Arkib

Posts Tagged ‘hiperaktif’

Murid Hyper Yang Matang Dan Cerdik

27 Januari 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Terima kasih kerana masih terus mengunjungi laman ini. Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan ceria. Tidak kira di mana anda berada, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Semoga pekerjaan yang anda lakukan pada hari ini akan diberkati, Insyaallah.

Maaf kerana kelewatan mengemas kini laman ini kerana saya mengalami demam yang teruk baru-baru ini.

Topik hari ini berkaitan dengan murid hyperaktif. Pengetahuan saya tentang sejarah dan latar belakang murid kategori ini tidaklah banyak mana pun.

Tetapi apa yang saya hendak kongsikan bersama anda adalah tentang gaya pembelajaran murid hyper itu sendiri. Sepanjang perkenalan dengan tiga orang murid hiper pada tahun 2010, banyak perkara baharu yang saya pelajari tentang diri murid kategori ini.

Ketiga-tiga murid hyper ini petah berkata-kata, tutur dan percakapannya lebih tersusun berbanding murid normal yang lain, dalam situasi lain pula dilihat ketika belajar, murid lebih banyak bermain dan mengganggu rakan sebaya tetapi jika disoal, murid dapat memberi jawapan yang tepat dan maklum balas yang lebih baik berbanding murid normal yang lain.

Saya akui murid hyper sukar dikawal tanpa ubat. Namun, adalah lebih baik sekiranya guru atau ibu bapa di rumah dapat mengawal tingkah laku murid hyper ini dengan cara yang lebih berkesan dan tanpa ubat-ubatan. Sebab itulah dikebanyakan kelas khas, majoriti gurunya sangat tegas.

Tegas bukan bermaksud sangat garang atau hendak menakutkan murid. Tegas yang saya maksudkan adalah untuk lebih mendisiplinkan murid, mengawal tingkah laku murid yang aktif, mengajar murid supaya lebih menghargai,  dan menghormati suasana persekitaran termasuk rakan sebaya, guru, ibu bapa dan orang lain.

Murid hyper perlu diberi perhatian secara individu. Dengan mengekalkan murid dalam kelompok yang besar (sebuah kelas biasa) akan menyukarkan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Cakap-cakap belakang mengatakan murid ini kurang bijak, terlalu sukar dikawal, nakal dan sebagainya memang ada benarnya dan tercatat juga dalam buku panduan murid bermasalah pembelajaran. Tetapi, bukan semua murid ini mengalami kesukaran yang di’cakap-cakapkan’ sebelum itu.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teachers Department

p/s : Sekiranya anda mempunyai pendapat dan cadangan untuk murid hyperaktif ini, saya amat mengalu-alukan komen dan cadangan anda

Jangan Sesekali Cabar Kesabaran Guru

30 Mei 2010 3 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa ceria di samping dapat melakukan tugas harian dengan sempurna.

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita mengenai salah seorang anak didik saya yang berusia lapan tahun. Biarlah saya namakannya sebagai Z sahaja. Z seorang kanak-kanak yang periang dan di lihat dari segi luaran sebagai individu yang tiada masalah.

Tetapi, Z sebenarnya adalah murid yang saya anggap sebagai ‘hiperaktif ‘ kerana Z sering tidak boleh duduk diam di dalam kelas dan suka mengganggu rakan dalam kelas, suka mencuri barang rakan, mengambil barang tanpa meminta izin, selalu bergaduh dan suka menuduh tanpa bukti.

Hendak dijadikan cerita, saya masuk ke kelas Z sebagai guru Bahasa Melayu. Semasa mengajar, Z mula menunjukkan tingkah laku sebenarnya yang telah saya duga. Saya berhenti mengajar dan menegur sikap keterlaluan Z yang kerap berjalan dalam kelas dan mengganggu rakan yang lain.

Z kembali duduk di tempatnya setelah ditegur. Saya segera menyambung pengajaran. Tidak sampai lima minit, Z kembali buat hal. Kali ini entah dari mana getah gelang didapatinya, dihalakan getah itu ke muka rakan sebelahnya.

Sakitnya hati sebab saya terpaksa memberhentikan pengajaran sekali lagi. Saya ambil pembaris panjang dan halakan tepat ke arah muka Z sebagai amaran supaya dia tidak mengganggu rakan dan menyalin latihan yang saya beri.

Z seperti tidak endah akan amaran yang saya berikan. Kerana tidak mahu emosi terganggu, saya enggan melayan tingkah laku Z yang mula hendak membuat riuh dalam kelas. Habis semua murid dijentiknya menggunakan getah gelang tersebut.

Dengan penuh rasa geram saya rampas getah gelang dan halakan ke lengan Z. Z mengaduh kesakitan. Kemudian, dia menyambung latihan (tapi tak buat juga, sekadar gimik sahaja pegang pensel) sambil berbisik kepada rakan di sebelahnya dengan kata-kata ini “Ala, tak sakit pun..”

Saya yang mendengarnya pura-pura tak tahu kerana saya tidak mahu layan sangat kerenahnya. Saya pun bergerak dari seorang murid ke seorang murid yang lain untuk memantau perkembangan latihan masing-masing.

Saya tahu bahawa Z masih tidak menulis satu apa pun di dalam buku latihannya walaupun 30 minit sudah berlalu. Saya sengaja dari belakang kelas memberikan amaran lisan. Kemudian, saya memberikan tumpuan kepada seorang murid yang tidak faham akan latihan yang diberi.

Tiba-tiba Z bangun dan mencampakkan buku latihannya keluar kelas. Saya tidak terperanjat dengan tindakannya. Secara baik saya mengarahkannya mengambil semula buku tersebut. Tetapi, Z tidak mengendahkannya. Saya beritahu Z bahawa saya akan mengulang kata-kata saya sebanyak 3 kali sahaja. Jika pada kata-kata yang ketiga Z masih tidak mengambil semula buku latihannya, saya akan memukulnya.

Perlahan-lahan Z bangun dan ambil buku latihan. Buku tersebut dipegangnya dan loceng pun berbunyi menandakan waktu balik. Z terus mencampakkan buku itu dari tingkat tiga bangunan sekolah. Kemudian, dia masuk ke dalam kelas dan mencapai beg sekolahnya lalu meluru keluar.

Murid-murid lain semua riuh. Saya segera minta murid lain berkemas dan pulang. Saya turun ke bawah dan ambil buku latihan yang Z campak tadi.

Keesokan harinya, di dalam kelas saya telah mengarahkan semua murid membuka buku latihan yang mereka salin semalam. Semua murid mengeluarkan buku masing-masing kecuali Z.

Mungkin dia perasan saya tidak senyum pada hari tersebut, perlahan-lahan dia keluar menemui saya. Z mengatakan buku yang dia campak semalam sudah dikutip sebelum balik. Saya tanya di mana buku latihan tersebut kalau benar dia telah kutip. Z katakan buku tersebut tertinggal di rumah.

Saya tanpa banyak cakap segera mencapai pembaris panjang dan mengeluarkan sebuah buku tulis. Saya minta Z membaca nama yang tertera pada buku tersebut.

Belum pun sempat Z habis baca, satu sebatan singgah di punggung Z. Kemudian, saya suruh Z baca kuat-kuat nama yang tertera pada buku latihan tersebut di hadapan kelas. Sekali lagi, belum sempat Z habis membacakan nama tersebut, satu lagi sebatan yang kuat singgah di punggungnya.

Z mengaduh menahan sakit. Memang sebatan kedua saya sebat dengan kuat sebagai pengajaran kepada dirinya dan murid-murid lain. Air mata Z mula mengalir. Tetapi saya tidak peduli dengan lakonan itu. Saya minta Z baca sekali lagi nama yang tertera pada buku latihan tersebut. Dalam sedu sedan dan disaksikan semua murid, Z membaca namanya pada buku tersebut.

Habis sahaja menyebut namanya pada buku tersebut, satu sebatan yang kuat  singgah sekali lagi di punggung Z. Z meraung kuat dan memeluk kaki saya memohon ampun.

Saya alihkan kaki dan mengambil buku latihan Z yang penuh dengan contengan. Saya renyukkan buku tersebut dan masukkan dalam tong sampah. Saya biarkan Z menangis di lantai hadapan kelas.

Kemudian, saya menyambung pengajaran pada hari berkenaan tanpa menghiraukan Z. Selepas, 30 minit pengajaran tiba masa untuk saya memberi latihan kepada murid-murid.

Z datang dengan wang tunai RM5 ditangan. Saya tidak menghiraukannya dan terus mengajar. Z datang menghampiri. Dengan muka sedih yang penuh air mata, Z memohon kebenaran keluar untuk membeli buku latihan baru.

Sekali lagi saya tidak mengendahkannya. Tiga kali Z merayu barulah saya mengizinkannya membeli buku. Saya memberinya tempoh seminit untuk mendapatkan buku latihan yang baru.

Seminit kemudian, Z naik semula ke kelas dengan sebuah buku baru di tangannya. Tetapi bukan buku latihan untuk subjek Bahasa Melayu. Z sudah terbeli buku latihan Matematik. Buku itu ditunjukkannya kepada saya.

Saya kata buku apa pun tidak menjadi masalah asalkan Z dapat menyiapkan latihan yang diberi. Tanpa buang masa, Z segera menyalin dan menyiapkan latihan yang diberi. Malah, sebahagian latihan yang dibuatnya betul.

Sewaktu rehat, saya memanggil Z ke bilik guru untuk memberinya kaunseling. Saya bertanya Z :

“Pernah tak awak kena rotan kat rumah?..”

Z sekadar menggelengkan kepala.

“Habis tu, kalau awak nakal, siapa yang rotan?..”

“Mak marah je. Mak tak pernah rotan pun..”

“Oh..sebab tak pernah kena rotan la awak jadi macam ni ye.. Ayah pun tak pernah pukul awak ke?..”

“Ayah pun marah je. Tak pernah rotan..”

“Kalau awak degil kat rumah siapa yang rotan?..”

“Mak dengan ayah marah je. Mana ada rotan..”

Emm.. Barulah saya faham. Selesai sesi kaunseling dengan Z, saya membenarkannya rehat dan memintanya menyiapkan semua latihan yang telah saya beri semalam dan pada hari ini.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Dalam PKSR 1 baru-baru ini, Z mencapai sasaran markah yang saya tetapkan.
  • Walaupun Z masih nakal di dalam kelas dan menggangu rakan lain, namun setiap kali latihan yang saya beri, dia akan siapkan dan menghantarnya pada hari itu juga.

Murid Terlebih Aktif Menyukarkan Guru..

4 Mei 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa ceria menempuhi situasi pada hari ini. Semoga tuah yang baik menyebelahi anda tidak kira di mana dan siapa anda, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Terima kasih kerana sudi mengunjungi laman ini.

Topik yang hendak saya bangkitkan pada kali ini berhubung murid hiperaktif yang saya percaya dalam kelas aliran perdana, murid ini sering menimbulkan masalah kerana ‘sikap’ tidak senang duduknya serta sering mengganggu rakan lain hendak belajar.

Itulah dilema yang saya sedang hadapi dalam kelas tahun 1 yang saya ajar ketika ini. Setiap hari saya akan masuk ke kelas murid ini. Setiap kali itulah murid ini akan menimbulkan masalah. Kadang-kadang kerana tidak mahu belajar, murid ini akan mengganggu rakan lain dalam kelas, kemudian keluar kelas sesuka hati.

Murid tidak mahu buat kerja.Malah mengganggu rakan lain dalam kelas. Perbuatannya amat menyakitkan hati, tetapi sebagai guru yang amat memahami situasi murid mengharapkan akan ada tindakan susulan oleh ibu bapa atau penjaga murid

Apabila murid ini keluar kelas, sudah menjadi tanggungjawab guru menjaga keselamatan murid. Saya kena mencari murid ini pula. Bimbang sesuatu akan berlaku kepadanya.

Apabila saya keluar kelas, murid – murid lain pula akan terabai. Bising, bergaduh dan berlari dalam kelas.

Pening juga memikirkan hal ini. Saya pernah berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa penjaga murid ini berhubung masalah yang di hadapi oleh anak mereka.

Ibu murid ini mengakui anak mereka ada masalah sebelum ini dan telah dirujuk kepada doktor.

Justeru, saya mohon supaya ibu bapa murid ini menyerahkan satu salinan laporan pemeriksaan doktor terhadap murid ini untuk tindakan susulan oleh pihak sekolah.

Namun, sehingga ke hari ini si ibu bapa / penjaga murid masih tidak menyerahkan laporan seperti yang diminta. Saya tidak tahu apa lagi hendak dilakukan. Kami sudah berbincang cara baik. Namun setiap kali berjumpa dan laporan perubatan saya bangkitkan, si ibu bapa / penjaga memberikan alasan yang sama iaitu “Doktor belum siapkan laporan lagi..”

Pelik juga saya terima jawapan oleh penjaga ini. Tapi tak megapalah. Mungkin si ibu sedar anaknya seperti itu dan tidak kisah dengan apa yang berlaku. Sebenarnya saya ingin ‘menyelamatkan’ anaknya daripada terus menjadi sedemikian. Namun, oleh kerana sudah masuk bulan ke-5, saya masih tidak menerima sebarang laporan perubatan, maka tiada apa-apa yang saya boleh lakukan.

Inilah antara sikap ibu bapa yang saya tidak gemari. Hanya mahu anak menjadi bijak pandai. Tetapi tidak mahu memberi kerjasama yang baik. Jika anak timbulkan masalah di sekolah, gurulah yang menjadi sasaran serangan ibu bapa. Mereka tidak salahkan anak mereka walaupun mereka tahu anak mereka bermasalah. ‘Inilah sandiwara dunia..’

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Murid Pemulihan vs Murid Pendidikan Khas

4 Februari 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sentiasa dan ceria di samping dapat melakukan tugas harian dengan sempurna. Saya pula baru keluar hospital dan masih dalam keadaan yang kurang cergas berikutan demam denggi. Memang tidak seronok rupanya apabila terpaksa baring di katil pesakit selama seminggu. Sakit badan akibat terlalu lama baring. Urat di tangan juga sudah mulai membengkak akibat kesan cucukan jarum tatkala juru rawat berusaha memasukkan air dalam badan sejumlah 13 botol kesemuanya.

Saya sememangnya masih tidak sembuh sepenuhnya. Namun, kerana bimbangkan anak murid di kelas belakang yang sentiasa ketinggalan, saya gagahkan diri melawan penyakit agar segera sembuh. Hari ini, saya ke sekolah dalam keadaan masih lemah dan ‘mamai’.

Berbalik kepada topik asal yang ingin saya sampaikan pada kali ini. Semasa berada di wad hospital, saya telah berbual-bual dengan beberapa orang penjaga yang menceritakan masalah pelajaran anak masing-masing.

Situasi 1 :

Seorang penjaga mengeluh yang anaknya sehingga darjah 5 masih tidak tahu membaca atau menulis. Kata si ibu, anaknya akan pandai sekiranya diajar. Tetapi, kerana kedegilannya dan tiada siapa yang mahu mengajar, anak tersebut terbiar hinggalah ke darjah lima. Si ibu lebih bimbang kerana pada tahun hadapan, si anak akan menduduki peperiksaan UPSR.

Situasi 2 :

Puan Aminah (bukan nama sebenar) mengeluh kerana sejak lahir anaknya tidak pernah menangis. Semasa anaknya berusia enam bulan, bayi itu telah terkena jangkitan iaitu demam panas dan lewat dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Akibatnya, anak itu tidak boleh bertutur dengan baik walaupun usianya kini telah mencecah 9 tahun.

Kerana bimbangkan masa depan anaknya, Puan Aminah menghantar anak itu ke hospital pakar. Beberapa ujian yang dijalankan mengesahkan IQ kanak-kanak itu berada di bawah 70. Doktor mengesahkan kanak-kanak itu sebagai ‘slow learner’.

Salah satu ujian yang dijalankan ke atas anak Puan Aminah : -

  • Doktor memberikan anak tersebut sebatang pensel.
  • Doktor menyoal anak tersebut apakah benda yang sedang dipegangnya.
  • Anak tersebut menjawab “ini pensel..”
  • Doktor tanya kembali soalan lain yang berbunyi “tahukah kamu apakah kegunaan pensel?..”
  • Anak itu menjawab “tak tahu..”
  • Doktor tunjukkan sekeping gambar komputer kepada anak itu.
  • Doktor tanya “gambar apakah ini?..”
  • Anak itu menjawab “komputer..”
  • Doktor tanya lagi soalan lain yang berbunyi “tahukah kamu apakah fungsi komputer?..”
  • Anak itu jawab “tak tahu..”
  • Doktor tunjukkan seutas jam tangan untuk murid sentuh.
  • Doktor tanya anak itu “apakah ini?..”
  • Anak itu menjawab “jam..”
  • Doktor tanya lagi “apakah kegunaan jam?..”
  • Anak itu menjawab “tak tahu..”

Kedua-dua situasi di atas menunjukkan perbezaan ciri antara seseorang murid pemulihan dan kanak-kanak khas (istimewa). Murid pemulihan adalah murid yang normal, cuma mengalami kegagalan dalam akademik akibat faktor-faktor persekitaran dan dalaman murid.

Berbanding dengan murid pendidikan khas, mereka di pecahkan kepada tiga kategori yang utama iaitu :

  1. Pekak Bisu
  2. Masalah pembelajaran
  3. Buta

Ada juga beberapa kategori lain murid pendidikan khas yang tidak dinyatakan di atas. Kesimpulannya, walau apa jua masalah murid, guru perlu segera mengenal pasti punca dan cara ‘rawatannya’. Ada sesetengah murid dilihat ‘normal’, tetapi setelah menjalani pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkannya sebagai ‘hiperaktif’ atau ‘slow learner’. Laporan kesihatan daripada doktor amat perlu bagi mengelakkan murid ‘salah tempat’ untuk menerima pelajaran yang sewajarnya.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

“Cikgu, bantulah saya..”

23 Julai 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera.

Semoga kehidupan anda pada hari ini, lebih baik daripada hari semalam. Semoga dikekalkan kesihatan diri dan bersama-samalah kita mencerminkan diri. Moga-moga tiada kekurangan yang dilakukan ada hari ini sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain. Insyaallah.

Pagi ini, beberapa orang guru datang berjumpa dengan saya berhubung dengan masalah salah seorang anak murid mereka yang belajar di tahun satu.

Banyak masalah murid berkenaan yang saya dengari dari mulut guru. Kasihan. Ada guru yang tertekan dengan masalah ‘semulajadi’ berkenaan. Seperti biasa, saya cuma seorang guru biasa dan bukanlah pakar dalam hal-hal yang dibangkitkan. Saya cuma boleh bagi pendapat dan tidak semestinya pendapat saya itu betul.

Murid tahun satu yang dimaksudkan oleh guru berkenaan sememangnya dalam pemerhatian saya sejak awal tahun. Masalah murid adalah ‘terlalu aktif’. Akibat terlalu aktif, murid ini dilihat seringkali mengganggu tumpuan murid lain yang sedang belajar.

Guru sukar mengawal murid ini kerana murid kerap kali keluar kelas dan berkeliaran di sekitar kawasan sekolah sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Beberapa orang guru meminta pandangan peribadi. Saya cuma boleh katakan, murid yang dimaksudkan kemungkinan besar ‘hiperaktif’.. Sebagai langkah permulaan untuk mengesahkan masalah murid, guru digalakkan melakukan perkara berikut ;

  • Berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa / penjaga murid.
  • Catat setiap isi perbincangan dalam pertemuan terbabit.
  • Jika guru masih tidak yakin dengan rekod temubual yang dijalankan, berikan surat Pemeriksaan Kesihatan kepada ibu bapa/penjaga murid.
  • Ibu bapa perlu membuat tindakan susulan untuk mengesahkan status kesihatan dan masalah murid.
  • Dapatkan surat laporan daripada doktor yang melakukan pemeriksaaan dan analisa maklumat tersebut.
  • Jika doktor menyatakan murid ‘hiperaktif’, murung, down sindrom, disleksia, slow learner dan sebagainya lagi, jumpa segera Guru Pendidikan Khas sekolah dan berbincang berhubung laporan doktor.
  • Jika dipersetujui, Guru Pendidikan Khas akan menghantar surat persetujuan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka belajar di kelas Pendidikan Khas.

Dalam apa jua bidang. Kita sentiasa berdepan dengan masalah. Sebagai manusia, kita mempunyai akal untuk mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang masalah yang timbul.

Semoga niat guru terbabit dapat diterjemahkan oleh ibu bapa/penjaga murid berkenaan supaya kedua-dua pihak mendapat keuntungan bersama.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 106 other followers