Arkib

Posts Tagged ‘cara mengatasi’

Mengapa Perlunya Pemulihan?

20 Mei 2009 2 comments

Salam sejahtera.

Maaflah sebab minggu ke-21 ini saya banyak menyentuh isu Hari Guru saja. Bukan apa, meraikannya setahun sekali. Semalam saya menerima banyak juga hadiah sempena Hari Guru. Ramai juga anak didik daripada kelas Pemulihan yang memberi hadiah. Terima kasih.

Kita kembali kepada tajuk pada kali ini. Baiklah. Sebelum guru menjalankan aktiviti Pemulihan, guru perlu tahu keperluan dalam kelas biasa khususnya bagi mata pelajaran Bahasa.

DSC01221

Sering kali guru melihat murid bermasalah dalam pelajaran terutamanya dari segi akademik. Pencapaian dalam pelajaran sentiasa merosot, masalah tingkah laku, masalah tulisan, masalah bacaan, masalah pengamatan dan banyak lagi masalah yang perlu diambil perhatian serius.

Masalah – masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat kerana memerlukan masa dan kepakaran oleh Guru Pemulihan. Jadi, murid yang bermasalah ini akan ditapis sebelum ‘dibaiki’ dalam kelas Pemulihan.

Proses Pemulihan yang dijalankan oleh guru pula akan memakan masa dan dijalankan secara berperingkat-peringkat dan berterusan bergantung kepada keupayaan murid.

Perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak mempunyai perkaitan yang2 rapat dengan pemikirannya. Kerencatan dalam penguasaan bahasa boleh menjadi faktor utama murid gagal dalam pelajaran bahasa di sekolah.

Contohnya, kanak-kanak yang buta huruf jika tidak diberi pertolongan yang sesuai semasa usianya akan ketinggalan dalam hidupnya.

Oleh itu, guru harus peka bahawa murid – murid yang dikenal pasti bermasalah harus segera diberi pertolongan yang sesuai jika mahukan mereka kembali ke tahap yang normal seperti murid lain.

Sekian,

1

NORHAIDI BIN SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004-2008

p/s :

  • Untuk maklumat lanjut, suka saya syorkan agar anda segera dapatkan buku Panduan Pengajaran Pemulihan (BM) KBSR & KBSM (1999) yang ditulis oleh pensyarah saya – Pn.Jamilah Ahmad, terbitan Fajar Bakti
  • Klik pada laman DOWNLOAD untuk dapatkan Set Soalan Ujian Diagnostik Bahasa Melayu.

Senario Murid Kelas ‘Belakang’ – Bahagian Akhir

17 Mei 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera..

Jika bahagian ketiga saya telah menyentuh sedikit isu disiplin. Bahagian terakhir ini saya ingin menyentuh berkenaan masalah akademik yang melanda kebanyakan murid di kelas ‘belakang’.

Umumnya, kita sedia maklum mengapa mereka ditempatkan dikelas yang ‘belakang’. Majoriti murid kelas yang saya ajar adalah dari kalangan keluarga yang sederhana. Tidak ada yang mewah.

Jadi, dari segi keperluan akademik di rumah, saya sedia maklum ibu bapa mereka tidak mampu memenuhi keperluan akademik yang sempurna. Bukan apa, anak mereka ramai. Jadi, jumlah tanggungan juga ramai. Ekonomi perlu diagihkan secukupnya supaya di akhir bulan nanti mereka tidak ‘sesak.

Saya sentiasa memantau anak murid saya di kediaman mereka. Berikut adalah rutin pada hampir setiap hari mereka akan lakukan :

  • Pulang dari sekolah, murid ke sekolah agama.
  • Murid yang tidak bersekolah agama akan bermain dengan rakan di bawah mentari yang terik.
  • Sebelah petang, murid yang sama akan menyertai rakan yang baru pulang dari sekolah agama untuk bermain futsal, kejar-kejar dan sebagainya.
  • Mereka bermain sehingga azan maghrib kedengaran.
  • Sebelah malamnya, mereka akan bermain futsal atau lepak di pondok rehat yang disediakan di kawasan perumahan.
  • Pulang apabila terasa lapar, penat atau dipanggil ibu bapa kerana hari sudah jauh malam.
  • Pagi, pergi sekolah menaiki van, bas atau dihantar penjaga.
  • Sampai di sekolah, berkejar-kejaran dengan rakan.
  • Apabila loceng berbunyi, baru murid sibuk nak siapkan kerja rumah.
  • Murid mula berpeluh apabila guru masuk ke kelas.
  • Apabila ditanya mengapa kerja rumah tidak siap?, murid akan jawab terlupa, tidur awal dan macam-macam alasan lagi. Maklumlah, belajar menipu sebab nak bela diri sendiri. Salah jawab nanti kena rotan.

Begitulah situasinya murid kelas saya. Kerana telah memahami rutin mereka, saya meletakkan beberapa syarat dan perjanjian dalam kelas yang perlu dipatuhi.

Jika sekali mereka melanggar syarat tersebut, mereka akan menerima balasannya.

Alhamdulillah, mereka setuju dan mematuhinya. Sehingga kini, tiada seorang pun murid saya yang tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi. Tiada seorang murid pun yang berani menipu saya. Tidak ada seorang murid pun yang berani membuat kacau atau bising dalam kelas jika saya lewat masuk kelas atau jika tiada guru masuk kelas.

Semuanya kerana adanya peraturan dan disiplin yang ketat. Sesekali jalankan hukuman yang lebih berat sebagai peringatan jika murid tidak menyiapkan latihan yang diberi atau melanggar peraturan sekolah.

Namun, jika dua minggu berturut-turut murid menunjukkan tingkah laku yang baik dan memuaskan, guru berilah ‘sesuatu’ sebagai penghargaan dan galakan agar tingkah laku positif itu dapat diteruskan.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004 – 2008

Senario Murid Kelas ‘Belakang’ – Part 2

9 Mei 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera..

Murid kelas belakang majoritinya bermasalah dari segi intelek. Sebab itu guru dapat lihat perbezaan personaliti mereka berbanding dengan murid kelas hadapan.

Murid kelas belakang rata-ratanya mempunyai daya taakul dan keupayaan intelek seperti kanak-kanak berusia di bawah usia sebenar mereka. Jika murid itu darjah lima, mungkin corak pemikiran mereka seperti darjah tiga.

Sebab itu jika kita mengarahkan mereka supaya melakukan sesuatu kerja rumah, kekerapan mereka bertanya soalan yang sama terhadap guru dalam satu-satu masa adalah sangat tinggi.

Murid kelas belakang biasanya berlagak pandai. Mereka ada dalam kategori yang berikut :

  • tidak kisah

  • pemalu

  • malas

  • tidak banyak berfikir

  • pendiam

  • tidak tahu apa yang berlaku dalam situasi semasa

  • mudah khayal

  • suka berangan

  • lambat matang

  • banyak cakap

  • pakaian ada yang kurang kemas

  • mudah lupa

  • tidak jujur

Jika ada guru yang mengajar kelas belakang di mana semua muridnya boleh bersikap matang dan cerdik, itu satu perkembangan yang baik. Namun, disesetengah sekolah, bukan semua murid kelas belakang, cerdik. Inilah yang menjadi masalah utama kepada guru yang mengajar kelas tersebut.

Bagaimana hendak mengatasi masalah ini bergantung kepada kekuatan mental dan psikologi guru, sikap dan keinginan serta keazaman tinggi yang ditunjukkan.

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department

2004- 2008

Senario Murid Kelas ‘Belakang’ – Part 1

8 Mei 2009 2 comments

Salam sejahtera..

Dalam kelas, saya mengamalkan sistem pengajaran berkumpulan dan individu secara berkala. Saya seorang guru yang tegas, bukan garang. Mengapa? kerana saya mengajar di kelas yang paling akhir sekali di sekolah. Cabaran yang sangat baik untuk diri saya kerana berpengalaman dalam dunia pemulihan.

Saya melatih murid yang keras kepala, degil, berbahasa kasar dan kadang-kadang kesat, agak malas berfikir, malas buat kerja, pelupa dan macam-macam lagi masalah yang tidak dapat saya kongsikan.

Sebagai seorang guru, saya tidak mahu biarkan seluruh ‘penghuni’ dalam kelas tersebut bermasalah sampai bila-bila. Saya mahukan pembaharuan. Jadi, saya melakukan beberapa pemerhatian sambil mengajar.

Murid dalam kelas saya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Oleh yang demikian, personaliti mereka juga berbeza. Ada pakaian yang comot, kemas, cantik, kasut terkoyak, buku tulis macam ‘rojak’ dan pelbagai lagi.

Dengan personaliti yang sedemikian, jelaslah gaya hidup mereka mencerminkan siapa ibu bapa dan bagaimana cara mereka diuruskan di rumah. Saya menyedari sikap yang ditunjukkan di sekolah adalah 100% sikap sebenar yang mereka tunjukkan di rumah juga.

Pasti ada guru yang tidak akan tahan dengan perangai murid di kelas belakang ini jika guru tersebut bukan seorang guru yang tegas. Jika guru itu garang atau terlalu ‘lembut’ dengan murid sekali pun, pasti guru tersebut akan alami ‘stress’.

Saya inginkan murid dalam kelas ini mengubah cara berfikir, bertutur dan mengubah personaliti mereka kepada yang lebih baik. Itu pun jika saya mampu. Jadi, setiap kali mengajar, saya akan menyebut nama salah seorang murid untuk dijadikan contoh terbaik. (Jika contoh yang negatif, nama murid tidak akan disebut).

Saya kerap memuji murid walaupun mereka sekadar berjaya menyiapkan satu perenggan untuk sebuah karangan. Saya faham akan kekurangan mereka. Saya tidak pasti pula apa pandangan anda di luar sana.

Saya sentiasa memastikan murid saya bercakap jujur. Saya paling benci apabila ditipu. Jadi, saya sering tegaskan dengan lantang dan jelas kepada semua murid betapa kata-kata saya perlu diambil ingatan.

Rotan? Tanyalah setiap anak murid saya, tidak seorang pun yang tidak pernah menangis kerana dirotan saya. Tapi, alhamdulillah kerana sudah masuk bulan kelima, saya dapat rasakan perubahan demi perubahan dalam diri setiap murid.

Latihan sudah ramai yang siapkan dan hantar, tulisan sudah kemas dan cantik, buku berbalut, kelas sentiasa bersih, jika tiada guru, masa lapang diisi dengan sebaiknya.

Sekian,

Norhaidi bin Sarponen
Mantan Guru Pemulihan
2004 – 2008

p/s :

  • Sambungan bahagian kedua akan diterbitkan pada minggu yang akan datang.

Masalah Guru Pemulihan – Part 3

4 Mei 2009 2 comments

Salam sejahtera,

Jika sebelum ini saya telah menyatakan masalah guru Pemulihan dari sudut ‘masalah kemudahan fizikal’. Kali ini saya ingin menyambung masalah yang dihadapi oleh guru Pemulihan berhubung komunikasi antara guru, pihak pengurusan di sekolah dan ibu bapa.

* Masalah Komunikasi dan perhubungan.

Nampaknya, sesetengah guru Pemulihan juga sukar untuk mendapat kerjasama daripada Guru Besar, guru-guru lain dan ibu bapa. Saya juga pernah mengalami masalah yang sama terhadap ketiga-tiga kelompok manusia ini.

Sebagai contoh, semasa mula-mula bertugas sebagai guru Pemulihan, jarang guru Besar melawat ke kelas saya untuk memastikan sama ada pengajaran dan pembelajaran berjalan atau tidak, bahan untuk guru cukup atau tidak dan sebagainya. Saya kecewa juga kerana kurang diberi perhatian. Saya diarah memastikan agar murid pemulihan dapat dikurangkan kepada jumlah yang paling minima. Itu sahaja.

Individu yang kerap saya jadikan tempat untuk luahkan masalah kelas pemulihan adalah Guru Penolong Kanan Akademik (GPK1). GPK1 sekolah saya seorang yang cekap dan amat prihatin terhadap setiap masalah yang dihadapi oleh ‘anak buahnya’.

  • Perhubungan yang ‘dingin’ tersebut diatasi dengan sentiasa berjumpa dan berbincang dengan Guru Besar. Sentiasa mendapatkan pandangan dan bantuan dari segi bahan bantu mengajar, menjemput Guru Besar dalam setiap mesyuarat panitia dan sebagainya.

Begitu juga kisahnya dengan guru biasa. Saya pernah menyatakan dalam mesyuarat untuk menjalankan ‘Program Bakul Ilmu’ di mana setiap guru yang bertugas pada minggu berkenaan dikehendaki memastikan setiap jam 7.00 pagi hingga 7.20 pagi murid tidak berkeliaran. Sebaliknya, masa lapang tersebut diisi dengan membaca buku. Namun, program saya mendapat sambutan yang dingin. Semua guru ‘buat hal’ masing-masing.

  • Masalah ini diatasi dengan mengubah struktur program. Saya bekerjasama dengan Panitia Bahasa Melayu dan guru Kaunseling bagi melancarkan perjalanan program. Surat arahan ditandatangani Guru Besar dan diedar barulah semuanya menjadi ‘okey’.

Masalah dengan ibu bapa juga satu lagi hal. Saya kasihan melihat pelajar yang terlalu ‘lambat’ dalam kelas. (maaf kerana menggunakan perkataan ini). Justeru, saya merangka satu program dimana setiap minggu, ada ibu bapa akan dipanggil untuk berjumpa dan berbincang dengan saya berkenaan prestasi anak masing-masing.

Bagi ibu bapa yang prihatin, mereka akan datang. Bagi yang mementingkan kerja dan wang ringgit, surat yang saya edarkan tidak dibalas kerana dianggap membuang masa mereka. Ya! saya pernah menerima kata-kata berikut daripada seorang wanita, “cikgu buatlah apa yang patut ye..”.

Cukuplah menyusahkan anak. Jangan biarkan mereka ‘keseorangan’ dalam dunia yang nyata. Mereka juga ada masa depan. Jangan hanya tahu melahirkan tetapi membiarkan mereka berdikari tanpa bantuan.

  • Masalah ini diatasi dengan ‘memaksa’ ibu bapa penjaga berjumpa untuk berbincang secara bersama bagi mengatasi masalah anak masing-masing pada Hari Terbuka sekolah.

Saya tidak menyalahkan semua pihak, ada sesetengah kesilapan mungkin berpunca daripada diri saya sendiri. Namun, hakikatnya, inilah realiti masalah yang saya telah hadapi.

Adakah masalah ini akan dihadapi oleh guru atau bakal guru Pemulihan yang lain?

Berikan pendapat anda.

Sekian.

2
NORHAIDI SARPONEN
Mantan Guru Pemulihan
2004-2008

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 107 other followers