Arkib

Posts Tagged ‘pengajaran dan pembelajaran’

Bahan Bantu Mengajar – Part 4

4 Ogos 2009 5 comments

Salam sejahtera.

Bertemu lagi di hari yang indah dan ceria ini. Terima kasih kerana terus mengunjungi laman ini. Hari ini saya tambah lagi beberapa sampel bahan bantu mengajar yang mungkin boleh dijadikan rujukan untuk anda khususnya guru pemulihan.

Sahiba Suku Kata

———————————————————————————-

Buku1

———————————————————————————-

DSC00924

———————————————————————————-

DSC00888

———————————————————————————-

DSC00922

———————————————————————————-

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Buatlah Sekadar Yang Termampu

6 Julai 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga di hari yang indah ini membuatkan kehidupan anda sentiasa lebih ceria. Jangan membebani minda anda dengan perkara yang remeh temeh kerana sedikit banyak hal itu bakal menjejaskan rentak perjalanan kehidupan anda hari ini.

Sejak kebelakangan ini, saya menerima banyak email daripada guru pelatih di Institut Perguruan dan bersembang menggunakan Yahoo! Messenger (YM) bersama guru-guru yang telah bertugas yang mana mereka bertanyakan tentang Program Pemulihan Khas, Protim dan KIA2M.

Banyak masalah yang dibangkitkan dari segi pengurusan tingkah laku, latar belakang keluarga murid yang bermasalah, masalah kewangan, faktor murid, masalah guru, masalah pentadbir dan banyak lagi.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda yang terus membaca blog ini dan berkongsi masalah anda bersama saya. Suka saya ingatkan sekali lagi bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang Pendidikan Pemulihan ini.

Banyak perkara yang boleh saya pelajari dan ambil iktibar daripada kisah yang dibangkitkan oleh pembaca dalam blog ini. Di sini saya ingin paparkan satu kisah yang saya ambil dari email yang diterima.

Seorang guru dari Melaka yang mengajar mata pelajaran Pemulihan menghadapi masalah untuk mengajar muridnya membaca. Pelbagai kaedah telah dicuba, namun tiada hasilnya. Saya telah meminta guru ini menghubungi saya melalui YM.

Semasa bersembang dengannya, guru terbabit mengatakan muridnya tidaklah ramai. Namun, perkara yang membimbangkannya adalah prestasi murid (tahun 2) yang masih merangkak-rangkak membaca sedangkan tahun ini (2009) sudah masuk bulan ke-7 (Julai).

Saya bertanya akan kaedah yang digunakan guru berkenaan dari segi teori dan praktikalnya. Jenis-jenis bahan bantu mengajar yang digunakannya, peralatan permainan dalam kelas dan faktor murid itu sendiri.

Guru terbabit menjelaskan dengan terperinci. Saya dapati, guru ini telah mencuba sehabis baik dalah usahanya membantu murid. Pelbagai kaedah telah dicubanya, namun masih tiada hasil.

Suka saya ingatkan guru berkenaan supaya jangan mudah berputus asa dan sentiasa optimis. Jika hari ini murid gagal sedangkan guru sudah melakukan yang terbaik. Sampai di situ sahajalah akhirnya. Maksud saya, usah bimbang akan kegagalan murid.

Guru patut risau akan kegagalan murid sekiranya guru tidak mengajar atau tidak berusaha ke arah pembangunan diri murid.

Saya amat berharap agar guru terbabit dapat memanggil kedua ibu bapa murid atau penjaga untuk hadir ke sekolah. Guru perlu melakukan sesi temubual untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dari segi kesihatan dan latar belakang murid sebelum ini.

Daripada maklumat berikut, guru perlu buat analisis. Ada sesetengah murid, kita lihat mereka normal daripada pandangan mata kasar.

Guru juga perlu senaraikan kaedah-kaedah, teori dan bahan bantu mengajar yang telah dipraktikkan. Buat analisa untuk mengetahui di mana kesilapannya.

Mungkin guru pernah dengar analisis SWOT. Gunakan ia untuk merancang kejayaan guru.

Akhir sekali, guru tidak boleh mudah putus asa. Segalanya telah dicuba, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin dari segi niat mengajar nak diperbetul, kaedah, praktikalnya dan segala macam lagi. BUATLAH SEKADAR YANG TERMAMPU. Jangan membebani diri dengan masalah murid Pemulihan. Jalan untuk mengatasinya masih ada. Hanya kita yang masih belum jumpa.

Jadi, berusahalah. Mudah-mudahan anda akan berjaya.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department

Kesukaran Mengajar

3 Julai 2009 1 komen

Salam sejahtera.

Dalam menangani isu murid Pemulihan yang tidak menguasai asas 3M, guru-guru terlibat dijangka akan menghadapi beberapa masalah seperti yang berikut ;

  • Masalah berinteraksi

Sebahagian daripada murid pemulihan dikenali dengan sifat pemalu dan berasa rendah diri. Mereka berasa seolah – olah terpinggir kerana ditempatkan dalam kelas Pemulihan.

Ada sesetengah guru mengambil masa yang lama untuk mendapatkan respon semasa berinteraksi dengan murid.

Interaksi guru dan murid amat penting kerana itu akan membantu guru mendapatkan segala maklumat yang dikehendaki daripada murid.

Kegagalan murid memberi kerjasama sepanjang tempoh berada di kelas Pemulihan akan menyukarkan guru ‘membaiki’ kelemahan penguasaaan kemahiran murid.

  • Sentiasa mengulang semula kemahiran

Seringkali terjadi dalam kelas Pemulihan. Hari ini guru berasa gembira kerana objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai. Murid berjaya memenuhi matlamat yang disasarkan oleh guru pada hari ini.

Apabila cuti dua hari (Sabtu dan Ahad), guru mula pening kepala kerana pada hari berikutnya (Isnin), perlu mengulang semula apa yang di ajar pada hari sebelumnya.

Kelemahan ini (pelupa) perlu di atasi dengan segera. Mungkin guru perlu perbanyakkan latihan menguasai kemahiran aplikasi dan kefahaman terlebih dahulu.

  • Kekurangan bahan bantu mengajar

Ada sebahagian besar daripada guru yang menyandang jawatan sebagai guru Pemulihan telah berkahwin. Mereka mempunyai kekangan masa untuk lebih lama berada di kelas Pemulihan kerana mempunyai keluarga.

Kekangan masa kadang-kala mengakibatkan guru terbabit tidak dapat menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan keupayaan murid.

Ada juga pembekal yang datang ke sekolah. Namun, tidak semua bahan yang dijual menepati standard kelas Pemulihan. Ada bahan yang langsung tidak sesuai diguna-pakai oleh murid Pemulihan.

Guru yang rajin akan sanggup meluangkan masa hingga lewat malam di sekolah semata-mata mahu menyediakan bahan bantu mengajar yang terbaik, mencukupi dan sesuai dengan keupayaan murid.

Oleh yang demikian, bahan bantu mengajar yang dibina mestilah bersifat kekal dalam kelas dan fleksibel iaitu sentiasa boleh digunakan oleh murid serta mesra pendidikan Pemulihan.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department.

Mengajar Kemahiran Membaca KV+KV+KV

19 Jun 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga anda sihat sentiasa. Semoga hari yang mulia ini akan membawa lebih banyak kelebihan kepada diri kita.

Sudah beberapa hari saya tidak dapat menulis dalam laman ini. Maklum sajalah, saya perlu mengutamakan tugas rasmi.

Sambil itu juga saya sudah semakin menyiapkan 2 ebook untuk kegunaan dalam kelas Pemulihan.

Baiklah, pelajaran hari ini adalah bagaimana hendak mengajar murid kemahiran membaca.

Membaca bukan satu tabiat yang terjadi secara tiba-tiba. Ia hendaklah dipupuk dalam diri dan diamalkan. Untuk mengajar murid Pemulihan membaca, guru mestilah menyediakan secukupnya bahan bantu mengajar mengikut aras kemahiran yang telah dikuasai oleh murid.

