Arkib

Posts Tagged ‘masalah membaca’

Boleh Membaca, Tapi Tak Faham

12 Januari 2011 8 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana anda terus melayari laman ini. Saya amat menghargainya.

Baiklah, hari ini saya hendak kongsi maklumat dengan anda berkaitan murid pemulihan yang sudah pandai membaca, tetapi tidak faham apakah yang sedang dibaca.

Sebagai guru yang dedikasi dan komitmen tinggi, tentu kita berasa seronok apabila dapat melihat prestasi murid dalam kelas meningkat dan ada yang berjaya, teruatamanya bagi guru Pemulihan yang mendidik anak murid daripada tidak mengenal huruf sehinggalah sudah boleh membaca.

Namun sayangnya, mereka boleh membaca. Tetapi tidak faham akan cerita atau ayat yang dibaca. Kes seperti ini kerap berlaku pada setiap proses bacaan awal murid. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa tips yang berikut mungkin boleh dijadikan panduan :

  • Murid yang baharu keluar dari kelas Pemulihan ke kelas biasa tidak digalakkan diberi latihan yang terlalu tinggi arasnya.
  • Teknik membaca di kelas Pemulihan berbeza dengan murid di kelas biasa. Guru mata pelajaran perlu peka dan tidak menegur kesalahan murid ini.
  • Biarkan murid membaca sebaris ayat itu tidak kira salah atau tidak tepat bacaannya, guru tidak perlu menegur semasa murid sedang membaca. Biarkan murid baca sehingga habis sebaris ayat, kemudian barulah betulkan kesilapan jika ada.
  • Jangan perli murid yang masih membaca secara ‘merangkak’. Beri mereka pujian kerana berani mencuba.
  • Soal murid maksud ayat yang dibaca setiap kali sebaris ayat itu dibaca. Jika murid tidak dapat menjawabnya, guru hendaklah membantu dengan memberi penerangan yang paling ringkas akan maksud ayat supaya mudah difahami murid.
  • Minta murid baca ayat yang lain dan kemudian soal semula murid maksud ayat yang dibaca. Ulangi proses ini berulang kali supaya murid dapat membiasakan diri untuk menterjemah maksud ayat.
  • Jangan biarkan murid membaca ayat yang terlalu panjang kerana itu akan menyesakkan fikirannya. Pastikan murid membaca beberapa ayat yang pendek dan kemudian adakan sesi soal jawab.
  • Sesekali, guru mesti merangsang minda murid bagaimana hendak menterjemah ayat yang dibaca menggunakan ayat sendiri.

 

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu – Part 4

14 Oktober 2009 6 comments

Mengajar Kemahiran Membaca

Definisi Membaca

  • Boleh dimaksudkan sebagai proses tafsiran yang bermakna di atas lambang-lambang bercetak dan bertulis (Harris & Sypay)
  • Proses membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau pun makna yang diketahui melalui pengalaman (pembelajaran) dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya.
  • Bagi Smith& Johnsan (1980) membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca.
  • Goodmen(1973) – menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan.
  • Ini menunjukkan melalui prose situ wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan antara bahasa dan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas.
  • Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.

Punca-Punca Masalah Membaca

  • Ketidak-bolehan mentafsir symbol (huruf/visual) untuk diterjemahkan sebagai ayat atau perkataan secara lisan-(Haidi 2008)
  • Konsep kendiri yang rendah
  • Tidak matang dari segi emosi dan intelek
  • Lemah daya ingatan
  • Gagap
  • Gangguan pengamatan
  • Kurang rangsangan
  • Mudah hilang tumpuan

Kajian dan secara ilmiah : menyatakan punca masalah membaca adalah seperti yang berikut :

  • Kanak-kanak tidak dapat mendiskriminasikan bentuk, kedudukan, nama, sebutan dan turutan abjad dalam sepatah perkataan.
  • Kanak-kanak tidak dapat mengingatkan ciri-ciri dan atribut yang disebutkan di atas tadi untuk 26 abjad dan empat diagraf.
  • Kanak-kanak tidak dapat mengaitkan sebutan tiap-tiap abjad serta diagraf apabila diadunkan menjadi suku kata dalam sepatah perkataan.
  • Pengamatan penglihatan kanak-kanak bercelaru apabila mereka berhadapan dengan halaman kertas yang penuh dengan abjad-abjad yang tersusun rapi kerana :
  • Syarat-syarat yang dikenakan untuk membaca seperti melihat dari kiri ke kanan bercanggah dengan kebiasaan melihat dari kanan ke kiri.
  • Simbol-simbol abjad tidak memberikan gambaran tentang bentuk fizikal yang boleh mereka kaitkan. Contohnya, apabila mereka melihat simbol lukisan ‘kucing’ mereka nampak ciri-ciri fizikalnya seperti matanya, telinga, misai, ekor dan lain-lain lagi yang mereka boleh kaitkan dengan seekor kucing. Sebaliknya, simbol abjad tidak mempunyai sebarang bentuk fizikal yang mereka boleh tanggapi.

Ciri Masalah Bacaan

1. Peringkat mengenal nama-nama huruf yang hampir sama

  • Keliru dengan nama huruf yang sama bentuk. Contohnya, ‘y’ dengan ‘g’
  • Keliru dengan orientasi kedudukan bentuk huruf. Contohnya, ‘b’ dengan ‘d’, ‘m’ dengan ‘w’
  • Keliru dengan huruf yang hampir-hampir sama frekuensi. Contohnya, ‘b’ dengan ‘d’,’p’,’t’
  • Keliru dengan orientasi kedudukan huruf besar yang hampir sama bentuk. Contohnya, ‘W’ dengan ‘M’, ‘Z’ dengan ‘N’
  • Tidak dapat mengadun bunyi-bunyi huruf yang bergabung seperti diftong dan diagraf. Contoh, ‘ai’, ‘au’, ‘ny’, ‘sy’, ‘kh’
  • Menyebut nama-nama huruf mengikut telor bahasa ibunda. Contohnya, ‘o’ disebut ‘wo’, ‘l’ disebut ‘yel’, ‘m’ disebut ‘yem’, ‘r’ disebut ‘yar’, ‘z’ disebut ‘jed’

2. Peringkat mengadun bunyi-bunyi dan membatang suku kata.

  • Kesukaran untuk mengadun dan membatang suku kata :
  • i. terbuka + tertutup. Contoh : bu–ah, un–ta, pin–tu, ar–nab, ting–kap.
  • ii. Tertutup + terbuka. Contoh : ba-suh, i-tik, ting-gi, an-jing
  • Keliru membunyikan suku kata yang melibatkan huruf ‘e-taling’ dan ‘e-pepet’. Contoh, sepak dengan sepak
  • Sukar membatangkan perkataan yang lebih daripada dua suku kata. Contoh : sekolah, berbunga, sempadan, ambulan, bangunan, peristiwa and so on
  • Sukar membatang perkataan yang mengandungi diagraf dan diftong. Contoh, main, buih, surau, balai, nyamuk, singa, syarat, tengah,
  • Sukar membatang perkataan yang bermula dengan imbuhan ‘me’. Contohnya, memakai, menyala, membeli, mengambil

3. Peringkat membaca ayat.

  • Gantian atau mengubah atau menggantikan bunyi suku kata atau perkataan. Contoh, dapat-padat, sekolah-selokah, asrama-asmara, simpan-sampai, seluar-selalu
  • Tertinggal atau meninggalkan.Contoh, ayat sebenar = Ahmad suka makan ayam goreng. Dibaca sebagai Ahmad makan ayam goreng.
  • Pembalikan perkataan. Contoh, suka-saku, besar-beras
  • Berulang-ulang
  • Merangkak-rangkak. Contoh, membaca selepas mengeja dan ketidaksesuaian teks atau bahan
  • Membaca mengikut loghat atau dialek. Contoh, ‘kucing suka makan ikan’ dibaca sebagai ‘kucin suka makang ikang’. ‘Dia lari kerana hujan’ dibaca sebagai ‘dia lali kelana hulan’. ‘Emak dia pergi sembahyang’ dibaca sebagai ‘emak dia pigi sembahyang’

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Program Bakul Ilmu

17 September 2009 2 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan yang terbaik di samping melakukan rutin harian sama ada rasmi atau tidak. Semoga setiap amal yang kita lakukan pada hari ini akan diterima..insyaallah..Terima kasih kerana sudi mengunjungi laman ini.

Kali ini saya ingin sentuh isu masalah membaca dalam kalangan murid sekolah rendah. Isu yang selalu dirungutkan kebanyakan ibu bapa yang prihatin terhadap masa depan anak masing-masing. Juga isu yang kerap dibangkitkan oleh setiap guru pemulihan atau guru-guru aliran perdana yang menghadapi masalah serupa di dalam kelas.

Seperti yang guru-guru sedia maklum, terdapat pelbagai punca yang menjadi tunjang kepada kewujudan masalah membaca dalam kalangan murid-murid. Pelbagai faktor menjadi pendorong kepada isu ini sehingga guru sukar membuat kesimpulan tentang apakah sebenarnya yang berlaku.

Namun, walau apa pun punca, guru tetap terarah kepada tanggungjawab untuk mencari penyelesaiannya. Apa jua alternatif yang ada, diaplikasi sebaiknya ke atas murid. Segala teori dan praktikal dilaksanakan. Pelbagai bahan bantu mengajar dan sumber di sediakan khusus untuk murid-murid ini.

Situasi sama juga berlaku terhadap saya. Salah satu program yang saya telah laksanakan adalah ‘PROGRAM BAKUL ILMU’.

PROGRAM BAKUL ILMU

Matlamat Program

Realisasi daripada program ini diharap akan dapat mengurangkan jumlah murid yang tidak tahu membaca, mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, menambah kosa kata dan mendorong murid menggunakan istilah-istilah bahasa yang mempunyai nilai murni dalam kehidupan seharian berdasarkan bahan bacaan. Selain itu, murid akan dapat menghayati dan memahami isi kandungan bahan bacaan yang dibaca dan mengaplikasi kemahiran berbahasa dalam pelbagai situasi.

Pelaksanaan

Setiap pagi, guru akan dapati murid tiba seawal jam 6.50 pagi. Malah, ada juga murid yang datang ke sekolah lebih awal daripada itu. Pada kebiasannya, selepas murid tiba, mereka akan meletakkan beg di dalam kelas dan mula mengatur strategi untuk membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti bermain sejenis permainan yang akan menyebabkan baju yang bersih menjadi kotor dengan kesan-kesan peluh, debu-debu tanah dan sebagainya.

Justeru, saya mencadangkan supaya pada setiap pagi :

  • Selepas sahaja selesai murid cap jari untuk kehadiran, mereka perlu berada di tapak perhimpunan dalam barisan kelas masing-masing bersama sebarang bahan bacaan. Setiap murid dikehendaki membaca dan memahami sebarang bahan bacaan dalam tempoh 20 minit pada setiap pagi setiap hari bersekolah.

  • Untuk menjadikan program ini lebih menarik, setiap guru kelas dikehendaki menyediakan sebuah bakul bagi menampung sejumlah bahan bacaan untuk setiap murid kelas masing-masing dan disimpan di dalam bilik guru.

  • Guru kelas boleh menetapkan sama ada ketua atau penolong ketua darjah untuk mengambil bakul yang mengandungi bahan bacaan ini daripada guru kelas masing-masing pada setiap pagi. Bahan bacaan ini tadi kemudiannya akan di bawa turun ke tapak perhimpunan untuk dibaca oleh murid kelas yang berkenaan.

  • Guru Bertugas Mingguan(GBM) pula dikehendaki memastikan pelaksanaan aktiviti ini pada setiap pagi. GBM yang menjadi pengacara majlis pada hari berkenaan dikehendaki memilih lima orang murid secara rawak untuk memperdengarkan bahan bacaan mereka secara ringkas kepada semua murid. Tujuan murid ini dipanggil bagi memastikan mereka mengikuti program ini dan menjadi pengukur kepada semua guru terhadap keupayaan murid. Adakah murid mengikuti program yang dilaksanakan oleh guru? Adakah murid benar-benar faham akan bahan bacaan yang dibaca?

  • Bagi merealisasikan program ini, pihak sekolah wajar menjadikan program ini sebagai program  yang wajib di sekolah. Dengan berbekalkan pengalaman selama empat tahun di sekolah ini, saya percaya pihak pentadbir sedia maklum akan sikap segelintir murid sekolah yang akan menjadi ‘dalang’ kepada program yang bakal dilaksanakan ini. Sehubungan dengan itu, saya berharap agar pihak sekolah dapat bertegas dengan program ini dan mungkin akan mengenakan satu bentuk denda yang difikirkan sesuai terhadap murid yang mengingkari pelaksanaan program ini.

Sekian,

belalang

NORHAIDI BI HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Sekiranya anda ada pandangan mengenai program lain di bawah seliaan anda, adalah digalakkan untuk anda berkongsi bersama dalam ruangan ini.
  • Terima kasih

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 112 other followers