Arkib

Posts Tagged ‘KIA’

Mengajar Murid Membina Ayat

2 Julai 2009 7 comments

Salam sejahtera, semoga perjalanan hidup anda pada hari ini dikelilingi tuah dan semoga apa yang anda lakukan, akan diredhai oleh-NYA.

Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah masuk bulan Julai ‘Kelas Pemulihan’ ini diadakan. Semoga anda akan mendapat banyak input berguna sepanjang kelas ini diadakan.

Baiklah. Pada hari ini, topik yang akan dibentangkan adalah ; MENGAJAR MURID MEMBINA AYAT MUDAH.

TIPS MENGAJAR

  • Tunjukkan satu gambar yang murid ketahui.
  • Minta murid namakan gambar tersebut.
  • Rangsang minda murid untuk bercakap mengenai gambar tersebut.
  • Minta murid salin apa yang dicakapkan dalam perbincangan.
  • Contoh soalan rangsangan guru : Gambar apakah yang kamu lihat?
  • Jawapan ramalan murid : Gambar bas.
  • Soalan rangsangan guru : Kamu ke sekolah menaiki bas?
  • Jawapan ramalan murid : Ya.
  • Soalan rangsangan guru : Bagaimana? Boleh kamu beri tahu cikgu?
  • Jawapan ramalan murid : Saya pergi sekolah naik bas.
  • Soalan rangsangan guru : Cuba kamu tulis apa yang kamu cakap tadi.
  • Jawapan ramalan murid : Saya pergi sekolah naik bas
  • Jelaskan kepada murid bahawa tujuan gambar ditunjukkan adalah untuk merangsang minda murid membina dan menulis ayat.
  • Berikan contoh lain dan ulang aktiviti yang sama.

Jangan tegur jika murid lakukan kesalahan semasa membina ayat. Sebaliknya rangsang minda murid supaya mereka dapat mencari idea dengan cepat

Elakkan daripada membenarkan murid pemulihan menggunakan pemadam. sekiranya murid lakukan kesalahan. Biarkan kesalahan itu. Minta murid tulis ayat yang baharu. Kemudian guru perlu bandingkan ayat yang ditulis salah dan ayat yang ditulis dengan betul.

Guru perlu tunjukkan di mana kesalahan dalam ayat itu berlaku dan bandingkannya dengan ayat yang betul..

Kebanyakan murid pemulihan amat lemah dalam aspek membina ayat kerana kemahiran aplikasi mereka masih lemah. Bimbingan berterusan mampu menjelmakan prestasi murid ke arah yang lebih baik.

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : pandangan di atas adalah menurut pengalaman saya sahaja.

Mengajar Murid Membaca Ayat Mudah

30 Jun 2009 2 comments

Salam sejahtera,

Syukur alhamdulillah kerana kita masih dapat menghirup udara yang segar pada hari yang indah ini. Semoga kehidupan kita akan terus dan sentiasa lebih baik pada hari ini berbanding semalam.

Baiklah, setelah sekian lama memberi tumpuan mengajar terhadap murid yang sederhana bijak dalam kelas pemulihan, kali ini saya akan beralih tumpuan terhadap murid yang lemah pula.

Tajuk topik pada hari ini adalah seperti yang tertera ; MENGAJAR MURID MEMBACA AYAT MUDAH.

Pada hari ini, andaikan guru memilih kemahiran KV + KVK sebagai contoh dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari ini.

Oleh yang demikian, sekurang-kurangnya guru perlu ada bahan-bahan yang berikut ;

  • Komputer (desktop / laptop)
  • LCD Projector + Layar Putih
  • Kad ayat (sekurang-kurangnya ada lebih daripada 10 kad ayat) pelbagai variasi.
  • Gambar KV+KVK (sekurang-kurangnya ada 10 keping bersaiz separuh A4) pelbagai jenis.
  • Lembaran kerja 1 – menyalin semula ayat dengan tulisan yang betul dan kemas.
  • Lembaran kerja 2 – memadan ayat dengan gambar / perbuatan yang sesuai.
  • Permainan berunsur pendidikan – 3 jenis mengikut kesesuaian topik guru hendak mengajar.