Katakan pada pelajaran yang lalu, murid telah menguasai kemahiran KV+KV+KV. Oleh yang demikian, sekurang – kurangnya, guru mesti ada bahan yang berikut :

  • Rangkai kata KV+KV+KV aras sederhana – 10 jenis
  • Teks bacaan KV+KV+KV aras sederhana – 10 jenis
  • Borang penilaian 1 – rekod bacaan rangkai kata KV+KV+KV
  • Borang penilaian 2 – rekod bacaan teks
  • Permainan berunsur pendidikan – Dam Ular

TIPS MENGAJAR ;

  • Edarkan kad rangkai kata kepada setiap murid. Uji pengetahuan murid dengan meminta murid menyebut atau membaca rangkai kata.
  • Minta murid jelaskan isi kandungan rangkai kata.
  • Tanya sama ada murid faham apa yang dibaca.
  • Jika ada murid yang masih mengeja, bimbing segera atau asingkan dalam kumpulan lain.
  • Edarkan pula teks bacaan KV+KV+VK.
  • Beri murid  masa untuk membaca teks bacaan secara mentalis
  • Rangsang murid untuk membaca secara mekanis seorang demi seorang.
  • Betulkan segera kesalahan yang dibaca. Minta murid supaya membaca dengan berhati-hari. Jangan terburu-buru membaca.
  • Beri murid 15 minit untuk ulang baca bahan bacaan yang diedar.
  • Uji semula penguasaan kemahiran murid. Betulkan segera kesalahan jika masih ada.
  • Edarkan permainan DAM ULAR. Semasa bermain, minta murid baca soalan yang terdapat dalam permainan.
  • Dengan menggunakan lembaran kerja 1 dan 2, rekod penguasaan kemahiran murid dengan menguji mereka secara individu.

Dalam kemahiran ini, murid dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk kuasai kemahiran dengan cepat kerana murid sudah ada pengetahuan asas kemahiran KV+KV dan KVK+KV.

Walau bagaimana pun, guru perlu sentiasa memantau perkembangan semasa murid. Murid yang belajar di kelas Pemulihan mudah lupa. Jadi, mereka perlu dingatkan selalu.

Semoga berjaya!

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department

Mengajar Murid Kemahiran KV+KV+KV

15 Jun 2009 36 comments

Salam sejahtera,

Semoga hidup anda pada hari ini lebih indah dan mempersona. Semoga ada sesuatu yang menarik akan berlaku dalam hidup anda pada hari ini.

Tapik hari ini disambung dengan ‘Mengajar Murid Kemahiran KV+KV+KV’. Kemahiran ini tidaklah susah untuk diajar, tetapi sukar untuk dikuasai oleh murid pemulihan bergantung kepada daya taakul mereka.

Bahan bantu mengajar yang sekurang – kurangnya guru perlu ada ;

  • Kad suku kata KV
  • Kad perkataan KV+KV+KV
  • Kad imbasan bergambar KVKVKV
  • Lembaran kerja 1 – menulis suku kata tertinggal
  • Lembaran kerja 2 – padankan gambar dengan suku kata
  • Alatan permainan yang bersesuaian

TIPS MENGAJAR ;

  • Pastikan terlebih dahulu murid benar-benar menguasai kemahiran yang sebelum ini.
  • Sebelum mengajar, imbas kembali pelajaran terdahulu bagi mengelakkan murid keliru atau lupa.
  • Jelaskan mengapa kemahiran ini perlu dikuasai oleh murid selepas mereka menguasai kemahiran sebelum ini.
  • Edarkan kad suku kata KV. Rangsang murid untuk menyebut suku kata KV
  • Guru tunjuk kad imbasan bergambar KV+KV+KV. Contoh, gambar kereta.
  • Rangsang minda murid perkataan boleh terbentuk daripada kesinambungan suku kata KV.
  • Guru tunjuk perkataan KV+KV+KV = KERETA. Guru eja dan murid ikut
  • Berikan contoh lain. Ulang aktiviti sehingga murid faham konsep pembentukan perkataan.
  • Edarkan kad imbasan bergambar dan kad perkataan. Rangsang murid untuk mengeja dan menyebut perkataan. Tukar kad sesama murid apabila mereka telah kuasai perkataan yang diperoleh.
  • Berikan lembaran kerja 1 dan 2. Biarkan murid lakukan aktiviti dengan kumpulan. Jangan bantu murid
  • Bincangkan jawapan. Galakkan murid bercakap dan memberi respon. Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain selama 15 minit dengan permainan berunsur pendidikan yang disediakan.
  • Sesi penutup, minta murid rumuskan pelajaran pada hari ini. Rangsang murid untuk mengeja semula perkataan yang telah dipelajari tanpa merujuk kad perkataan.
  • Rangsang minda murid untuk memberikan contoh lain perkataan KV+KV+KV

Perlu diingat, semasa mengajarkan kemahiran ini, guru tidak sesekali mengabaikan murid lain yang belajar dalam kelas Pemulihan. Pastikan semua murid melakukan aktivti masing-masing secara terkawal.

Tidak semua murid akan menguasai kemahiran pada hari ini. Latih tubu dan pengulangan kemahiran ini perlu lebih kerap kerana proses pembelajaran selepas itu ada aspek pembacaan.

Oleh yang demikian, pastikan murid menguasai kemahiran ini sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 minggu.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Mengajar Murid Kuasai Kemahiran KV+KVK

12 Jun 2009 8 comments

Salam sejahtera..

Semoga keadaan anda pada hari ini lebih baik daripada hari semalam. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda tidak kira siapa dan di mana anda berada, kenal atau tidak, tua atau muda, semoga anda kekalkan ‘mood’ ceria sepanjang masa dan melakukan ibadah kepada yang memerlukan..

Hari ini kita akan kongsi sedikit ilmu bagaimana mengajar murid menguasai kemahiran KV + KVK. Imbas kembali, jika sebelum ini kita telah mengajar murid kuasai kemahiran mengenal abjad, suku kata KV dan KVK. Maka, pelajaran hari ini adalah kesinambungan daripada kemahiran sebelum ini.

Bahan yang sekurang-kurangnya guru mesti ada adalah seperti yang berikut ;

  • kad suku kata KV
  • Kad suku kata KVK
  • Kad imbasan bergambar
  • lembaran kerja 1 – Padan suku kata KV dan KVK bagi membentuk perkataan bermakna. (10 isi latihan)
  • Lembaran kerja 2 – Padankan perkataan KV+KVK dengan gambar yang sesuai. (10 isi latihan)
  • permainan berunsur pendidikan. (Puzzle suku kata KV+KVK , Dam suku kata KVK, Pancing Perkataan dan lain-lain permainan yang bersesuaian)

TIPS MENGAJAR :

  • Tunjukkan kad suku kata KV dan KVK secara berasingan.
  • Rangsang minda murid untuk sebut suku kata.
  • Kemudian, rangsang minda murid untuk cantum suku kata bagi membentuk perkataan bermakna.
  • Guru berikan contoh - KI+PAS = KIPAS
  • Murid lakukan aktiviti ‘4’ secara berulang-ulang.
  • Uji kefahaman murid. Tunjukkan gambar dan minta murid cari kad dan cantum suku kata membentuk perkataan.
  • Uji keupayaan taakul murid – guru sebut dan murid tulis dalam buku latihan
  • Edarkan lembaran kerja 1 dan 2. Beri murid 15 minit untuk siapkan.
  • Bincangkan jawapan secara keseluruhan.
  • Betulkan segera kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain dengan permainan yang disediakan selama 15 minit.
  • Di akhir sesi, rangsang minda murid akan perkataan yang telah mereka pelajari.
  • Rangsang minda murid untuk memberikan contoh lain bagi suku kata KV+KVK.

Kemahiran ini memakan masa dua minggu untuk dikuasai oleh murid pemulihan. Latihan yang berterusan dan pengulangan setiap hari kemahiran ini dapat membantu murid lebih menguasai.

Setelah menguasai kemhiran ini, guru boleh memindah kepada kemahiran membaca rangkai kata KV + KVK dan cantum suku kata KVK + KV menjadi perkataan bermakna. Contohnya, KVK+KV = LAM+PU = LAMPU.

Mengajar Pemulihan memerlukan ketekunan dan kesabaran. Ada kalanya, murid akan ‘buat perangai’ dalam kelas. Tetapi itu adalah sifat seorang kanak-kanak. Jadi, guru tidak perlu terlalu garang dan jangan kerap memarahi murid.

Sekiranya dalam tempoh 2 minggu murid masih tidak kuasai kemahiran ini, guru jangan panik kerana ia bukanlah masalah yang terlalu rumit. Teruskan mengajar dan ulang kemahiran yang sama sehingga murid benar-benar mahir.

Dalam sistem pendidikan Pemulihan Khas, sesuatu kemahiran baru itu akan dipelajari hanya apabila murid didapati telah menguasai kemahiran yang sebelumnya.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • panduan di atas adalah menurut pengalaman dan pandangan saya sahaja.

Mengajar Murid Kemahiran KVK

11 Jun 2009 2 comments

Salam sejahtera..

Alhamdulillah, semoga anda sentiasa sihat dan ceria pada hari ini. Semoga tiada aral yang melintangi jalan hidup anda, yang boleh mengucar-kacirkan perjalanan hidup anda pada hari ini. Amin.

Jika sebelum ini saya telah menyentuh pengajaran dalam kemahiran menguasai suku kata, pada kali ini saya ingin berkongsi cara mengajar murid agar dapat menguasai kemahiran ‘KVK’ dalam tempoh satu minggu.

Sedikit info, setelah mengajar murid menguasai suku kata ‘KV’, guru perlu mengajarkan kemahiran ‘KVK’ pula. ini adalah kesinambungan daripada pengajaran sebelum ini supaya murid akan lebih mudah menguasai kemahiran seterusnya.

Sebelum itu, pastikan murid benar-benar menguasai kemahiran ‘KV’ dari aspek SEBUTAN dan BACAAN teks ‘KV+KV’.

Untuk mengajar kemahiran ‘KVK’, guru mesti ada sekurang-kurangnya bahan bantu mengajar yang berikut :

  • kad perkataan ‘KVK’
  • lembaran kerja 1 – memadan gambar dengan perkataan
  • lembaran kerja 2 – mencari perkataan tersembunyi
  • barang permainan berunsur pendidikan

TIPS MENGAJAR :

  • Pastikan murid telah bersedia
  • Tunjukkan kad perkataan ‘KVK’ – Bas, Pen, Jam, Gam, Vas, Pam dan lain-lain.
  • Guru eja dan sebut, kemudian minta murid ikut.
  • Tunjukkan gambar bagi setiap perkataan yang dieja dan sebut.
  • Ulang aktiviti sehingga murid faham konsep mengeja dan mengingati apa yang dieja.
  • Beri murid masa untuk buat aktiviti menguasai kemahiran ini secara kumpulan dan individu.
  • Soal murid secara rawak. – Tunjuk gambar dan minta murid eja tanpa merujuk pada kad perkataan.
  • Edarkan lembaran kerja 1 – semak jawapan melalui perbincangan.
  • Minta murid eja semula perkataan yang dipadankan
  • Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Edarkan lembaran kerja 2 – semak jawapan melalui perbincangan.
  • Minta murid eja semula perkataan yang telah dijumpai dan digarisi.
  • Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain selama 15 minit dengan permainan yang telah disediakan.
  • Soal jawab di akhir pengajaran – kukuhkan pemahaman murid dengan meminta murid memberikan contoh lain  bagi perkataan ‘KVK’ atau suku kata ‘KVK’.

Latihan ini nampak mudah. Namun, bukan semua murid mempunyai tahap perkembangan mental yang sama. Ada yang dapat menguasai pada hari ini tetapi jika disoal pada esok hari akan lupa.

Itu bukan masalah besar. Oleh yang demikian, guru tidak perlu melatah dan marah. Amalkan konsep pengulangan dan amalan teori konstruktivisme dalam pengajaran dan pembelajaran supaya murid akan lebih berdikari semasa melalui proses menguasai kemahiran ini.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • panduan di atas adalah menurut pengalaman dan pandangan saya sahaja.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 111 other followers