Arkib

Archive for April 2009

Kursus Profesionalisme Guru

29 April 2009 1 komen

Salam sejahtera,

resort2

Pada 25 dan 26 April yang lalu, pihak SK Taman Impian Emas dengan kerjasama PIBG telah menganjurkan Kursus Profesionalisme Guru di Tanjung Piai Resort. Kursus tersebut adalah seperti berikut :

  • Kursus Analisis Item – Panel ; Puan Azizah binti Abdul Rahman
  • Kursus Motivasi – Panel ; Tuan Hj Salamian, Kem Kaizen Gunung Pulai.

Kursus selama dua hari satu malam tersebut diselangi dengan beberapa acara menarik. Pada hari pertama, sepanjang jalan menuju ke kem, kami menaiki kereta secara berkonvoi. Dalam perjalanan, kami dikehendaki menyelesaikan 15 soalan yang disediakan.

Banyak juga soalan yang tidak dapat saya dan ahli kumpulan jawab. Maklumlah, saya ni orang Ngeri Sembilan. Jadi, memang tak mahir langsung selok belok kawasan sekitar Pekan Nanas dan Pontian ni.

Tepat jam 2.30 petang, saya mempengerusikan kursus yang pertama. Sepanjang mengikuti kursus yang pertama, kami mendapat banyak input yang berguna untuk dijadikan panduan dalam pembinaan soalan yang berkualiti. Kursus siri pertama di tamatkan tepat jam 4.30 petang.

Selepas minum petang, aktiviti riadah kami diisi dengan permainan ‘paintball’. Tugas kami petang itu adalah menembak sasaran. Em, tak sangka setiap guru berbakat dalam acara tembak menembak ni.

2

Saya? tentulah yang paling bagus kot.ha..ha..ha. Sebabnya? saya berjaya jatuhkan lima tin dengan 20 butir ‘peluru’ pada sesi yang pertama berbanding rakan-rakan yang lain. Namun, pada sesi kedua saya tewas 2-1 dengan seorang rakan guru. Sepatutnya keputusan menjadi 2-3 kerana saya berjaya menembak tiga tin. Tetapi yang berjaya dijatuhkan hanyalah satu sahaja.

Pada sebelah malamnya pula, kami ada ‘dinner’ dengan menu keseluruhan segar dari laut. Dalam pada itu juga, aktiviti berkaraoke turut diadakan. Tak sangka sungguh ramai juga cikgu sekolah ni yang berbakat. Tak kiralah suara merdu atau tak. Yang penting aktiviti pada malam tersebut diisi dengan jayanya.

Pada hari kedua, aktiviti disambung dengan ceramah motivasi oleh Tuan Haji Salamian bin Surip. Seronok mendengar ‘celoteh’ pemilik Kem Kaizen, Gunung Pulai ni. Ingatkan nak tidur, tapi tak jadi kerana kepetahan beliau berkata-kata membuatkan kami tidak kering gusi.

Ceramah 2

Saya pun hingga lupa sejenak akan kepenatan yang melanda diri. Apa pun, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa PIBG yang terlibat secara langsung mengurus penginapan dan aturcara program kami pada hari tersebut.

akhir

Sekian,

2

NORHAIDI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s – Dengar cerita lepas ni nak adakan kursus di Pulau Sibu pula.

Advertisements

Masalah Guru Pemulihan – Part 2

28 April 2009 1 komen

Salam sejahtera,

Jika sebelum ini saya telah menyatakan masalah guru Pemulihan dari sudut ‘bebanan kerja’. Kali ini saya ingin menyambung masalah yang dihadapi oleh guru Pemulihan berhubung kemudahan pembelajaran di sekolah.

  • Masalah Kemudahan Fizikal

Kadang-kadang kasihan juga apabila saya dengar cerita guru Pemulihan mengajar di bawah tangga, stor dan macam – macam lagi. Ada yang kotor dan sempit. Semua itu tidak sesuai dan tidak selesa untuk pengajaran dan pembelajaran murid pemulihan.

Seorang guru kelas biasa pernah memberitahu saya bahawa di sekolahnya, dia terpaksa berkongsi bilik dengan guru Pemulihan untuk mengajar. Jika dia sedang mengajar, guru Pemulihan akan masuk ke dalam kelas dan mengajar di belakang. Pada saya, situasi itu amat ‘menyeksakan’ kerana sudah terang lagi bersuluh sesi pembelajaran pada hari itu tidak akan mencapai objektifnya kerana terdapat dua aktiviti utama dalam satu kelas pada masa yang sama.

Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan kedua-dua guru ini kerana jelas mereka tiada pilihan. Tempat yang sepatutnya diguna pakai oleh murid dan guru Pemulihan tidak disediakan oleh pihak pengurusan sekolah.

Bayangkanlah kesukaran yang dihadapi oleh kedua-dua guru yang terpaksa berkongsi kelas ini. Guru Pemulihan memerlukan ruang untuk mempamerkan bahan bantu mengajarnya, ruang pula tidak mencukupi. Papan hitam cuma ada satu. Kena bawa kad imbasan, kad perkataan serta bahan pengukuhan yang lain bersama. Kerusi dan meja pula perlu di susun atur sebelum memulakan pengajaran.

Guru biasa pula perlu bercakap dengan suara yang kuat supaya jelas dan didengari oleh murid yang duduk di sudut yang paling jauh dalam kelas berkenaan. Akibatnya, akan mengganggu pembelajaran murid pemulihan. Guru biasa itu juga mahu mempamerkan bahan bantu mengajarnya.Guru biasa itu juga mahu lakukan aktiviti tertentu dalam kelas.

Apabila ini berlaku, kedua-dua kelompok murid ini akan bertembung dan berbual atau saling kacau mengacau. Akibatnya, keseluruhan pembelajaran akan terganggu dan guru akan alami kesukaran mengawal situasi dalam kelas.

Pada pendapat saya, masalah ini boleh diatasi. Kedua-dua guru perlu menyuarakan masalah ini semasa mensyuarat pengurusan. Minta kerjasama pihak pengurusan menyediakan sebuah tempat yang sesuai untuk guru mengajar Pemulihan.

Guru Pemulihan boleh mendapatkan dana untuk membeli keperluan pembelajaran bagi kegunaan kelas Pemulihan di bawah panitia berikut :

  1. Bahasa Melayu
  2. Matematik
  3. Bimbingan dan Kaunseling

Namun, untuk mendapatkan dana, guru Pemulihan perlu membuat kertas kerja yang relevan.

Sebenarnya, banyak masalah berkaitan kemudahan fizikal yang tidak diperoleh secara baik bagi membangunkan kelas Pemulihan di sekolah. Kelas yang baik mestilah mempunyai ruang seperti sebuah kelas yang biasa.

Walau di mana pun guru mengajar, tidak kira sesusah mana sekali pun, teruskanlah mengajar. Janganlah sesekali merungut akan tugas yang diterima. Selamat maju jaya!

Sekian,

2

NORHAIDI SARPONEN
Mantan Guru Pemulihan
2004-2008

Masalah Guru Pemulihan – Part 1

27 April 2009 4 comments

Salam sejahtera,

Topik kali ini saya ingin berkongsi maklumat dengan anda semua tentang masalah yang ditanggung oleh guru Pemulihan Khas.

Pada bulan lalu, saya ada berkongsi cerita dan pengalaman kerja masing-masing dengan beberapa rakan sekerja. Kami membincangkan isu berkaitan masalah yang melanda guru Pemulihan di sesetengah sekolah.

Hasil perbincangan dan perkongsian pengalaman, dapatlah saya rumuskan bahawa sesetengah guru Pemulihan (bukan semua) di sesetengah sekolah (bukan semua) di seluruh Malaysia mungkin menghadapi masalah berikut :

  1. Masalah beban kerja
  2. Masalah kemudahan fizikal
  3. Masalah perhubungan dengan Guru Besar, guru biasa, ibu bapa dan Pegawai Pemulihan.
  4. Malah Pelaksanaan Tugas
  • Masalah Beban Kerja

Mengikut surat pekeliling yang diedarkan, guru Pemulihan dikehendaki mengajar sebanyak 990 minit seminggu tidak termasuk 120 minit yang diperuntukkan untuk persediaan dan panduan.

Guru Pemulihan juga dikehendaki memberi tumpuan terhadap murid tahun 1 hingga 3 (sistem lama – kini murid tahap 1 atau tahun 2 – 3 sahaja. Murid tahun 4-6 dimasukkan dalam program PROTIM)

Mengikut kajian yang dijalankan, guru Pemulihan telah dibebankan dengan terlalu banyak kerja yang tiada kaitan dengan tugas mereka. Ada guru Pemulihan diberi peranan lain sebagai setiausaha sukan sekolah, ditugaskan mengajar subjek PJK, Muzik, Matematik, Bahasa Melayu, menggantikan guru pra-sekolah yang cuti bersalin dan banyak lagi.

Akibat daripada tugas-tugas yang terlalu banyak ini, maka kadang-kala tugas guru Pemulihan banyak yang tergendala.

Apabila sudah banyak tergendala, maka kerja kelas Pemulihan secara langsung akan terganggu dan terjejas. Pada kebiasaannya, guru Pemulihan lebih kerap diberikan kelas ganti kerana ada guru yang tidak hadir.

Akibatnya, guru Pemulihan mengalami amat banyak gangguan dalam usahanya ‘membetulkan’ anak didiknya yang bermasalah.

Pada pendapat saya , guru Pemulihan boleh menjadi guru ganti dengan syarat kelas yang diganti tidak bertindih dengan jadual mengajar pada hari tersebut.

Guru Pemulihan juga mempunyai pilihan untuk menolak jawatan yang dianggap membebankan dan mengganggu tugas utama di Kelas Pemulihan. Walau bagaimana pun, cara menolak jawatan itu perlulah dengan menggunakan budi bicara yang profesional.

Sekian,

1

NORHAIDI SARPONEN
Mantan Guru Pemulihan
2004-2008


Bahana Nafsu

26 April 2009 1 komen

Oleh : Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Berita Harian
Ahad
19 APRIL 2009

1

SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.
Penghuni Kem Bina Insan Kewaja mengikuti sesi agama dan kaunseling.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan2 mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.
Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cinta. BAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.

Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.

“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.

“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.

Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.

Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.

“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.

“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan… sudah macam suami isteri,” katanya.

Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.

“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.

Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin

Kes pertama:

SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.

Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.

Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.

Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.

Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.

Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.

Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.

“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.

“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.

“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.

Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua.

INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.

Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.

Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.

“Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.

“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.


Sekian.

Oleh,

2

Teacher’s Department

p/s :

  • Selamatkanlah masa depan kaum hawa yang ‘suci’ dari terjerat oleh kata-kata si ‘perogol’.

Kisah Penjual Tempe

25 April 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera. Ada sebuah cerita yang menarik untuk dipaparkan pada hari ini. Harap anda dapat membacanya sehingga habis. Bagus cerita ini. Sesungguhnya tiada kuasa lain yang dapat menandingi kekuasaan Allas swt..amin

Kisah penjual tempe

Moga menjadi iktibar.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi-NYA tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe . Amin”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe . Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe , Amin”

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walau bagaimana pun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat.
Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe . Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe , tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh d i sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu
dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba, dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe , tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya. “Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi!. Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England , si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

Moral:

  • Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
  • Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-NYA yang mungkin di luar jangkaan kita.
  • Tiada yang mustahil bagi Tuhan
  • Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan..

Oleh itu, hantarlah kepada sahabat yang lain agar kebaikan boleh sama dikongsi. Mudah-mudahan Allah suka dengan apa yang kita buat (“,) ….

Sekian,

me3

Teacher’s Department

Kiosk Pemulihan Khas

23 April 2009 25 comments

Salam sejahtera..

Semalam sahaja, saya menerima berpuluh-puluh email yang rata-ratanya daripada pelajar di institusi pendidikan yang mahu saya papar gambar sebenar kelas Pemulihan.

kiosk

Baiklah, bagaimanakah yang dikatakan sebuah kelas Pemulihan yang selesa, kondusif, selamat dan ‘sejuk mata memandang’?

Saya akan paparkan pada minggu depan beberapa contoh kelas Pemulihan yang saya perolehi dalam sesi lawatan Profesional ke lima buah sekolah di sekitar Johor Bahru pada pertengahan 2008 yang lalu.

Hari ini saya akan paparkan kehebatan kelas Pemulihan dari Sekolah Kebangsaan Lepar Utara 1, Bandar Jengka yang mempunyai kiosk menarik dan sesuai dengan ciri-ciri kelasnya.

    visual

    Kiosk Ruang / Visual


    matematik

    Kiosk Matematik


    inter

    Kiosk Interpersonal

      intrapersonal

      Kiosk Intrapersonal


      muzik

      Kiosk Muzik

        bahasa

        Kiosk Bahasa

        Sekian,

        1

        NORHAIDI SARPONEN

        Mantan Guru Pemulihan

        2004-2008

        Persediaan Mengajar

        23 April 2009 5 comments

        Salam sejahtera,

        Topik kali ini saya ingin kongsikan mengenai membuat persediaan mengajar bagi Program Pemulihan. Persediaan mengajar ini penting bagi setiap guru sebelum memulakan pengajaran kerana ia merupakan panduan sebelum guru melangkah menuju ke kelas.

        Pentingnya persediaan mengajar ini adalah bukan sahaja sebagai panduan, malah menjadi penentu kejayaan guru pada hari tersebut. Ini kerana tercatat segala aktviti yang guru rancang dan hasil pembelajaran yang guru inginkan.

        Dalam kelas Pemulihan, guru perlu mengajar murid mengikut kumpulan kelemahan masing-masing. Bagaimana hendak mengajar murid Pemulihan mengikut kumpulan?

        Pada kebiasaannya, setiap kelas Pemulihan mempunyai tiga kumpulan murid. Saya fokuskan penyediaan Rancangan Mengajar dengan merujuk kepada tiga kumpulan.

        Baiklah. Pada hari ini, Puan Munirah ada kelas Pemulihan bagi tahun 2 selama satu jam. Katakan kelas Puan Munirah mempunyai kumpulan murid seperti berikut :

        Kumpulan Anggerik

        1. Siti
        2. Fatin
        3. Zahid

        Kumpulan Bakawali

        1. Lim
        2. Ravi
        3. Said

        Kumpulan Cempaka

        1. Akmal
        2. Iman
        3. Affandi

        Kategori kelemahan :

        Kumpulan Anggerik

        • Membina ayat

        Kumpulan Bakawali

        • Membaca ayat

        Kumpulan Cempaka

        • Mengeja perkataan

        Dalam kes ini, Puan Munirah dikehendaki membahagikan masa mengajar kepada tiga kumpulan tersebut dengan adil. Justeru, persediaan mengajarnya adalah seperti berikut :

        Set Induksi

        • 10 minit
        • Ketiga-tiga kumpulan terlibat

        Langkah 1

        • 15 minit
        • Kumpulan Anggerik (permainan)
        • Kumpulan Bakawali (pengukuhan)
        • Kumpulan Cempaka (pengajaran)

        Langkah 2

        • 15 minit
        • Kumpulan Anggerik (Pengajaran)
        • Kumpulan Bakawali (permainan)
        • Kumpulan Cempaka (pengukuhan)

        Langkah 3

        • Kumpulan Anggerik (pengukuhan)
        • Kumpulan Bakawali (pengajaran)
        • Kumpulan Cempaka (permainan)

        Penutup

        • 5 minit
        • Ketiga-tiga kumpulan terlibat

        Sekiranya anda masih tidak faham akan kaedah mengajar kelas Pemulihan ini, sila klik DISINI untuk DOWNLOAD Rancangan Mengajar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

        Sekian,

        1

        NORHAIDI SARPONEN

        Mantan Guru Pemulihan

        2004-2008

        Kategori:Pend.Pemulihan Tag: