Arkib

Archive for the ‘Program LINUS’ Category

Bukti Murid LINUS Boleh Berjaya

18 Ogos 2011 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Masih tidak terlewat bagi saya untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam seluruh dunia. Maaf kerana saya mengambil masa yang lama untuk mengemas kini laman ini.

Syukur alhamdulillah, peperiksaan di UPSI telah selesai dan keputusan yang diperoleh setimpal dengan hasil tugasan yang diserahkan untuk dinilai.

Baru-baru ini, saringan 2 dan 5 LINUS telah pun selesai dijalankan di sekolah saya. Hasil saringan lisan dan bertulis, saya dapati pencapaian mendadak murid LINUS bagi tahun 1 dan 2 adalah yang terbaik berbanding pada tahun sebelumnya.

Kebanyakan guru agak terkejut dengan keputusan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik termasuk juga bagi subjek-subjek lain apabila murid bukan pilihan berjaya mencatat markah terbaik dalam ujian bulan Ogos yang dilaksanakan baru-baru ini.

Cuma yang sedihnya, masih ada sebahagian murid yang gagal ‘diselamatkan’ dari kelompok LINUS TEGAR kerana beberapa masalah yang dihadapi oleh guru dan juga murid. Saya sendiri akui terdapat 5 orang murid dalam kelas yang saya ajar masih belum menguasai abjad dengan baik walaupun setelah bulan Ogos hampir melabuhkan tirainya.

Perkara ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Post Mortem saringan 2 dan 5 yang akan datang untuk mengetahui punca masalah ini masih wujud.

Walau bagaimana pun, sekalung tahniah buat semua guru LINUS tahun 1 dan 2, termasuk guru Pemulihan yang telah bertungkus lumus memastikan sasaran LINUS peringkat sekolah tercapai.

sekian,
NORHAIDI SARPONEN
Penyelaras LINUS

LINUS vs Bomoh

24 Jun 2011 5 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di luar sana. Tidak kira apa jua yang sedang anda lakukan ketika ini, semoga ianya mendatangkan manfaat yang paling berharga untuk anda. Terima kasih kerana anda masih sudi mengunjungi laman ini.

Semalam saya didatangi salah seorang penjaga yang merupakan ibu kepada murid LINUS Tegar dalam kelas saya. Hampir dua jam kami berbincang. Kebetulan saya sibuk dengan penubuhan kelas LINUS yang baru, Sukan Tahunan, Ujian Pertengahan Tahun, jadi saya tidak dapat melayan penjaga tersebut lama-lama.

Namun, dua jam hasil pertemuan tersebut, saya sempat mencatatkan maklumat untuk kegunaan pada masa akan datang. Kasihan melihat anaknya yang masih tidak memberi apa-apa perubahan dalam akademik. Saya cuba selidik sedalamnya masalah sebenar yang dihadapi oleh anak murid saya melalui penjaganya. Apa yang kami bincangkan itu, telah mengingatkan saya kepada beberapa situasi yang saya hendak kongsikan di bawah :

SITUASI 1

Rahman (bukan nama sebenar) dijaga oleh datuk dan neneknya. Bapanya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya selepas 3 bulan Rahman dilahirkan. Ibunya meninggal dunia selepas 6 bulan mengalami kekecewaan tidak dapat menerima takdir kematian suami. Selama 9 bulan lahir, Rahman memang tidak kenal siapa ibu bapanya. Dia dijaga oleh datuk dan neneknya yang tua dan uzur.

Saya mengenali Rahman ketika dia memulakan sesi persekolahannya kali pertama pada usia 8 tahun. Kelakuan dan tingkah lakunya amat pelik. Orangnya normal tetapi perlakuannya berbeza. Menurut datuknya, Rahman terkena demam panas ketika berusia 5 tahun sehingga mulutnya berbuih. Tetapi lambat dibawa ke hospital. Penjaganya pula tidak bekerja. Tiada wang untuk membiayai rawatan. Mereka mengambil jalan singkat dengan membawa Rahman berjumpa bomoh.

Rahman berjaya disembuhkan. Tetapi mengalami kegagalan dari segi pertuturan. sekali lagi Rahman dibawa berubat dengan bomoh yang sama. Semasa sesi rawatan, lidah Rahman telah ditarik keluar. Bomoh mengeluarkan sebilah pisau lalu mengikis lidah Rahman. Sesi rawatan tersebut dipercayai mampu menyembuhkan pertutran Rahman. Namun, hasilnya tiada. Malah, Rahman menjadi semakin sukar untuk bertutur.

Sekali lagi Rahman dibawa berjumpa bomoh yang sama. Kata bomoh tersebut, nama Rahman membawa malang. Jadi, namanya kini telah ditukar kepada Salleh. Sehingga saya mengajar murid ini bermula 2006 hingga 2008, namanya masih lagi dipanggil Salleh. Bukan Rahman seperti yang tercatat dalam surat beranak.

SITUASI 2

Julia (bukan nama sebenar) dilahirkan dalam keadaan yang serba daif. Ibu dan bapanya kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Atas desakan hidup, mereka berjumpa dengan ‘pakar’ (bomoh) yang kononnya dipercayai mampu memberi sesuatu yang lebih baik untuk kehidupan mereka di masa akan datang.

Kata bomoh, anak yang sedang dikandung si ibu itu akan membawa malang. Ia harus digugurkan. Si suami yang terlalu percayakan bomoh membawa isteri pulang dan mencadangkan supaya anak dalam kandungan itu digugurkan. Si ibu menangis kerana tidak sanggup berbuat sedemikian. Akhirnya berlaku pertengkaran antara suami dan isteri.

Sejak dari hari pertama Julia dilahirkan, bapanya tidak pernah menyentuhnya. Dia menganggap Julia pembawa malang. Julia semakin membesar dan mula meniti alam persekolahan. Setiap hari, Julia akan pulang dari sekolah dengan membawa kerja rumah. Jika dia tidak faham, dia akan merujuk kepada ibunya.

Dengan tekun dan sabar ibunya mengajar walaupun berkali-kali Julia membuat silap. Si bapa yang tidak tahan melihat Julia kerap membuat kesilapan semasa belajar, terus memaki. Itulah makanan telinga Julia setiap hari. Itulah kata-kata ‘sayang’ yang diucap oleh seorang bapa untuk anaknya. Kasihan.

Satu hari, si bapa pulang lalu mengajak si ibu duduk berbincang. Katanya baru lepas jumpa bomoh. Si bapa mencadangkan supaya nama Julia ditukar kerana budak itu bukan sahaja pembawa sial, malah nama J.U.L.I.A itu menurut bomoh sama dengan perkataan B.O.D.O.H. Kerana tidak mahu bertengkar, mereka menukar nama Julia kepada Zarina. Si ibu berkata, nama si bapa juga ada lima huruf. Kenapa tidak ditukar juga nama itu?

Saya terkilan dengan apa yang telah dilakukan oleh penjaga murid yang sebegini. Kedua-dua situasi sebenarnya ada jalan penyelesaian. Apabila berlaku masalah akademik, kenapa bertindak begitu? Kenapa tidak berjumpa dengan guru? Guru perlukan maklumat untuk bantuan. Jika guru tidak mampu membantu, murid boleh dirujuk dengan doktor. Di negara kita ada ramai doktor pakar kanak-kanak.

Kita perlu gunakan saluran yang betul untuk membantu murid. Tetapi mengapa bomoh harus menjadi pilihan? Saya tidak menafikan peranan bomoh. Tetapi dalam situasi rawatan yang dinyatakan dalam situasi 1 dan 2, diharapkan ibu bapa penjaga boleh menjadi lebih cerdik akal untuk menerima sesi rawatan sama ada relevan atau tidak.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Di Mana Silapnya Lagi?

23 April 2011 3 comments

Salam sejahtera,

Diam tak diam, hari ini sudah masuk bulan yang ke-4 bagi tahun 2011. Sepanjang tempoh ini, pelbagai perkara berlaku dengan pantas. Isu yang penulis hendak bangkitkan pada hari ini adalah masalah membaca dalam kalangan murid sekolah rendah.

Setiap tahun, pasti masalah ini akan timbul terutamanya yang melibatkan murid tahun satu. Masalah membaca, masalah menulis, masalah keluarga, masalah disiplin, masalah kesihatan, dan pelbagai lagi masalah yang dialami murid menjadi ‘asas’ kukuh kepada senario dalam pendidikan hari  ini.

Bukan hendak mencari salah sesiapa, tetapi penulis mahu kita bersama renungkan masalah yang dialami murid dan mencari di mana kelemahan yang dilihat perlu diperbaiki.

Bayangkan murid belajar sejak umur 6 tahun sehinggalah tamat darjah enam. Kemudian sambung hingga ke sekolah menengah juga masih tidak tahu membaca dan menulis dengan baik.

Akibatnya, ramai yang tercicir dan pastinya masa hadapan mereka juga tidak pasti ke mana hala tuju. Kasihan melihat ramai pelajar yang ‘terbiar’ ini tanpa arah tujuan.

Penulis luahkan kebimbangan ini kerana setiap tahun ramai murid akan menghadapi masalah yang sama sebelum mereka memasuki alam persekolahan. Akibatnya, guru terpaksa meninggalkan silibus dan mengajar murid 7 tahun seperti kanak-kanak berusia 5 tahun.

Guru-guru pula semakin dibebani dengan tugasan-tugasan lain yang memerlukan mereka memberikan komitmen 100% juga. Jadi, bukan setiap masa guru ini dapat meluangkan masa untuk anak murid masing-masing lebih-lebih lagi jika mereka dipanggil menghadiri kursus hampir setiap minggu.

Itu belum dikira dengan jawatan-jawatan lain yang disandang oleh guru di sekolah dan aktiviti dan program sampingan lain di sekolah yang memerlukan guru memberikan komitmen juga.

Mungkin banyak perkara tidak dapat disiapkan oleh guru dalam satu-satu masa kerana mereka bukan robot. Mereka juga memerlukan rehat dari aspek fizikal dan mental. Kasihan melihat segelintir guru terpaksa berkejaran menyiapkan data, laporan dan sebagainya melebihi tugas yang lebih penting iaitu mengajar.

Di pihak ibu bapa pula, mereka sibuk bekerja. Ada yang keluar gelap dan balik pun gelap. Tugas mengurus anak pula diurus oleh pembantu rumah bukan warga tempatan. Di sebilangan tempat pula, ada anak-anak yang diurus oleh suri rumah tangga, tetapi kebanyakan mereka juga sibuk dengan tanggungjawab lain.

Ada juga suri rumah yang ada masa untuk anak-anak. Tetapi bukan semua daripada mereka tahu bagaimana hendak membimbing anak-anak belajar membaca. Mereka tidak tahu sama ada anak mereka mempunyai masalah atau tidak.

 Banyak persepsi sebenarnya tentang bagaimana masalah ini boleh wujud. Entah sampai bila masalah ini akan berhenti kerana statistik setiap tahun sentiasa bertambah.

Penulis teringat pada waktu dahulu, taraf hidup penduduk di Malaysia pada waktu itu tidaklah semewah yang dinikmati oleh warganegara pada hari ini. Tetapi, mengapa mereka boleh berjaya?

Semakin moden zaman kita lalui, semakin banyak pula masalah yang timbul. Sepatutnya masalah dan beban berkurangan kerana negara semakin bertambah rakyat yang cerdik pandai. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Itu baru dilihat dari satu isu. Penulis pasti banyak lagi isu-isu lain yang masih juga belum menemui jalan penyelesaiannya.

Sama-samalah kita renungkan. Di mana silapnya?

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ .SARPONEN

Teacher’s Department

Kursus Pemantapan P&P LITERASI Tahun 2

15 Mac 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera di samping insan tercinta. Bagi yang sedang bercuti, selamat bercuti bersama insan tersayang. Bagi yang bekerja, semoga pekerjaan yang anda lakukan pada hari ini akan mendatangkan manfaat yang lebih baik dari hari yang sebelumnya.

Terima kasih atas kesudian anda terus mengunjungi laman ini. Terima kasih juga kepada anda yang masih membeli ebook yang penulis hasilkan.

Bagi guru gred DGA29 yang ditawarkan melanjutkan pelajaran ke pringkat Ijazah di institusi terpilih, selamat berdaftar dan semoga berjaya.

Pada 9 dan 10 Mac yang lalu, penulis telah mengikuti satu Kursus Pemantapan P&P LITERASI tahun 2 di PKG Bangsar.

Terdapat enam slot yang perlu dihadiri sepanjang dua hari peserta berada di PKG berkenaan.

Alhamdulilah, banyak input-input baharu yang kami terima. Cuma diharapkan pada masa akan datang, lebih banyak kursus berkaitan pembinaan bahan bantu mengajar, teknik mengajar yang berkesan daripada fasilitator, teknik penyelesaian masalah dari fasilitator serta perkongsian idea untuk mengurangkan jumlah murid LINUS akan diadakan.

Kursus berasaskan teori semata-mata atau banyak menguji kemampuan guru menghasilkan BBM atau mengajar pastinya tidak akan menguntungkan kerana bukan semua guru yang menghadiri kursus adalah guru berpengalaman atau guru opsyen Bahasa Melayu.

Guru yang menghadiri kursus kebanyakannya opsyen PSV, PJK, MUZIK dan lain-lain yang mana mereka tidak tahu teknik mengajar dan penyelesaian masalah dalam LITERASI.

Harap fasilitator dapat membantu.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

KSSR : Format Persediaan Mengajar

28 Februari 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Berikut adalah contoh persediaan mengajar Bahasa Melayu bagi kurikulum yang baharu (KSSR) :

Kelas /

Masa/

Mata Pelajaran

Kandungan

Impak / Catatan

1 Intelek

 

9.00 pagi

Hingga

10.00 pagi

 

Bahasa Melayu

Tema : Kekeluargaan

Tajuk : Keluarga Saya

Fokus Utama         : SK 1.2          SP 1.2.4

Fokus Sampingan : SK 2.3          SP 2.2.1

Kem.Linus              : 2.3

(jika kelas bercampur dengan murid LINUS)

 

Objektif                  :

Pada akhir pengajaran, murid dapat :

  1. Mendengar, menyebut dan mengeja perkataan berkaitan keluarga yang mengandungi suku kata
  2. Membaca perkataan berkaitan keluarga yang mengandungi dua atau tiga suku kata terbuka dan tertutup dalam ayat dengan sebutan yang betul.
  3. Membaca dan membunyikan suku kata KVK (LINUS)

 

Aktiviti :

  1. Set induksi
  2. Murid mengeja dan membaca suku kata
  3. Murid menandakan perkataan yang didengar
  4. Murid memadankan gambar dengan perkataan.
Pengisian Kurikulum :

Ilmu : Pendidikan Moral

Nilai : Kasih Sayang

KBT  : KB (menjana idea)

 

EMK :   Fasa Persediaan

Fasa Imaginasi

Fasa Perkembangan

Fasa Tindakan

 

Sistem Bahasa :

Kata Nama Am

 

Media (BBB) :

-          Kad perkataan, kad gambar

 

Refleksi :

-          80% daripada 36 murid dapat mengeja perkataan dan suku kata terbuka dan tertutup manakala selebihnya dapat mengeja dengan bimbingan guru.

 

-          100% daripada 4 orang murid LINUS dapat membaca dan membunyikan suku kata KV

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Jangan Guna Pemadam

16 Februari 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih yang tidak terhingga kerana anda sudi mengunjungi laman ini. Terima kasih sekali lagi.

Minggu ini boleh dikatakan minggu yang memenatkan setiap kali saya masuk mengajar murid kemahiran menulis. Bukan hendak merungut, tetapi terkilan kerana apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Maklum sajalah, mengajar murid di kelas belakang ini bukanlah mudah. Majoriti muridnya tidaklah sehebat kelas-kelas hadapan. Mengajar murid kelas belakang ini samalah seperti mengajar murid Prasekolah. Guru mesti banyak bersabar dan tekun menjalankan tugas.

Dua minggu yang lalu sudah masuk minggu ke-3 saya mengajar murid mengenal abjad, huruf vokal, mengenal suku kata, mengeja perkataan KVKV dan menulis perkataan. Semua objektif pembelajaran yang disasarkan tercapat 70% hingga 100% bagi semua kemahiran yang telah diajar kecuali kemahiran menulis.

Saya akui kadang-kadang sakit hati dan rasa hendak marah. Melihat muka murid tahun satu yang comel-comel itu, rasa hendak marah tiba-tiba tidak jadi. Timbul pula rasa kasihan. Mana tidaknya, sudah masuk minggu ke-3, tetapi menulis tidak boleh lagi walaupun satu perkataan seperti ‘mata..”

