Archive

Archive for September 2009

Mendidik Anak – Guna Kekerasan @ Psikologi??

30 September 2009 2 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda sihat sentiasa dan dapat menjalankan tugas harian seperti biasa. Terima kasih kerana anda masih sudi mengunjungi laman ini. Tidak kira siapa dan di mana anda berada, saya doakan anda sentiasa ceria. Insyaallah.

Topik pada hari ini berkaitan dengan sistem pemulihan tetapi dilaksanakan oleh ibu bapa murid sendiri. Saya akan nyatakan isu ini dalam bentuk situasi.

Pada malam tadi, saya dan rakan serumah pergi ke sebuah gerai di Taman Tun Aminah, Skudai untuk menjamu selera. Apabila berada dalam keadaan di mana ramai orang di satu-satu tempat, saya akan ambil peluang itu untuk memerhati gelagat dan tindak tanduk mereka.

Sambil menjamu selera, mata saya meliar melihat ke kiri dan kanan melihat gelagat orang ramai. Selang dua meja di hadapan saya, ada sepasang suami isteri dan dua orang anak mereka yang masih kecil sedang menjamu selera juga.

Tidak berapa lama kemudian, kedua-dua anak pasangan ini tadi berkeliaran. Si bapa memanggil anaknya yang semakin jauh dari tempat makan. Suara si bapa memanggil anaknya menyebabkan ramai orang tersentak!. Anaknya yang masih kecil pula seronok bermain berdua. Agaknya tidak mendengar panggilan si bapa atau memang tidak peduli langsung dengan tempikan si bapa. Budak kecil-lah katakan. Apalah sangat yang mereka faham?

Tiba-tiba si bapa bangun dan menuju ke arah anaknya. Dua anak perempuannya tadi di seret kembali ke meja makan. Si kecil di sepak-sepak macam bola. Sambil mulut memarahi anaknya, kakinya tak henti-henti menyepak si kecil bertalu-talu.

Kasihan anak kecil itu meraung kesakitan. Orang ramai termasuklah saya sekadar memandang sayu dan menggeleng-geleng kepala.

Selepas makan malam, saya pulang ke rumah dan memikirkan semula situasi yang berlaku. Ada dua perkara berbeza yang bermain di minda. Satu positif dan satu lagi negatif. Namun, saya lebih terarah kepada berfikir secara positif.

Barangkali, itu adalah caranya mendidik anak yang tidak mendengar kata? Entahlah. Sesetengah orang bersetuju ibu bapa menggunakan kekerasan untuk mendidik anak mereka berbanding menggunakan pendekatan psikologi. Beberapa ibu bapa yang saya temui turut sama bersetuju dan mengakui bahawa anak-anak sekarang semakin moden.

Mendidik tanpa menggunakan kekerasa tidak akan menjamin anak itu akan menghormati atau mendengar kata orang tua kelak. Jika semasa kecil anak tidak dipukul, apabila besar nanti tidak akan menjadi ‘orang’

Sesetengah pendapat mengatakan, mendidik anak-anak dengan cara yang kasar adalah tidak betul. Menggunakan kekerasan bukanlah jalan terbaik untuk mendidik anak-anak. Apabila ibu bapa menggunakan kekerasan, anak-anak akan berasa takut dengan ibu bapa. Ibu bapa pula menganggap anak mereka menghormati mereka dan mendengar kata. Menggunakan kekerasan yang melampau juga pasti akan mendatangkan kesan buruk terhadap anak juga terutamanya dari segi mental. Mereka akan hilang keyakinan kendiri.

Guru pula bagaimana? Ramai dalam kalangan pelajar sekolah kini yang semakin biadap! Ada dua pendekatan juga untuk mengatasi masalah ini. Walau pun telah banyak kali diperkatakan, adakah kedua-dua pendekatan tersebut mendatangkan kesan yang lebih baik setelah dilaksanakan? Hanya yang mengalami ‘proses’ itu sahaja akan mengetahui sejauh mana keberkesanannya..

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Anda ada pandangan atau idea? harap dapat berkongsi pandangan anda bersama saya. Terima kasih

Rabun Jauh..Rabun Dekat

29 September 2009 3 comments

ARKIB : 13/09/2009
Rabun jauh rabun dekat

RABUN antara masalah penglihatan yang paling biasa berlaku kepada semua peringkat umur dalam masyarakat. Kini, masalah rabun juga sering dialami kanak-kanak sebelum tibanya usia persekolahan lagi. Pun begitu, tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk membantu memperbaiki tahap penglihatan.

*Jenis rabun

Terdapat dua jenis masalah rabun iaitu rabun jauh dan rabun dekat. Rabun jauh ialah keadaan di mana seseorang tidak dapat melihat objek yang jauh dengan jelas, tetapi dapat melihat objek dekat dengan jelas.

Perkara sebaliknya berlaku pada individu yang mengalami rabun dekat iaitu objek yang dekat kelihatan kabur, tetapi objek jauh pula boleh dilihat dengan jelas. Beberapa gejala kanak- kanak yang mengalami rabun jauh dapat dikesan dengan mudah.

Selalunya mereka akan membaca buku pada jarak dekat dan apabila melihat objek yang jauh, seperti televisyen, mereka akan mengecilkan kedua-dua mata supaya objek itu kelihatan lebih jelas.

*Punca Rabun Jauh

Setakat ini, tiada teori tepat mengenai punca berlakunya rabun jauh. Bagaimanapun, faktor keturunan mempunyai pengaruh terhadap berlakunya rabun jauh.

  • Kemungkinan seorang anak yang ibu bapanya menghidap rabun jauh untuk mengalami masalah sama ialah 40 peratus.
  • Ada teori mengatakan, rabun jauh berlaku jika seseorang gemar membaca pada jarak dekat.
  • Sesetengah pakar lain pula mengatakan, kerana rabun jauhlah seseorang itu membaca pada jarak dekat.
  • Rabun jauh bukan sejenis kecacatan. Sebenarnya struktur mata orang yang rabun jauh adalah normal.
  • Apa yang berlaku ialah, biji mata mereka lebih besar dan panjang berbanding orang yang tidak rabun.
  • Imej yang masuk ke dalam mata tidak dapat difokus dengan tepat ke atas retina, tetapi terfokus pada kedudukan di depan retina.
  • Situasi ini dapat diumpamakan dengan perbezaan manusia berambut lurus dan berambut kerinting, ada yang bercermin mata dan ada yang tidak bercermin mata.
  • Tahap kerabunan tidak bertukar atau bertambah akibat cermin mata selalu dipakai.
  • Sebenarnya, sama ada cermin mata dipakai atau tidak, tahap kerabunan akan meningkat setiap enam bulan di mana kuasa cermin mata harus ditukar.
  • Ini satu proses semula jadi yang dialami individu yang rabun. Penambahan tahap kerabunan berlaku sehinggalah individu berkenaan mencapai usia dewasa iaitu apabila meningkat umur 18 hingga 25 tahun.
  • Oleh itu, adalah penting memastikan kanak-kanak rabun memakai cermin mata untuk memberi keselesaan dan menentukan mereka dapat melihat sejelas mungkin di sekolah.
  • Faktor pemakanan tertentu memainkan peranan dalam tahap kesihatan mata. Tidak dapat dinafikan, vitamin A diperlukan dalam proses biokimia di dalam retina mata.
  • Namun, ini tidak bererti vitamin A dapat mengubat kerabunan, seperti mana dilakukan kebanyakan ibu yang memberi anak mereka makan sayur lobak merah dengan harapan masalah kerabunan itu akan hilang. Ini merupakan satu usaha yang tidak memberi manfaat.

*Rawatan

  • Kaedah rawatan paling mudah untuk masalah rabun adalah melalui penggunaan cermin mata.
  • Kaedah lain pula ialah menggunakan kanta lekap yang diletakkan di atas lapisan kornea.
  • Rawatan terbaru ialah rawatan laser atau lasik yang memberi seseorang itu keyakinan dan tidak perlu memakai cermin mata.

Sebilangan daripada mereka yang rabun mungkin mengalami komplikasi kelekangan lapisan retina. Ini berlaku apabila retina lekang daripada lapisan koroid, menyebabkan gangguan fungsi retina dan menyebabkan buta jika tidak dirawat.

Kelekangan retina boleh berlaku kepada seseorang yang rabun jauh. Pesakit mungkin akan mengalami kehilangan penglihatan di medan penglihatan sebelah bawah.

*Presbiopia

Sejenis masalah rabun yang berlaku apabila seseorang itu dapat melihat objek yang jauh dengan baik, tetapi tidak dapat membaca dengan baik dikenali sebagai presbiopia.

Ia biasanya berlaku pada seseorang yang mencapai umur lebih 40 tahun.

Ini disebabkan proses pengerasan kapsul kanta yang menyebabkan pengurangan pergerakan kapsul kanta ketika melihat objek.

Dalam keadaan seseorang ingin memfokus pada objek yang dekat, kapsul tersebut harus mengendur untuk menjadikan kanta itu lebih cembung.

Apabila berlaku pengerasan, proses ini sukar dilakukan dan keupayaan mata melihat objek yang dekat berkurangan.

Masalah ini perlu diatasi dengan memakai cermin mata untuk membaca yang harus ditukar setiap dua tahun.

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu menghidap presbiopia, kekaburan dekat berlaku pada kedua-dua mata dan ketajaman objek itu menjadi lebih jelas apabila objek dijauhkan sedikit.

Masalah ini juga tidak seharusnya disalahfahamkan dengan masalah katarak mata, terutamanya bagi mereka yang melebihi umur 40 tahun.

Penghidap katarak menghadapi kesukaran melihat objek jauh. Seseorang yang menghidap katarak tidak dapat melihat objek jauh dengan jelas dan objek tersebut masih kelihatan kabur walaupun dengan memakai cermin mata.

*Rabun dekat

Apabila seseorang itu rabun dekat, otot mata mereka harus bekerja kuat untuk memfokuskan objek ke atas retina.

Jika usaha ini terlalu kuat, akan terjadi tanda seperti kekaburan, sakit di atas kening dan mata yang selalu letih dan berair, terutama selepas membuat kerja yang menggunakan penglihatan dekat seperti menjahit dan membaca.

Kanak-kanak yang rabun dekat berkemungkinan mempunyai daya tumpuan yang singkat. Mereka juga mungkin menjadi juling.

Apakah kaitan di antara rabun dekat dan presbiopia? Mereka yang bermasalah rabun dekat atau hiperopia menghidapi presbiopia pada umur lebih muda iaitu sebelum 40 tahun berbanding mereka yang tiada masalah ini.

Seperti rabun jauh, rabun dekat juga dapat dirawat dengan memakai cermin mata atau kanta lekap.

Kadang kala, sebilangan kanak-kanak yang menghidap rabun dekat dapat memulihkan masalah kejulingan mata selepas memakai cermin mata.

Sumber : Utusan Melayu

Bahasa Inggeris Dalam Program Pemulihan

28 September 2009 6 comments

Oleh :

Puan Rubiah binti Ramli

Peserta KSPK pemulihan (IPBMM,KL 2008)

Program pemulihan telah disediakan untuk membantu murid mengatasi masalah kelemahan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Tanpa bantuan, mereka akan gagal membina keyakinan diri untuk belajar dan mencari pengalaman yang menggembirakan di sekolah dan mereka juga mungkin tercicir dari sistem persekolahan lebih awal lagi. Melalui program pemuliham keperluan murid yang mempunyai masalah pembelajaran dikenalpasti dan pihak sekolah memastikan mereka mendapat bantuan pemulihan untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Program pemulihan yang sedia ada memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran bahasa melayu. Program intervensi yang dilancarkan hanya membantu murid-murid pemulihan menguasai kemahiran membaca dan menulis di dalam bahasa melayu sahaja. Murid yang mempunyai masalah pembelajaran biasanya lemah dalam bahasa melayu mahupun bahasa Inggeris.

Penguasaan Bahasa Melayu yang baik membantu murid-murid pemulihan ini mengikuti matapelajaran yang lain dengan tetapi tidak bagi matapelajaran matematik dan sains Murid-murid pemulihan perlu juga didedahkan kepada Bahasa Inggeris . Ini adalah kerana sistem fonologi Bahasa Inggeris adalah jauh berbeza dengan bahasa melayu. Sebutan abjad bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah berbeza.

Di samping itu, sistem ejaan di dalam perkataan bahasa Inggeris tidak boleh dibatangkan. Sekiranya tiada pendedahan kepada bahasa Inggeris kebarangkalian, murid-murid pemulihan membunyikan perkataan Bahasa Inggeris mengikut ejaan Bahasa Melayu adalah tinggi.

Justeru, murid -murid yang masih belum menguasai Bahasa Inggeris pada tahap yang sepatutnya atau jauh ketinggalan dari rakan sebaya perlu mengikuti kelas pemulihan Bahasa Inggeris. Persoalannya adakah murid-murid ini sedang mengikuti program pemulihan Bahasa Inggeris yang selari dengan Program Pemulihan yang sedang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Memang diketahui umum, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid juga kurang memberangsangkan terutamanya murid-murid di luar bandar atau pinggir bandar. Namun demikian, tiada inisiatif yang bersifat kebangsaan untuk menangani masalah ini.

Penguasaan bahasa Inggeris yang kurang memuaskan ini telah menjejaskan pelaksanaan ETeMS sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Rata-rata orang ramai berpendapat penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan kemerosotan pretasi murid-murid dalam matapelajaran matematik dan sains.

Sewajarnya, murid-murid yang mengikuti program pemulihan yang sedia ada juga perlu ‘dipulihkan’ dari aspek penguasaan bahasa inggeris mereka bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Seterusnya dapat mengikuti matapelajaran Matematik dan Sains dengan baik. Malang sekali tiada kelas pemulihan Bahasa Inggeris yang dilaksanakan secara terancang dan intensif seperti kelas pemulihan bahasa Melayu.

Senario yang ada kini ialah murid-murid pemulihan sekolah rendah akan ‘di bawa keluar’ dari kelas semasa mata pelajaran bahasa Melayu bagi mengikuti ‘kelas pemulihan’ dan mereka akan mengikuti mata pelajaran yang lain seperti biasa mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan.

Murid-murid ini akan mengikuti matapelajaran bahasa Inggeris, Matematik dan Sains seperti biasa meski pun mereka perlu ‘dipulih’ dari aspek penguasaan bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka akan jauh ketinggalan atau tercicir berbanding rakan-rakan yang lain. Masalah ini berlarutan hingga ke peringkat sekolah menengah di mana mereka sudah menguasai kemahiran bahasa Melayu dengan baik tetapi penguasaan bahasa Inggeris mereka sangat mengecewakan kerana tiada intervensi awal di peringkat sekolah rendah.

Program pemulihan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah perlu juga diberi keutamaan dan sewajarnya diintegrasi dalam program yang sedia ada bagi membantu murid meningkat potensi mereka untuk belajar dan mendapat manfaat dari sistem pendidikan.

Malang sekali masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sering dibincangkan tapi tiada mekanisma yang padu serta mantap bagi menangani masalah ini. Sudah tiba masanya kelas pemulihan bahasa Inggeris diwujudkan bagi memastikan kelestarian agenda pendidikan yang bertaraf dunia berlangsung seperti yang dihasratkan.

Sekian,

belalang

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Puan Rubiah adalah salah seorang peserta KSPK Pemulihan Khas. Kami menuntut dalam kelas yang sama pada 2008.

Selamat Hari Raya..Maaf Zahir Batin..

18 September 2009 1 komen

kad raya

Salam sejahtera..

Di hari yang baik ini, saya NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini dan seluruh umat ISLAM di seluruh dunia, maaf zahir dan batin. Semoga anda bergembira di hari kemenangan.

Terima kasih kepada anda yang sudi memberi komen dalam setiap laman atau kiriman. Terima kasih kepada anda yang turut sudi berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pendapat mengenai setiap isu yang dibangkitkan semasa bersembang secara maya melalui Yahoo Messenger!.

Saya akan bercuti daripada menulis di laman ini bermula 18 September 2009 sehingga 28 September 2009. Namun demikian, beberapa post telah disetkan secara automatik sepanjang saya bercuti. Doakan semoga saya selamat pulang ke Negeri Sembilan dengan selamat.


Sekian,

DSC02670

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan,

SK Taman Impian Emas,

81300 Johor Bahru

alhamdulillah

Kategori:Pengumuman Tags: ,

Program Bakul Ilmu

17 September 2009 2 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan yang terbaik di samping melakukan rutin harian sama ada rasmi atau tidak. Semoga setiap amal yang kita lakukan pada hari ini akan diterima..insyaallah..Terima kasih kerana sudi mengunjungi laman ini.

Kali ini saya ingin sentuh isu masalah membaca dalam kalangan murid sekolah rendah. Isu yang selalu dirungutkan kebanyakan ibu bapa yang prihatin terhadap masa depan anak masing-masing. Juga isu yang kerap dibangkitkan oleh setiap guru pemulihan atau guru-guru aliran perdana yang menghadapi masalah serupa di dalam kelas.

Seperti yang guru-guru sedia maklum, terdapat pelbagai punca yang menjadi tunjang kepada kewujudan masalah membaca dalam kalangan murid-murid. Pelbagai faktor menjadi pendorong kepada isu ini sehingga guru sukar membuat kesimpulan tentang apakah sebenarnya yang berlaku.

Namun, walau apa pun punca, guru tetap terarah kepada tanggungjawab untuk mencari penyelesaiannya. Apa jua alternatif yang ada, diaplikasi sebaiknya ke atas murid. Segala teori dan praktikal dilaksanakan. Pelbagai bahan bantu mengajar dan sumber di sediakan khusus untuk murid-murid ini.

Situasi sama juga berlaku terhadap saya. Salah satu program yang saya telah laksanakan adalah ‘PROGRAM BAKUL ILMU’.

PROGRAM BAKUL ILMU

Matlamat Program

Realisasi daripada program ini diharap akan dapat mengurangkan jumlah murid yang tidak tahu membaca, mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, menambah kosa kata dan mendorong murid menggunakan istilah-istilah bahasa yang mempunyai nilai murni dalam kehidupan seharian berdasarkan bahan bacaan. Selain itu, murid akan dapat menghayati dan memahami isi kandungan bahan bacaan yang dibaca dan mengaplikasi kemahiran berbahasa dalam pelbagai situasi.

Pelaksanaan

Setiap pagi, guru akan dapati murid tiba seawal jam 6.50 pagi. Malah, ada juga murid yang datang ke sekolah lebih awal daripada itu. Pada kebiasannya, selepas murid tiba, mereka akan meletakkan beg di dalam kelas dan mula mengatur strategi untuk membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti bermain sejenis permainan yang akan menyebabkan baju yang bersih menjadi kotor dengan kesan-kesan peluh, debu-debu tanah dan sebagainya.

Justeru, saya mencadangkan supaya pada setiap pagi :

  • Selepas sahaja selesai murid cap jari untuk kehadiran, mereka perlu berada di tapak perhimpunan dalam barisan kelas masing-masing bersama sebarang bahan bacaan. Setiap murid dikehendaki membaca dan memahami sebarang bahan bacaan dalam tempoh 20 minit pada setiap pagi setiap hari bersekolah.

  • Untuk menjadikan program ini lebih menarik, setiap guru kelas dikehendaki menyediakan sebuah bakul bagi menampung sejumlah bahan bacaan untuk setiap murid kelas masing-masing dan disimpan di dalam bilik guru.

  • Guru kelas boleh menetapkan sama ada ketua atau penolong ketua darjah untuk mengambil bakul yang mengandungi bahan bacaan ini daripada guru kelas masing-masing pada setiap pagi. Bahan bacaan ini tadi kemudiannya akan di bawa turun ke tapak perhimpunan untuk dibaca oleh murid kelas yang berkenaan.

  • Guru Bertugas Mingguan(GBM) pula dikehendaki memastikan pelaksanaan aktiviti ini pada setiap pagi. GBM yang menjadi pengacara majlis pada hari berkenaan dikehendaki memilih lima orang murid secara rawak untuk memperdengarkan bahan bacaan mereka secara ringkas kepada semua murid. Tujuan murid ini dipanggil bagi memastikan mereka mengikuti program ini dan menjadi pengukur kepada semua guru terhadap keupayaan murid. Adakah murid mengikuti program yang dilaksanakan oleh guru? Adakah murid benar-benar faham akan bahan bacaan yang dibaca?

  • Bagi merealisasikan program ini, pihak sekolah wajar menjadikan program ini sebagai program  yang wajib di sekolah. Dengan berbekalkan pengalaman selama empat tahun di sekolah ini, saya percaya pihak pentadbir sedia maklum akan sikap segelintir murid sekolah yang akan menjadi ‘dalang’ kepada program yang bakal dilaksanakan ini. Sehubungan dengan itu, saya berharap agar pihak sekolah dapat bertegas dengan program ini dan mungkin akan mengenakan satu bentuk denda yang difikirkan sesuai terhadap murid yang mengingkari pelaksanaan program ini.

Sekian,

belalang

NORHAIDI BI HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Sekiranya anda ada pandangan mengenai program lain di bawah seliaan anda, adalah digalakkan untuk anda berkongsi bersama dalam ruangan ini.
  • Terima kasih

Memupuk Amalan Membaca

16 September 2009 10 comments

Oleh :

Puan Che Aisah binti Ishak

Peserta KSPK pemulihan (IPBMM,KL 2008)

Kebolehan membaca adalah amat penting untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Kebolehan membaca membolehkan manusia mengumpul ilmu pengetahuan daripada buku-buku ilmiah dan bahan-bahan bacaan yang lain.Orang yang berilmu pengetahuan adalah orang yang luas pembacaannya. Seperti mana kita tahu kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran sama ada membaca,menulis, atau mengira.

Adalah menjadi harapan pelajar-pelajar pemulihan mempunyai minat membaca yang tinggi. Sehubungan dengan itu cara yang paling berkesan menanam tabiat membaca ialah dengan menguasai kemahiran membaca .

Secara ringkas,membaca bolehlah dimaksudkan sebagai memahamkan perkataan-perkataan dalam bentuk tulisan.Oleh itu kebolehan membaca bolehlah dirumuskan sebagai memahami isi kandungan dalam tulisan.Kebolehan melafazkan bunyi-bunyi bahasa sahaja tanpa memahami ertinya tidaklah boleh dianggap sebagai membaca dalam erti kata sebenar.

Proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan meningkatkan penguasaan kemahiran membaca .Ramai murid yang gagal menguasai kemahiran membaca kerana mereka telah diajarkan dengan cara pendekatan yang kurang sesuai. Kegagalan menguasai kemahiran membaca tentu akan menjejaskan taraf pencapaian pelajaran mereka. Murid-murid yang belum menguasai kemahiran membaca tidak akan memahami mata pelajaran yang mereka pelajari. Sifat minat membaca tidak dapat dipupuk kerana kegagalan menguasai kemahiran membaca.

Guru haruslah berusaha dengan menjalankan strategi pengajaran dan pembelajaran mengikut Kaedah yang sesuai supaya murid-murid pemulihan boleh menguasai kemahiran membaca dengan sepenuhnya. Prof Atan Long dalam tesisnya yang disiarkan dalam “masalah Pendidikan” menyarankan kaedah penggabungan vokal dan konsonan dan suku-suku kata menjadi perkataan yang pada pendapatnya lebih berkesan daripada kaedah mengajar huruf demi huruf.

Faktor-faktor mengapa murid kurang minat membaca juga disebabkan kekurangan bahan-bahan bacaan yang sesuai.

Pihak sekolah seharusnya memain peranan penting menggalakkan minat membaca di kalangan murid. Pihak sekolah hendaklah memastikan terdapat banyak buku-buku yang bersesuaian di pusat sumber sekolah .Murid-murid membuat anggapan hanya buku teks sekolah lebih penting untuk dibaca berbanding dengan buku-buku lain. Guru haruslah membuang tangggapan negatif  itu dalam kalangan pelajar.

Guru pemulihan atau guru kelas boleh menanam minat membaca dengan mengadakan satu sudut bacaan dalam kelas , di mana buku-buku cerita, majalah pelajar dan kad-kad bergambar . Tiap-tiap murid mesti membaca kad-kad gambar dan guru hendaklah menanda di dalam buku. Pihak sekolah juga boleh menganjurkan pertandingan bercerita, penulisan, bersajak dan lain-lain.

Progaram Nilam yang dijalankan di sekolah sekarang perlulah diselaraskan dengan baik supaya memberikan kesan yang lebih positif. Ibu bapa juga haruslah menunjukkan minat membaca semasa di rumah supaya menjadi teladan kepada anak-anak. Ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke kedai –kedai buku atau ke perpustakaan yang berdekatan seperti Perpustakaan Negeri dan sebagainya.

Pepatah ada mengatakan “Membaca Jambatan Ilmu”. Membaca diibaratkan seperti pelita hidup. Seseorang yang rajin membaca akan menjadi orang yang berilmu. Negara akan lebih maju dan membangun jika rakyatnya minat membaca bagi menambahkan ilmu pengetahuan seterusnya akan menjadi para bijak pandai.

Usaha menanam minat membaca dalam kalangan murid-murid adalah menjadi tanggungjawab bersama guru, ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat. Sikap ini akan menghasilkan warga yang berpengetahuan dan sentiasa berusaha untuk maju ke depan.

Rujukan: Pemulihan, Pengayaan dan Isu Pendidikan (Mok Soon Sang)

Sekian,

belalang

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

P/s :

  • Puan Che Aisah adalah salah seorang peserta KSPK Pemulihan Khas. Kami menuntut dalam kelas yang sama pada 2008

Pencarian Lailatul Qadar

15 September 2009 Tinggalkan komen

Pencarian Lailatul qadar

Oleh :

PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.

Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada.

Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.

Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum selesai.

Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini.

Keutamaan lailatul qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan lailatul qadar.

Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.

Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang ‘haram’ dilepaskan.

Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.

Benarlah pesan Rasulullah SAW bahawa, “Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala kebaikan)”.

Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.

Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang.

Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.

Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut.

Oleh itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah SWT kepada kita.

Mendapatkan lailatul qadar

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.

Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.

Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya.

Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.

Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto’ misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)”.

Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut.

Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.

Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai.

Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka ‘Afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘nniy yang maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku”.

Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.

Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.

Menghantar Pulang Tetamu Agung

Ramadan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi.

Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.

Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang.

Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadan kali ini hingga ke ‘hujung desa’. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadan kali ini bersisa sedikitpun.

Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.

Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-‘Aliyyil ‘Adzim yang maksudnya, “Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

Sumber : Utusan Melayu