghafal dan terus tidak kenal abjad, apatah lagi untuk menulis berdasarkan gambar.

sistem 'tunjuk dan eja' dengan cara yang betul

Gambar 2 menunjukkan cara mengeja sambil menunjuk dengan cara yang betul. Murid tidak menutup perkataan. Oleh yang demikian, mereka akan dapat melihat huruf dan suku kata yang hendak dieja.

Kadang-kadang ada perkara kecil yang kita terlepas pandang. Jadi, sama-samalah kita bantu murid agar tidak terus ketinggalan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Penyelaras LINUS

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers