Arkib

Posts Tagged ‘kaedah membaca’

Kaedah Fonetik Bantu Anak Membaca

16 Julai 2009 2 comments

Kaedah Fonetik Bantu Anak Membaca
Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia

Bersama Othman Ahamad Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy
(Rencana dari ruangan Permata Hatiku, Majalah Mingguan Wanita, Ogos 2003)

“Siti baru sahaja berusia 5 tahun. Namun, dia bukan sahaja telah dapat membaca dengan lancar dalam bahasa Melayu bahkan sudah pandai menulis ayat-ayat pendek dengan baik. Suatu hari, ibunya membawa pulang siri cepat membaca bahasa Inggeris ReadEasy untuknya.

Siti terus mengambil buku tersebut dan mula membelek-belek buku tersebut dan mencuba membacanya. Terkejut ibunya apabila melihat Siti dengan mudah membaca buku tersebut. Walaupun sebutan bunyi ‘a’ dalam bahasa Inggeris tidak tepat, tetapi setelah dibetulkan Siti dapat membaca ayat-ayat bahasa Inggeris dengan baik. Tersenyum ibunya kepuasan. Teringat dia kepada kawannya yang telah memperkenalkan kaedah fonetik Bacalah Anakku tiga bulan yang lalu…”

Memang begitulah hakikatnya bagi kanak-kanak yang telah diajar membaca menggunakan kaedah fonetik, iaitu membaca dengan menyebut dan menggabungkan bunyi-bunyi huruf, bukan sahaja dapat membaca dalam bahasa Malaysia tetapi juga dapat membaca dalam bahasa Inggeris.

Sebaliknya, kanak-kanak yang diajar membaca berdasarkan kaedah mengeja, terutamanya di sekolah-sekolah, atau berdasarkan kaedah suku kata , biasanya di tadika-tadika, mereka tidak dapat membaca dalam bahasa Inggeris langsung. Walaupun menggunakan huruf-huruf roman yang sama, mereka tidak dapat menggunakan kemahiran membaca dalam bahasa Malaysia untuk membaca dalam bahasa Inggeris hanya kerana kaedah mengeja atau suku kata tidak serasi langsung untuk bahasa Inggeris. Apa yang dapat dilihat di sekolah-sekolah, mereka terpaksa menghafal-hafal perkataan Inggeris dari segi ejaan dan sebutannya. Banyak manalah yang mampu dihafal oleh anak-anak kita apatah lagi untuk mengingat maksudnya pula?

Oleh itu ibu bapa yang bijak, seperti ibu Siti,telah memilih menggunakan Bacalah Anakku dan ReadEasy yang disusun menggunakan kaedah fonetik. Kata pepatah, bijak dahulu bijak sekarang. Hal ini demikian kerana melalui kaedah fonetik yang menekankan penguasaan bunyi-bunyi huruf, kanak-kanak dapat menguasai dua bahasa – iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.

Mengapakah begitu? Mudah sahaja. Terdapat 21 bunyi yang diwakili oleh huruf-huruf tertentu dalam bahasa pertuturan adalah sama dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia! Sebagai contoh, kanak-kanak yang membaca perkataan ‘selipar’ dalam bahasa Malaysia dengan mudah dapat membaca perkataan ‘slip’ dalam bahasa Inggeris kerana bunyi bagi huruf ‘s’ ‘l’ ‘i’ dan ‘p’ adalah sama dalam kedua-dua bahasa.

Jadi tidak hairanlah jika Siti terus dapat membaca buku cepat membaca bahasa Inggeris ReadEasy dengan senang. Ibu bapa hanya perlu memperkenalkan beberapa bunyi asas yang berbeza dalam kedua-dua bahasa seperti ‘a’ ‘c’ ‘u’ ‘o’ dan seumpamanya sahaja. Oleh sebab kaedah membaca perkataan berdasarkan sistem fonetik hanya memerlukan kanak-kanak menggabung-gabungkan bunyi-bunyi huruf pada perkataan yang dibacanya. Justeru itu, kanak-kanak yang dapat menggabung bunyi-bunyi huruf dalam perkataan bahasa Malaysia apabila membaca dengan mudah sahaja dapat membaca perkataan bahasa Inggeris dengan kaedah yang sama.

Dengan itu, ibu bapa haruslah mengambil peluang ini supaya anak-anak kita hanya perlu belajar satu kaedah sahaja untuk belajar membaca tetapi dapat membaca dua bahasa sekaligus, iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris. Elakkanlah daripada menggunakan kaedah mengeja yang telah terbukti lambat dan mengelirukan atau kaedah suku kata yang membebankan memori anak-anak kerana kaedah ini tidak akan dapat membantu anak membaca dalam bahasa Inggeris.

Bagi kanak-kanak yang menggunakan bahasa Malaysia di rumah sebagai bahasa pertama, mengajar membaca dalam bahasa Malaysia mengikut kaedah fonetik haruslah didahulukan. Setelah mereka fasih membaca , ajarlah mereka membaca dalam bahasa Inggeris pula.

Anda akan pasti terpegun dengan memampuan mereka. Bagi kanak-kanak yang berbahasa Inggeris di rumahnya sebagai bahasa pertama, mengajar membaca bahasa Inggeris terlebih dahulu berdasarkan kaedah fonetik mungkin lebih menyenangkan. Tetapi mereka akan membaca dalam bahasa Malaysia dengan mudah nanti.

Oleh itu janganlah dilepaskan peluang ini. Pada usia kanak-kanak 4-5 tahunlah masa yang sesuai untuk diberikan kemahiran membaca. Dapatkanlah Bacalah Anakku dan ReadEasy sebagai dua siri yang paling serasi untuk belajar membaca kedua-dua bahasa.

Sekian ;

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Sumber : http://www.lib.uum.edu.my/bm07/artikel/fonetik.htm

Teknik Didik Anak Membaca

16 Julai 2009 2 comments

Teknik Didik Anak Membaca
Bersama Othman Ahamad Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy
(Rencana dari Ruangan Didik Manja Majalah Anis, April 2003)

“Ibu bapa bukan sahaja perlu bijak memilih buku yang sesuai tetapi juga pandai menggunakan buku untuk merangsang minat membaca kepada anak-anak kecil”

Bolehkah anak berusia 15 bulan membaca? Apa pandangan anda? Mustahil bukan? Tetapi pada usia inilah anak anda perlu dilatih untuk mula mempunyai minat untuk membaca supaya pada usia 3 tahun nanti mereka bersedia untuk membaca. Pada mulanya anak-anak kecil ini lebih berminat dengan warna buku, pergerakan kertas yang diselak, bunyi bising kertas dan suara lucu anda. Bagaimanapun, sambil anda bercakap dan membaca, mereka akan melihat pergerakan jari telunjuk anda dan mula melihat warna, bentuk dan corak gambar dan teks yang dibacakan.

Sedikit demi sedikit bentuk dan corak tersebut menjadi lebih jelas dan biasa dengan mereka. Seterusnya mereka akan mengaitkan bentuk-bentuk tertentu dengan bunyi-bunyi tertentu. Biasanya mereka akan membalik-balikkan muka surat yang dibaca, menunjuk-nunjuk benda yang telah biasa dilihat dan kadang kala mendengar apa yang diceritakan dan mengikut bersama bercerita dengan bahasanya sendiri. Melalui bukulah, kanak-kanak dapat membina bahasa, belajar mendengar, memahami dan bercakap dan menggalakkan komunikasi. Buku juga bukan sahaja dapat meluaskan imaginasi dan pengalaman mereka tetapi juga membantu mereka memahami situasi dan cara orang disekelilingnya berinteraksi.

Oleh itu ibu bapa bukan sahaja perlu bijak memilih buku yang sesuai tetapi juga pandai menggunakan buku untuk merangsang minat membaca kepada anak-anak kecil.

Pada awalnya, pilihlah buku yang mempunyai ilustrasi binatang seperti kucing, ikan, ayam dan sebagainya , objek yang dekat dengannya seperti baju, kasut, sikat, dan sebagainya yang jelas , besar dan berwarna warni.Bercakaplah mengenai benda-benda di dalam buku tersebut seperti warna, bentuk, bunyi berkaitan dan kegunaannya. Namakan benda atau objek yang dilihat dengan sebutan yang jelas. Buku-buku yang interaktif dalam konteks ada bahagian gambar yang boleh ditarik, ditekan, diselak sangat menarik minat kanak-kanak supaya terlibat secara langsung dalam sesi membaca.

Rangsang minat anak anda dengan menggalakkan mereka menarik, menekan, mencungkil dan menyentuh bahagian-bahagian tersebut. Jangan terlalu sayangkan buku sehingga mereka tidak dapat menyentuhnya. Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang akan menjadikan mereka lebih berminat dengan buku dan merangsang otak mereka.

Seterusnya dapatkan buku-buku ‘nursery rhymes’ dengan kisah-kisah lama yang menarik dan penuh dengan hiburan dan pengajaran. Lagu-lagu yang dikaitkan dalam cerita-cerita ini dapat menarik minat mereka kepada buku dan seterusnya kepada cerita-cerita yang berlagu ini.

Beberapa cadangan berikut mungkin dapat membantu anda menarik minat mereka kepada buku. Adakan sesi membaca bersama-sama. Bacakan buku sambil mendakap mereka. Bercerita dengan penuh emosi dan minat. Bunyikan bunyi binatang yang dilihat dengan bersungguh-sungguh dan ‘real’. Libatkan aksi dan pergerakan , contohnya menggerakkan tangan seperti belalai gajah apabila bercerita. Tanyakan soalan-soalan seperti berikut: eh besarnya bola ini. Ani suka bola? Yang mana satu sudu yang Amir suka? Apa yang warna biru tu? Apa jadi selepas ini? Bercerita dengan bahasa yang mudah. Contohnya: ” Ini kucing. Bunyi kucing ‘meow’ ‘meow’ ‘meow’. Kucing suka makan ikan” Untuk sesi membaca atau bercerita bersama, lakukan beberapa cadangan berikut: minta anak anda mencari muka surat pertama atau permulaan cerita. sambil membaca, tunjukkan teks perkataan yang dibacakan.

Ini akan membantu anak itu memahami arah pergerakan apabila membaca dan memahami secara tidak langsung bahawa teks perkataan penting dalam cerita yang dibacakan, bukan hanya gambar-gambar. minta anak anda membalikkan muka surat untuk anda. tokok tambahkan cerita yang dibacakan dengan maklumat lain supaya mereka lebih faham. tanyakan kepada mereka apa yang terjadi selepas ini.

Apabila mereka telah biasa dengan cerita yang dibacakan, minta mereka ceritakan kembali cerita tersebut. Apabila kanak-kanak sudah mula jinak dengan buku-buku cerita atau buku gambar, anak anda mungkin telah bersedia untuk diperkenalkan bunyi-bunyi huruf kepada anak anda. Oleh itu sambil anda membacakan cerita tersebut, terangkan bunyi huruf yang biasa dilihat yang ada pada teks yang dibacakan. Contohnya ‘a’, anda boleh menyebut: ” Ah, cuba lihat ini. Ini bunyinya ‘aaa’ (untuk huruf ‘a’) ” ” Yang ini pula ‘beh’ ( untuk huruf ‘b’ ) “

Pastikan anda tidak memperkenalkan huruf yang dilihat itu dengan namanya, iaitu ‘ei’ bagi huruf ‘a’, atau ‘bi’ bagi huruf ‘b’. Kanak-kanak hanya perlu diperkenalkan dengan bunyi huruf sahaja iaitu ‘aa’ ( untuk ‘a’) dan ‘beh’ ( untuk ‘b’ ) kerana nama-nama huruf tidak ada makna bagi seorang kanak-kanak kecil. Bahkan mengajar nama-nama huruf, bagi seorang penulis buku, Professor Robert K. Logan dalam bukunya, The Alphabet Effect, ‘teaching a,b,c is the first road block to reading.’

Untuk menjadi seorang pembaca yang berdikari dan lancar dalam masa yang cepat, anda haruslah mengajar anak membaca berdasarkan kaedah fonetik.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Sumber : http://www.lib.uum.edu.my/bm07/artikel/teknik.htm

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 112 other followers