Arkib

Posts Tagged ‘pendidikan Khas’

Gagal LINUS Tapi Cemerlang UJIAN BULANAN

18 Ogos 2010 3 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berbahagia di samping dapat melaksanakan ibadah puasa dan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana sudi melayari laman ini.

Semalam saya terbaca satu komen mengenai kekecewaan seorang pelawat laman ini kerana anaknya telah dimasukkan ke kelas LINUS walaupun sebenarnya anak beliau bijak.

Rentetan itu, saya ingin kongsikan sebuah kisah mengenai anak didik saya yang juga dalam kategori yang sama iaitu LINUS bagi subjek Matematik dan Bahasa Melayu.

Sedari awal tahun, saya dapati kebanyakan anak murid tidak menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dengan baik. Hasil kolaborasi guru dan ibu bapa, anak murid saya kini sudah ‘berpindah kelas’.

Ada yang dari kelas TEGAR ke kelas LINUS, dan dari kelas LINUS ke kelas PERDANA. Boleh dikatakan sejak akhir-akhir ini murid menunjukkan perkembangan mendadak dalam kedua-dua subjek ini.

Majoriti murid dalam kelas Matematik saya sudah menguasai kemahiran asas menambah dan menolak dalam lingkungan 18 berbanding awal tahun, hendak menambah pun tidak tahu.

Majoriti murid dalam kelas Bahasa Melayu saya pula sudah menguasai kemahiran membaca ayat dari lavel ‘kv+kv’ sehingga ‘kvk+kvkk’ berbanding pada awal tahun mereka merangkak-rangkak membaca.

Namun, usaha ini bukan hasilnya daripada saya seorang. Saya percaya, sebahagian besar murid juga berusaha untuk bangkit daripada ketinggalan dalam pelajaran, dorongan ibu bapa serta ‘imbuhan’ yang bakal diperolehi jika mereka berjaya meningkatkan prestasi akademik masing-masing.

Kemusykilan

Untuk makluman, saringan 2 LINUS telah pun selesai. Ramai dalam kalangan murid saya yang tidak dapat menguasai beberapa soalan dalam konstruk yang diuji. Alamatnya, ramailah yang masuk ke kelas LINUS kerana untuk ke kelas PERDANA, murid perlu menguasai kesemua konstruk yang diuji.

Berbanding dengan UJIAN BULANAN, majoriti murid saya mendapat markah 70% hingga 96%.

Persoalannya, mengapa mereka masuk ke kelas LINUS sedangkan UJIAN BULANAN mereka ada yang mendapat markah setinggi 96%?

Kesimpulan yang saya dapati ialah,

  • Dalam saringan LINUS, ada beberapa konstruk yang akan diuji. Jika murid melakukan kesilapan semasa memberi dan menulis jawapan dalam mana-mana konstruk, murid akan dikira sebagai tidak menguasai konstruk itu.
  • Oleh yang demikian, secara automatik murid tidak akan layak ke kelas PERDANA kerana untuk ke kelas berkenaan, murid mestilah menguasai kesemua konstruk yang diuji.
  • Berbeza dengan UJIAN BULANAN, jika murid betul menjawab soalan pertama tetapi gagal menjawab soalan kedua, murid tetap mendapat markah.
  • Jika murid menjawab dengan betul 28 daripada 40 soalan, secara automatik murid akan mendapat 70 markah perseratus (70%).
  • Jika murid menjawab dengan betul 42 daripada 60 soalan, secara automatik murid akan mendapat 70 markah perseratus (70%)
  • Dalam kertas Bahasa Melayu (penulisan), ada murid LITERASI kelas saya yang berjaya menjawab dengan betul 57 soalan daripada 60 soalan yang diuji. Kerana itu, markah murid berkenaan menjadi 95 perseratus (95%) dan mendapat A.

Saringan LINUS tidak memandang markah sebagai potensi untuk melonjakkan murid berada di kelas PERDANA atau sebaliknya kerana saringan LINUS adalah untuk memastikan murid sama ada menguasai kemahiran asas dalam setiap konstuk yang diuji atau sebaliknya.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Masalah Pembelajaran : Autisme

18 Jun 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda sihat sejahtera dan sentiasa ceria di samping dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap tugas harian pada hari ini dengan sebaik-baiknya. Terima kasih atas kesudian anda melawat laman ini. Saya amat menghargainya.

Hari ini hari Jumaat, 18 Jun 2010. Sekejap sahaja masa berlalu. Diam tak diam, sudah pertengahan tahun rupanya.

Baiklah. Hari ini, saya ingin sentuh sedikit perkara berkaitan Pendidikan Khas ekoran begitu banyak email yang saya terima minta saya jelaskan serba sedikit tentang kanak kanak Autisme.

Pada 2008, saya telah mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) satu tahun di IPBMM, KL. Kebetulan pada masa itu saya mengikuti kursus masalah pembelajaran. Jadi, dapatlah saya kongsi sedikit maklumat ini.

Autisme adalah satu ‘penyakit’ yang kompleks di mana penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti apakah punca sebenar ianya berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, mengahidap penyakit seperti Congenital Rubella, penyakit baka phenylketouria, sindrom fragile-x, tuberos sclerosis , mengalami kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan menghidap penyakit encephalitis (lembam otak) dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisme.

Kes-kes autisme yang dikesan dan dikenal pasti pula mempunyai perbezaan dari aspek perkembangan dan tingkah laku. Ianya ada kaitan dengan faktor baka, pengalaman dan keadaan alam sekitar yang mempengaruhi perkembangan seseorang anak yang autistik dan cara mereka membentuk personaliti.

Tetapi, hampir semua kanak-kanak autisme menunjukkan ciri-ciri seperti yang berikut :

  • Masalah komunikasi, kanak-kanak ini tidak menunjukkan perkembangan bahasa seperti kanak-kanak lain. Tahap kefahaman bahasanya rendah tahap penggunaan bahasanya terbantut.

  • Suka bersendirian, kanak-kanak ini seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri dan didapati sukar untuk menjalin kemesraan dengan orang lain termasuklah tidak suka dibelai, dipeluk dan dicium.
  • Tingkah laku aneh, biasanya mereka bermain berjam-jam lamanya dengan sesuatu barang yang diminati dan akan menjadi baran jika barang tersebut hilang, dialihkan atau diambil. Kanak-kanak ini akan bermain seorang diri, tidak bercakap atau menumpukan perhatian dalam kelas dan kerap keluar kelas pada bila-bila masa.
  • Tingkah laku pelik, kebanyakannya menunjukkan tingkah laku seperti suka menjengkit kaki apabila berjalan, bermain suiz lampu, menepuk-nepuk tangan dan sebagainya.

Sumber : Nota kuliah KSPK 2008

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Deparment

p/s :

  • Jika ada komen atau pertambahan atau pembetulan maklumat adalah dialukan.

Murid Terlebih Aktif Menyukarkan Guru..

4 Mei 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa ceria menempuhi situasi pada hari ini. Semoga tuah yang baik menyebelahi anda tidak kira di mana dan siapa anda, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Terima kasih kerana sudi mengunjungi laman ini.

Topik yang hendak saya bangkitkan pada kali ini berhubung murid hiperaktif yang saya percaya dalam kelas aliran perdana, murid ini sering menimbulkan masalah kerana ‘sikap’ tidak senang duduknya serta sering mengganggu rakan lain hendak belajar.

Itulah dilema yang saya sedang hadapi dalam kelas tahun 1 yang saya ajar ketika ini. Setiap hari saya akan masuk ke kelas murid ini. Setiap kali itulah murid ini akan menimbulkan masalah. Kadang-kadang kerana tidak mahu belajar, murid ini akan mengganggu rakan lain dalam kelas, kemudian keluar kelas sesuka hati.

Murid tidak mahu buat kerja.Malah mengganggu rakan lain dalam kelas. Perbuatannya amat menyakitkan hati, tetapi sebagai guru yang amat memahami situasi murid mengharapkan akan ada tindakan susulan oleh ibu bapa atau penjaga murid

Apabila murid ini keluar kelas, sudah menjadi tanggungjawab guru menjaga keselamatan murid. Saya kena mencari murid ini pula. Bimbang sesuatu akan berlaku kepadanya.

Apabila saya keluar kelas, murid – murid lain pula akan terabai. Bising, bergaduh dan berlari dalam kelas.

Pening juga memikirkan hal ini. Saya pernah berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa penjaga murid ini berhubung masalah yang di hadapi oleh anak mereka.

Ibu murid ini mengakui anak mereka ada masalah sebelum ini dan telah dirujuk kepada doktor.

Justeru, saya mohon supaya ibu bapa murid ini menyerahkan satu salinan laporan pemeriksaan doktor terhadap murid ini untuk tindakan susulan oleh pihak sekolah.

Namun, sehingga ke hari ini si ibu bapa / penjaga murid masih tidak menyerahkan laporan seperti yang diminta. Saya tidak tahu apa lagi hendak dilakukan. Kami sudah berbincang cara baik. Namun setiap kali berjumpa dan laporan perubatan saya bangkitkan, si ibu bapa / penjaga memberikan alasan yang sama iaitu “Doktor belum siapkan laporan lagi..”

Pelik juga saya terima jawapan oleh penjaga ini. Tapi tak megapalah. Mungkin si ibu sedar anaknya seperti itu dan tidak kisah dengan apa yang berlaku. Sebenarnya saya ingin ‘menyelamatkan’ anaknya daripada terus menjadi sedemikian. Namun, oleh kerana sudah masuk bulan ke-5, saya masih tidak menerima sebarang laporan perubatan, maka tiada apa-apa yang saya boleh lakukan.

Inilah antara sikap ibu bapa yang saya tidak gemari. Hanya mahu anak menjadi bijak pandai. Tetapi tidak mahu memberi kerjasama yang baik. Jika anak timbulkan masalah di sekolah, gurulah yang menjadi sasaran serangan ibu bapa. Mereka tidak salahkan anak mereka walaupun mereka tahu anak mereka bermasalah. ‘Inilah sandiwara dunia..’

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Masalah Pembelajaran : Celebral Palsy

14 Februari 2010 6 comments

Celebral Palsy atau ‘spastik’ bermaksud ketidak upayaan menggunakan sebahagian daripada angota tubuh disebabkan kecederaan pada otak. Cerebral bermaksud ‘otak’ manakala Palsy bermaksud ‘kurang daya kawalan tubuh’.

Terdapat banyak kesimpulan yang boleh dijadikan petunjuk mengapa boleh terjadinya kerencatan otak. Lazimnya Cerebral Palsy boleh dikaitkan dengan faktor sebelum, semasa dan selepas proses melahirkan anak.

Faktor sebelum kelahiran merujuk kepada ibu yang dikhuatiri menghidap pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kurang darah dan sebagainya akan turut menyebabkan kecacatan kepada bayi seperti kecacatan mental, pekak, bisu atau buta.

Faktor semasa kelahiran pula merujuk kepada beberapa keadaan seperti :

  • Deprivisi Oksigen
  • Kelahiran Secara Songsang
  • Kaedah kelahiran yang digunakan. Contohnya, kaedah ‘forsep’
  • Bayi Pra-Matang
  • Kurang Berat Badan

Faktor selepas kelahiran merujuk kepada beberapa keadaan seperti serangan virus semasa proses kehamilan yang dijangkiti daripada ibu, kekurangan oksigen, sistem dalaman bayi yang masih tidak dapat dikawal dengan baik, jangkitan kuman diselaput otak dan kecederaan otak disebabkan oleh kemalangan, penderaan atau penganiayaan fizikal

Antara berikut merupakan ciri-ciri khusus kanak-kanak yang mengalami Cerebral Palsy :

  • Tidak dapat mencapai objek yang ditunjukkan
  • Tidak berupaya mengangkat badan
  • Tidak berupaya memegang objek
  • Tidak berupaya mengurus diri

Sekian,

NORHAIDI SARPONEN
Teacher’s Department

Sumber :

  • Kerja kursus KSPK 2008 bagi tajuk PENYEDIAAN LAPORAN KANAK_KANAK MASALAH PEMBELAJARAN

Murid Pemulihan vs Murid Pendidikan Khas

4 Februari 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sentiasa dan ceria di samping dapat melakukan tugas harian dengan sempurna. Saya pula baru keluar hospital dan masih dalam keadaan yang kurang cergas berikutan demam denggi. Memang tidak seronok rupanya apabila terpaksa baring di katil pesakit selama seminggu. Sakit badan akibat terlalu lama baring. Urat di tangan juga sudah mulai membengkak akibat kesan cucukan jarum tatkala juru rawat berusaha memasukkan air dalam badan sejumlah 13 botol kesemuanya.

Saya sememangnya masih tidak sembuh sepenuhnya. Namun, kerana bimbangkan anak murid di kelas belakang yang sentiasa ketinggalan, saya gagahkan diri melawan penyakit agar segera sembuh. Hari ini, saya ke sekolah dalam keadaan masih lemah dan ‘mamai’.

Berbalik kepada topik asal yang ingin saya sampaikan pada kali ini. Semasa berada di wad hospital, saya telah berbual-bual dengan beberapa orang penjaga yang menceritakan masalah pelajaran anak masing-masing.

Situasi 1 :

Seorang penjaga mengeluh yang anaknya sehingga darjah 5 masih tidak tahu membaca atau menulis. Kata si ibu, anaknya akan pandai sekiranya diajar. Tetapi, kerana kedegilannya dan tiada siapa yang mahu mengajar, anak tersebut terbiar hinggalah ke darjah lima. Si ibu lebih bimbang kerana pada tahun hadapan, si anak akan menduduki peperiksaan UPSR.

Situasi 2 :

Puan Aminah (bukan nama sebenar) mengeluh kerana sejak lahir anaknya tidak pernah menangis. Semasa anaknya berusia enam bulan, bayi itu telah terkena jangkitan iaitu demam panas dan lewat dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Akibatnya, anak itu tidak boleh bertutur dengan baik walaupun usianya kini telah mencecah 9 tahun.

Kerana bimbangkan masa depan anaknya, Puan Aminah menghantar anak itu ke hospital pakar. Beberapa ujian yang dijalankan mengesahkan IQ kanak-kanak itu berada di bawah 70. Doktor mengesahkan kanak-kanak itu sebagai ‘slow learner’.

Salah satu ujian yang dijalankan ke atas anak Puan Aminah : -

  • Doktor memberikan anak tersebut sebatang pensel.
  • Doktor menyoal anak tersebut apakah benda yang sedang dipegangnya.
  • Anak tersebut menjawab “ini pensel..”
  • Doktor tanya kembali soalan lain yang berbunyi “tahukah kamu apakah kegunaan pensel?..”
  • Anak itu menjawab “tak tahu..”
  • Doktor tunjukkan sekeping gambar komputer kepada anak itu.
  • Doktor tanya “gambar apakah ini?..”
  • Anak itu menjawab “komputer..”
  • Doktor tanya lagi soalan lain yang berbunyi “tahukah kamu apakah fungsi komputer?..”
  • Anak itu jawab “tak tahu..”
  • Doktor tunjukkan seutas jam tangan untuk murid sentuh.
  • Doktor tanya anak itu “apakah ini?..”
  • Anak itu menjawab “jam..”
  • Doktor tanya lagi “apakah kegunaan jam?..”
  • Anak itu menjawab “tak tahu..”

Kedua-dua situasi di atas menunjukkan perbezaan ciri antara seseorang murid pemulihan dan kanak-kanak khas (istimewa). Murid pemulihan adalah murid yang normal, cuma mengalami kegagalan dalam akademik akibat faktor-faktor persekitaran dan dalaman murid.

Berbanding dengan murid pendidikan khas, mereka di pecahkan kepada tiga kategori yang utama iaitu :

  1. Pekak Bisu
  2. Masalah pembelajaran
  3. Buta

Ada juga beberapa kategori lain murid pendidikan khas yang tidak dinyatakan di atas. Kesimpulannya, walau apa jua masalah murid, guru perlu segera mengenal pasti punca dan cara ‘rawatannya’. Ada sesetengah murid dilihat ‘normal’, tetapi setelah menjalani pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkannya sebagai ‘hiperaktif’ atau ‘slow learner’. Laporan kesihatan daripada doktor amat perlu bagi mengelakkan murid ‘salah tempat’ untuk menerima pelajaran yang sewajarnya.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Bahasa Inggeris Dalam Program Pemulihan

28 September 2009 5 comments

Oleh :

Puan Rubiah binti Ramli

Peserta KSPK pemulihan (IPBMM,KL 2008)

Program pemulihan telah disediakan untuk membantu murid mengatasi masalah kelemahan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Tanpa bantuan, mereka akan gagal membina keyakinan diri untuk belajar dan mencari pengalaman yang menggembirakan di sekolah dan mereka juga mungkin tercicir dari sistem persekolahan lebih awal lagi. Melalui program pemuliham keperluan murid yang mempunyai masalah pembelajaran dikenalpasti dan pihak sekolah memastikan mereka mendapat bantuan pemulihan untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Program pemulihan yang sedia ada memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran bahasa melayu. Program intervensi yang dilancarkan hanya membantu murid-murid pemulihan menguasai kemahiran membaca dan menulis di dalam bahasa melayu sahaja. Murid yang mempunyai masalah pembelajaran biasanya lemah dalam bahasa melayu mahupun bahasa Inggeris.

Penguasaan Bahasa Melayu yang baik membantu murid-murid pemulihan ini mengikuti matapelajaran yang lain dengan tetapi tidak bagi matapelajaran matematik dan sains Murid-murid pemulihan perlu juga didedahkan kepada Bahasa Inggeris . Ini adalah kerana sistem fonologi Bahasa Inggeris adalah jauh berbeza dengan bahasa melayu. Sebutan abjad bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah berbeza.

Di samping itu, sistem ejaan di dalam perkataan bahasa Inggeris tidak boleh dibatangkan. Sekiranya tiada pendedahan kepada bahasa Inggeris kebarangkalian, murid-murid pemulihan membunyikan perkataan Bahasa Inggeris mengikut ejaan Bahasa Melayu adalah tinggi.

Justeru, murid -murid yang masih belum menguasai Bahasa Inggeris pada tahap yang sepatutnya atau jauh ketinggalan dari rakan sebaya perlu mengikuti kelas pemulihan Bahasa Inggeris. Persoalannya adakah murid-murid ini sedang mengikuti program pemulihan Bahasa Inggeris yang selari dengan Program Pemulihan yang sedang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Memang diketahui umum, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid juga kurang memberangsangkan terutamanya murid-murid di luar bandar atau pinggir bandar. Namun demikian, tiada inisiatif yang bersifat kebangsaan untuk menangani masalah ini.

Penguasaan bahasa Inggeris yang kurang memuaskan ini telah menjejaskan pelaksanaan ETeMS sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Rata-rata orang ramai berpendapat penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan kemerosotan pretasi murid-murid dalam matapelajaran matematik dan sains.

Sewajarnya, murid-murid yang mengikuti program pemulihan yang sedia ada juga perlu ‘dipulihkan’ dari aspek penguasaan bahasa inggeris mereka bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Seterusnya dapat mengikuti matapelajaran Matematik dan Sains dengan baik. Malang sekali tiada kelas pemulihan Bahasa Inggeris yang dilaksanakan secara terancang dan intensif seperti kelas pemulihan bahasa Melayu.

Senario yang ada kini ialah murid-murid pemulihan sekolah rendah akan ‘di bawa keluar’ dari kelas semasa mata pelajaran bahasa Melayu bagi mengikuti ‘kelas pemulihan’ dan mereka akan mengikuti mata pelajaran yang lain seperti biasa mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan.

Murid-murid ini akan mengikuti matapelajaran bahasa Inggeris, Matematik dan Sains seperti biasa meski pun mereka perlu ‘dipulih’ dari aspek penguasaan bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka akan jauh ketinggalan atau tercicir berbanding rakan-rakan yang lain. Masalah ini berlarutan hingga ke peringkat sekolah menengah di mana mereka sudah menguasai kemahiran bahasa Melayu dengan baik tetapi penguasaan bahasa Inggeris mereka sangat mengecewakan kerana tiada intervensi awal di peringkat sekolah rendah.

Program pemulihan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah perlu juga diberi keutamaan dan sewajarnya diintegrasi dalam program yang sedia ada bagi membantu murid meningkat potensi mereka untuk belajar dan mendapat manfaat dari sistem pendidikan.

Malang sekali masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sering dibincangkan tapi tiada mekanisma yang padu serta mantap bagi menangani masalah ini. Sudah tiba masanya kelas pemulihan bahasa Inggeris diwujudkan bagi memastikan kelestarian agenda pendidikan yang bertaraf dunia berlangsung seperti yang dihasratkan.

Sekian,

belalang

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Puan Rubiah adalah salah seorang peserta KSPK Pemulihan Khas. Kami menuntut dalam kelas yang sama pada 2008.

Kesan Pelajar Disleksia

17 Ogos 2009 8 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Semoga apa juga tugas yang anda lakukan pada hari ini, anda akan bergembira melakukannya.

Semasa membaca Utusan Malaysia pada pagi ini, saya terpandang satu tajuk yang menyentuh isu pendidikan di Malaysia berhubung Persatuan Disleksia Malaysia (PDM) yang meminta kementerian Pelajaran mewujudkan penilaian khas di peringkat sekolah rendah bagi mengesan pelajar yang mengalami Disleksia.

Saya menyokong usaha murni ini kerana selain mengurangkan beban guru mata pelajaran, ia juga secara langsung dapat menempatkan murid ini ke kelas yang lebih ‘selamat’.

Pelajar Disleksia sama seperti pelajar normal yang lain. Tetapi mereka mempunyai masalah yang serius untuk membaca dan menulis dengan lancar. Sekiranya pengesanan dapat dibuat lebih awal, sudah tentu masa depan murid ini masih boleh diselamatkan berbanding jika mereka terus berada di kelas biasa atau kelas Pemulihan.

Pelajar seperti ini (Disleksia) memerlukan tenaga pakar (khas) untuk melatih mereka dalam bidang akademik.

Kasihan juga apabila mendapati pelajar yang didapati Disleksia, tetapi ditempatkan sama dengan pelajar lain dalam kelas biasa. Sudah tentu sekali mereka akan ketinggalan dalam pelajaran terutamanya bagi subjek Bahasa Melayu dan Matematik.

Menurut statistik terkini, terdapat lebih 300,000 kanak-kanak berusia seawal tujuh hingga 12 tahun yang dikenal pasti mengalami masalah Disleksia di seluruh negara.

Semoga Kementerian Pelajaran mengambil berat akan isu ini dan melakukan tindakan seawal yang mungkin.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 111 other followers