Arkib

Archive for 21 Mei 2009

Minggu Peperiksaan

21 Mei 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera..

Minggu ini telah pun bermula peperiksaan pertengahan tahun 2009. Seperti biasa, mengendalikan kelas-kelas yang terlibat dengan peperiksaan adalah rutin bagi semua guru di setiap jabatan.

Saya ditugaskan membina soalan peperiksaan Bahasa Melayu Tahun 1. Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan baik. Sebenarnya bukan cerita soalan yang saya hendak sentuh. Tetapi saya hendak fokus kepada murid – murid dalam kelas yang saya ajar.

Senario semasa musim peperiksaan atau tidak, bagi mereka sama saja. Saya tidak terkejut dengan sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid kerana saya sendiri sedia maklum akan perangai masing-masing.

Belajar atau tidak, pandai atau tidak, jawab soalan atau tidak, hadir sekolah atau tidak, bagi mereka sama saja. Definisi hadir ke sekolah dalam diri mereka tidak sama dengan apa yang anda fikirkan sekarang. Keinginan belajar mereka pada masa sekarang adalah kurang daripada 30%.

Berdasarkan pemerhatian saya setakat 6 tahun sebagai guru di Sek.Keb Taman Impian Emas ini, inilah antara senario murid-murid yang rata-ratanya berkeadaan sedemikian semasa musim peperiksaan :

  • Alat tulis tidak lengkap, tiada persediaan dari rumah
  • Kerap menoleh ke kiri dan kanan, berbual atau memberi isyarat untuk mendapatkan jawapan daripada rakan.

  • Tidak membaca soalan dengan teliti.

  • Bagi kertas 1, murid yang ‘leceh hendak baca’ akan jawab sambil lewa – bulatkan jawapan.

  • Buat-buat baca soalan ketika guru melakukan rondaan.

  • Ada murid tidak faham soalan tetapi tidak mahu bertanya.

  • Selesa untuk tidur atau bermain dengan alat tulis apabila selesai menjawab soalan.

  • Tidak peka dan tidak mahu melakukan semakan semula kerana menganggap semua jawapan yang dibuat atau ditanda adalah betul.

  • Tidak peka dengan jadual peperiksaan.

  • Tidak membawa bahan untuk ulang kaji ke sekolah.

  • Jika jadual peperiksaan selepas itu adalah subjek Bahasa Inggeris, murid lebih gemar bermain. Apabila ditegur, murid akan mengeluarkan buku Matematik, buku agama atau buku cerita yang tiada kena mengena dengan subjek peperiksaan yang akan menjelang.
  • Ada juga murid yang lebihkan tidur daripada menjawab soalan.

Apabila menanda kertas soalan pula, saya dapati ramai murid yang tidak menjawab kesemua soalan seperti yang diarahkan dalam soalan. Hal ini menunjukkan murid tidak kisah mengalami kegagalan berulang.

Walaupun acap kali diberikan teguran, nampaknya tiada perubahan. Mungkin ada sesuatu yang boleh dilakukan bagi memperbetul semula situasi ini, cuma tidak tahu lagi apakah caranya dan kesesuaian pelaksanaanya kepada murid yang sedemikian.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Mantan Guru Pemulihan,
2004 – 2008

p/s :

  • Semoga semua anak didikku dibuka pintu hatinya untuk belajar. Tiada hadiah yang lebih berharga untuk seseorang guru melainkan melihat anak didik masing-masing berjaya.


Kehebatan Murid Kelas ‘Belakang’

21 Mei 2009 5 comments

Salam sejahtera..

Selalu kita dengar murid kelas belakang adalah murid yang majoritinya bermasalah. Tetapi, tahukah anda walaupun mereka bermasalah, mereka masih boleh dibentuk.

Sebenarnya :

  • Mereka bermasalah kerana lambat matang.
  • Mereka bermasalah kerana tidak mendapat bimbingan yang betul.
  • Mereka bermasalah kerana tidak diberi peluang.
  • Mereka bermasalah kerana tidak mendapat didikan agama yang cukup
  • Mereka bermasalah kerana kurangnya amalan disiplin.
  • Dan mereka bermasalah kerana tidak diingatkan selalu.

Jika dibentuk dengan secukupnya, pasti mereka tidak ‘senakal alam’ seperti yang kita bayangkan.

Tetapi, tahukah anda dengan berkawan rapat dengan murid ini, anda dapat mengekpoitasi segala kekurangan mereka menjadi satu kelebihan?

Eksploitasi di sini bukan bermaksud mempergunakan mereka. TIDAK sama sekali. Ia membawa maksud lebih kepada mencari kekurangan dan membuka1 peluang kepada murid untuk menjadikan ia sebagai kelebihan kendiri.

Sebagai contoh? Kita tidak tahu sebenarnya bukan semua murid kelas ‘belakang’ ini yang suka bersosial dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Ada yang rajin buat kerja sambilan sebenarnya.

Ada yang bantu keluarga petik taugeh, kutip besi buruk, bantu bapa di bengkel kereta dan motorsikal, pandai berenang dan tahu selok belok sungai, boleh melukis dan mewarna dengan baik, pandai berlakon, boleh menyanyi dan banyak lagi potensi mereka yang guru tahu tetapi murid tidak ‘nampak’.

Jika guru dapat cungkil dan ketengahkan kelebihan mereka di dalam kelas, pasti murid tersebut akan sedar kekurangan itulah yang boleh dijadikan kelebihan.

Pernah seorang guru menghantar murid dari kelas ‘belakang’ menyertai pertandingan nyanyian peringkat daerah dan menang!. Ada juga guru yang menghantar murid menyertai pertandingan reka cipta peringkat daerah dan menjadi johan!

Jadi, hendak mencungkil kelebihan murid ini kadang-kala menjadi rumit juga kerana kekangan ibu bapa dan murid itu sendiri yang pemalu dan tidak mahu mencuba.

Jadi, jelaslah bahawa murid kelas ‘belakang’ tidak semuanya yang ‘negatif’. Kenal pasti murid dan rapat dengan mereka akan membuatkan seseorang guru lebih mengenali siapa anak murid mereka.

Menyalahkan mereka setiap kali latihan yang diberi tidak disiapkan adalah tindakan yang kurang tepat. Adalah lebih baik jika guru selidik dahulu apa yang murid lakukan sebelum mengenakan hukuman.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN

Mantan Guru Pemulihan

2004 – 2008