Arkib

Posts Tagged ‘NKRA’

Masa Belajar BM dan BI Ditambah

22 Mac 2010 4 comments

Salam sejahtera,

Maaf kerana begitu lama saya tidak mengemas kini laman ini. Terabai dan terbiar begitu sahaja kerana kekangan masa. Terlalu sibuk dengan urusan kerja dan hal peribadi.

Terima kasih kerana anda masih sudi melawat laman ini. Saya sedang dalam usaha untuk menambah beberapa bahan bantu mengajar yang difikirkan sesuai untuk mengajar LINUS kelak. Jika guru-guru di luar sana ada bahan yang difikirkan sesuai untuk dikongsikan bersama, sila emailkan bahan tersebut kepada saya untuk dipaparkan dalam laman ini kelak.

Baiklah. Berbalik kepada tajuk yang ingin saya sentuh pada hari ini mengenai mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di mana masa pengajarannya akan ditambah tanpa memanjangkan waktu persekolahan.

Berikut sedikit sedutan daripada akhbar Berita Harian mengenai topik ini.

Kabinet bersetuju masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) ditambah di sekolah rendah dan menengah selaras dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata waktu bagi Bahasa Melayu ditambah daripada 270 minit kepada 330 minit seminggu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT), manakala untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dikekalkan kepada 240 minit seminggu.
Katanya, masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris ditambah daripada 240 minit kepada 330 minit di SK dan Sekolah Menengah manakala di SJKC/SJKT ditambah daripada 60 minit ke 120 minit seminggu. “Namun waktu persekolahan tidak dipanjangkan, tetapi diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar. Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan berkenaan

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN,

Teacher’s Department

Genap Setahun “Teacher’s Department”

15 Mac 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sentiasa dan dapat menjalankan tugas pada hari ini dengan sebaiknya.

Terima kasih kerana anda terus mengunjungi laman ini.

Untuk pengetahuan semua, hari ini 15 Mac 2010, genaplah setahun laman TEACHER’S DEPARTMENT ini beroperasi.

Saya berusaha sebaik mungkin menyampaikan maklumat-maklumat berkaitan pendidikan khususnya pendidikan pemulihan di samping tidak mengabaikan penerapan pendidikan yang lain dalam laman ini.

Sepanjang mengendalikan laman ini juga, saya banyak menerima maklum balas daripada anda sebagai pengunjung. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.

Usia setahun bukanlah satu tempoh yang lama. Malah, saya akan ada banyak info semasa mengenai pendidikan dan bahan-bahan pembelajaran yang hendak dikongsi bersama anda.

Namun, disebabkan terlalu sibuk dengan tugas di sekolah (kerana saya perlu utamakan tanggungjawab sebagai guru), ada banyak email dan soalan yang diajukan dalam laman ini tidak dibalas.

Saya juga sudah tidak dapat mengemas kini laman ini setiap hari seperti tahun 2009 kerana terlalu sibuk.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda yang sudi berkongsi pandangan dan pendapat, berkongsi pengalaman dan pelbagai lagi sama ada idea disalurkan melalui email, ruang sembang YAHOO MESSENGER, Facebook  atau dalam laman ini.

Sepanjang mengendalikan blog ini, saya ada terfikir untuk menjadikannya sebagai sebuah laman web agar dapat diakses dengan lebih mudah oleh pelawat-pelawat setiap hari. Ini kerana jumlah pengunjung ketika entri ini ditulis sudah mencecah 63 559. Namun, saya masih memikirkan adakah relevan sekiranya saya menukar laman ini kepada sebuah laman web.

Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada anda yang terus menerus menyokong blog ini dan sentiasa berkongsi idea dan pandangan yang bernas.

Kepada individu yang soalannya masih belum terjawab, berilah saya peluang dan jika tiada kekangan masa, insyaallah saya pasti akan menjawab setiap persoalan yang diajukan.

Jika ada individu yang terguris sepanjang berurusan secara online bersama saya dalam YAHOO MESSENGER, harap anda maafkan dan tidak kecil hati.

Sekali lagi, selamat hari ulang tahun TEACHER’S DEPARMENT.

Sekian, terima kasih.

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Admin,
Teacher’s Department

Saringan LINUS Selesai..

8 Mac 2010 18 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda semua berada dalam keadaaan sihat sejahtera. Lama juga saya tidak mengemas kini laman ini kerana kekangan masa. Terima kasih kerana masih ramai lagi yang mengunjungi dan memberi sokongan terhadap laman ini.

Alhamdulillah. Saringan LINUS untuk Bahasa dan Matematik bagi lisan dan bertulis selesai dilaksanakan.

Berdasarkan soalan yang diberi, saya amat yakin sekali bahawa akan ramai murid tahun satu yang akan masuk dalam program ini. Berapa jumlah yang sebenarnya, saya pun tidak tahu. Sama-samalah kita nantikannya.

Baiklah, saya menerima banyak reaksi mengenai LINUS ini terutamanya daripada ibu bapa dan guru.

Saya faham akan situasi guru-guru dan ibu bapa yang terlibat dengan LINUS ini. Sebagai contoh, saya membuat analisis soalan LINUS dan saya dapati terdapat banyak kesalahan dalam soalan yang diajukan kepada murid.

Apabila terdapat kesalahan pada soalan, dan tiada makluman pembetulan, maka ramailah murid yang keliru dan gagal menjawab soalan.

Saya pasti ramai guru-guru di luar sana terutamanya yang menghubungi saya berasa kecewa dengan pelaksanaan LINUS ini yang dilihat dilakukan secara tergesa-gesa.

Ramai guru mengadu beban tugas bertambah, masa mengajar tiada kerana sibuk dengan LINUS dan banyak lagi masalah yang diadukan kepada saya.

Kepada guru berkenaan, saya ingin katakan bahawa saya juga melaksanakan tugas seperti anda. Jadi, sebarang masalah yang dirasakan serius, perlulah dirujuk kepada PPD masing-masing.

Saya sedia mendengar keluhan anda, tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa. Harap maklum

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department


Taklimat Ringkas LINUS

16 Februari 2010 30 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera dan melalui setiap hari dengan ceria di samping dapat melaksanakan tugas dengan ceria.

Pertama sekali, terima kasih kerana anda masih terus mengunjungi laman ini. Saya amat menghargai kunjungan anda.

Baiklah. Kita terus pergi kepada topik yang hendak saya bicarakan dalam entri pada kali ini iaitu berkaitan LINUS (LI = Literasi atau bahasa, NUS = Numerasi atau Nombor).

Secara umumnya, dalam dasar NKRA (National Key Result Area / Bidang Keberhasilan Utama Negara), ada enam teras yang utama iaitu :

  1. Mengurangkan kadar jenayah
  2. Membanteras rasuah
  3. Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
  4. Meningkatkan standard keluarga berpendapatan rendah
  5. Meningkatkan infrastruktur di kawasan pedalaman
  6. Menambah baik pengangkutan di kawasan bandar

NKRA dalam bidang pendidikan disenaraikan dalam ‘ranking’ yang ketiga. Salah satu programnya adalah LINUS. Program LINUS adalah salah satu perkara yang dipandang serius oleh Perdana Menteri kerana ramai murid-murid tahun 1 yang masih tidak menguasai asas membaca, menulis dan mengira. Atas dasar itulah satu program (LINUS) telah dibentuk bagi tujuan mengatasi masalah ini.

Program LINUS ini terbahagi kepada dua aspek utama iaitu :

  • LITERASI
  • NUMERASI

LITERASI

  • Bahagian ini memberi penekanan dalam aspek bahasa yang perlu dikuasai oleh murid tahun 1. Keutamaan adalah dalam aspek membaca dan menulis.
  • Objektif pengajaran litarasi ini adalah seperti yang berikut :
  1. Keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan dalam bahasa Malaysia, ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah (dengan menggunakan kata hubung,’dan’) serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian.

NUMERASI

  • Bahagian ini memberi penekanan kepada Matematik yang perlu dikuasai oleh murid tahun 1. Keutamaan adalah dalam aspek mengira.
  • Objektif pengajaran numerasi ini adalah seperti yang berikut :
  1. Keupayaan untuk melakukan operasi asas Matematik dan memahami idea Matematik serta mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran Matematik dalam kehidupan harian.

Pelaksanaan LINUS di sekolah :

  • Program LINUS ini wajib dilaksanakan ke atas semua sekolah SK, SJK(T), dan SJK(C)
  • Terdapat 3 peringkat saringan:
  1. Saringan  (di tahun 1) ada 3 peringkat saringan.
  2. Saringan  (di tahun 2)
  3. Saringan  (di tahun 3)
  • Dikendalikan oleh guru Bahasa Melayu, Matematik dan Guru Pemulihan
  • Instrument dibina dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris, Bahasa Cina-Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil-Bahasa Inggeris.
  • Semua murid tahun 1 yang dikenal pasti tiada masalah pembelajaran akan menduduki saringan pertama LINUS untuk menilai tahap penguasaan kemahiran mereka pada awal tahun setiap tahun.

Pada tahun ini, ada 3 saringan yang perlu dilalui oleh murid tahun 1 yang akan bermula pada bulan MAC, JUN dan SEPTEMBER. Sekiranya murid gagal melepasi saringan 1, mereka akan ditempatkan di kelas LINUS. Kemudian, murid ini akan diuji lagi pada bulan Jun dan September dalam saringan berikutnya.

Murid tahun 1 yang melepasi Saringan 1 akan di masukkan ke kelas perdana. dan tidak perlu lagi menduduki ujian saringan.  Walau bagaimana pun, apabila mereka sudah naik ke tahun 2, sekali lagi semua murid ini akan menjalani ujian saringan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Kursus Literasi dan Numerasi (LINUS)

10 Februari 2010 3 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa sihat untuk menjalankan tugas harian di samping keluarga tersayang. Semoga hari ini adalah lebih baik daripada semalam, dan bersama-samalah kita menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Terima kasih kerana anda masih terus mengunjungi laman ini.

Untuk makluman semua, laman ini akan ‘terhenti’ sekali lagi daripada dikemas kini kerana saya akan mengikuti  satu KURSUS LITERASI DAN NUMERASI (LINUS) untuk guru Matematik tahun 1 seperti ketetapan berikut :

  • Tarikh    : 10 hingga 12 Februari 2010
  • Tempat  : Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang, Selangor.

Saya berharap agar dapat memperoleh banyak maklumat semasa berkursus kelak. Jika banyak maklumat saya peroleh, maka dapatlah saya berkongsi bersama anda yang tidak dapat menyertai kursus penting seperti ini.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Murid Pemulihan : Ada Harapan Pulih 100%

8 Januari 2010 3 comments

Salam sejahtera,

Tatkala membaca akhbar Berita Harian hari ini, gembira rasanya apabila Timbalan Perdana Menteri mengatakan bahawa mulai tahun ini, semua murid Tahun Satu akan menjalani ujian khusus selepas dua bulan memulakan persekolahan bagi menguji tahap penguasaan dalam menulis, membaca dan mengira (3M) selaras dengan pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (Linus).

Menerusi ujian itu, murid yang dikenal pasti lembap dalam pembelajaran akan dimasukkan ke kelas pemulihan, manakala yang mengalami kecacatan fizikal seperti masalah telinga atau mata ditempatkan di kelas pendidikan khas di sekolah sama.

//

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu adalah antara empat inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memperkukuhkan tahap literasi murid sekolah rendah daripada 87 peratus tahun lalu kepada 90 peratus tahun ini.

Tiga lagi sasaran awal empat sub NKRA ialah meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi dan merangka insentif berbentuk kewangan serta bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata program Linus akan disokong dengan penempatan guru terbaik untuk mengajar murid Tahun Satu, selain menambah guru pemulihan pada nisbah satu guru bagi 15 murid berbanding satu guru untuk satu sekolah sekarang.

Jadi, beban yang terpikul berat dibahu Guru Pemulihan sedia ada sekarang pasti akan berkurangan. Sudah tentu mereka akan lega dan gembira dengan beban kerja yang tidak seberat dahulu.program Linus akan dilaksanakan dengan bantuan Kementerian Kesihatan bagi menguji tahap penglihatan dan pendengaran murid ketika mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah. Secara tidak langsung akan memudahkan kerja guru pemulihan dalam aspek ini.

Program ini bagaimanapun tidak membabitkan penambahan waktu persekolahan kerana murid berkenaan dipindahkan ke kelas pemulihan atau pendidikan khas dan menjalani pembelajaran seperti rakan lain pada waktu sekolah.

Justeru, kepada guru-guru pemulihan semua, pastikan selepas mendapat ‘pembantu’ kelak, tiada lagi alasan murid tidak boleh kuasai kemahiran 3M. Sama-samalah kita tunjukkan prestasi kerja yang baik kepada semua kerana guru pemulihan adalah guru pakar dalam pembentukkan minda murid yang ketinggalan dalam pelajaran.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 106 other followers