Arkib

Posts Tagged ‘pemulihan khas’

Gagal LINUS Tapi Cemerlang UJIAN BULANAN

18 Ogos 2010 3 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berbahagia di samping dapat melaksanakan ibadah puasa dan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana sudi melayari laman ini.

Semalam saya terbaca satu komen mengenai kekecewaan seorang pelawat laman ini kerana anaknya telah dimasukkan ke kelas LINUS walaupun sebenarnya anak beliau bijak.

Rentetan itu, saya ingin kongsikan sebuah kisah mengenai anak didik saya yang juga dalam kategori yang sama iaitu LINUS bagi subjek Matematik dan Bahasa Melayu.

Sedari awal tahun, saya dapati kebanyakan anak murid tidak menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dengan baik. Hasil kolaborasi guru dan ibu bapa, anak murid saya kini sudah ‘berpindah kelas’.

Ada yang dari kelas TEGAR ke kelas LINUS, dan dari kelas LINUS ke kelas PERDANA. Boleh dikatakan sejak akhir-akhir ini murid menunjukkan perkembangan mendadak dalam kedua-dua subjek ini.

Majoriti murid dalam kelas Matematik saya sudah menguasai kemahiran asas menambah dan menolak dalam lingkungan 18 berbanding awal tahun, hendak menambah pun tidak tahu.

Majoriti murid dalam kelas Bahasa Melayu saya pula sudah menguasai kemahiran membaca ayat dari lavel ‘kv+kv’ sehingga ‘kvk+kvkk’ berbanding pada awal tahun mereka merangkak-rangkak membaca.

Namun, usaha ini bukan hasilnya daripada saya seorang. Saya percaya, sebahagian besar murid juga berusaha untuk bangkit daripada ketinggalan dalam pelajaran, dorongan ibu bapa serta ‘imbuhan’ yang bakal diperolehi jika mereka berjaya meningkatkan prestasi akademik masing-masing.

Kemusykilan

Untuk makluman, saringan 2 LINUS telah pun selesai. Ramai dalam kalangan murid saya yang tidak dapat menguasai beberapa soalan dalam konstruk yang diuji. Alamatnya, ramailah yang masuk ke kelas LINUS kerana untuk ke kelas PERDANA, murid perlu menguasai kesemua konstruk yang diuji.

Berbanding dengan UJIAN BULANAN, majoriti murid saya mendapat markah 70% hingga 96%.

Persoalannya, mengapa mereka masuk ke kelas LINUS sedangkan UJIAN BULANAN mereka ada yang mendapat markah setinggi 96%?

Kesimpulan yang saya dapati ialah,

  • Dalam saringan LINUS, ada beberapa konstruk yang akan diuji. Jika murid melakukan kesilapan semasa memberi dan menulis jawapan dalam mana-mana konstruk, murid akan dikira sebagai tidak menguasai konstruk itu.
  • Oleh yang demikian, secara automatik murid tidak akan layak ke kelas PERDANA kerana untuk ke kelas berkenaan, murid mestilah menguasai kesemua konstruk yang diuji.
  • Berbeza dengan UJIAN BULANAN, jika murid betul menjawab soalan pertama tetapi gagal menjawab soalan kedua, murid tetap mendapat markah.
  • Jika murid menjawab dengan betul 28 daripada 40 soalan, secara automatik murid akan mendapat 70 markah perseratus (70%).
  • Jika murid menjawab dengan betul 42 daripada 60 soalan, secara automatik murid akan mendapat 70 markah perseratus (70%)
  • Dalam kertas Bahasa Melayu (penulisan), ada murid LITERASI kelas saya yang berjaya menjawab dengan betul 57 soalan daripada 60 soalan yang diuji. Kerana itu, markah murid berkenaan menjadi 95 perseratus (95%) dan mendapat A.

Saringan LINUS tidak memandang markah sebagai potensi untuk melonjakkan murid berada di kelas PERDANA atau sebaliknya kerana saringan LINUS adalah untuk memastikan murid sama ada menguasai kemahiran asas dalam setiap konstuk yang diuji atau sebaliknya.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Eja Betul, Tapi Salah Sebut

3 Ogos 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda dalam keadaan sihat dan ceria sentiasa. Terima kasih kerana anda terus mengunjungi laman ini.

Baiklah. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai masalah pengamatan yang dialami oleh murid terutamanya dalam bidang bahasa.

Hari ini seorang guru datang berjumpa dengan saya dan bertanya bagaimana hendak memperbetulkan cara sebutan murid kerana kebanyakan murid sudah boleh mengeja. Murid pula mengeja betul, tetapi mereka menyebut pula salah.

Contoh 1 :

ejaan perkataan : ‘masjid’

murid eja              : ‘mas’ + ‘jid’

murid sebut         : ‘mesjid’

Contoh 2 :

ejaan perkataan : ‘loceng’

murid eja              : ‘lo’ + ‘ceng’

murid sebut         : ‘lonceng’

Dalam kes ‘Eja betul, tapi salah sebut’ ini ada beberapa faktor yang perlu diambil perhatian kerana perkara-perkara berikut :

  • Sesetengah murid masih tidak faham akan konsep mengeja yang diterapkan oleh guru.
  • Ada murid mengeja tanpa melihat bahan bantu mengajar yang diberi. Murid mengeja kerana terikut-ikut dengan sebutan rakan-rakan. Jadi, rakan silap eja dan sebut, murid berkenaan juga akan melakukan kesilapan.
  • Sesetengah murid yang lambat perkembangannya tidak dapat menguasai kemahiran mengeja dengan pantas. Jadi, murid akan kerap melakukan kesilapan. Jangan bimbang, guru perlu bimbing  murid ini eja dan sebut secara berulang-ulang.
  • Sesetengah murid pula hanya tahu bunyi dua abjad sahaja. Contohnya, suku kata ‘KA’. Jika guru menambah suku kata dibelakangnya seperti, ‘CANG’. Murid tetap akan mengeja suku kata kedua ini sebagai ‘CA’ tetapi dibunyikan sebagai ‘CANG’.
  • Ada murid yang yang lemah pengamatannya. Justeru, murid akan alami kesukaran untuk memindahkan cara pandang dan baca suku kata dalam satu perkataan antara suku kata pertama kepada suku kata kedua.

Justeru, diharapkan selepas ini, guru akan dapat mengatasi kekurangan ini. Tidak kira apa kaedah yang guru gunakan sekalipun, asalkan murid ini berjaya mencapai objektif pengajaran, saya kagum dengan usaha yang dilakukan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Deparment

Murid Buta Huruf Naik Kelas

5 November 2009 1 komen

IBU BAPA mana yang tidak risau jika anak mereka asyik mendapat nombor corot dan semakin tahun dia diturunkan kelas. Adakah kerana dia gagal bersaing, malas atau sebenarnya mempunyai masalah lebih serius sehingga

pemulihan

Noor Saifah Ahmad (kanan) memantau peningkatan pembelajaran Mohd. Anuar dan Nur Kamalia di akademi i-Sina.

menghalangnya mengikuti pelajaran pada kadar normal seperti murid-murid lain?

Dua tahun lalu, Nor Marziani Nazri diletakkan di kelas pemulihan dan sering menduduki tempat terakhir setiap kali peperiksaan akhir tahun.

Hari ini, murid Tahun 6 Sekolah Rendah Setapak Indah mampu tersenyum gembira sambil memberitahu dia mendapat nombor dua dalam peperiksaan kepada bapanya, Nazri Desa, 44, dalam bahasa isyarat kerana pekak dan bisu.

Marziani juga naik kelas ketiga dalam tempoh dua tahun setelah kemahiran membacanya meningkat membuatkan setiap mata pelajaran menjadi lebih jelas dan mudah difahami.

“Dulu saya cuma suka Matematik, sekarang saya paling suka Bahasa Melayu, Sains dan Bahasa Inggeris,” katanya yang yakin dengan sasaran mendapat semua A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Begitu juga dengan Noor Saifah Ahmad, 41, ibu kepada Nur Kamalia, 10, dan Mohd. Anuar, 9, yang sedih apabila anak-anaknya itu ditempatkan di ‘kelas harapan’ (pemulihan) kerana hanya mampu mengenal suku kata mudah.

“Masa mereka tadika memang tak dapat kesan sebab tahu ABC tapi bila naik Tahun 2 pelajaran semakin merosot, bila suruh baca di papan tanda atau tulisan di surat khabar masing-masing garu kepala,” kata ibu kepada lima orang anak ini.

Pun begitu, seperti Che Israfahmikinawati Ani, 32, mereka mendapat bantuan Global Peace Mission Malaysia (GPM) yang menganjurkan Program Literasi Kanak-Kanak JomBaca khas untuk anak-anak miskin yang buta huruf.

Kata ibu kepada Tunku Putra Isamudin Shah, 12, dan Izudin Shah, 8 ini, program yang menggunakan kaedah pembelajaran i-Sina itu berjaya mengubah keputusan anak-anaknya dari E kepada C dan B.

“Yang penting ibu bapa kena beri dorongan kepada anak-anak. Apa sahaja yang boleh kita lakukan, korban masa, bawa mereka pergi perpustakaan, tambah bahan bacaan dalam rumah sebagai latihan membaca,” ujarnya.

Menurut Pengarah Program 2M i-Sina, Rahmalizah Ali, dalam usaha mengatasi masalah buta huruf bukan sahaja di kalangan kanak-kanak luar bandar malah di dalam bandar, ibu bapa perlu menilai tahap kemampuan sebenar anak-anak mereka.

“Jangan terlalu mudah anggap anak-anak boleh membaca kerana sebenarnya mereka belum mampu menguasai kemahiran membaca dengan sempurna,” katanya.

Sebagai tambahan kepada program pemulihan yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah, Program JomBaca! menilai tahap kemahiran membaca murid-murid Tahun 1 hingga 6 .

Ia terbuka kepada murid-murid dari golongan miskin, anak yatim piatu, ibu tunggal dan ibu bapa orang kurang upaya (OKU) yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M).

Terdapat beberapa tahap atau kategori kelemahan penguasaan 2M iaitu:

1) Kenal huruf tetapi belum boleh membaca.

Ramai kanak-kanak kecil kenal huruf A hingga Z, sama ada melalui cara menghafal huruf tersebut (biasanya melalui nyanyian) atau mengenal bunyi huruf-huruf tersebut.

Namun, mengenal huruf tidak bermakna mereka boleh membaca. Malah, ribuan murid di sekolah-sekolah mampu mengenal nama-nama huruf namun mereka masih tidak mampu membaca dengan baik.

2) Hanya boleh membaca perkataan dengan dua suku kata.

Sistem pembelajaran membaca di negara ini kebanyakannya berdasarkan binaan dan gabungan bunyi suku kata serta bermula dengan perkataan dua suku kata terlebih dahulu.

Malangnya kategori murid yang hanya mampu membaca dua suku kata merupakan majoriti di kalangan kanak-kanak yang maju ke peringkat pembelajaran seterusnya di sekolah.

Mereka mampu membaca perkataan-perkataan dua suku kata ini dengan lancar dan yakin tetapi hanya terbatas serta belum menguasai kemahiran membaca dengan sempurna.

3) Kelihatan seakan-akan boleh membaca.

Kanak-kanak tertarik kepada gambar berwarna-warni yang menghiasi buku. Ini penting untuk menarik minat tetapi pada peringkat awal, buku seumpama itu mengakibatkan segelintir murid menghafal cerita tersebut.

Lama-kelamaan anak itu seolah-olah boleh membaca dengan lancar sebaliknya ia hanya menghafal ayat. Ibu bapa sukar mengesan tabiat ini dan boleh mengakibatkan murid itu tidak mampu membaca perkataan yang ditulis pada kertas lain.

4) Membaca dengan mengeja terlalu lambat.

Adakalanya kanak-kanak terlalu bergantung kepada kaedah membaca sambil mengeja dalam kepala.

Cara ini mengakibatkan pembacaan yang terlalu lambat dan jika keadaan ini berterusan dia akan merasai bebanan pembelajaran apabila Tahun 3 ke atas.

Ada di antara kanak-kanak ini mengambil masa beberapa minit untuk membaca satu ayat pendek tetapi rakan sebayanya habis membaca satu perenggan!

Tabiat mengeja harus dibuang kerana boleh mendatangkan masalah lain seperti sukar membaca perkataan dalam Bahasa Inggeris.

5) Membaca dengan laju tetapi salah.

Apabila disuruh membaca, ramai kanak-kanak yang belum boleh membaca dengan sempurna mengambil jalan mudah dan meneka perkataan yang dicuba dibaca.

Perkataan seperti ‘selekoh’ dibaca sebagai sekolah, ‘belalang’ sebagai belang dan sebagainya. Ada di kalangan murid sebegini yang mampu membaca dengan betul apabila perlahan tetapi menjadi gopoh bila disuruh membaca laju.

Tabiat ‘meneka’ perkataan mesti dibuang kerana menyebabkan kanak-kanak itu tidak faham apa yang dibacanya.

6) Tidak boleh membaca perkataan yang sukar seperti ‘eksklusif’, ‘infrastruktur”atau ‘penyelesaian’.

Ini adalah perkara biasa di kalangan murid yang belum mampu membaca dengan sempurna. Oleh kerana mereka membaca secara mengeja dan memecahkan perkataan kepada suku kata mudah, maka perkataan yang panjang dan sukar dieja adalah sukar untuk dibaca.

Masalah ini menyumbang kepada faktor mengapa murid-murid di Malaysia hadapi masalah membaca perkataan panjang dalam Bahasa Inggeris.

Perkataan dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dibaca mengikut suku kata mahupun dengan mengeja, kerana huruf yang digunakan dalam perkataan tersebut lazimnya tidak konsisten.

7) Tidak boleh membaca perkataan yang tidak dikenali.

Kanak-kanak lebih gemar menghafal apabila diperkenalkan dengan perkataan awal (whole words) menggunakan flash card atau buku cerita.

Rahmalizah berkata, Ada kanak-kanak pintar yang dapat mengklasifikasikan penggunaan bunyi huruf-huruf dengan efisien lantas boleh membaca.

Namun terdapat segelintir yang terus terjerumus dalam dunia hafalan. Ini mengakibatkan kanak-kanak itu kelihatan seperti boleh membaca tetapi sebenarnya hanya mampu menyebut perkataan mudah yang dihafal sahaja.

Ini menyebabkan katanya, ibu bapa hanya menyedari anak mereka gagal menguasai pembacaan dengan betul selepas menjangkau usia 9 tahun.

Masalah berkenaan menyebabkan kanak-kanak yang tergolong dalam kelompok itu menjadi murung dan tidak bersemangat untuk belajar apabila melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar.

Akhir tahun lalu, program pemulihan 2M intensif dilaksanakan selama 32 hari membabitkan lebih 80 murid di Kompleks Anjung Rahmat, Jalan Gombak. Daripada jumlah itu, 76 menamatkan program dengan 74 daripadanya berjaya dipulihkan dan 42 murid tamat program dengan cemerlang.

Tahun ini, GPM memperluaskan bantuan pendidikan itu ke Wangsa Maju, Setapak, Sentul dan Sungai Pusu di Gombak Utara termasuk anak-anak Orang Asli di kawasan berkenaan.

Bilangan peserta yang dijangka meningkat lima kali ganda berbanding sesi sebelumnya memerlukan sokongan dan sumbangan semua pihak sama ada individu, syarikat awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Baru-baru ini, Tabung JomBaca! Program Literasi Kanak-kanak dilancarkan oleh Penasihatnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim di Petaling Jaya bagi memperkenalkan program itu dan mengumpul dana untuk melaksanakannya tersebut akhir tahunini.

Tabung JomBaca! akan digunakan untuk menampung kos kem membaca sempena cuti sekolah di bawah program JomBaca 2009 bermula 21 November sehingga 3 Januari 2010.

Setiap murid memerlukan RM750 untuk mengikuti program selama 32 hari itu termasuk yuran pengajian, makan minum, pengangkutan, perkakas (buku, alat tulis, kertas kerja) dan menerima sumbangan kelengkapan sekolah sebagai persediaan sesi persekolahan tahun 2010.

“Kali ini kami jangka kira-kira 500 murid menyertai program ini dengan lebih 300 permohonan dari ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghadapi masalah membaca,” katanya lagi.

Maklumat mengenai program JomBaca! 2009 boleh hubungi Akademi i-Sina, di talian 03-61883230 layari laman web http://www.gpm.com.my atau Global Peace Mission, No 2-2A Jalan GJ 2 Batu 5 1/2 Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur.

Penulis : Diyana Rose kamalluddeen

Sumber : www.utusan.com.my

Bahasa Inggeris Dalam Program Pemulihan

28 September 2009 6 comments

Oleh :

Puan Rubiah binti Ramli

Peserta KSPK pemulihan (IPBMM,KL 2008)

Program pemulihan telah disediakan untuk membantu murid mengatasi masalah kelemahan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Tanpa bantuan, mereka akan gagal membina keyakinan diri untuk belajar dan mencari pengalaman yang menggembirakan di sekolah dan mereka juga mungkin tercicir dari sistem persekolahan lebih awal lagi. Melalui program pemuliham keperluan murid yang mempunyai masalah pembelajaran dikenalpasti dan pihak sekolah memastikan mereka mendapat bantuan pemulihan untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Program pemulihan yang sedia ada memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran bahasa melayu. Program intervensi yang dilancarkan hanya membantu murid-murid pemulihan menguasai kemahiran membaca dan menulis di dalam bahasa melayu sahaja. Murid yang mempunyai masalah pembelajaran biasanya lemah dalam bahasa melayu mahupun bahasa Inggeris.

Penguasaan Bahasa Melayu yang baik membantu murid-murid pemulihan ini mengikuti matapelajaran yang lain dengan tetapi tidak bagi matapelajaran matematik dan sains Murid-murid pemulihan perlu juga didedahkan kepada Bahasa Inggeris . Ini adalah kerana sistem fonologi Bahasa Inggeris adalah jauh berbeza dengan bahasa melayu. Sebutan abjad bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah berbeza.

Di samping itu, sistem ejaan di dalam perkataan bahasa Inggeris tidak boleh dibatangkan. Sekiranya tiada pendedahan kepada bahasa Inggeris kebarangkalian, murid-murid pemulihan membunyikan perkataan Bahasa Inggeris mengikut ejaan Bahasa Melayu adalah tinggi.

Justeru, murid -murid yang masih belum menguasai Bahasa Inggeris pada tahap yang sepatutnya atau jauh ketinggalan dari rakan sebaya perlu mengikuti kelas pemulihan Bahasa Inggeris. Persoalannya adakah murid-murid ini sedang mengikuti program pemulihan Bahasa Inggeris yang selari dengan Program Pemulihan yang sedang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Memang diketahui umum, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid juga kurang memberangsangkan terutamanya murid-murid di luar bandar atau pinggir bandar. Namun demikian, tiada inisiatif yang bersifat kebangsaan untuk menangani masalah ini.

Penguasaan bahasa Inggeris yang kurang memuaskan ini telah menjejaskan pelaksanaan ETeMS sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Rata-rata orang ramai berpendapat penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan kemerosotan pretasi murid-murid dalam matapelajaran matematik dan sains.

Sewajarnya, murid-murid yang mengikuti program pemulihan yang sedia ada juga perlu ‘dipulihkan’ dari aspek penguasaan bahasa inggeris mereka bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Seterusnya dapat mengikuti matapelajaran Matematik dan Sains dengan baik. Malang sekali tiada kelas pemulihan Bahasa Inggeris yang dilaksanakan secara terancang dan intensif seperti kelas pemulihan bahasa Melayu.

Senario yang ada kini ialah murid-murid pemulihan sekolah rendah akan ‘di bawa keluar’ dari kelas semasa mata pelajaran bahasa Melayu bagi mengikuti ‘kelas pemulihan’ dan mereka akan mengikuti mata pelajaran yang lain seperti biasa mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan.

Murid-murid ini akan mengikuti matapelajaran bahasa Inggeris, Matematik dan Sains seperti biasa meski pun mereka perlu ‘dipulih’ dari aspek penguasaan bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka akan jauh ketinggalan atau tercicir berbanding rakan-rakan yang lain. Masalah ini berlarutan hingga ke peringkat sekolah menengah di mana mereka sudah menguasai kemahiran bahasa Melayu dengan baik tetapi penguasaan bahasa Inggeris mereka sangat mengecewakan kerana tiada intervensi awal di peringkat sekolah rendah.

Program pemulihan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah perlu juga diberi keutamaan dan sewajarnya diintegrasi dalam program yang sedia ada bagi membantu murid meningkat potensi mereka untuk belajar dan mendapat manfaat dari sistem pendidikan.

Malang sekali masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sering dibincangkan tapi tiada mekanisma yang padu serta mantap bagi menangani masalah ini. Sudah tiba masanya kelas pemulihan bahasa Inggeris diwujudkan bagi memastikan kelestarian agenda pendidikan yang bertaraf dunia berlangsung seperti yang dihasratkan.

Sekian,

belalang

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Puan Rubiah adalah salah seorang peserta KSPK Pemulihan Khas. Kami menuntut dalam kelas yang sama pada 2008.

Pengurusan Tingkah Laku – Part 2

31 Julai 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Betapa indahnya hari ini kerana kita masih dapat bernafas dan menghirup udara segar. Bumi masih berputar menjalankan ‘tugas’nya. Begitu juga kita. Semiga apa yang kita lalui pada hari ini, anggaplah ia sebagai pelajaran paling berguna.

Kali ini saya akan sentuh mengenai kategori tingkah laku bermasalah  secara umum dalam tajuk utama Pengurusan Tingkah Laku. Berikut adalah nota kuliah yang sempat saya salin semasa mengikuti Sijil Kursus Perguruan Khas (KSPK) satu tahun di Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur pada tahun 2008.

******************************************************************

KATEGORI TINGKAH LAKU BERMASALAH

1)     KEBIMBANGAN

  • Fobia : terlalu bimbangkan sesuatu perkara
  • Panik : kejadiaan seseorang tiba2 bimbang tanpa apa2 sebab

2)     SOMATOFOM

  • Orang yang tiada masalah tetapi berasakan ada masalah
  • Terbahagi kepada 2 iaitu ‘hipokondisis’ dan convernasion

3)     MOOD

  • Berasa sedih apabila berlaku perkara-perkara yang kita suka, rasa gembira bila berlaku perkara-perkara yang kita suka.
  • Mood ialah fenomena yang dikatakan seseorang individu tidak dapat mengawal perasaan mereka
  • Terdapat beberapa perlakuan yang timbul kerana tidak dapat mengawal mood. Antaranya ;
  1. Tertekan : bila tertekan akan rasa bosan, kesunyian dan keseorangan
  2. Rasa diri tidak berharga atau berguna : percaya diri tidak menyumbang, tidak pandai, selalu sakit dan suka menyalahkan diri apabila berlaku sesuatu.
  3. Kurang motivasi : tidak seronok melakukan aktiviti harian
  4. Gangguan selera makan dan tidur : tidak ada selera makan walaupun lapar dan tidak dapat tidur atau pun tidur tidak lena
  5. Rencat psikomotor : mengalami masalah dalam menyelaraskan pergerakan, seperti selalu jatuh apabila berjalan dan sering melakukan kesalahan apabila menulis.
  6. Fikiran bercelaru : tidak dapat menyampaikan idea dengan lancar, ada masalah dalam memberi tumpuan dan mengingat

4)     TEKANAN PERASAAN DAN MEMBUNUH DIRI

  • Akibat rasa bersalah yang keterlaluan, kadang2 tidak disedari oleh individu itu dan boleh menyebabkan perasaannya tertekan

5)     SEKSUAL

  • Tingkah laku seksual yang bermasalah ini biasanya berlaku di kalangan remaja sama ada lelaki atau perempuan
  • Banyak perlakuan gangguan seksual.
  • Fatishisme : keseronokan seksual daripada alat lain selain daripada kelamin jantina yang berlainan jenis.
  • Transvetisme (pondan): keseronokan seksual diperolehi daripada cara berpakaian seperti orang yang berlainan jantina.
  • Transeksualisme : kekeliruan kejantinaan yang menyebabkan dia adalah berjantina lain.
  • Exhibitionisme : mendapat keseronokan daripada menonton alat jantina daripada berlainan jantina
  • Voyeurisme : keseronokan seksual diperoleh daripada memerhati / menonton aktiviti seksual orang lain secara tersembunyi
  • Pedofilia : mendapat keseronokan seksual kerana bersentuhan dengan kanak-kanak
  • Sadisme : keseronokan seksual diperoleh daripaa aktiviti liar seksual yang kadang-kala menyebabkan kecederaan teruk paa pasangan.
  • Mesokisme : keseronokan seksual diperoleh setelah dicederakan oleh pasangannya.

6)     PENYALAHGUNAAN DADAH DAN PIL KHAYAL

  • Semua pihak termasuk para pendidik mestilah melibatkan diri secara aktif bagi mengatasi murid / pelajar dari terlibat dengan dadah
  • Mengikut kajian, seseorang itu dikatakan penagih atau bergantung secara aktif kepada dadah sekiranya individu tersebut menunjukkan sekurangnya tiga perlakuan seperti berikut :
  1. Terlalu terlibat dengan dadah
  2. Penggunaan dadah yang berlebihan walaupun adalah tidak disengajakan
  3. Menunjukkan tanda fizikal seperti menggigil, bimbang, gelisah
  4. Terpaksa mengambil dadah sebelum bekerja atau belajar dan jika tidak dilakukan, dia akan resah dan gelisah
  5. Berusaha untuk tidak mengambil dadah tetapi tidak berjaya mengawal kehendak diri kepada dadah

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

“Cikgu, bantulah saya..”

23 Julai 2009 1 komen

Salam sejahtera.

Semoga kehidupan anda pada hari ini, lebih baik daripada hari semalam. Semoga dikekalkan kesihatan diri dan bersama-samalah kita mencerminkan diri. Moga-moga tiada kekurangan yang dilakukan ada hari ini sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain. Insyaallah.

Pagi ini, beberapa orang guru datang berjumpa dengan saya berhubung dengan masalah salah seorang anak murid mereka yang belajar di tahun satu.

Banyak masalah murid berkenaan yang saya dengari dari mulut guru. Kasihan. Ada guru yang tertekan dengan masalah ‘semulajadi’ berkenaan. Seperti biasa, saya cuma seorang guru biasa dan bukanlah pakar dalam hal-hal yang dibangkitkan. Saya cuma boleh bagi pendapat dan tidak semestinya pendapat saya itu betul.

Murid tahun satu yang dimaksudkan oleh guru berkenaan sememangnya dalam pemerhatian saya sejak awal tahun. Masalah murid adalah ‘terlalu aktif’. Akibat terlalu aktif, murid ini dilihat seringkali mengganggu tumpuan murid lain yang sedang belajar.

Guru sukar mengawal murid ini kerana murid kerap kali keluar kelas dan berkeliaran di sekitar kawasan sekolah sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Beberapa orang guru meminta pandangan peribadi. Saya cuma boleh katakan, murid yang dimaksudkan kemungkinan besar ‘hiperaktif’.. Sebagai langkah permulaan untuk mengesahkan masalah murid, guru digalakkan melakukan perkara berikut ;

  • Berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa / penjaga murid.
  • Catat setiap isi perbincangan dalam pertemuan terbabit.
  • Jika guru masih tidak yakin dengan rekod temubual yang dijalankan, berikan surat Pemeriksaan Kesihatan kepada ibu bapa/penjaga murid.
  • Ibu bapa perlu membuat tindakan susulan untuk mengesahkan status kesihatan dan masalah murid.
  • Dapatkan surat laporan daripada doktor yang melakukan pemeriksaaan dan analisa maklumat tersebut.
  • Jika doktor menyatakan murid ‘hiperaktif’, murung, down sindrom, disleksia, slow learner dan sebagainya lagi, jumpa segera Guru Pendidikan Khas sekolah dan berbincang berhubung laporan doktor.
  • Jika dipersetujui, Guru Pendidikan Khas akan menghantar surat persetujuan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka belajar di kelas Pendidikan Khas.

Dalam apa jua bidang. Kita sentiasa berdepan dengan masalah. Sebagai manusia, kita mempunyai akal untuk mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang masalah yang timbul.

Semoga niat guru terbabit dapat diterjemahkan oleh ibu bapa/penjaga murid berkenaan supaya kedua-dua pihak mendapat keuntungan bersama.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Kaedah Pengajaran Pemulihan

22 Julai 2009 9 comments

Salam sejahtera..

Bersyukur kerana pada hari ini kita masih dapat menikmati kesegaran udara di kediaman mahu pun di tempat kerja. Ketika topik ini di tulis, sedang berlaku kejadiaan atas kehendak-NYA iaitu GERHANA MATAHARI SEPARA.

Baiklah, kembali kepada tajuk asal pada hari ini. Untuk pengajaran pemulihan yang berkesan, beberapa kaedah boleh digunakan.

Antaranya adalah :

  1. Kaedah Kumpulan
  2. Kaedah Individu
  3. Kaedah Pengajaran Rakan Sebaya.

KAEDAH KUMPULAN

  • Kaedah ini bererti murid belajar dan membuat kerja dalam kumpulan. Kebiasaannya, kumpulan ini diwujudkan berdasarkan kebolehan atau pun perbezaan minat.
  • Dalam kelas saya sememangnya mudah mengajar secara kumpulan berbanding individu kerana murid mempunyai daerah kelemahan yang sama. Oleh yang demikian, bahan yang hendak dihasilkan juga mudah.
  • Dengan adanya kaedah ini akan dapat membantu kelancaran komunikasi sesama murid, saling bekerjasama dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi dan berkongsi idea.

KAEDAH INDIVIDU

  • Kaedah ini menekankan tumpuan guru hanya kepada seorang murid sahaja. Kebiasaannya, murid dalam kategori ini lebih mudah diurus kerana guru tidak mengalami gangguan ‘banyak mulut’ daripada murid semasa mengajar.
  • Guru akan lebih mudah fokus kepada objektif pembelajaran murid dan murid berasakan mendapat lebih perhatian daripada guru.

KAEDAH RAKAN SEBAYA

  • Apabila mengajar dalam kelas yang mempunyai tiga kelompok murid pemulihan dalam kuantiti yang banyak, saya akan menggunakan kaedah ini.
  • Kebiasannya, murid-murid yang dilihat matang dan lebih cerdik daripada rakan yang lain akan dibimbing dan dilatih untuk membantu melicinkan pengajaran dan pembelajaran saya pada hari berkenaan.

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 111 other followers