Utama > Pend.Pemulihan > Cabaran Guru Pemulihan

Cabaran Guru Pemulihan

Assalamualaikun dan salam sejahtera..

Pendidikan yang semakin mencabar abad ini memaksa guru mencongak strategi berkesan bagi memastikan setiap murid mendapat taraf pendidikan yang seimbang dan sama rata. Tidak kira jawatan apa pun di sekolah, keutamaan guru adalah ‘servis’ yang baik terhadap ‘klien’ masing-masing. Sesetengah guru mata pelajaran di kelas biasa inginkan murid mendapat A dalam peperiksaan bagi mata pelajaran masing-masing. Tetapi mungkin sebaliknya bagi seorang guru pemulihan.

Guru Pemulihan amat menyedari keupayaan anak didik masing-masing. Jauh sekali hendak mengejar gred A, B atau C dalam peperiksaan. Murid-murid dalam kelas Pemulihan hendak skor D pun ‘sakit’. Justeru, ada dalam kelompok guru Pemulihan ini yang berpendapat adalah baik sekiranya murid berkenaan diajar beberapa kemahiran selain dari akademik. Ini kerana bukan semua murid Pemulihan boleh dipulihkan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.

Kasihan apabila melihat murid ini melangkah ke alam sekolah menengah tanpa boleh membaca dan menulis dengan baik. Sebab itu mengajar mereka kemahiran seperti bertukang, berkebun, bersukan dan kemahiran lain yang bersesuaian adalah lebih baik. Sekurang-kurangnya mereka boleh ‘cari makan’ dengan kemahiran yang dimiliki kerana sijil akademik pasti tidak akan membantu.

Itulah hakikat sebenar bagi seorang murid pemulihan. Semua itu boleh diubah. Tetapi mesti kena dengan caranya. Bagaimana dengan gurunya pula?

Hari ini, setiap guru Pemulihan sentiasa berasa tercabar dengan profesion mereka. Begitu banyak halangan yang boleh membantutkan usaha murni mereka mendidik murid masing-masing.

Antara cabaran guru Pemulihan pada hari ini adalah seperti yang berikut :

  • Hubungan dan kerjasama dengan guru biasa

Sesetengah guru terutama mereka yang mengajar murid lambat menganggap tugas itu sebagai satu kerja yang tiada harapan dan membazirkan masa mereka sahaja. Justeru, mereka mengambil kesempatan ini dengan menyerahkan seluruh tanggungjawab itu kepada guru Pemulihan dengan alasan tugas tersebut adalah kerja rutin guru Pemulihan.

Di sini, guru Pemulihan perlu menyedarkan semula guru-guru lain bahawa masalah murid lambat adalah masalah bersama dan mengatasi rasa negatif mereka terhadap pengajaran Pemulihan.

  • Sokongan daripada Guru Besar

Untuk memastikan hubungan dan kerjasama yang baik daripada guru biasa, guru Pemulihan memerlukan sokongan daripada Guru Besarnya. Sesetengah Guru Besar di sesetengah sekolah mungkin tahu kewujudan akan kelas Pemulihan, tetapi mungkin tidak fahan akan falsafah dan prinsip dalam pengajaran di kelas Pemulihan.

Saya pernah ditegur beberapa kali kerana mengajar murid secara duduk, baring dan bermain. Untuk mengajar murid yang tidak boleh menerima aras percakapan seorang dewasa, sebagai guru, saya perlu jadikan diri saya seperti murid tersebut. Saya kena memahami segala perlakuan dan cara belajar murid tersebut. Melalui cara itu, murid berjaya menerima ilmu yang diajar. Konsep santai dalam kelas yang diamalkan berjaya mengubah cara belajar murid. Tetapi hal inilah yang Guru Besar tidak tahu.

Saya juga pernah ditegur kerana murid dilihat lebih banyak bermain bukan belajar dalam kelas Pemulihan. Sukar untuk jelaskan kepada seorang yang tidak ‘menghuni’ dunia Pemulihan. Orang hanya pandai cakap dan mengarah. Tetapi apabila diminta beri kerjasama atas apa yang dicakapkan amatlah sukar.

  • Kerjasama daripada ibu bapa

Sesetengah ibu bapa tidak boleh memberi kerjasama sepenuhnya apabila diminta berbuat demikian agar masa depan anak mereka lebih terjamin. Saya menghantar 20 surat kepada setiap ibu bapa murid yang terlibat dengan program Pemulihan untuk hadir ke kelas bagi membincangkan masalah anak masing-masing. Malangnya, yang hadir cuma tiga wakil sahaja.

Apabila anak mereka gagal dalam pelajaran, salah guru Pemulihan dibangkitkan kerana tidak menjalankan tugas dengan baik. Bagaimana hendak jalankan tugas dengan baik jika guru tersebut tidak mendapat maklumat yang tepat dan jujur tentang anak mereka?

  • Guru bukan opsyen.

Kasihan, kadang-kadang saya ada mendengar rintihan rakan-rakan di sekolah lain yang sudah mengajar subjek teras bertahun-tahun tiba-tiba diarahkan mengajar Pemulihan. Guru bukan opsyen Pemulihan tersebut tentulah terkejut kerana tiada pengalaman dalam program Pemulihan langsung.

Saya menasihatkan guru terbabit agar jangan mudah melatah dan sebagai seorang guru, terimalah tanggungjawab tersebut dengan rela dan ikhlas. Memang diakui guru tersebut tidak tahu bagaimana hendak mentadbir ujian saringan dan diagnostik, analisis ujian, pengasingan kumpulan mengikut daerah kelemahan, pengajaran individu, pengajaran berkumpulan, membuat bahan bantu mengajar, sistem dalam kelas pemulihan dan banyak lagi. Tetapi, semua itu boleh diatasi dengan mempelajarinya secara berperingkat-peringkat.

Sekian.

Oleh,

me1

NORHAIDI SARPONEN
Mantan Guru Pemulihan
2004 – 2008

Kategori:Pend.Pemulihan
  1. 14 Januari 2013 at 12:16 AM

    ASLKM TUAN RUMAH MINTA IZIN COPY YA

  2. Gracie
    21 Oktober 2013 at 7:56 AM

    saya setuju dengan pernyataan saudara di atas mengenai kelas pemulihan. Tidak semua guru memahami apa situasi sebenar kelas pemulihan. Lebih-lebih lagi sikap guru subjek yang suka memandang rendah terhadap guru kelas pemulihan.

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: