Archive

Archive for November 2009

Salam Aidiladha..

26 November 2009 2 comments


Selamat menunaikan ibadah qurban….

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Rawatan Awal Mata Perlu

25 November 2009 Tinggalkan komen

ARKIB : 10/11/2009

Oleh :

ZUHAYATI YAZID

Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.

MATA ialah organ deria yang membolehkan manusia melihat dan menikmati keindahan alam. Kebolehan untuk melihat pula merupakan suatu proses yang agak kompleks yang terdiri daripada beberapa peringkat dalam ‘Proses Penglihatan’.

Proses ini bermula dari rangsangan fizikal yang sampai ke mata hinggalah akhirnya imej yang dilihat diterjemahkan oleh otak.

Namun tahukah kita bahawa 90 peratus daripada masalah mata adalah masalah gangguan fungsi penglihatan manakala 10 peratus lagi adalah disebabkan oleh penyakit mata.

Bagi kanak-kanak, pengesanan masalah gangguan fungsi penglihatan cukup penting kerana pada ketika inilah sistem penglihatan sedang berkembang dan sebarang gangguan akan menimbulkan masalah lain yang lebih serius.

Rawatan awal dan komitmen ibu bapa penting bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan berupaya melihat kembali dengan baik dan jelas.

Pensyarah Kanan Jabatan Optometris, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rokiah Omar berkata, perkara ini penting bagi mengawal keadaan menjadi lebih serius.

Katanya, bagi memastikan seseorang itu mempunyai bacaan optimum, mereka semestinya mempunyai tahap penglihatan 6/6 pada kedua-dua belah mata mereka.

”Kanak-kanak yang mempunyai tahap penglihatan 6/9 atau kurang dikategorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan.

”Manakala mereka yang mempunyai tahap penglihatan kurang dari 6/18 pula dikategorikan sebagai penglihatan yang terhad,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Rokiah, kanak-kanak bermasalah penglihatan biasanya sukar atau tidak dapat melakukan tugasan seperti membaca atau menulis tanpa menggunakan alat bantuan khas.

Oleh itu tegasnya, mereka ini memerlukan alat bantuan yang boleh memperbaiki tahap penglihatan mereka, contohnya, melalui cermin mata, teleskop, cermin mata berkuasa tinggi, kanta pembesar berdiri, dirian membaca, cetakan besar dan juga visor.

Jelasnya lagi , penyakit kongenital dan keturunan merupakan penyebab utama berlaku penglihatan terhad.

Malah sekiranya seseorang bayi mendapat katarak kerana jangkitan kuman ketika dalam kandungan, ia akan menghalang cahaya dari terfokus ke retina dan sistem penglihatan bayi tidak akan berkembang atau mencapai ketajaman penglihatannya tahap 6/6 menjelang umur empat tahun.

Perkembangan ketajaman penglihatan yang tidak mencapai tahap 6/6 dinamakan “amblyopia” atau mata malas.

”Keadaan ini terjadi di mana ketajaman penglihatan tidak mencapai tahap 6/6 dengan preskripsi cermin mata terbaik tanpa ada sebab-sebab patologi lain.

“Kecacatan refraksi menjadikan kanak-kanak rabun dan penyebab utama berlakunya amblyopia. Ini terjadi kerana pembiasan cahaya pada mata kanak-kanak yang rabun tidak terfokus pada retina dan seterusnya tidak merangsang perkembangan sistem penglihatan.

“Justeru itu, pembetulan kerabunan perlu dibuat secepat mungkin agar amblyopia tidak berlaku,” jelasnya.

Selain itu, menurut Dr. Rokiah, kejulingan juga menjadi faktor penting terjadinya mata malas. Kejulingan menyebabkan paksi penglihatan berubah dan cahaya tidak terfokus pada fovea iaitu titik peka pada retina dan boleh juga menyebabkan amblyopia.

Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.

Bagi kanak-kanak yang kelihatan normal pada mata kasar, pemeriksaan pertama terhadap kesihatan mata harus dilakukan ketika berumur empat tahun.

”Ujian menyeluruh terhadap mata juga perlu dilakukan bagi menilai tahap kesihatan mata,” katanya serius.

Malah akuinya, ramai antara kita tidak mengetahui bahawa kejulingan pada kanak-kanak boleh terjadi akibat rabun terutamanya kerabunan yang berlaku sebelum kanak-kanak berumur empat tahun.

Jelasnya, tahap kerabunan antara kedua-dua mata tidak sama, mata yang lebih rabun berkemungkinan besar akan juling. Ini kerana imej kabur dari mata tersebut tidak akan ditafsirkan oleh otak dan akibatnya mata tersebut tidak akan menumpu pada objek yang hendak dilihat.

Sistem penglihatan pada mata yang lebih rabun itu tidak akan berkembang dan akan menjadi amblyopia sekiranya tidak dibetulkan dari awal. Selalunya rabun jauh pada kanak-kanak akan menyebabkan juling keluar (exotropia) manakala rabun dekat akan menyebabkan juling ke dalam (esotropia).

Dalam pada itu, katanya, terdapat satu kajian membuktikan bahawa penyebab utama penglihatan terhad di kalangan rakyat Malaysia ialah kesalahan refaktif yang tidak diperbetulkan dan katarak

Tegasnya, tahap penglihatan dekat kanak-kanak dapat diperbaiki dengan menggunakan kanta pembesar, cermin mata berkuasa tinggi, cermin mata dekat dan bifokal.

”Ini semua akan membolehkan kanak-kanak tersebut membaca dengan kadar yang yang lebih pantas dan akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi.

”Pemeriksaan penglihatan yang lengkap juga mampu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak berpenglihatan terhad untuk melakukan tugas harian mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, optometris di Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih positif untuk membantu menangani masalah gangguan penglihatan di kalangan kanak-kanak.

Analisis kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak berpenglihatan terhad lebih suka menggunakan kanta pembesar untuk kerja dekat berbanding cermin mata berkuasa tinggi.

Selain itu, keputusan kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan memerlukan lebih daripada satu alat bantuan untuk membantu mereka dalam tugasan sebagai pelajar.

”Ini adalah kerana setiap alat yang dicadangkan hanya sesuai untuk tugasan tertentu sahaja, contohnya, semasa membaca mereka memerlukan kanta berbanding semasa membuat aktiviti lain yang memerlukan mereka menggunakan alat bantuan yang lain,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, alat bukan optikal juga boleh membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan mengatasi masalah ketika membaca antaranya melalui kaedah pembesaran relatif magnifikasi.

Oleh itu, tegasnya, pengesanan awal mengenai masalah penglihatan di kalangan anak-anak adalah penting.

Malah boleh mendapatkan rawatan atau membuat temujanji terus ke:

Klinik Penglihatan Terhad, Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, 50300 Kuala Lumpur. (03-92897499 atau 03-92897000 samb. 7499).

sumber : www.utusan.com.my

Karotenoid Untuk Mata

24 November 2009 Tinggalkan komen

ARKIB : 15/11/2009

PENGLIHATAN merupakan kurniaan Tuhan yang paling mengagumkan. Kajian menunjukkan manusia lebih takut kepada kehilangan penglihatan daripada kehilangan deria lain.

Apabila semakin tua, maka penglihatan kita tidak setajam dahulu lagi. Pendedahan yang berpanjangan kepada sinaran ultra lembayung (UV) dan cahaya biru berbahaya sepanjang proses penuaan, mungkin menyebabkan kerosakan angkara radikal bebas yang berlebihan terhadap mata. Ini seterusnya membawa kepada kemerosotan makular berkaitan umur (AMD) dan penyakit katarak.

Takrif AMD

Dalam retina, sel-sel reseptor foto menukarkan imej menjadi rangsangan elektrik yang akan bergerak ke otak melalui saraf optik. Beginilah mata kita ataupun otak kita melihat imej-imej. Bahagian yang paling sensitif dalam retina ialah makular. Di sini berjuta ‘kon’ tersusun padat untuk mencipta imej yang beresolusi tinggi, serta mengeluarkan penglihatan pusat tajam yang diperlukan untuk aktiviti seperti membaca, menulis, memandu, bahkan untuk melihat dan mengenal muka individu lain.

Makular merosot apabila kita semakin tua. Oleh kerana makular sahaja yang terjejas, maka hilanglah penglihatan pusat (walaupun kebutaan sepenuhnya dapat dielakkan). Kemerosotan Makular tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Kemerosotan Makular melibatkan satu pertiga daripada jumlah orang dewasa dalam lingkungan umur 75 tahun ke atas, dan ia merupakan penyebab utama kecacatan penglihatan bagi mereka yang berumur lebih 65 tahun. Usia merupakan faktor risiko yang paling tinggi.

Takrif Katarak

Kanta mata yang memfokuskan sinaran cahaya ke dalam retina, sepatutnya bersifat lutsinar. Tetapi apabila kanta ini menjadi legap (tidak lutsinar), maka kawasan yang legap itu dikenali sebagai katarak. Penyakit katarak merupakan penyebab utama kecacatan penglihatan dan kebutaan di seluruh dunia, melibatkan sehingga 40 peratus daripada mereka yang melangkaui umur 75 tahun. Sering kali ia disebabkan oleh pendedahan berlebihan kepada cahaya yang terik (cahaya matahari), tetapi faktor lain juga boleh menyumbang kepadanya – seperti menghisap rokok, keturunan, kecederaan, penyakit kencing manis, dan sesetengah rawatan perubatan. Katarak lazimnya berkembang secara perlahan, dengan bermulanya penglihatan yang kabur, melihat tompok-tompok hitam dan berperasaan seperti ada selaput yang menutupi mata.

Dalam Mata

Lutein dan Zeaxanthin merupakan nutrien semulajadi berpigmen kuning dan termasuk dalam keluarga karotenoid. Karotenoid ialah pigmen berwarna merah, kuning, dan oren yang terdapat dalam buah-buahan berwarna kuning, sayuran hijau tua atau yang berdaun, serta jagung.

Daripada lebih 600 pigmen tumbuhan yang dikenali sebagai karotenoid yang wujud secara semulajadi, hanya dua jenis – Zeaxanthin dan Lutein – secara terpilih berkumpul dalam retina, makular dan kanta mata. Zeaxanthin merupakan komponen dominan yang berada di tengah makular, manakala Lutein pula mendominasi pinggir-pinggir sebelah luar.

Mata bertindak secara terpilih dan memilih untuk meletakkan Zeaxanthin tepat di tengah makular, suatu kawasan yang paling penting untuk penglihatan pusat dan juga kawasan yang paling memerlukan perlindungan. Wujud dengan konsentrasi yang agak tinggi dalam kanta dan retina, dua karotenoid ini memenuhi dua fungsi yang amat penting:

  • Melindungi mata daripada cahaya UV yang merosakkan. Bertindak sebagai penapis untuk menghadang cahaya biru yang berbahaya dan juga sebagai antioksidan, kedua-dua Lutein dan Zeaxanthin membantu mengurangkan risiko AMD dan katarak, yang menjadi penyebab utama kebutaan global.
  • Bertindak sebagai antioksidan untuk melindungi kanta, retina dan makular daripada dirosakkan oleh radikal bebas akibat pendedahan kepada sinaran cahaya matahari, skrin komputer dan bentuk cahaya berbahaya lain. Kedua-dua Lutein dan Zeaxanthin menyerap cahaya yang bertenaga tinggi dan bahagian spektrum cahaya yang paling merosakkan (cahaya biru UV). Penyerapan spektrum cahaya bertenaga tinggi adalah penting untuk perlindungan kanta mata, retina dan makula mata. Cahaya biru bertenaga tinggi juga menjana “radikal bebas” yang merosakkan tisu-tisu mata.

Seperti juga beberapa nutrien penting lain, Lutein dan Zeaxanthin tidak dihasilkan oleh badan. Satu-satunya cara untuk mendapatkannya adalah melalui makanan yang kaya dengan antioksidan ini ataupun dengan mengambil suplemen Lutein dan Zeaxanthin. Dalam badan kita, kedua-duanya boleh dijumpai terutama sekali pada kulit, mata, serviks, otak, hati, paru-paru, kelenjar prostat, serum darah, dan payu dara. Tetapi malangnya apabila kita semakin tua, konsentrasi Lutein dan Zeaxanthin dalam mata kita akan merosot. Meningkatkan pengambilan Lutein dan Zeaxanthin membantu meningkatkan kepadatannya dalam makular.

Lutein dan Zeaxanthin memberi perlindungan terhadap dua penyebab kehilangan penglihatan yang paling biasa dialami: iaitu katarak dan AMD. Di samping peranannya sebagai pencegah katarak, Lutein dan Zeaxanthin mungkin dapat memperbaiki penglihatan mereka yang sudah pun menghidapi katarak. Apabila pesakit yang menghidapi katarak berkaitan umur mengambil suplemen Lutein dan Zeaxanthin, didapati ketajaman penglihatan mereka bertambah baik.

