Arkib

Posts Tagged ‘ujian diagnostik’

Boleh Membaca, Tapi Tak Faham

12 Januari 2011 8 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana anda terus melayari laman ini. Saya amat menghargainya.

Baiklah, hari ini saya hendak kongsi maklumat dengan anda berkaitan murid pemulihan yang sudah pandai membaca, tetapi tidak faham apakah yang sedang dibaca.

Sebagai guru yang dedikasi dan komitmen tinggi, tentu kita berasa seronok apabila dapat melihat prestasi murid dalam kelas meningkat dan ada yang berjaya, teruatamanya bagi guru Pemulihan yang mendidik anak murid daripada tidak mengenal huruf sehinggalah sudah boleh membaca.

Namun sayangnya, mereka boleh membaca. Tetapi tidak faham akan cerita atau ayat yang dibaca. Kes seperti ini kerap berlaku pada setiap proses bacaan awal murid. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa tips yang berikut mungkin boleh dijadikan panduan :

  • Murid yang baharu keluar dari kelas Pemulihan ke kelas biasa tidak digalakkan diberi latihan yang terlalu tinggi arasnya.
  • Teknik membaca di kelas Pemulihan berbeza dengan murid di kelas biasa. Guru mata pelajaran perlu peka dan tidak menegur kesalahan murid ini.
  • Biarkan murid membaca sebaris ayat itu tidak kira salah atau tidak tepat bacaannya, guru tidak perlu menegur semasa murid sedang membaca. Biarkan murid baca sehingga habis sebaris ayat, kemudian barulah betulkan kesilapan jika ada.
  • Jangan perli murid yang masih membaca secara ‘merangkak’. Beri mereka pujian kerana berani mencuba.
  • Soal murid maksud ayat yang dibaca setiap kali sebaris ayat itu dibaca. Jika murid tidak dapat menjawabnya, guru hendaklah membantu dengan memberi penerangan yang paling ringkas akan maksud ayat supaya mudah difahami murid.
  • Minta murid baca ayat yang lain dan kemudian soal semula murid maksud ayat yang dibaca. Ulangi proses ini berulang kali supaya murid dapat membiasakan diri untuk menterjemah maksud ayat.
  • Jangan biarkan murid membaca ayat yang terlalu panjang kerana itu akan menyesakkan fikirannya. Pastikan murid membaca beberapa ayat yang pendek dan kemudian adakan sesi soal jawab.
  • Sesekali, guru mesti merangsang minda murid bagaimana hendak menterjemah ayat yang dibaca menggunakan ayat sendiri.

 

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Mengapa Perlunya Pemulihan?

20 Mei 2009 2 comments

Salam sejahtera.

Maaflah sebab minggu ke-21 ini saya banyak menyentuh isu Hari Guru saja. Bukan apa, meraikannya setahun sekali. Semalam saya menerima banyak juga hadiah sempena Hari Guru. Ramai juga anak didik daripada kelas Pemulihan yang memberi hadiah. Terima kasih.

Kita kembali kepada tajuk pada kali ini. Baiklah. Sebelum guru menjalankan aktiviti Pemulihan, guru perlu tahu keperluan dalam kelas biasa khususnya bagi mata pelajaran Bahasa.

DSC01221

Sering kali guru melihat murid bermasalah dalam pelajaran terutamanya dari segi akademik. Pencapaian dalam pelajaran sentiasa merosot, masalah tingkah laku, masalah tulisan, masalah bacaan, masalah pengamatan dan banyak lagi masalah yang perlu diambil perhatian serius.

Masalah – masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat kerana memerlukan masa dan kepakaran oleh Guru Pemulihan. Jadi, murid yang bermasalah ini akan ditapis sebelum ‘dibaiki’ dalam kelas Pemulihan.

Proses Pemulihan yang dijalankan oleh guru pula akan memakan masa dan dijalankan secara berperingkat-peringkat dan berterusan bergantung kepada keupayaan murid.

Perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak mempunyai perkaitan yang2 rapat dengan pemikirannya. Kerencatan dalam penguasaan bahasa boleh menjadi faktor utama murid gagal dalam pelajaran bahasa di sekolah.

Contohnya, kanak-kanak yang buta huruf jika tidak diberi pertolongan yang sesuai semasa usianya akan ketinggalan dalam hidupnya.

Oleh itu, guru harus peka bahawa murid – murid yang dikenal pasti bermasalah harus segera diberi pertolongan yang sesuai jika mahukan mereka kembali ke tahap yang normal seperti murid lain.

Sekian,

1

NORHAIDI BIN SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004-2008

p/s :

  • Untuk maklumat lanjut, suka saya syorkan agar anda segera dapatkan buku Panduan Pengajaran Pemulihan (BM) KBSR & KBSM (1999) yang ditulis oleh pensyarah saya – Pn.Jamilah Ahmad, terbitan Fajar Bakti
  • Klik pada laman DOWNLOAD untuk dapatkan Set Soalan Ujian Diagnostik Bahasa Melayu.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 106 other followers