Archive

Archive for Jun 2009

Mengajar Murid Membaca Ayat Mudah

30 Jun 2009 2 comments

Salam sejahtera,

Syukur alhamdulillah kerana kita masih dapat menghirup udara yang segar pada hari yang indah ini. Semoga kehidupan kita akan terus dan sentiasa lebih baik pada hari ini berbanding semalam.

Baiklah, setelah sekian lama memberi tumpuan mengajar terhadap murid yang sederhana bijak dalam kelas pemulihan, kali ini saya akan beralih tumpuan terhadap murid yang lemah pula.

Tajuk topik pada hari ini adalah seperti yang tertera ; MENGAJAR MURID MEMBACA AYAT MUDAH.

Pada hari ini, andaikan guru memilih kemahiran KV + KVK sebagai contoh dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari ini.

Oleh yang demikian, sekurang-kurangnya guru perlu ada bahan-bahan yang berikut ;

  • Komputer (desktop / laptop)
  • LCD Projector + Layar Putih
  • Kad ayat (sekurang-kurangnya ada lebih daripada 10 kad ayat) pelbagai variasi.
  • Gambar KV+KVK (sekurang-kurangnya ada 10 keping bersaiz separuh A4) pelbagai jenis.
  • Lembaran kerja 1 – menyalin semula ayat dengan tulisan yang betul dan kemas.
  • Lembaran kerja 2 – memadan ayat dengan gambar / perbuatan yang sesuai.
  • Permainan berunsur pendidikan – 3 jenis mengikut kesesuaian topik guru hendak mengajar.

TIPS MENGAJAR :

  • Tunjukkan gambar di layar putih dan rangsang minda murid mengecam gambar. – CONTOH, gambar pertama adalah gambar KATIL.
  • Rangsang minda murid untuk mengeja dan menyebut perkataan berdasarkan gambar rangsangan.
  • Guru tunjuk satu contoh ayat di layar putih.
  • CONTOH – Katil buruk itu sudah patah.
  • Tarik perhatian murid, guru eja, baca dan sebut – murid ikut.
  • Ulang aktiviti sehingga murid ingat dan faham.
  • Bincangkan maksud ayat tersebut.
  • Guru tunjukkan gambar lain beserta ayat contoh.
  • Ulang aktiviti 4 sehingga murid faham konsep membaca ayat.
  • Edarkan semua kad ayat dan biarkan murid melakukan aktiviti dalam kumpulan. Pantau rapi setiap bacaan murid.
  • Uji bacaan murid selepas 15 minit. Minta murid baca sekurang-kurangnya 2 kad ayat yang disediakan.
  • Betulkan kesalahan bacaan yang dilakukan murid sekiranya ada.
  • Edarkan lembaran kerja 1. Berikan arahan dengan jelas.
  • Pantau aktiviti murid. Bincangkan soalan. Minta murid baca soalan dan berikan jawapan.
  • Edarkan lembaran kerja 2 dan ulang aktiviti yang sama.
  • Betulkan kesalahan murid jika ada.
  • Berikan tempoh 15 minit untuk bermain.
  • Sesi penutup, guru tunjukkan lima baris ayat berbentuk teks di layar putih.
  • Rangsang murid untuk baca bersama-sama.

Jika murid dapat membaca kelima-lima baris ayat berbentuk teks berkenaan, berkmakna objektif pengajaran danpembelajaran pada hari berkenaan telah tercapai.

Sekian,

Teacher's Department
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : panduan di atas adalah menurut pandangan saya sahaja.

Kisah Guru dan Murid – Part 2

29 Jun 2009 2 comments

Pada suatu pagi di satu sekolah menengah, ada seorang pelajar lelaki bernama Akmal bertanya pada seorang cikgu bernama Norhaidi yang sedang mengajar. Ketika itu, Cikgu Norhaidi sedang menyentuh mengenai kasih dan sayang secara am.

Dialog antara Akmal dan Cikgu Norhaidi tersebut berbunyi begini :

Akmal : Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang?. Macamana juga kasih sayang itu nak berkekalan?

Cikgu Norhaidi : Oh, kamu nak tahu ke?. Emmm…baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut je OK…mungkin kamu akan dapat apa jawapannya.

Akmal : Baiklah…apa yang saya harus buat?

Cikgu Norhaidi : Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ dan sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang PALING cantik yang berada di depan kamu dan selepas itu bawa balik ke kelas.

Akmal : Ok. Saya pergi sekarang dan buat apa yang cikgu suruh.

Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka cikgu pun bertanya kepada pelajar tersebut.

Cikgu Norhaidi : Mana rumput yang cikgu suruh petik?

Akmal : Oh, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang, saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang dibelakang saya sebelum itu tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.

Cikgu Norhaidi : Ya, itulah jawapannya. Maknanya, apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut. Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah kita jumpa paling cantik dan paling baik pada MULAnya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi. KECUALILAH jika perhubungan tersebut tak boleh diselamatkan lagi, maka barulah kita mulakan sekali lagi. Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas.

Moral :

  • Maka, bersyukurlah dengan kasih-sayang yang anda terima pada hari ini, kerana jika anda meninggalkannya, mungkin kasih sayang itu tidak akan kembali seperti sediakala.
  • Sedarlah wahai insan, kasih sayang ALLAH itulah yang paling hakiki, jika kau memalingkan dirimu dari kasihNya,maka kamulah serugi-rugi manusia.

Riak Ketika Ibadat Lebih Bahaya Daripada Dajal

28 Jun 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Rasulullah berpesan elak menunjuk-nunjuk ketika beramal kerana menyamai syirik

RIAK ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: “Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: “Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathul Baari berkata: “Riak ialah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu.”

Ada insan yang ketika beribadah secara bersendirian kualiti amalannya tidak sehebat ketika orang lain memandangnya. Contoh seseorang yang solat bersendirian maka solatnya tidak sepanjang atau bacaan dalam solat tidak dilagukan atau dinyaringkan.

Apabila di depan orang ramai, solat menjadi panjang dan suaranya dikuatkan supaya orang lain mendengar bacaan yang berlagu. Tasbihnya pula dibiarkan di tangan sambil mulut terkumat-kamit agar dilihat orang.

Begitu juga boleh dianggap riak jika seseorang memakai pakaian seperti ulama iaitu berjubah dan serban besar bertujuan menampakkan dirinya sebagai alim dan kuat beribadah. Ada juga individu sengaja menghitamkan dahi dengan menggosoknya menggunakan objek keras supaya kelihatan seperti yang kuat mengerjakan solat dan lama bersujud..

Kerisauan Baginda SAW terhadap sifat riak disebabkan penyakit hati ini mudah menyerang setiap insan kerana jiwa manusia memiliki kecenderungan suka menerima puji dan kedudukan tinggi di hadapan orang lain. Al-Muhasibi menjelaskan penyebab riak: “Senang dipuji dan takut dicela, tunduk kepada dunia dan tamak kepada perkara dimiliki orang lain.”

Riak juga berbahaya kerana meresap dalam amalan umat Islam dalam keadaan samar. Mereka yang dihinggapi penyakit riak tidak menyedari ibadah sudah tercemar kerana hilang keikhlasan.

Riak dianggap Rasulullah SAW sebagai amalan syirik kecil kerana bagi seseorang yang sudah dihinggapi sifat ini ibadahnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah, sebaliknya menempatkan insan lain sebagai tandingan bagi Allah kerana amalnya bertujuan menarik perhatian insan itu.

Justeru, riak bukan sekadar boleh menyebabkan seorang terjebak dalam dosa, ia sebenarnya boleh menyebabkan amalan tidak diterima Allah. Imam Ibnu Taymiyyah berkata: “Sesungguhnya bagi seseorang yang bersikap riak dalam ibadah, bukan saja ibadahnya batal, malah dia turut mendapatkan dosa daripada perbuatannya itu yang dianggap syirik kecil.”

Apabila suatu amalan dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah, ia akan diterima oleh-Nya. Sebaliknya, apabila amalan diniatkan untuk mendapat perhatian, pujian atau meraih keuntungan duniawi, maka ia tidak diterima Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang dia niatkan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Allah berfirman bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan memurnikan (ikhlas) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah Al-Bayyinah, ayat 5)

Imam Ibnu al-Qayyim ketika menafsirkan ayat itu menyatakan: “Seperti Allah adalah satu dan tiada Tuhan selain-Nya begitu pula hendaklah amal ibadah itu layak dipersembahkan hanya untuk-Nya dan tiada sekutu. Demikian juga halnya jika hanya Dia sebagai sembahan, maka wajiblah mengesakannya dalam perhambaan kerana amal yang salih adalah amal yang bersih daripada riak dan terikat dengan sunah.”

Amal seseorang diterima Allah harus memenuhi dua syarat iaitu niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Allah berfirman bermaksud: “Barang siapa berharap akan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan jangan mempersekutukan dalam menyembah Tuhannya dengan suatu apa pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Menyedari besarnya musibah dibawa sifat riak, Rasulullah SAW mengajar umatnya memohon perlindungan dengan membaca doa: “Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dosa syirik yang tidak diketahui merujuk riak kerana ia dianggap syirik tersembunyi. Pelakunya menampakkan ibadah itu dikerjakan kerana Allah, sedangkan niat tersembunyinya untuk mendapat perhatian dan pujian manusia.

Perasaan riak dapat disingkirkan dalam jiwa setiap insan jika dia benar-benar memahami keagungan sifat Allah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat serta Maha Mengetahui apa yang nampak ataupun tersembunyi.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakkannya, pasti Allah mengetahuinya” (Surah Ali-Imran, ayat 29).

Apabila seseorang mengetahui tiada apa yang terdetik di hatinya tersembunyi daripada Allah, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan ibadahnya hanya kepada Allah.

Pada akhirat nanti, bagi mereka yang riak akan menerima pembalasan dengan dibongkarkan niatnya yang buruk itu di depan seluruh makhluk seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa beramal kerana sumah (ingin didengari manusia) Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan kejelekannya. Siapa berbuat riak, maka Allah akan menampakkan sifat riaknya itu (di depan makhluk).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Al-Khathabi berkata: “Makna hadis ini, orang yang melakukan amalan tanpa niat ikhlas, namun hanya mahu dilihat dan didengar manusia, maka pada hari kiamat dia akan dibalas atas hal itu iaitu dengan cara memperkenalkannya, membongkarkan kejelekannya dan menampakkan apa yang dia sembunyikan (di sebalik amalannya).”

Oleh itu, mari kita berlumba untuk mengerjakan amal salih secara tulus ikhlas kerana Allah dan jika perasaan riak timbul perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia.

Jika seseorang pada asalnya berniat mengerjakan ibadah ikhlas kepada Allah, namun kemudian perasaan riak itu datang secara tiba-tiba dan dia berusaha menghilangkannya, keadaan itu tidak menyebabkan amalannya ditolak Allah.

Oleh :

Mohd Yaakub Mohd Yunus

Sumber :

http://www.bharian.com.my

Kerana Isteriku Yang Bernama Liza

28 Jun 2009 36 comments

“Abang ni, pakai tu elok-elok la sikit,” kata Liza lembut sambil membetulkan pakaian Usin. Usin tersenyum memandang isterinya.”Cantik isteri abang hari ni,” Usin mencubit pipi Liza lembut.

“Ayah, ayah, cepat la yah,” Farah dan Adi meluru masuk ke bilik kerana dah tak sabar-sabar nak bertolak pulang ke kampung. “Yelah, yelah, ayah dah siap ni.” Liza hanya tersenyum melihat suaminya itu melayan karenah anak-anak mereka yang comel dan manja.

“Abang, dah lama kita tak balik kampung macam ni, ye?” “Iyelah, maklumlah abang ni sibuk dengan urusan perniagaan. Baru kali ni abang ada peluang untuk cuti panjang.” Usin berkata kepada isterinya tercinta.

Perjalanan daripada KL ke Tangkak mengambil masa lebih kurang empat jam. Farah dan Adi dah pun terlelap kat kerusi belakang. Begitu juga dengan isterinya, Liza. “Tak sabar rasanya nak tiba kat kampung,” Usin berkata dalam hati.

Sedikit demi sedikit Usin menekan minyak keretanya. Semakin lama keretanya semakin laju dan Usin semakin seronok. Usin dah tak sabar untuk segera sampai ke kampungnya. Pedal minyak ditekannya lagi dan Honda Civicnya mula memecut. Usin cilok kiri, cilok kanan. Habis semua kenderaan dipotongnya. Bangga betul Usin masa tu. Terlupa dia sekejap pada anak dan isterinya yang sedang tidur.

“Eh abang, kenapa bawa laju sangat ni?” tiba-tiba Liza terjaga dari tidurnya.”Tak ada apa la sayang, rileks…cepat sikit kita sampai kampung nanti.” “Sabar bang, sabar. Biar lambat tak apa….jangan laju sangat bang,20 Liza takut.” Liza cuba memujuk Usin supaya memperlahankan kenderaannya. “Rileks Liza?tak ada apa-apa,” Usin terus memotong bas ekspres di depannya tanpa was-was.

“Haaa..kan, tengok. Tak ada apa-apa kan?” kata Usin setelah berjaya memotong bas ekspres tadi. “Sudah la tu bang.” “Ha… tu ada satu lagi bas ekspres. Liza tengok abang motong dia aaa….” Usin terus masuk gear 3, pedal minyak ditekannya hingga jejak ke lantai.

Usin terus membelok ke kanan untuk memotong dan …di depannya tersergam sebuah lori balak yang besar dan gagah dan………………..ABANG!!

*******************************************

“Usin….bangun Sin,” sayup-sayup terdengar suara emaknya. Usin membuka matanya. Dia terlihat emaknya di situ. “Mana Liza mak? Macammana dengan Liza mak? Farah, Adi….mana anak-anak saya mak?” Bertubi-tubi Usin menyoal emaknya. Usin tak dapat menahan kesedihannya lagi. Usin menangis semahu-mahunya di depan emaknya.

Emaknya memandang Usin tepat-tepat. “Macamana dengan isteri Usin mak, Liza?” Usin masih terus menangis.

PANGGG!!

Kepala Usin yang botak itu ditampar oleh emaknya dengan tiba-tiba. Usin terdiam. Kenapa emaknya buat dia macam tu?

“Banyak la engkau punya isteri! Keja pun pemalas ada hati nak berbini. Tu la, tidur lagi senja-senja macam ni! Dah! Bangun pegi sembahyang!” emaknya terus merungut sambil berlalu keluar….

…Dan Usin tersengih keseorangan. Rasa macam nak masuk dalam tin biskut! Malu beb!!

Sekian, Terima Kasih…
Harap Maklum…

Sumber : http://profiles.friendster.com/amier1984

KISAH PEMUDA BERIBU-BAPAKAN BABI

27 Jun 2009 1 komen

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina.

Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”.

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.

“Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu, babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.

“Wahai saudara! Apa agama kamu?”.

“Aku agama Tauhid”, jawab pemuda itu iaitu agama Islam.

“Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu.” Kata Nabi Musa.

“Wahai tuan hamba”, kata pemuda itu.

“Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.”, sambungnya.

“Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.”, tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s.

‘Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami.”

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : “Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga.”

MORAL :

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibu bapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibu bapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Sumber : portal syok

Hari Terbuka S@KTIE 2009

27 Jun 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga perjalanan hidup anda pada hari ini lebih menarik dan menyeronokkan. Pada hari ini, hanya sedikit sahaja yang ingin saya tulis.

Hari ini adalah Hari Terbuka yang diadakan di SK Taman Impian Emas, di mana ibu bapa / penjaga akan datang ke sekolah untuk mengambil buku rekod prestasi anak jagaan masing-masing.

Ramai juga yang hadir memeriahkan majlis kerana selain daripada program hari ini, ada juga karnival jualan dijalankan. Turut serta dalam karnival jualan ini adalah wakil daripada Utusan Malaysia.

Maklum sajalah, sekolah ini telah terpilih sebagai sekolah angkat Utusan Malaysia daripada 30 buah sekolah.

Saya ditugaskan melayan kunjungan ibu bapa bagi murid tahun 5. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.  Kebanyakan ibu bapa meminta agar guru lebih tegas terhadap anak mereka supaya tidak leka dalam pelajaran.

Jika perlu, rotan atau denda yang setimpal dengan kesalahan atau kecuaian murid. Maklum sajalah, dalam buku prestasi murid lebih banyak dakwat merah daripada dakwat biru.

Sememangnya saya sedia maklum apabila ibu bapa sering merungut tatkala melihat prestasi anak-anak jatuh merudum. Pelbagai cara sudah dilakukan namun hasilnya masih sama seperti dahulu juga.

Murid-murid dari kelas belakang boleh dibentuk dan diperbetulkan kesilapan yang ada, berbekalkan masa dan disiplin diri yang kuat. Pembelajaran melalui paksaan adalah tidak digalakkan.

Kekerasan adalah nadi utama menyebabkan mereka memberontak. Justeru, ibu bapa dan guru perlu bijak memainkan peranan psikologi dalam mengajar anak masing-masing.

Hari Terbuka ini tamat jam 12.30 tengah hari.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN,
Teacher’s Department

p/s : – seronok apabila ada ibu bapa beri ‘lampu hijau’.

Panduan Mengesan kelemahan Murid – End

25 Jun 2009 1 komen

Salam sejahtera.

Semoga kesihatan anda bertambah baik, anda kekal sihat, segar dan ceria serta menjadikan hidup anda pada hari ini lebih baik daripada semalam dan penuh dengan amal jariah untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan anda.

Hari ini adalah bahagian akhir di mana saya akan sentuh mengenai tanda-tanda murid alami masalah kesihatan fizikal dan mental. Tanda-tanda berkenaan adalah seperti yang berikut ;

1. Tidak hadir ke sekolah kerana sakit

2. selalu mengantuk / tertidur

3. Sentiasa keletihan

4. Kerap sakit perut

5. Mudah diserang penyakit

6. Duduk dalam keadaan yang tidak selesa

7. Pencapaian semakin merosot.

Sememangnya faktor kesihatan adalah penyebab utama mengapa murid dilihat lemah semasa mengikuti kelas Pemulihan. Ada murid yang tiada ‘mood’ untuk belajar jika keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Saya kerap menerima situasi di mana murid sering tertidur di dalam kelas, menghadapi selsema dan kudis. Situasi di atas bukan sahaja kurang menyenangkan murid itu sendiri, malah akan menyebabkan murid yang lain berasa geli dan tidak selesa.

Guru perlu meminta ibu bapa penjaga murid segera mendapatkan rawatan alternatif jika perlu.

Apabila saya mendapati murid saya tidur di dalam kelas, saya bertanya mengapa dan murid akan mengatakan lewat tidur malam kerana menonton DVD dan pergi ke sekolah ibu tidak menyediakan sarapan.

Dalam kes ini, ibu bapa / penjaga memainkan peranan penting. Elakkan anak jagaan mereka berjaga sehingga jauh malam semata-mata kerana hiburan. Murid perlu tidur jam 9.00 malam.

Ada sesetengah ibu bapa menyediakan sarapan tetapi murid itu sendiri yang tidak mahu sarapan.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • Strategi mengesan masalah pembelajaran murid akan dibincangkan dalam kiriman yang akan datang. Oleh yang demikian, teruskan mengunjungi laman ini.
  • Sebarang perkongsian pendapat atau apa jua pendangan anda amatlah dialu-alukan.