Arkib

Posts Tagged ‘suku kata’

Mengajar Murid Kemahiran KV+KV+KV

15 Jun 2009 30 comments

Salam sejahtera,

Semoga hidup anda pada hari ini lebih indah dan mempersona. Semoga ada sesuatu yang menarik akan berlaku dalam hidup anda pada hari ini.

Tapik hari ini disambung dengan ‘Mengajar Murid Kemahiran KV+KV+KV’. Kemahiran ini tidaklah susah untuk diajar, tetapi sukar untuk dikuasai oleh murid pemulihan bergantung kepada daya taakul mereka.

Bahan bantu mengajar yang sekurang – kurangnya guru perlu ada ;

  • Kad suku kata KV
  • Kad perkataan KV+KV+KV
  • Kad imbasan bergambar KVKVKV
  • Lembaran kerja 1 – menulis suku kata tertinggal
  • Lembaran kerja 2 – padankan gambar dengan suku kata
  • Alatan permainan yang bersesuaian

TIPS MENGAJAR ;

  • Pastikan terlebih dahulu murid benar-benar menguasai kemahiran yang sebelum ini.
  • Sebelum mengajar, imbas kembali pelajaran terdahulu bagi mengelakkan murid keliru atau lupa.
  • Jelaskan mengapa kemahiran ini perlu dikuasai oleh murid selepas mereka menguasai kemahiran sebelum ini.
  • Edarkan kad suku kata KV. Rangsang murid untuk menyebut suku kata KV
  • Guru tunjuk kad imbasan bergambar KV+KV+KV. Contoh, gambar kereta.
  • Rangsang minda murid perkataan boleh terbentuk daripada kesinambungan suku kata KV.
  • Guru tunjuk perkataan KV+KV+KV = KERETA. Guru eja dan murid ikut
  • Berikan contoh lain. Ulang aktiviti sehingga murid faham konsep pembentukan perkataan.
  • Edarkan kad imbasan bergambar dan kad perkataan. Rangsang murid untuk mengeja dan menyebut perkataan. Tukar kad sesama murid apabila mereka telah kuasai perkataan yang diperoleh.
  • Berikan lembaran kerja 1 dan 2. Biarkan murid lakukan aktiviti dengan kumpulan. Jangan bantu murid
  • Bincangkan jawapan. Galakkan murid bercakap dan memberi respon. Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain selama 15 minit dengan permainan berunsur pendidikan yang disediakan.
  • Sesi penutup, minta murid rumuskan pelajaran pada hari ini. Rangsang murid untuk mengeja semula perkataan yang telah dipelajari tanpa merujuk kad perkataan.
  • Rangsang minda murid untuk memberikan contoh lain perkataan KV+KV+KV

Perlu diingat, semasa mengajarkan kemahiran ini, guru tidak sesekali mengabaikan murid lain yang belajar dalam kelas Pemulihan. Pastikan semua murid melakukan aktivti masing-masing secara terkawal.

Tidak semua murid akan menguasai kemahiran pada hari ini. Latih tubu dan pengulangan kemahiran ini perlu lebih kerap kerana proses pembelajaran selepas itu ada aspek pembacaan.

Oleh yang demikian, pastikan murid menguasai kemahiran ini sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 minggu.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Mengajar Murid Kuasai Kemahiran KV+KVK

12 Jun 2009 8 comments

Salam sejahtera..

Semoga keadaan anda pada hari ini lebih baik daripada hari semalam. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda tidak kira siapa dan di mana anda berada, kenal atau tidak, tua atau muda, semoga anda kekalkan ‘mood’ ceria sepanjang masa dan melakukan ibadah kepada yang memerlukan..

Hari ini kita akan kongsi sedikit ilmu bagaimana mengajar murid menguasai kemahiran KV + KVK. Imbas kembali, jika sebelum ini kita telah mengajar murid kuasai kemahiran mengenal abjad, suku kata KV dan KVK. Maka, pelajaran hari ini adalah kesinambungan daripada kemahiran sebelum ini.

Bahan yang sekurang-kurangnya guru mesti ada adalah seperti yang berikut ;

  • kad suku kata KV
  • Kad suku kata KVK
  • Kad imbasan bergambar
  • lembaran kerja 1 – Padan suku kata KV dan KVK bagi membentuk perkataan bermakna. (10 isi latihan)
  • Lembaran kerja 2 – Padankan perkataan KV+KVK dengan gambar yang sesuai. (10 isi latihan)
  • permainan berunsur pendidikan. (Puzzle suku kata KV+KVK , Dam suku kata KVK, Pancing Perkataan dan lain-lain permainan yang bersesuaian)

TIPS MENGAJAR :

  • Tunjukkan kad suku kata KV dan KVK secara berasingan.
  • Rangsang minda murid untuk sebut suku kata.
  • Kemudian, rangsang minda murid untuk cantum suku kata bagi membentuk perkataan bermakna.
  • Guru berikan contoh - KI+PAS = KIPAS
  • Murid lakukan aktiviti ‘4’ secara berulang-ulang.
  • Uji kefahaman murid. Tunjukkan gambar dan minta murid cari kad dan cantum suku kata membentuk perkataan.
  • Uji keupayaan taakul murid – guru sebut dan murid tulis dalam buku latihan
  • Edarkan lembaran kerja 1 dan 2. Beri murid 15 minit untuk siapkan.
  • Bincangkan jawapan secara keseluruhan.
  • Betulkan segera kesalahan murid jika ada.
  • Berikan murid bermain dengan permainan yang disediakan selama 15 minit.
  • Di akhir sesi, rangsang minda murid akan perkataan yang telah mereka pelajari.
  • Rangsang minda murid untuk memberikan contoh lain bagi suku kata KV+KVK.

Kemahiran ini memakan masa dua minggu untuk dikuasai oleh murid pemulihan. Latihan yang berterusan dan pengulangan setiap hari kemahiran ini dapat membantu murid lebih menguasai.

Setelah menguasai kemhiran ini, guru boleh memindah kepada kemahiran membaca rangkai kata KV + KVK dan cantum suku kata KVK + KV menjadi perkataan bermakna. Contohnya, KVK+KV = LAM+PU = LAMPU.

Mengajar Pemulihan memerlukan ketekunan dan kesabaran. Ada kalanya, murid akan ‘buat perangai’ dalam kelas. Tetapi itu adalah sifat seorang kanak-kanak. Jadi, guru tidak perlu terlalu garang dan jangan kerap memarahi murid.

Sekiranya dalam tempoh 2 minggu murid masih tidak kuasai kemahiran ini, guru jangan panik kerana ia bukanlah masalah yang terlalu rumit. Teruskan mengajar dan ulang kemahiran yang sama sehingga murid benar-benar mahir.

Dalam sistem pendidikan Pemulihan Khas, sesuatu kemahiran baru itu akan dipelajari hanya apabila murid didapati telah menguasai kemahiran yang sebelumnya.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • panduan di atas adalah menurut pengalaman dan pandangan saya sahaja.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 111 other followers