TIPS MENGAJAR :

  • Tunjukkan gambar di layar putih dan rangsang minda murid mengecam gambar. – CONTOH, gambar pertama adalah gambar KATIL.
  • Rangsang minda murid untuk mengeja dan menyebut perkataan berdasarkan gambar rangsangan.
  • Guru tunjuk satu contoh ayat di layar putih.
  • CONTOH – Katil buruk itu sudah patah.
  • Tarik perhatian murid, guru eja, baca dan sebut – murid ikut.
  • Ulang aktiviti sehingga murid ingat dan faham.
  • Bincangkan maksud ayat tersebut.
  • Guru tunjukkan gambar lain beserta ayat contoh.
  • Ulang aktiviti 4 sehingga murid faham konsep membaca ayat.
  • Edarkan semua kad ayat dan biarkan murid melakukan aktiviti dalam kumpulan. Pantau rapi setiap bacaan murid.
  • Uji bacaan murid selepas 15 minit. Minta murid baca sekurang-kurangnya 2 kad ayat yang disediakan.
  • Betulkan kesalahan bacaan yang dilakukan murid sekiranya ada.
  • Edarkan lembaran kerja 1. Berikan arahan dengan jelas.
  • Pantau aktiviti murid. Bincangkan soalan. Minta murid baca soalan dan berikan jawapan.
  • Edarkan lembaran kerja 2 dan ulang aktiviti yang sama.
  • Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Berikan tempoh 15 minit untuk bermain.
  • Sesi penutup, guru tunjukkan lima baris ayat berbentuk teks di layar putih.
  • Rangsang murid untuk baca bersama-sama.

Jika murid dapat membaca kelima-lima baris ayat berbentuk teks berkenaan, berkmakna objektif pengajaran danpembelajaran pada hari berkenaan telah tercapai.

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : panduan di atas adalah menurut pandangan saya sahaja.

Mengajar Kemahiran Membaca KV+KV+KV

19 Jun 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga anda sihat sentiasa. Semoga hari yang mulia ini akan membawa lebih banyak kelebihan kepada diri kita.

Sudah beberapa hari saya tidak dapat menulis dalam laman ini. Maklum sajalah, saya perlu mengutamakan tugas rasmi.

Sambil itu juga saya sudah semakin menyiapkan 2 ebook untuk kegunaan dalam kelas Pemulihan.

Baiklah, pelajaran hari ini adalah bagaimana hendak mengajar murid kemahiran membaca.

Membaca bukan satu tabiat yang terjadi secara tiba-tiba. Ia hendaklah dipupuk dalam diri dan diamalkan. Untuk mengajar murid Pemulihan membaca, guru mestilah menyediakan secukupnya bahan bantu mengajar mengikut aras kemahiran yang telah dikuasai oleh murid.

Katakan pada pelajaran yang lalu, murid telah menguasai kemahiran KV+KV+KV. Oleh yang demikian, sekurang – kurangnya, guru mesti ada bahan yang berikut :

  • Rangkai kata KV+KV+KV aras sederhana – 10 jenis
  • Teks bacaan KV+KV+KV aras sederhana – 10 jenis
  • Borang penilaian 1 – rekod bacaan rangkai kata KV+KV+KV
  • Borang penilaian 2 – rekod bacaan teks
  • Permainan berunsur pendidikan – Dam Ular

TIPS MENGAJAR ;

  • Edarkan kad rangkai kata kepada setiap murid. Uji pengetahuan murid dengan meminta murid menyebut atau membaca rangkai kata.
  • Minta murid jelaskan isi kandungan rangkai kata.
  • Tanya sama ada murid faham apa yang dibaca.
  • Jika ada murid yang masih mengeja, bimbing segera atau asingkan dalam kumpulan lain.
  • Edarkan pula teks bacaan KV+KV+VK.
  • Beri muridĀ  masa untuk membaca teks bacaan secara mentalis
  • Rangsang murid untuk membaca secara mekanis seorang demi seorang.
  • Betulkan segera kesalahan yang dibaca. Minta murid supaya membaca dengan berhati-hari. Jangan terburu-buru membaca.
  • Beri murid 15 minit untuk ulang baca bahan bacaan yang diedar.
  • Uji semula penguasaan kemahiran murid. Betulkan segera kesalahan jika masih ada.
  • Edarkan permainan DAM ULAR. Semasa bermain, minta murid baca soalan yang terdapat dalam permainan.
  • Dengan menggunakan lembaran kerja 1 dan 2, rekod penguasaan kemahiran murid dengan menguji mereka secara individu.

Dalam kemahiran ini, murid dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk kuasai kemahiran dengan cepat kerana murid sudah ada pengetahuan asas kemahiran KV+KV dan KVK+KV.

Walau bagaimana pun, guru perlu sentiasa memantau perkembangan semasa murid. Murid yang belajar di kelas Pemulihan mudah lupa. Jadi, mereka perlu dingatkan selalu.

Semoga berjaya!

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department

Mengajar Murid Kemahiran KV+KV+KV

15 Jun 2009 30 comments

Salam sejahtera,

Semoga hidup anda pada hari ini lebih indah dan mempersona. Semoga ada sesuatu yang menarik akan berlaku dalam hidup anda pada hari ini.

Tapik hari ini disambung dengan ‘Mengajar Murid Kemahiran KV+KV+KV’. Kemahiran ini tidaklah susah untuk diajar, tetapi sukar untuk dikuasai oleh murid pemulihan bergantung kepada daya taakul mereka.

Bahan bantu mengajar yang sekurang – kurangnya guru perlu ada ;

  • Kad suku kata KV
  • Kad perkataan KV+KV+KV
  • Kad imbasan bergambar KVKVKV
  • Lembaran kerja 1 – menulis suku kata tertinggal
  • Lembaran kerja 2 – padankan gambar dengan suku kata
  • Alatan permainan yang bersesuaian

TIPS MENGAJAR ;

  • Pastikan terlebih dahulu murid benar-benar menguasai kemahiran yang sebelum ini.
  • Sebelum mengajar, imbas kembali pelajaran terdahulu bagi mengelakkan murid keliru atau lupa.
  • Jelaskan mengapa kemahiran ini perlu dikuasai oleh murid selepas mereka menguasai kemahiran sebelum ini.
  • Edarkan kad suku kata KV. Rangsang murid untuk menyebut suku kata KV
  • Guru tunjuk kad imbasan bergambar KV+KV+KV. Contoh, gambar kereta.
  • Rangsang minda murid perkataan boleh terbentuk daripada kesinambungan suku kata KV.
  • Guru tunjuk perkataan KV+KV+KV = KERETA. Guru eja dan murid ikut
  • Berikan contoh lain. Ulang aktiviti sehingga murid faham konsep pembentukan perkataan.
  • Edarkan kad imbasan bergambar dan kad perkataan. Rangsang murid untuk mengeja dan menyebut perkataan. Tukar kad sesama murid apabila mereka telah kuasai perkataan yang diperoleh.
  • Berikan lembaran kerja 1 dan 2. Biarkan murid lakukan aktiviti dengan kumpulan. Jangan bantu murid
  • Bincangkan jawapan. Galakkan murid bercakap dan memberi respon. Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain selama 15 minit dengan permainan berunsur pendidikan yang disediakan.
  • Sesi penutup, minta murid rumuskan pelajaran pada hari ini. Rangsang murid untuk mengeja semula perkataan yang telah dipelajari tanpa merujuk kad perkataan.
  • Rangsang minda murid untuk memberikan contoh lain perkataan KV+KV+KV

Perlu diingat, semasa mengajarkan kemahiran ini, guru tidak sesekali mengabaikan murid lain yang belajar dalam kelas Pemulihan. Pastikan semua murid melakukan aktivti masing-masing secara terkawal.

Tidak semua murid akan menguasai kemahiran pada hari ini. Latih tubu dan pengulangan kemahiran ini perlu lebih kerap kerana proses pembelajaran selepas itu ada aspek pembacaan.

Oleh yang demikian, pastikan murid menguasai kemahiran ini sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 minggu.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Mengajar Murid Kuasai Kemahiran KV+KVK

12 Jun 2009 8 comments

Salam sejahtera..

Semoga keadaan anda pada hari ini lebih baik daripada hari semalam. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda tidak kira siapa dan di mana anda berada, kenal atau tidak, tua atau muda, semoga anda kekalkan ‘mood’ ceria sepanjang masa dan melakukan ibadah kepada yang memerlukan..

Hari ini kita akan kongsi sedikit ilmu bagaimana mengajar murid menguasai kemahiran KV + KVK. Imbas kembali, jika sebelum ini kita telah mengajar murid kuasai kemahiran mengenal abjad, suku kata KV dan KVK. Maka, pelajaran hari ini adalah kesinambungan daripada kemahiran sebelum ini.

Bahan yang sekurang-kurangnya guru mesti ada adalah seperti yang berikut ;

  • kad suku kata KV
  • Kad suku kata KVK
  • Kad imbasan bergambar
  • lembaran kerja 1 – Padan suku kata KV dan KVK bagi membentuk perkataan bermakna. (10 isi latihan)
  • Lembaran kerja 2 – Padankan perkataan KV+KVK dengan gambar yang sesuai. (10 isi latihan)
  • permainan berunsur pendidikan. (Puzzle suku kata KV+KVK , Dam suku kata KVK, Pancing Perkataan dan lain-lain permainan yang bersesuaian)

TIPS MENGAJAR :

  • Tunjukkan kad suku kata KV dan KVK secara berasingan.
  • Rangsang minda murid untuk sebut suku kata.
  • Kemudian, rangsang minda murid untuk cantum suku kata bagi membentuk perkataan bermakna.
  • Guru berikan contoh - KI+PAS = KIPAS
  • Murid lakukan aktiviti ‘4’ secara berulang-ulang.
  • Uji kefahaman murid. Tunjukkan gambar dan minta murid cari kad dan cantum suku kata membentuk perkataan.
  • Uji keupayaan taakul murid – guru sebut dan murid tulis dalam buku latihan
  • Edarkan lembaran kerja 1 dan 2. Beri murid 15 minit untuk siapkan.
  • Bincangkan jawapan secara keseluruhan.
  • Betulkan segera kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain dengan permainan yang disediakan selama 15 minit.
  • Di akhir sesi, rangsang minda murid akan perkataan yang telah mereka pelajari.
  • Rangsang minda murid untuk memberikan contoh lain bagi suku kata KV+KVK.

Kemahiran ini memakan masa dua minggu untuk dikuasai oleh murid pemulihan. Latihan yang berterusan dan pengulangan setiap hari kemahiran ini dapat membantu murid lebih menguasai.

Setelah menguasai kemhiran ini, guru boleh memindah kepada kemahiran membaca rangkai kata KV + KVK dan cantum suku kata KVK + KV menjadi perkataan bermakna. Contohnya, KVK+KV = LAM+PU = LAMPU.

Mengajar Pemulihan memerlukan ketekunan dan kesabaran. Ada kalanya, murid akan ‘buat perangai’ dalam kelas. Tetapi itu adalah sifat seorang kanak-kanak. Jadi, guru tidak perlu terlalu garang dan jangan kerap memarahi murid.

Sekiranya dalam tempoh 2 minggu murid masih tidak kuasai kemahiran ini, guru jangan panik kerana ia bukanlah masalah yang terlalu rumit. Teruskan mengajar dan ulang kemahiran yang sama sehingga murid benar-benar mahir.

Dalam sistem pendidikan Pemulihan Khas, sesuatu kemahiran baru itu akan dipelajari hanya apabila murid didapati telah menguasai kemahiran yang sebelumnya.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • panduan di atas adalah menurut pengalaman dan pandangan saya sahaja.

Mengajar Murid Kemahiran KVK

11 Jun 2009 2 comments

Salam sejahtera..

Alhamdulillah, semoga anda sentiasa sihat dan ceria pada hari ini. Semoga tiada aral yang melintangi jalan hidup anda, yang boleh mengucar-kacirkan perjalanan hidup anda pada hari ini. Amin.

Jika sebelum ini saya telah menyentuh pengajaran dalam kemahiran menguasai suku kata, pada kali ini saya ingin berkongsi cara mengajar murid agar dapat menguasai kemahiran ‘KVK’ dalam tempoh satu minggu.

Sedikit info, setelah mengajar murid menguasai suku kata ‘KV’, guru perlu mengajarkan kemahiran ‘KVK’ pula. ini adalah kesinambungan daripada pengajaran sebelum ini supaya murid akan lebih mudah menguasai kemahiran seterusnya.

Sebelum itu, pastikan murid benar-benar menguasai kemahiran ‘KV’ dari aspek SEBUTAN dan BACAAN teks ‘KV+KV’.

Untuk mengajar kemahiran ‘KVK’, guru mesti ada sekurang-kurangnya bahan bantu mengajar yang berikut :

  • kad perkataan ‘KVK’
  • lembaran kerja 1 – memadan gambar dengan perkataan
  • lembaran kerja 2 – mencari perkataan tersembunyi
  • barang permainan berunsur pendidikan

TIPS MENGAJAR :

  • Pastikan murid telah bersedia
  • Tunjukkan kad perkataan ‘KVK’ – Bas, Pen, Jam, Gam, Vas, Pam dan lain-lain.
  • Guru eja dan sebut, kemudian minta murid ikut.
  • Tunjukkan gambar bagi setiap perkataan yang dieja dan sebut.
  • Ulang aktiviti sehingga murid faham konsep mengeja dan mengingati apa yang dieja.
  • Beri murid masa untuk buat aktiviti menguasai kemahiran ini secara kumpulan dan individu.
  • Soal murid secara rawak. – Tunjuk gambar dan minta murid eja tanpa merujuk pada kad perkataan.
  • Edarkan lembaran kerja 1 – semak jawapan melalui perbincangan.
  • Minta murid eja semula perkataan yang dipadankan
  • Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Edarkan lembaran kerja 2 – semak jawapan melalui perbincangan.
  • Minta murid eja semula perkataan yang telah dijumpai dan digarisi.
  • Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain selama 15 minit dengan permainan yang telah disediakan.
  • Soal jawab di akhir pengajaran – kukuhkan pemahaman murid dengan meminta murid memberikan contoh lainĀ  bagi perkataan ‘KVK’ atau suku kata ‘KVK’.

Latihan ini nampak mudah. Namun, bukan semua murid mempunyai tahap perkembangan mental yang sama. Ada yang dapat menguasai pada hari ini tetapi jika disoal pada esok hari akan lupa.

Itu bukan masalah besar. Oleh yang demikian, guru tidak perlu melatah dan marah. Amalkan konsep pengulangan dan amalan teori konstruktivisme dalam pengajaran dan pembelajaran supaya murid akan lebih berdikari semasa melalui proses menguasai kemahiran ini.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • panduan di atas adalah menurut pengalaman dan pandangan saya sahaja.

Mengajar Murid Menguasai Suku Kata

10 Jun 2009 9 comments

Salam sejahtera.

Semoga anda ceria dan sihat sentiasa, dikurniakan akal fikiran yang waras dan cerdas untuk sama-sama berbuat baik sesama insan.

Setelah murid menguasai abjad, guru perlu mengasingkan kumpulan murid ini dalam kumpulan lain untuk mereka mempelajari kemahiran suku kata.

Dalam bahagian ini, murid mesti belajar menguasai asas suku kata terlebih dahulu iaitu suku kata KV.

Andaikan dalam kelas ada lima orang murid yang akan belajar kemahiran suku kata KV. Guru sekurang-kurangnya mesti ada bahan bantu mengajar yang berikut :

  • kad imbasan suku kata pelbagai bersaiz A4
  • lembaran kerja suku kata bergambar
  • kad imbasan suku kata pelbagai bersaiz 1/4 A4
  • kad imbasan bergambar (tanpa sebarang abjad)
  • kad permainan – puzzle suku kata


Sebelum mengajar :

  • Pastikan murid sudah bersedia.
  • Rangsang minda murid dengan mengimbas kembali abjad yang telah mereka pelajari sebelum ini.
  • Uji penguasaan murid terhadap kemahiran mengenal abjad.

Semasa mengajar :

  • mulakan dengan konsonan ‘b’ + vokal ‘a’ – contoh ‘ba’, ‘ca’, ‘da’, ‘fa’, ‘ga’, ‘ha’ dan seterusnya.
  • guru tunjuk dan sebut – murid ikut.
  • lakukan latihan ini secara berulang.
  • Vokal ‘a’ mudah dikuasai oleh murid. Setelah mahir, tukarkan huruf vokal ‘a’ kepada vokal ‘i’, ‘o’, ‘u’ dan ‘e’.
  • vokal ‘e’ perlu diajar pada akhir sekali kerana ‘e’ mempunyai dua sebutan yang berbeza iaitu ‘e-taling’ dan ‘e-pepet’.
  • Edarkan gambar, kad imbasan suku kata pelbagai dan rangsang minda murid untuk menyesuaikan sebutan dengan gambar. Contohnya, gambar ‘GAJAH’ dipadankan sebutan suku kata awalnya adalah ‘ga’.

Selepas mengajar :

  • buat latih tubi berulang kali sehingga murid mahir
  • uji murid secara rawak
  • edar lembaran kerja untuk uji kefahaman dan penguasaan kemahiran murid
  • beri murid permainan puzzle cantum suku kata.

Perlu diingat, bukan semua murid akan dapat menguasai kemahiran ini pada hari berkenaan. Jika telah mahir sekalipun, kemahiran ini perlu sentiasa diulang-ulang supaya murid tidak mudah lupa akan kemahiran yang telah dipelajari.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • panduan di atas adalah menurut pandangan saya sahaja.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 111 other followers