Utama > Pend.Pemulihan, Pengetahuan > ‘Dahulu’ dan ‘Sekarang’

‘Dahulu’ dan ‘Sekarang’

kelasku2

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Saya masih ingat lagi sewaktu dibangku sekolah dahulu. Setiap kali cikgu bahasa Inggeris masuk, pertama sekali dia akan tanya sama ada kami sihat atau tidak, ada ambil sarapan pagi atau tidak, siapa hantar pergi ke sekolah, kalau jalan kaki pun tak apa – lagi banyak dapat pahala. Saya cukup senang dengan sikap yang ditunjukkan oleh guru tersebut setiap kali masuk ke kelas.

Guru bahasa Inggeris jarang marah. Semasa berada dalam darjah tiga, murid yang lemah diasingkan dalam satu kumpulan untuk memudahkan sesi pengajaran. Murid yang lemah (termasuk saya) diberi latihan yang sederhana susah tetapi masih tajuk yang sama pada hari tersebut.

Kalau sesiapa tidak siap kerja rumah, guru akan beri satu tempoh masa untuk kami siapkan. Sebab itu saya suka cikgu bahasa Inggeris kerana dia jarang marah.

Saya cukup hormat pada guru tersebut. Rasa hormat bukan kerana cikgu tidak pernah marahkan saya. Saya pernah dirotan oleh guru bahasa Melayu kerana meniru semasa menyiapkan kerja rumah. Cikgu tersebut berjaya mengesan jawapan yang sama ditulis bersama lapan orang rakan lagi.

Bukan sahaja jawapan sama, setiap baris susunan ayat juga sama. Kalau orang pertama salah dalam ejaan, begitu jugalah orang seterusnya hingga kelapan akan salah ejaan yang sama. Jadi, terimalah hadiah ‘roti panjang’. Kata cikgu bahasa Melayu, “jangan suka meniru, sampai bila kamu hendak pandai. Kalau tidak tahu sekalipun, saya suka kalau kamu sendiri usaha. Saya tidak ajar kamu meniru. Kalau tidak tahu, bukankah bertanya itu lebih bagus?.”

Semasa zaman sekolah rendah dahulu, ada seorang guru yang saya geruni. Setiap kali dengar bunyi motorsikal guru tersebut, saya akan menggigil. Itulah kehebatan guru Matematik. Tidak garang, tetapi tegas. Kerja rumah tidak siap, meniru, menipu, berbohong, semuanya guru Matematik boleh tahu.

Mengajar logik secara bersahaja dan banyak unsur lawak. Tetapi awas kalau tidak memberi tumpuan sepenuh perhatian sewaktu cikgu Matematik mengajar. Nanti tak pasal-pasal kena baling dengan pemadam papan hitam.

Dahulu, kalau kena sebat dengan guru, saya tidak berani hendak mengadu semula kepada ibu bapa. Takut nanti kena ‘tambah’ lagi dengan ibu bapa. Tak macam murid zaman sekarang. Lalu sebelah guru pun susah nak beri salam hormat.

Kalau ke kantin, murid selamba berlari depan guru. Tidak hirau siapa pun guru pada masa itu. Walaupun berkali-kali diberitahu semasa perhimpunan pada setiap pagi, masih ramai dalam kalangan murid yang tidak mengamalkan sikap berkenaan.

Kurangnya rasa hormat murid pada guru tidak diketahui puncanya. Guru adalah ‘orang tengah’ yang menjalankan tugas daripada pihak atasan. Hendak rotan murid zaman sekarang tak macam guru zaman dahulu punya kuasa merotan. Hari ini murid kena rotan sikit, esok ibu bapa datang serang guru.

Anak murid tak siapkan kerja rumah yang diberi. Guru cuma boleh tegur sahaja. Rotan adalah salah. Murid tersenyum sahaja sebab kalau tak buat kerja rumah pun tak apa. Cikgu marah saja. Cikgu tak boleh rotan. Kalau kena marah pun tak sakit. Sebab itu murid kelas hujung ramai yang tidak buat kerja. Sebab tak ada kuasa bagi guru merotan lagi.

Bila guru tak ada kuasa merotan, murid naik tocang. Boleh buat sesuka hati. Hilang rasa hormat pada guru. Bercakap dengan guru terjerit-jerit macam orang kena histeria. Sukar dikawal.

Semuanya kerana kuasa merotan guru sudah tiada. Apabila prestasi murid merosot, guru terpaksa mendengar ‘leteran’ daripada Guru Besar dalam mesyuarat pengurusan.

Cikgu dikatakan segala macam punca murid merosot. Tebal muka cikgu kerana usahanya selama ini tidak mendatangkan hasil. Kasihan.

Sebenarnya, saya lebih kagum dengan guru -guru yang mengajar di kelas yang hujung-hujung ni berbanding dengan guru yang mengajar di kelas yang ‘pandai’. Mengajar murid yang kurang cerdik memerlukan kesabaran dan kreativiti, bakat dan usaha yang gigih.

Bukan guru yang mengajar kelas ‘pandai’ tidak bagus, mereka pun tidak kurang hebatnya, cuma saya lebih menyanjung guru yang mengajar murid kelas belakang lebih-lebih lagi apabila murid berkenaan mendapat keputusan yang lebih bagus daripada murid kelas ‘pandai’.

Sekian.

Oleh,

teachers-department

NORHAIDI SARPONEN

Teacher’s Department.

  1. ummu solehah
    9 Jun 2012 at 3:09 PM

    Ya,,itu lah situasi guru hari ini,,,guru dahulu hebat dipandang tinggi dan dihormati semua orang..tapi kenapa guru hari ini dibuat entah tak endah saje..

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: