Arkib

Posts Tagged ‘Pendidikan Pemulihan’

Kenapa Mesti Permainan?

5 November 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda yang sedang melayari laman ini ketika ini berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Tidak kira di mana anda ketika ini, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Semoga hari ini bagi anda adalah antara hari yang terbaik berbanding hari-hari yang sebelumnya. Terima kasih..terima kasih..terima kasih atas kesudian anda melayari laman ini.

Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan sistem pengajaran dan pembelajaran dalam Pemulihan. Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa sistem pengajaran dan pembelajaran tidak melalui teori semata-mata. Lain pelajar, lain cara belajarnya.

Semasa bertugas di sekolah lama dahulu, saya pernah ditanya oleh Guru Besar  dengan soalan-soalan berikut :

  • Mengapa saya turut berbaring bersama-sama murid semasa belajar?
  • Mengapa kelas berselerak dengan permainan?
  • Mengapa tiada lembaran kerja disediakan untuk murid?

Soalan-soalan ini memang dijangka akan ditanya oleh sesiapa pun yang lalu di hadapan kelas Pemulihan saya ketika itu kerana sistem pembelajaran saya di kelas Pemulihan berbeza dengan kelas-kelas normal yang lain.

Sebenarnya, memang itulah gaya belajar murid di kelas Pemulihan. Saya mengajar mereka mengikut kesesuaian dan cara belajar yang mereka inginkan. Sebagai seorang guru, saya faham tidak semua murid akan menerima pelajaran secara teori, lebih-lebih lagi jika itu murid Pemulihan.

Saya memilih mengajar murid ini melalui teknik permainan. Teknik ini bukan bermain semata-mata. Namun, ada diselitkan unsur pengajaran dan pembelajaran.

Contohnya, permainan DAM ULAR, murid mesti faham peraturan permainan. Kemudian melakukan lontaran untuk menggerakkan buah permainan. Jika mereka tiba di satu tempat, mereka akan diuji dengan satu teka teki sama ada soalan berbentuk ejaan perkataan dalam Bahasa Melayu atau pun soalan dalam bentuk ayat Matematik.

Jika di lihat dari sudut ‘bermain’ semata-mata, memang objektif pengajaran tidak akan tercapai. Tetapi, jika sasaran permainan tersebut sekurang-kurangnya murid dapat mengeja 10 patah perkataan dengan betul, tidak mustahil ianya akan tercapai dengan mudah berbanding meminta murid mengeja perkataan menggunakan kad perkataan.

Menggunakan permainan di kelas Pemulihan ada beberapa risiko yang perlu diketahui.

  1. Peralatan permainan boleh mendatangkan kecederaan
  2. Permainan akan berselerak di merata tempat dalam kelas
  3. Suasana bising menyelubungi kelas

Semua risiko ini boleh dielakkan apabila guru mengamalkan sistem kawalan kelas yang baik dan sempurna. Sentiasa memberi peringatan kepada murid akan peraturan sebelum, semasa dan selepas permainan.

INFO :

TAHUKAH ANDA??, Kajian tentang interaksi dalam kelas oleh Ned Flanders (1963) dan Wragg (1973) mendapati :

  • 2/3 daripada semua pelajaran adalah percakapan guru.
  • 2/3 daripada masa percakapan itu adalah percakapan guru.
  • 2/3  daripada percakapan guru adalah dalam bentuk syarahan.

Dalam kelas Pemulihan, jika guru banyak bercakap, tidak banyak perkara dapat dilakukan dalam tempoh 60 minit waktu mengajar. Kebanyakan murid pula akan bosan dan mengantuk.

 

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Ebook Mahir 2M : Jualan Kini Di Buka.

3 Julai 2010 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Atas permintaan ramai, saya secara rasminya dengan ini mengumumkan bahawa link untuk jualan ebook Mahir Membaca dan Menulis – siri bacaan asas yang mana pelancaran asal mengikut jadual iaitu pada 31 Ogos 2010 kini  telah dibuka.

klik DI SINI untuk download preview ebook ini secara PERCUMA!!

Buku 1

MAHIR MEMBACA DAN MENULIS

Siri Bacaan Asas

HARGA : RM15.00

Harga Promosi : RM10.00 sahaja

Penghantaran: Link download akan dihantar ke peti email anda.
Tiada Penghantaran buku ke Rumah.

Saiz Download: 2.48 MB
Ketebalan: 76 Muka Surat
Kompatibiliti: PDF
(Boleh dibuka di semua komputer)

[Sedikit gambaran daripada ebook 1]

——————————————————————–

——————————————————————–

——————————————————————–

——————————————————————–

——————————————————————–

——————————————————————–

——————————————————————–

Mengenai ebook 1 :

  1. 90% menggunakan gambar sebenar bagi memastikan murid mengenali dengan jelas isi bahan bacaan yang dimaksudkan.
  2. Tulisan didatangkan dalam dua warna iaitu ‘hitam’ dan ‘merah’ dan dipecahkan mengikut bacaan secara suku kata terbuka. Ini secara tidak langsung akan memudahkan murid menguasai kemahiran membaca dengan cepat dan cekap.
  3. Disertai dengan borang penilaian prestasi di akhir muka surat ini bagi tujuan memudahkan guru memantau perkembangan murid.

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan ebook berkenaan, sila layari http://norhaidisarponen.webs.com untuk tempahan.

Terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan maklum balas yang diberikan.

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department.

Masalah Pengamatan dan Cadangan Mengatasi – Part 1

1 September 2009 24 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan ceria sentiasa. Semoga situasi anda ketika ini, adalah lebih baik daripada sebelumnya. Terima kasih kerana terus melayari laman ini.

Topik yang ingin saya sentuh hari ini adalah mengenai masalah pengamatan dalam pendidikan Pemulihan dan cadangan mengatasi. Dalam bahagian ini, saya akan bahagikan topik ini kepada beberapa bahagian.

Bahagian 1

Dalam mengatasi masalah pengamatan, seseorang guru boleh memberi latihan-latihan pengamatan yang terlibat dalam latihan pengamatan bentuk, penyelarasan bentuk motor-tangan, menyalin, ingatan penglihatan, diskriminasi penglihatan dan pendengaran.

Dua jenis masalah pengamatan yang utama :

  1. Kelemahan pengamatan penglihatan
  2. Kelemahan pengamatan pendengaran

Kelemahan Pengamatan Penglihatan

  1. Diskriminasi penglihatan
  2. Penerimaan penglihatan
  3. Perhubungan penglihatan
  4. Ingatan visual (visual memory)

Kelemahan Pengamatan Pendengaran

  1. Diskriminasi pendengaran
  2. Penerimaan pendengaran (auditori reception)
  3. Perhubungan pendengaran (auditori association)
  4. Rumusan / melengkap pendengaran
  5. Cantuman bunyi atau percantuman pendengaran
  6. Ingatan pendengaran (auditori memory)

Diskriminasi Penglihatan

  • Dikaitkan dengan kebolehan mengasingkan secara visual akan persamaan dan perbezaan yang ada pada objek, gambar, huruf dan perkataan.
  • Untuk membaca seseorang kanak-kanak mesti tahu mendiskriminasikan perbezaan antara ‘m’ dan ‘n’ atau pun ‘lari’ dan ‘lori’.
  • Diskriminasi penglihatan juga termasuk dalam bahagian orientasi arah atau kedudukan seperti ‘lagu’ dan ‘gula’, ‘daki’ dan ‘baki’.
  • Sekiranya kanak-kanak menghadapi kesulitan-kesulitan ini, maka mereka haruslah diberi bimbingan dari peringkat awal bacaan supaya kemahiran ini dapat berkembang dengan baik.