Murid menggigil memegang pensel, jika boleh menulis pun, satu huruf mengambil masa 10 minit untuk ditulis. Itu pun bukan atas garisan dalam buku tulis yang sepatutnya.

Ada murid pula boleh menulis perkataan, tetapi tunggang langgang dan kerap terbabas ke atas dan ke bawah, tulisan yang senget seolah-olah buku latihan itu kertas lukisan (tiada garisan biru).

Jika ditegur kesalahan, mulalah murid padam semula apa yang ditulis. Inilah murid tahun satu. Tulis satu huruf, kemudian padam. Tulis lagi, kemudian padam. Masa pengajaran selama sejam tiga puluh minit sia-sia begitu sahaja.

Jadi, saya ambil pendekatan dengan melarang murid menggunakan pemadam pensel sewaktu saya memberi latihan. Saya tidak menggalakkan murid memadam tulisan yang salah. Sebaliknya meminta murid menulis pada ruangan yang baru. Dengan ini akan memudahkan saya untuk meminta murid membandingkan tulisan yang salah dan tulisan yang betul kepada murid untuk dibuat perbandingan.

Pada mulanya, memanglah ramai murid yang tidak dapat menerima ‘pembaharuan’ ini. Tetapi, dalam masa seminggu berikutnya, alhamdulillah saya sudah nampak banyak perubahan dalam cara menulis murid. Cuma ada dua orang murid sahaja yang masih perlu diberi perhatian ‘rapi’ dalam aspek menulis ini.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Murid Hyper Yang Matang Dan Cerdik

27 Januari 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Terima kasih kerana masih terus mengunjungi laman ini. Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan ceria. Tidak kira di mana anda berada, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Semoga pekerjaan yang anda lakukan pada hari ini akan diberkati, Insyaallah.

Maaf kerana kelewatan mengemas kini laman ini kerana saya mengalami demam yang teruk baru-baru ini.

Topik hari ini berkaitan dengan murid hyperaktif. Pengetahuan saya tentang sejarah dan latar belakang murid kategori ini tidaklah banyak mana pun.

Tetapi apa yang saya hendak kongsikan bersama anda adalah tentang gaya pembelajaran murid hyper itu sendiri. Sepanjang perkenalan dengan tiga orang murid hiper pada tahun 2010, banyak perkara baharu yang saya pelajari tentang diri murid kategori ini.

Ketiga-tiga murid hyper ini petah berkata-kata, tutur dan percakapannya lebih tersusun berbanding murid normal yang lain, dalam situasi lain pula dilihat ketika belajar, murid lebih banyak bermain dan mengganggu rakan sebaya tetapi jika disoal, murid dapat memberi jawapan yang tepat dan maklum balas yang lebih baik berbanding murid normal yang lain.

Saya akui murid hyper sukar dikawal tanpa ubat. Namun, adalah lebih baik sekiranya guru atau ibu bapa di rumah dapat mengawal tingkah laku murid hyper ini dengan cara yang lebih berkesan dan tanpa ubat-ubatan. Sebab itulah dikebanyakan kelas khas, majoriti gurunya sangat tegas.

Tegas bukan bermaksud sangat garang atau hendak menakutkan murid. Tegas yang saya maksudkan adalah untuk lebih mendisiplinkan murid, mengawal tingkah laku murid yang aktif, mengajar murid supaya lebih menghargai,  dan menghormati suasana persekitaran termasuk rakan sebaya, guru, ibu bapa dan orang lain.

Murid hyper perlu diberi perhatian secara individu. Dengan mengekalkan murid dalam kelompok yang besar (sebuah kelas biasa) akan menyukarkan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Cakap-cakap belakang mengatakan murid ini kurang bijak, terlalu sukar dikawal, nakal dan sebagainya memang ada benarnya dan tercatat juga dalam buku panduan murid bermasalah pembelajaran. Tetapi, bukan semua murid ini mengalami kesukaran yang di’cakap-cakapkan’ sebelum itu.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teachers Department

p/s : Sekiranya anda mempunyai pendapat dan cadangan untuk murid hyperaktif ini, saya amat mengalu-alukan komen dan cadangan anda

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 111 other followers