Arkib

Posts Tagged ‘masalah murid’

Kerenah ‘Si LINUS’ Di Bulan Puasa

25 Ogos 2010 6 comments

Salam sejahtera,

Semoga hari ini adalah hari yang baik buat diri anda dan juga saya. Semoga anda dikurniakan kesempatan dan peluang yakni rezeki yang melimpah untuk menjadi seorang yang hebat pada hari ini.

Terima kasih kerana anda masih sudi melayari laman ini. Kepada individu yang membeli ebook saya, jutaan terima kasih saya ucapkan. Saya masih menantikan reaksi anda yang telah mengaplikasi ebook berkenaan kepada anak didik. Tidak kira baik atu sebaliknya reaksi anda, harap anda dapat memberi maklum balas kepada saya secepat yang mungkin untuk saya membuat penambahbaikan.

Hari ni saya ingin kongsikan sedikit pengalaman yang mencabar kesabaran saya dalam tempoh hampir dua minggu umat Islam berpuasa. Hal ini tidaklah berat, namun disebabkan ianya terjadi semasa di bulan puasa, kesabaran saya benar-benar teruji.

Ceritanya begini, dalam kelas Numerasi yang saya ajar, terdapat seorang murid yang sangat aktif dan tidak boleh duduk diam. Pada awal tahun, saya hanya menganggap murid ini masih belum benar-benar mengenal alam persekolahan.

Namun, setelah lapan bulan sesi persekolahan berjalan, saya dapati murid berkenaan semakin serius dari segi tingkah laku. Sebelum ini iaitu pada bulan Januari dan May yang lalu, saya telah berjumpa dengan ibu bapa penjaga murid berkenaan supaya segera merujuk anak mereka kepada pakar.

Namun, disebabkan beberapa masalah yang saya tidak ketahui, perkara ini masih tidak dapat diselesaikan. Apabila saya mengajar seperti biasa, murid ini dengan sikapnya yang aktif akan mengganggu rakan lain belajar.

Berulang kali ditegur, murid ini seakan tidak takut dengan guru. Malah, bekas pensel diambilnya dan dibaling ke arah saya. Tidak terkejut dengan gelagat murid berkenaan, saya memujuknya supaya duduk. Tanpa disangka, murid berkenaan lari ke bahagian belakang kelas lalu mencapai sebilah gunting.

Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya segera meluru ke belakang untuk merampas gunting berkenaan. Belum pun sempat saya bergerak, dengan pantas murid tersebut menikam belakang rakan yang sedang menyalin latihan di papan putih.

Saya terpaksa melempar buku ke arah sebelah kiri murid sebagai tanda amaran supaya dia segera berundur. Tanpa rasa bersalah, murid ini memekik dan memaki hamun rakan yang ditikamnya tadi. Saya segera mendapatkan murid yang ditikam tadi.

Mujur hanya luka kecil. Murid tadi pergi ke hadapan kelas pula setelah melihat saya berada di belakang. Kali ini dia memanjat meja guru. Kemudian, melompat dari satu meja ke meja yang lain.

Memang ketika itu, saya sudah hilang sabar. Tapi, apabila difikirkan semula, tiada apa yang boleh saya lakukan untuk mendiamkan murid yang hyper ini. Saya segera mengeluarkan telefon bimbit dan merakam pergerakan aktif murid tersebut.

Barangkali dia tahu dirinya sedang dirakam, murid tadi duduk di mejanya dan berlakon seoalah-olah sedang membuat kerja. Rasa nak marah ada, hendak ketawa pun ada. Dalam hati saya berkata “ish..pandai pulak budak ni berlakon..tau pulak da kena rakam dia duduk diam..”

Saya segera ke hadapan kelas untuk menyambung tugas mengajar dan membimbing murid. Murid ini tadi bangun dan bergerak ke belakang. Bimbang insiden ditikam berulang, saya mengarahkan semua murid bergerak ke hadapan.

Murid ini sekali lagi buat hal. Kali ini semua beg murid lain di bahagian belakang diselongkarnya. Aduh! hari-hari macam ini perangainya memang pening kepala.

Saya segera menutup dan mengunci pintu belakang. Kemudian pintu hadapan kelas juga saya kunci. Kali ini, saya nekad untuk menangkap murid tersebut. Maka, berlakulah adegan kejar mengejar dalam kelas.

Sekejap sahaja, murid tersebut saya tangkap dan bawa ke depan. Saya dudukkan di atas kerusi dan memujuknya supaya bertenang walaupun saya tahu tindakan saya itu tidak membawa kesan.

Murid-murid lain pula mula menyerbu. “Cikgu, macam ni ek??..” Sengaja buat-buat bertanya soalan yang sudah dijawab betul atau salah, ada yang mengadu rakan tak buat kerja (iri hatilah tu) dan sebagainya. Aduh!. Pening.

Saya arahkan semua murid menyiapkan latihan dalam lembaran kerja yang di beri dan duduk di tempat masing-masing semula sambil memberi tahu saya akan ‘melayan’ mereka selepas selesai urusan saya dengan murid hyper tersebut.

Murid aktif ini tadi masih meronta-ronta mahu dilepaskan. Saya letakkan buku latihan dan pensel di atas meja. Saya pegangkan pensel di jari murid ini dan bimbing menulis. Murid ini meronta-ronta dan memaki hamun saya pula.

Rasa marah dalam hati semakin marah. Ikutkan hati hendak saya tampar mulut murid ini. Tapi, kalau ditampar murid yang sakit. Bukan semakin diam, tetapi semakin agresif.

Akhirnya, 30 minit terakhir sesi pembelajaran dihabiskan dengan saya terpaksa bersama murid agresif ini tadi sehinggalah kelas berakhir.

Dalam mesyuarat post mortem saringan ke-2 Numerasi yang lalu, saya ada ajukan masalah ini. Saya dimaklumkan, murid berkenaan sebelum ini tidak pernah ke sekolah atau berjumpa dengan sesiapa.

Murid berkenaan sebelum ini hanya berkurung di rumah sahaja. Apabila masuk ke tahun 1, murid seolah-olah mengalami kejutan kerana dalam sebuah ‘rumah’ (kelas) ada lebih 20 orang murid. Jika di rumahnya pula cuma ada dia dan abangnya sahaja.

Saya sendiri tidak faham kenapa ibu bapa murid ini tidak mahu menghantar anak mereka untuk menjalani pemeriksaan pakar. Bukan tidak mampu, jika tidak mampu sekali pun, masih ada alternatif lain yang boleh saya cadangkan untuk menyelamatkan murid ini.

Namun, semua ini berbalik kepada diri sendiri. Sikap. Masing-masing mengharap saya akan dapat membuat anak murid yang agresif ini bijak dan berjaya dalam pelajaran..Sabar sajalah..

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • maaf jika perkataan ‘si linus’ itu tidak sesuai digunakan dalam laman ini untuk tatapan pembaca.

Panduan Mengesan kelemahan Murid – End

25 Jun 2009 1 komen

Salam sejahtera.

Semoga kesihatan anda bertambah baik, anda kekal sihat, segar dan ceria serta menjadikan hidup anda pada hari ini lebih baik daripada semalam dan penuh dengan amal jariah untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan anda.

Hari ini adalah bahagian akhir di mana saya akan sentuh mengenai tanda-tanda murid alami masalah kesihatan fizikal dan mental. Tanda-tanda berkenaan adalah seperti yang berikut ;

1. Tidak hadir ke sekolah kerana sakit

2. selalu mengantuk / tertidur

3. Sentiasa keletihan

4. Kerap sakit perut

5. Mudah diserang penyakit

6. Duduk dalam keadaan yang tidak selesa

7. Pencapaian semakin merosot.

Sememangnya faktor kesihatan adalah penyebab utama mengapa murid dilihat lemah semasa mengikuti kelas Pemulihan. Ada murid yang tiada ‘mood’ untuk belajar jika keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Saya kerap menerima situasi di mana murid sering tertidur di dalam kelas, menghadapi selsema dan kudis. Situasi di atas bukan sahaja kurang menyenangkan murid itu sendiri, malah akan menyebabkan murid yang lain berasa geli dan tidak selesa.

Guru perlu meminta ibu bapa penjaga murid segera mendapatkan rawatan alternatif jika perlu.

Apabila saya mendapati murid saya tidur di dalam kelas, saya bertanya mengapa dan murid akan mengatakan lewat tidur malam kerana menonton DVD dan pergi ke sekolah ibu tidak menyediakan sarapan.

Dalam kes ini, ibu bapa / penjaga memainkan peranan penting. Elakkan anak jagaan mereka berjaga sehingga jauh malam semata-mata kerana hiburan. Murid perlu tidur jam 9.00 malam.

Ada sesetengah ibu bapa menyediakan sarapan tetapi murid itu sendiri yang tidak mahu sarapan.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • Strategi mengesan masalah pembelajaran murid akan dibincangkan dalam kiriman yang akan datang. Oleh yang demikian, teruskan mengunjungi laman ini.
  • Sebarang perkongsian pendapat atau apa jua pendangan anda amatlah dialu-alukan.

Panduan Mengasan Kelemahan Murid – Part 4

24 Jun 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera.

Syukurlah kerana hari ini mata kita dapat melihat alam yang terbentang luas, kita masih dapat bernafas dan menghirup udara yang segar.

Topik hari ini adalah tanda-tanda murid alami maslah emosi dan sosial. Setiap insan akan mengalami gangguan emosi dan pergaulan sosial. Agak sukar untuk mengenal pasti tanda-tanda ini kerana bukan sepanjang masa guru akan bersama murid.

Ada ketikanya, murid akan menunjukkan perubahan emosi yang jelas dalam kelas sama ada semasa guru mengajar atau ketika tiba di sekolah. Guru perlu peka pada perubahan ini dan wajar mengetahui punca perubahan tersebut.

Dalam kelas Pemulihan, perubahan sosial dan emosi mempengaruhi gaya pembelajaran murid. Murid yang terpinggir akan kerap menyendiri dan tidak mahu didekati sesiapa.

Sebahagian masalah berpunca daripada dalam diri murid yang tidak dapat menerima sesuatu hakikat. Sebagai contoh, murid tidak suka ditegur atau dimarahi. Apabila ditegur atau dimarahi, murid akan berkecil hati dan tidak mahu mengikut arahan.

Perasaan murid terganggu kerana dimarah atas sebab-sebab yang dilakukannya atau pun sebaliknya. Murid yang agresif barangkali akan bertindak di luar jangkaan seseorang guru. Oleh yang demikian, hal ini mesti diberi perhatian.

Tanda-Tanda Masalah Emosi dan Sosial.

  • sering berasa cemas takut dan benci
  • konsep kendiri yang lemah
  • bertindak tidak wajar disebabkan tekanan perasaan
  • cepat marah
  • suka bergaduh
  • kerap berbohong
  • bertindak liar untuk menarik perhatian
  • tindak balas kurang matang
  • berperawakan ganjil
  • membela diri secara tidak menentu
  • menunjukkan perasaan dengki
  • mengkritik secara keterlaluan
  • suka termenung atau berkhayal.

Sekian,
Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Penduan Mengesan Kelemahan Murid – Part 2

16 Jun 2009 21 comments

Salam sejahtera..

Semoga hari ini terus membawa sinar bahagia dalam hidup anda. Semoga apa jua yang anda lakukan pada hari ini, lakukanlah ia dengan hari yang ikhlas dan diredhai oleh-NYA.

Pada 29 May yang lalu, saya ada menyentuh mengenai Ciri-Ciri Murid Lemah. Jadi, hari ini adalah sambungan bahagian kedua di mana saya akan menerangkan mengenai Tanda-Tanda Murid Lemah Penglihatan.

Sebagai seorang guru, saya mengambil berat akan masalah murid dari pelbagai aspek walaupun ada ketikanya saya akan terlepas pandang masalah yang kecil.

Mata adalah satu pemberian yang amat bernilai. Penggunaan mata setiap hari tanpa penjagaan yang betul boleh menyebabkan mata akan ‘sakit’.

Seringkali saya perhatikan di dalam kelas, murid saya yang duduk dihadapan akan mengerutkan dahi setiap kali menyalin latihan di papan hitam. Adakah itu salah satu tanda murid menghadapi masalah lemah penglihatan?

Ikuti panduan berikut :

Tanda-Tanda Murid Lemah Penglihatan ;

  • selalu mengerutkan muka
  • buku dipegang terlalu dekat dengan mata
  • menegangkan kelopak mata atau membuka mata sebesar-besarnya semasa melakukan aktiviti yang melibatkan mata.
  • kepala disengetkan apabila menulis (saraf)
  • menggerakkan kepala secara berlebihan semasa membaca
  • kerap menggosok-gosok mata -kemungkinan kerana berasa gatal dan berair
  • mengecilkan mata untuk melihat atau membaca sesuatu yang berada agak jauh.
  • kerap bertanya guru atau rakan tentang apa yang tertulis di papan hitam

Sekiranya guru mengenal pasti ada masalah di atas terjadi atau ada berlaku perkara yang berkaitan mata dalam kelas, segeralah meminta ibu bapa atau penjaga murid membuat pemeriksaan mata.

Pada tahun 2005, Saya pernah mengesyorkan ibu bapa seorang murid Pemulihan dalam kelas saya supaya membawa anak mereka menjalani pemeriksaan mata kerana saya berasakan murid tersebut mengalami sedikit masalah penglihatan.

Malangnya, saya dimarahi oleh si bapa dan menyatakan anak mereka tidak pandai membaca berpunca daripada saya yang tidak tahu mengajar. Saya bertenang dan tidak terburu-buru.

Si ibu bersetuju membawa anak mereka mendapatkan rawatan di klinik pakar. Hasil imbasan dan ujian mendapati anak mereka rabun.

Si bapa berasa malu dan meminta maaf kepada saya. Dalam kes ini, tidak semua ibu bapa akan percaya pada apa yang dituturkan oleh guru. Oleh itu, segeralah bertindak mengesan masalah anak murid.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Budaya ‘Helah Bela Diri’

4 Jun 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera.

Semoga anda, pembaca sekalian berada dalam keadaan sihat dan ceria. Semoga apa jua perkara baik yang anda lakukan pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam, juga lebih diberkati. Amin.

Isu hari ini..Budaya ‘Helah Bela Diri’. Satu budaya yang sering diamalkan di sekolah khususnya bagi murid-murid sekolah rendah atas tujuan utama untuk ‘menyelamatkan diri’.

Apabila saya hendak mengumpul latihan yang diberi semalam, saya sering menerima alasan berikut daripada murid :

  • terlupa nak bawa..

  • tertinggal..

  • mak tak masukkan buku dalam beg…

  • kawan pinjam..

  • pensel tiada

  • buku hilang

  • dan macam-macam alasan lagi.

Mengapa wujudnya budaya helah bela diri?

Adakah kerana murid takut dikenakan hukuman sekiranya bercakap benar?

Daripada manakah mereka pelajari ‘sistem’ ini?.

Saya bukanlah pakar dalam menentukan teori apa yang bersesuaian bagi merungkai segala masalah di atas. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah budaya seumpama ini adalah permulaan kepada wujudnya ‘sistem’ penipuan.

Mula-mula belajar menipu sikit-sikit. Lama kelamaan semakin berani dan menjadi penipu besar. Daripada menipu secara kecil kecilan ini, boleh terjadinya pergaduhan apabila si polan yang gemar menipu membawa cerita yang ditokok tambah.

Daripada memberi helah supaya tidak dikenakan tindakan disiplin, murid berani menipu, kemudian membawa mulut dan menokok tambah cerita, kemudian memfitnah dan menyebabkan pergaduhan. Akhirnya ke mana?

Hal ini sering terjadi di sekolah. Jika anda adalah guru, anda mungkin memahami apa yang saya nyatakan di sini.

Apakah cara terbaik untuk menghalang budaya ini?

Kata pepatah, mulut tempayan boleh ditutup tapi bukan mulut manusia. Jalan penyelesaian itu mungkin ada dan seronok jika dapat dikongsi bersama.

Sehingga kini, kita mungkin tidak tahu sama ada kita menipu, ditipu, sedang menipu, akan menipu, akan ditipu atau tertipu.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004 – 2008

P/s :

  • Sebenarnya, bukan murid sahaja yang ada budaya ini. Sesiapa sahaja mengalaminya termasuk diri saya. em??

Panduan Mengesan Kelemahan Murid – part 1

29 Mei 2009 3 comments

Salam sejahtera.

Murid lemah boleh ditakrifkan sebagai murid yang gagal menguasai sesuatu kemajuan dalam tahap pencapaian yang ditentukan oleh guru berbanding dengan murid yang lain.

Faktor ini disebabkan oleh perkara-perkara berikut yang mendorong murid itu lemah dan gagal mencapai kemajuan dalam pelajarannya.

CIRI – CIRI MURID LEMAH

1. Aspek Mental

  • lambat menguasai sesuatu kemahiran yang diajar
  • sukar memahami apa yang diujarkan oleh guru

2. Aspek Fizikal

  • mudah lupa
  • lemah pengamatan pendengaran dan penglihatan
  • cepat letih dan selalu mengantuk

3. Aspek Sikap

  • tidak menunjukkan minat terhadap sebarang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung

4. Aspek Sosial

  • suka berkhayal dan bersendirian

 

  • sering mempunyai tanggapan atau persepsi yang negatif

5. Aspek Emosi

  • menghadapi masalah tingkah laku

 

  • pemalu

 

  • cepat berasa bosan

Dengan mengetahui ciri-ciri kelemahan murid, dapatlah guru merancang strategi yang sesuai dengan sasaran sekurang-kurangnya murid dapat memperbaiki prestasi semasa kepada yang lebih baik.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004 – 2008

Minggu Peperiksaan

21 Mei 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera..

Minggu ini telah pun bermula peperiksaan pertengahan tahun 2009. Seperti biasa, mengendalikan kelas-kelas yang terlibat dengan peperiksaan adalah rutin bagi semua guru di setiap jabatan.

Saya ditugaskan membina soalan peperiksaan Bahasa Melayu Tahun 1. Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan baik. Sebenarnya bukan cerita soalan yang saya hendak sentuh. Tetapi saya hendak fokus kepada murid – murid dalam kelas yang saya ajar.

Senario semasa musim peperiksaan atau tidak, bagi mereka sama saja. Saya tidak terkejut dengan sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid kerana saya sendiri sedia maklum akan perangai masing-masing.

Belajar atau tidak, pandai atau tidak, jawab soalan atau tidak, hadir sekolah atau tidak, bagi mereka sama saja. Definisi hadir ke sekolah dalam diri mereka tidak sama dengan apa yang anda fikirkan sekarang. Keinginan belajar mereka pada masa sekarang adalah kurang daripada 30%.

Berdasarkan pemerhatian saya setakat 6 tahun sebagai guru di Sek.Keb Taman Impian Emas ini, inilah antara senario murid-murid yang rata-ratanya berkeadaan sedemikian semasa musim peperiksaan :

  • Alat tulis tidak lengkap, tiada persediaan dari rumah
  • Kerap menoleh ke kiri dan kanan, berbual atau memberi isyarat untuk mendapatkan jawapan daripada rakan.

  • Tidak membaca soalan dengan teliti.

  • Bagi kertas 1, murid yang ‘leceh hendak baca’ akan jawab sambil lewa – bulatkan jawapan.

  • Buat-buat baca soalan ketika guru melakukan rondaan.

  • Ada murid tidak faham soalan tetapi tidak mahu bertanya.

  • Selesa untuk tidur atau bermain dengan alat tulis apabila selesai menjawab soalan.

  • Tidak peka dan tidak mahu melakukan semakan semula kerana menganggap semua jawapan yang dibuat atau ditanda adalah betul.

  • Tidak peka dengan jadual peperiksaan.

  • Tidak membawa bahan untuk ulang kaji ke sekolah.

  • Jika jadual peperiksaan selepas itu adalah subjek Bahasa Inggeris, murid lebih gemar bermain. Apabila ditegur, murid akan mengeluarkan buku Matematik, buku agama atau buku cerita yang tiada kena mengena dengan subjek peperiksaan yang akan menjelang.
  • Ada juga murid yang lebihkan tidur daripada menjawab soalan.

Apabila menanda kertas soalan pula, saya dapati ramai murid yang tidak menjawab kesemua soalan seperti yang diarahkan dalam soalan. Hal ini menunjukkan murid tidak kisah mengalami kegagalan berulang.

Walaupun acap kali diberikan teguran, nampaknya tiada perubahan. Mungkin ada sesuatu yang boleh dilakukan bagi memperbetul semula situasi ini, cuma tidak tahu lagi apakah caranya dan kesesuaian pelaksanaanya kepada murid yang sedemikian.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Mantan Guru Pemulihan,
2004 – 2008

p/s :

  • Semoga semua anak didikku dibuka pintu hatinya untuk belajar. Tiada hadiah yang lebih berharga untuk seseorang guru melainkan melihat anak didik masing-masing berjaya.


Kehebatan Murid Kelas ‘Belakang’

21 Mei 2009 4 comments

Salam sejahtera..

Selalu kita dengar murid kelas belakang adalah murid yang majoritinya bermasalah. Tetapi, tahukah anda walaupun mereka bermasalah, mereka masih boleh dibentuk.

Sebenarnya :

  • Mereka bermasalah kerana lambat matang.
  • Mereka bermasalah kerana tidak mendapat bimbingan yang betul.
  • Mereka bermasalah kerana tidak diberi peluang.
  • Mereka bermasalah kerana tidak mendapat didikan agama yang cukup
  • Mereka bermasalah kerana kurangnya amalan disiplin.
  • Dan mereka bermasalah kerana tidak diingatkan selalu.

Jika dibentuk dengan secukupnya, pasti mereka tidak ‘senakal alam’ seperti yang kita bayangkan.

Tetapi, tahukah anda dengan berkawan rapat dengan murid ini, anda dapat mengekpoitasi segala kekurangan mereka menjadi satu kelebihan?

Eksploitasi di sini bukan bermaksud mempergunakan mereka. TIDAK sama sekali. Ia membawa maksud lebih kepada mencari kekurangan dan membuka1 peluang kepada murid untuk menjadikan ia sebagai kelebihan kendiri.

Sebagai contoh? Kita tidak tahu sebenarnya bukan semua murid kelas ‘belakang’ ini yang suka bersosial dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Ada yang rajin buat kerja sambilan sebenarnya.

Ada yang bantu keluarga petik taugeh, kutip besi buruk, bantu bapa di bengkel kereta dan motorsikal, pandai berenang dan tahu selok belok sungai, boleh melukis dan mewarna dengan baik, pandai berlakon, boleh menyanyi dan banyak lagi potensi mereka yang guru tahu tetapi murid tidak ‘nampak’.

Jika guru dapat cungkil dan ketengahkan kelebihan mereka di dalam kelas, pasti murid tersebut akan sedar kekurangan itulah yang boleh dijadikan kelebihan.

Pernah seorang guru menghantar murid dari kelas ‘belakang’ menyertai pertandingan nyanyian peringkat daerah dan menang!. Ada juga guru yang menghantar murid menyertai pertandingan reka cipta peringkat daerah dan menjadi johan!

Jadi, hendak mencungkil kelebihan murid ini kadang-kala menjadi rumit juga kerana kekangan ibu bapa dan murid itu sendiri yang pemalu dan tidak mahu mencuba.

Jadi, jelaslah bahawa murid kelas ‘belakang’ tidak semuanya yang ‘negatif’. Kenal pasti murid dan rapat dengan mereka akan membuatkan seseorang guru lebih mengenali siapa anak murid mereka.

Menyalahkan mereka setiap kali latihan yang diberi tidak disiapkan adalah tindakan yang kurang tepat. Adalah lebih baik jika guru selidik dahulu apa yang murid lakukan sebelum mengenakan hukuman.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004 – 2008

Senario Murid Kelas ‘Belakang’ – Bahagian Akhir

17 Mei 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera..

Jika bahagian ketiga saya telah menyentuh sedikit isu disiplin. Bahagian terakhir ini saya ingin menyentuh berkenaan masalah akademik yang melanda kebanyakan murid di kelas ‘belakang’.

Umumnya, kita sedia maklum mengapa mereka ditempatkan dikelas yang ‘belakang’. Majoriti murid kelas yang saya ajar adalah dari kalangan keluarga yang sederhana. Tidak ada yang mewah.

Jadi, dari segi keperluan akademik di rumah, saya sedia maklum ibu bapa mereka tidak mampu memenuhi keperluan akademik yang sempurna. Bukan apa, anak mereka ramai. Jadi, jumlah tanggungan juga ramai. Ekonomi perlu diagihkan secukupnya supaya di akhir bulan nanti mereka tidak ‘sesak.

Saya sentiasa memantau anak murid saya di kediaman mereka. Berikut adalah rutin pada hampir setiap hari mereka akan lakukan :

  • Pulang dari sekolah, murid ke sekolah agama.
  • Murid yang tidak bersekolah agama akan bermain dengan rakan di bawah mentari yang terik.
  • Sebelah petang, murid yang sama akan menyertai rakan yang baru pulang dari sekolah agama untuk bermain futsal, kejar-kejar dan sebagainya.
  • Mereka bermain sehingga azan maghrib kedengaran.
  • Sebelah malamnya, mereka akan bermain futsal atau lepak di pondok rehat yang disediakan di kawasan perumahan.
  • Pulang apabila terasa lapar, penat atau dipanggil ibu bapa kerana hari sudah jauh malam.
  • Pagi, pergi sekolah menaiki van, bas atau dihantar penjaga.
  • Sampai di sekolah, berkejar-kejaran dengan rakan.
  • Apabila loceng berbunyi, baru murid sibuk nak siapkan kerja rumah.
  • Murid mula berpeluh apabila guru masuk ke kelas.
  • Apabila ditanya mengapa kerja rumah tidak siap?, murid akan jawab terlupa, tidur awal dan macam-macam alasan lagi. Maklumlah, belajar menipu sebab nak bela diri sendiri. Salah jawab nanti kena rotan.

Begitulah situasinya murid kelas saya. Kerana telah memahami rutin mereka, saya meletakkan beberapa syarat dan perjanjian dalam kelas yang perlu dipatuhi.

Jika sekali mereka melanggar syarat tersebut, mereka akan menerima balasannya.

Alhamdulillah, mereka setuju dan mematuhinya. Sehingga kini, tiada seorang pun murid saya yang tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi. Tiada seorang murid pun yang berani menipu saya. Tidak ada seorang murid pun yang berani membuat kacau atau bising dalam kelas jika saya lewat masuk kelas atau jika tiada guru masuk kelas.

Semuanya kerana adanya peraturan dan disiplin yang ketat. Sesekali jalankan hukuman yang lebih berat sebagai peringatan jika murid tidak menyiapkan latihan yang diberi atau melanggar peraturan sekolah.

Namun, jika dua minggu berturut-turut murid menunjukkan tingkah laku yang baik dan memuaskan, guru berilah ‘sesuatu’ sebagai penghargaan dan galakan agar tingkah laku positif itu dapat diteruskan.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004 – 2008

Senario Murid Kelas ‘Belakang’ – Part 3

12 Mei 2009 3 comments

Salam sejahtera..

Murid kelas belakang sering dikaitkan dengan maslah disiplin dan akademik yang kurang memberangsangkan. Saya juga berpendapat sedemikian pada mulanya.

Tapi, pandangan itu sekelip mata akan berubah setelah kita sendiri masuk dan mengajar kelas berkenaan dalam tempoh paling singkat selama 3 bulan.

Jika seseorang guru amat prihatin dengan anak muridnya, mereka akan rapat dan mesra. Guru akan lebiih mudah mengenali anak murid mereka dari segi personaliti dan cara hidup mereka.

Di sekolah tempat saya mengajar, murid kelas belakang ini datang dari dua buah tempat. Pertama dari kawasan kampung dan kedua dari kawasan taman berhampiran di mana majoriti ibu bapa mereka boleh dikatakan ‘hidup senang’ berbanding ibu bapa murid yang datang dari kawasan kampung.

Mengapa murid ini bermasalah dari segi disiplin?

Jawapan mengikut pandangan saya adalah :

Murid ‘terbiar’ dan tidak diberi perhatian sewajarnya sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Di rumah atau di sekolah, ibu bapa mungkin terlepas pandang isu ini. Ibu bapa kurang tegas dengan anak-anak. Ibu bapa sukar untuk mengawal tingkah laku anak masing-masing di rumah. Apabila anak kerap di marahi ibu bapa, mereka akan jadi lali, sudah tidak takut dipukul atau dimarahi. Ini membuatkan mereka semakin berani meninggikan suara dengan ibu bapa.

Pernah saya lihat seorang anak murid menengking ibunya di depan saya. Kesnya? Ibu murid berkenaan meminta anaknya bersalaman dengan saya. Tetapi murid tersebut tidak mahu, mungkin kerana malu. Apabila didesak, murid tersebut menengking dengan nyaring ibunya sendiri. Anda nak tahu apa jawapan ibu murid itu? “Macam ni la anak saya cikgu. Kalau kat rumah tu dah tak boleh nak kawal lagi. Saya pun tak tau nak buat macam mana..”

Guru tiada ‘kuasa’ membentuk murid berdisiplin lagi. Apabila ditegur atau di marah, murid tidak akan datang ke sekolah. Ada murid yang akan mengadu kepada ibu bapa apabila dikenakan tindakan oleh guru. Apabila ibu bapa sudah mula datang ke sekolah, ‘perang’ akan meletus. Kalau kedua-dua pihak dapat berbincang secara profesional tak mengapa juga. Tapi jika datang terus ‘serang’ guru, siapa yang akan lindungi guru?

Ada ibu bapa yang terlalu manjakan anak masing-masing. Ada yang sanggup duduk di sekolah 24 jam semata-mata untuk mengawasi tindak-tanduk guru agar tidak mengenakan denda atau rotan terhadap anak mereka. Apabila 24 jam mereka berada di sekolah, macam mana anak-anak nak belajar? sekejap nak jenguk luar lihat ‘bodyguard’ mereka ada atau tidak.

Kadang-kadang dapat juga kita lihat di waktu rehat mereka akan hantar makanan ke kantin. Itu tak mengapa. Tapi kalau makan anak sampai nak bersuap…memang tak patut. Sampai bila baru mereka hendak belajar berdikari?

              Dan banyak lagi isu yang tidak dapat dirungkaikan. Anda d luar sana mungkin sependapat atau sebaliknya dengan saya. Berikan pendapat anda.

              Sekian.

              Teacher's Department

              NORHAIDI SARPONEN

              Mantan Guru Pemulihan

              2004 – 2008

              Follow

              Get every new post delivered to your Inbox.

              Join 106 other followers