Cadangan Aktiviti :

  1. Mencari gambar, bentuk, huruf dan simbol-simbol yang tidak sama.
  2. Perbezaan dan persamaan objek. Contoh : kerusi, meja, papan hitam dan sebagainya.
  3. Objek-objek yang hampir serupa yang boleh diperolehi daripada gambar haiwan, bunga dan daun-daun.
  4. Memadankan huruf-huruf dengan perkataan.
  5. Menekap corak, bentuk dan huruf.

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Bahan Bantu mengajar – Part 6

11 Ogos 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan ceria sentiasa. Terima kasih kerana masih sudi mengunjungi laman ini.

Kali ini, saya bukanlah hendak tunjukkan hasil kerja saya, tetapi antara bahan bantu mengajar yang sesuai digunakan untuk mengajar murid yang baru belajar membatang suku kata.

Bahan yang diperoleh daripada buku ini, dibesarkan kepada saiz A3 dan dilaminasi supaya ia menjadi bahan bantu mengajar yang kekal.

Image013

———————————————————————————-

Image014———————————————————————————-

Image015

———————————————————————————-

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : esok saya akan papar tiga lagi contoh bahan seperti di atas..

Bahan Bantu Mengajar – Part 4

4 Ogos 2009 4 comments

Salam sejahtera.

Bertemu lagi di hari yang indah dan ceria ini. Terima kasih kerana terus mengunjungi laman ini. Hari ini saya tambah lagi beberapa sampel bahan bantu mengajar yang mungkin boleh dijadikan rujukan untuk anda khususnya guru pemulihan.

Sahiba Suku Kata

———————————————————————————-

Buku1

———————————————————————————-

DSC00924

———————————————————————————-

DSC00888

———————————————————————————-

DSC00922

———————————————————————————-

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Teknik Pengajaran Pemulihan – Part 2

29 Julai 2009 28 comments

Kemahiran Asas menulis

Perhatikan perbezaan gambar di bawah.

Image000Gambar 1

——————————————————————————

Image002Gambar 2

—————————————————————————

Gambar 1 menunjukkan kesilapan menulis yang sering terjadi kepada setiap murid. Bentuk huruf yang tidak betul dan membentuk huruf yang senget. Setelah melalui beberapa siri pembetulan, barulah hasil kerja murid dapat diterjemahkan seperti yang dapat dilihat dalam gambar 2.

Penggunaan pensel yang kurang sesuai juga salah satu punca murid melakukan banyak kesilapan semasa menulis. Perhatikan semula gambar 1, murid tidak mengasah pensel dan menulis dalam keadaan mata pensel yang tidak tajam.

Berbanding dengan gambar 2, setelah menggunakan pensel jenis HB dan diasah tajam, murid dapat menghasilkan kelainan. Guru tidak perlu memadam latihan murid.

Sebaliknya, jadikan ia sebagai contoh agar murid tidak mengulangi kesilapan yang serupa.

Perhatikan lagi gambar berikut.

Image013Gambar 3

————————————————————————-

Image012Gambar 4

Gambar 3 dan 4 adalah postur murid semasa menulis. Jika keadaan ini berlaku, guru kena perbetulkan segera kerana postur menulis ini adalah tidak betul dan sebenarnya tidak selesa.

Minta murid menulis dalam keadaan postur duduk yang tegak dan pastikan ada jarak antara penglihatan ———> buku.

Guru juga perlu perbetulkan cara murid memegang pensel supaya tulisan murid menjadi lebih kemas. Perhatikan gambar 4. Gambar menunjukkan cara memegang pensel yang tidak betul.

Selain daripada masalah yang dinyatakan di atas, guru boleh menggunakan kreativiti dan kebijaksanaan sendiri untuk membantu murid menulis dengan betul dan sempurna.

Aktiviti menulis boleh digabungkan dengan aktiviti permainan bagi mengelakkan murid berasa bosan. Saya sendiri kerap menggunakan kuiz bertulis sebagai salah satu aktiviti. Muzik latar juga boleh dipasangkan sebagai menarik minat murid ketika menulis

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Pengamatan Dalam Program Pemulihan

7 Julai 2009 7 comments

Salam sejahtera.

Pengamatan ialah kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui pancaindera setelah berlakunya proses dalam mental.

Pengamatan berkait rapat dengan pemikiran manusia. Pengamatan merupakan satu proses yang menimbulkan makna kepada tugas-tugas panca indera dengan pertolongan pengalaman-pengalaman lalu.

Pengamatan ialah satu kemahiran yang boleh berkembang dan dipelajari. Sungguhpun ia berkait rapat dengan dengan darjah kecerdasan seseorang kanak-kanak itu, tetapi ia boleh diajar kepada kanak-kanak lemah supaya dapat membantu mereka dalam pembelajaran.

Mengikut pendapat Ruth Strang dalam bukunya “ Reading Diagnosis and Remediation” beliau mengatakan pengamatan ialah satu proses yang bergantung kepada kognitif dan kederaan. Proses ini penting kepada pembelajaran terutama dalam pembinaan konsep yang dialami oleh kanak- kanak.

Janet W. Learner (1971) dalam bukunya “ Children With Learning Disabilities” telah mentafsirkan bahawa pengamatan adalah satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera atau mekanisme yang mentafsirkan sesuatu pergerakan panca indera dengan kuasa intelek.

BAGAIMANA KANAK-KANAK MENGAMATI

Kanak-kanak menggunakan sebelah matanya sahaja untuk melihat selepas dilahirkan. Beberapa minggu kemudian, dia mula melihat dengan menggunakan kedua-dua belah matanya.

Pada akhir bulan kedua kanak-kanak ini sudah boleh menghalakan perhatiannya secara langsung kepada objek yang ada di hadapannya. Apabila objek itu bergerak dari sebelah ke sebelah, pergerakan mata bayi itu juga akan mengikutinya.

Dari peringkat inilah bayi itu mula memerhati sesuatu terutamanya pada benda-benda yang bergerak atau yang berwarna garang. Walau bagaimanapun benda-benda yang diperhatinya itu adalah semata-mata satu benda sahaja dan tidak dapat mentafsirkan keadaan benda itu kepada makna yang lebih dalam lagi.

Apabila kanak-kanak itu berusia lima bulan, dia sedar tentang keadaan sesuatu benda yang dilihatnya. Dia mula menyedari bahawa benda yang dilihatnya itu boleh dipegang. Kesedaran itu datang secara berperingkat -peringkat.

Mula-mula ia faham tentang bentuk sesuatu benda itu, kemudian apabila kanak-kanak itu hampir berumur satu tahun dia mula menyedari tentang setiap benda mempunyai identitnya yang sendiri.

Dia akan faham walaupun satu benda yang sama jenis seperti bola umpamanya, apabila diamati ia akan terdapat beberapa perbezaan dari segi saiz, warna, corak dan sebagainya

Sumber : Nota Kursus Pemulihan Khas

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Buatlah Sekadar Yang Termampu

6 Julai 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga di hari yang indah ini membuatkan kehidupan anda sentiasa lebih ceria. Jangan membebani minda anda dengan perkara yang remeh temeh kerana sedikit banyak hal itu bakal menjejaskan rentak perjalanan kehidupan anda hari ini.

Sejak kebelakangan ini, saya menerima banyak email daripada guru pelatih di Institut Perguruan dan bersembang menggunakan Yahoo! Messenger (YM) bersama guru-guru yang telah bertugas yang mana mereka bertanyakan tentang Program Pemulihan Khas, Protim dan KIA2M.

Banyak masalah yang dibangkitkan dari segi pengurusan tingkah laku, latar belakang keluarga murid yang bermasalah, masalah kewangan, faktor murid, masalah guru, masalah pentadbir dan banyak lagi.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda yang terus membaca blog ini dan berkongsi masalah anda bersama saya. Suka saya ingatkan sekali lagi bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang Pendidikan Pemulihan ini.

Banyak perkara yang boleh saya pelajari dan ambil iktibar daripada kisah yang dibangkitkan oleh pembaca dalam blog ini. Di sini saya ingin paparkan satu kisah yang saya ambil dari email yang diterima.

Seorang guru dari Melaka yang mengajar mata pelajaran Pemulihan menghadapi masalah untuk mengajar muridnya membaca. Pelbagai kaedah telah dicuba, namun tiada hasilnya. Saya telah meminta guru ini menghubungi saya melalui YM.

Semasa bersembang dengannya, guru terbabit mengatakan muridnya tidaklah ramai. Namun, perkara yang membimbangkannya adalah prestasi murid (tahun 2) yang masih merangkak-rangkak membaca sedangkan tahun ini (2009) sudah masuk bulan ke-7 (Julai).

Saya bertanya akan kaedah yang digunakan guru berkenaan dari segi teori dan praktikalnya. Jenis-jenis bahan bantu mengajar yang digunakannya, peralatan permainan dalam kelas dan faktor murid itu sendiri.

Guru terbabit menjelaskan dengan terperinci. Saya dapati, guru ini telah mencuba sehabis baik dalah usahanya membantu murid. Pelbagai kaedah telah dicubanya, namun masih tiada hasil.

Suka saya ingatkan guru berkenaan supaya jangan mudah berputus asa dan sentiasa optimis. Jika hari ini murid gagal sedangkan guru sudah melakukan yang terbaik. Sampai di situ sahajalah akhirnya. Maksud saya, usah bimbang akan kegagalan murid.

Guru patut risau akan kegagalan murid sekiranya guru tidak mengajar atau tidak berusaha ke arah pembangunan diri murid.

Saya amat berharap agar guru terbabit dapat memanggil kedua ibu bapa murid atau penjaga untuk hadir ke sekolah. Guru perlu melakukan sesi temubual untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dari segi kesihatan dan latar belakang murid sebelum ini.

Daripada maklumat berikut, guru perlu buat analisis. Ada sesetengah murid, kita lihat mereka normal daripada pandangan mata kasar.

Guru juga perlu senaraikan kaedah-kaedah, teori dan bahan bantu mengajar yang telah dipraktikkan. Buat analisa untuk mengetahui di mana kesilapannya.

Mungkin guru pernah dengar analisis SWOT. Gunakan ia untuk merancang kejayaan guru.

Akhir sekali, guru tidak boleh mudah putus asa. Segalanya telah dicuba, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin dari segi niat mengajar nak diperbetul, kaedah, praktikalnya dan segala macam lagi. BUATLAH SEKADAR YANG TERMAMPU. Jangan membebani diri dengan masalah murid Pemulihan. Jalan untuk mengatasinya masih ada. Hanya kita yang masih belum jumpa.

Jadi, berusahalah. Mudah-mudahan anda akan berjaya.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department

Kesukaran Mengajar

3 Julai 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera.

Dalam menangani isu murid Pemulihan yang tidak menguasai asas 3M, guru-guru terlibat dijangka akan menghadapi beberapa masalah seperti yang berikut ;

  • Masalah berinteraksi

Sebahagian daripada murid pemulihan dikenali dengan sifat pemalu dan berasa rendah diri. Mereka berasa seolah – olah terpinggir kerana ditempatkan dalam kelas Pemulihan.

Ada sesetengah guru mengambil masa yang lama untuk mendapatkan respon semasa berinteraksi dengan murid.

Interaksi guru dan murid amat penting kerana itu akan membantu guru mendapatkan segala maklumat yang dikehendaki daripada murid.

Kegagalan murid memberi kerjasama sepanjang tempoh berada di kelas Pemulihan akan menyukarkan guru ‘membaiki’ kelemahan penguasaaan kemahiran murid.

  • Sentiasa mengulang semula kemahiran

Seringkali terjadi dalam kelas Pemulihan. Hari ini guru berasa gembira kerana objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai. Murid berjaya memenuhi matlamat yang disasarkan oleh guru pada hari ini.

Apabila cuti dua hari (Sabtu dan Ahad), guru mula pening kepala kerana pada hari berikutnya (Isnin), perlu mengulang semula apa yang di ajar pada hari sebelumnya.

Kelemahan ini (pelupa) perlu di atasi dengan segera. Mungkin guru perlu perbanyakkan latihan menguasai kemahiran aplikasi dan kefahaman terlebih dahulu.

  • Kekurangan bahan bantu mengajar

Ada sebahagian besar daripada guru yang menyandang jawatan sebagai guru Pemulihan telah berkahwin. Mereka mempunyai kekangan masa untuk lebih lama berada di kelas Pemulihan kerana mempunyai keluarga.

Kekangan masa kadang-kala mengakibatkan guru terbabit tidak dapat menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan keupayaan murid.

Ada juga pembekal yang datang ke sekolah. Namun, tidak semua bahan yang dijual menepati standard kelas Pemulihan. Ada bahan yang langsung tidak sesuai diguna-pakai oleh murid Pemulihan.

Guru yang rajin akan sanggup meluangkan masa hingga lewat malam di sekolah semata-mata mahu menyediakan bahan bantu mengajar yang terbaik, mencukupi dan sesuai dengan keupayaan murid.

Oleh yang demikian, bahan bantu mengajar yang dibina mestilah bersifat kekal dalam kelas dan fleksibel iaitu sentiasa boleh digunakan oleh murid serta mesra pendidikan Pemulihan.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department.

Mengajar Murid Membina Ayat

2 Julai 2009 7 comments

Salam sejahtera, semoga perjalanan hidup anda pada hari ini dikelilingi tuah dan semoga apa yang anda lakukan, akan diredhai oleh-NYA.

Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah masuk bulan Julai ‘Kelas Pemulihan’ ini diadakan. Semoga anda akan mendapat banyak input berguna sepanjang kelas ini diadakan.

Baiklah. Pada hari ini, topik yang akan dibentangkan adalah ; MENGAJAR MURID MEMBINA AYAT MUDAH.

TIPS MENGAJAR

  • Tunjukkan satu gambar yang murid ketahui.
  • Minta murid namakan gambar tersebut.
  • Rangsang minda murid untuk bercakap mengenai gambar tersebut.
  • Minta murid salin apa yang dicakapkan dalam perbincangan.
  • Contoh soalan rangsangan guru : Gambar apakah yang kamu lihat?
  • Jawapan ramalan murid : Gambar bas.
  • Soalan rangsangan guru : Kamu ke sekolah menaiki bas?
  • Jawapan ramalan murid : Ya.
  • Soalan rangsangan guru : Bagaimana? Boleh kamu beri tahu cikgu?
  • Jawapan ramalan murid : Saya pergi sekolah naik bas.
  • Soalan rangsangan guru : Cuba kamu tulis apa yang kamu cakap tadi.
  • Jawapan ramalan murid : Saya pergi sekolah naik bas
  • Jelaskan kepada murid bahawa tujuan gambar ditunjukkan adalah untuk merangsang minda murid membina dan menulis ayat.
  • Berikan contoh lain dan ulang aktiviti yang sama.

Jangan tegur jika murid lakukan kesalahan semasa membina ayat. Sebaliknya rangsang minda murid supaya mereka dapat mencari idea dengan cepat

Elakkan daripada membenarkan murid pemulihan menggunakan pemadam. sekiranya murid lakukan kesalahan. Biarkan kesalahan itu. Minta murid tulis ayat yang baharu. Kemudian guru perlu bandingkan ayat yang ditulis salah dan ayat yang ditulis dengan betul.

Guru perlu tunjukkan di mana kesalahan dalam ayat itu berlaku dan bandingkannya dengan ayat yang betul..

Kebanyakan murid pemulihan amat lemah dalam aspek membina ayat kerana kemahiran aplikasi mereka masih lemah. Bimbingan berterusan mampu menjelmakan prestasi murid ke arah yang lebih baik.

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : pandangan di atas adalah menurut pengalaman saya sahaja.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 111 other followers