Membeli Suplemen

Dua perkara mesti diutamakan apabila membeli suplemen Lutein dan Zeaxanthin:

  • Penggunaan Bunga Marigold yang dipiawaikan untuk mengandungi sekurang-kurangnya 15 peratus ester Lutein dan 40 peratus Zeaxanthin bagi memastikan setiap kapsul mengandungi jumlah ramuan aktif yang tepat. Bukan semua produk mata herba adalah sama walaupun ia menggunakan pati bunga Marigold. Banyak pati ini menghasilkan ramuan aktif dengan paras yang berbeza bergantung kepada beberapa faktor seperti masa penuaian bunga pada tahun berkenaan, bahagian tumbuhan yang digunakan, keadaan tanah (mungkin kehilangan nutrien tertentu), spesies yang digunakan dan lokasi geografi di mana herba itu ditanam. Pati Bunga Marigold yang dipiawaikan memberi ‘kemujaraban yang terjamin’ serta hasil yang lebih baik.
  • Kepekatan Lutein dan Zeaxanthin

Pastikan suplemen mata itu mengandungi sekurang-kurangnya 6 miligarm (mg) lutein yang dipiawaikan (seeloknya mengandungi 10 mg). Banyak suplemen Lutein dan Zeaxanthin di pasaran hanya mengandungi Zeaxanthin dengan jumlah yang amat kecil – cuma dengan kiraan mikrogram sahaja, sedangkan kajian mendapati Zeaxanthin hanya boleh membawa manfaat sekiranya ia diambil dalam jumlah yang tinggi, sekurang-kurang 5 mg setiap hari.

Adalah lebih baik jika anda memilih formula kesihatan mata 2-dalam-1 yang mengandungi pati Lutein dan Zeaxanthin untuk melindungi mata daripada AMD, katarak dan juga untuk penglihatan lebih tajam dan mata yang lebih sihat.

Artikel ini disumbangkan oleh Pahang Pharmacy Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut Lutein dan Zeaxanthin, sila e-mel ke livewell2u@pahangpharmacy.com.my atau hubungi Stay-well to Live-well INFOline 03-61407605, Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.

Sumber : www.utusan.com.my

Punca Kanak-Kanak ‘Memberontak’

23 November 2009 11 comments

ARKIB : 19/11/2009

Susunan :

FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Meragam atau ‘memberontak’ adalah salah satu sifat semula jadi yang ada pada kanak-kanak namun ada kala sifat ini menimbulkan kerunsingan dan kemarahan orang sekeliling terutama ibu bapa sendiri.

Bagi mengawal tabiat tersebut ibu perlu menggunakan pendekatan terbaik dan bersesuaian dengan jiwa si kecil iaitu dengan mengenalpasti apa pencetus kepada sikap mereka itu.

Seorang pakar psikologi yang juga penulis buku No More Meltdowns, Jed Baker, menggariskan enam punca utama yang kenapa kanak-kanak meragam dan cara mengatasinya.

1. Isu biologi

Kebanyakan kanak-kanak bertukar menjadi cepat marah apabila mereka lapar atau letih. Cara penting mengelakkan situasi itu adalah dengan membekalkan makanan ringan digemarinya dalam perjalanan, sementara menunggu untuk makan di restoran.

Bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu letih juga, pastikan mereka mendapat rehat mencukupi sebelum keluar rumah dan jangan terlalu lama berkunjung ke sesuatu tempat. Kanak-kanak akan lebih mudah bertolak ansur apabila di dalam jadual perjalanan yang diatur, mereka turut dibawa ke taman rekreasi.

2. Kekurangan aktiviti

Ketiadaan aktiviti yang boleh dibuat dalam tempoh masa lama juga menyumbang kepada sikap ‘memberontak’ kanak-kanak. Jika ibu bapa tidak menentukan sebarang aktiviti untuk anak-anak, mereka akan menciptanya sendiri yang akan mewujudkan ketidakpuasan ibu bapa. Sediakan bahan teka-teki, permainan, projek seni, buku, video dan aktiviti yang dapat mengurangkan ketegangan kanak-kanak menunggu.

3. Kehendak

Kebanyakan kanak-kanak akan berasa tertekan apabila diarah menyiapkan kerja rumah atau melakukan aktiviti baru. Bagi menangani perkara ini, anda perlu menjadikan arahan itu sebagai permainan untuk menimbulkan minat mereka seperti memberikan hadiah apabila mereka menyiapkan setiap tugasan.

Sekiranya kanak-kanak takut untuk mencuba sesuatu yang baru, jangan memaksa. Apa yang penting, bantu mereka menanganinya dengan meminta mereka melihat secara terperinci aktiviti berkenaan sebelum mencubanya secara perlahan.

4. Menunggu

Ada pula kanak-kanak yang akan ‘memberontak’ apabila tidak memperoleh apa diingini atau dilarang melakukan sesuatu perkara. Sebenarnya mudah untuk kanak-kanak bertolak-ansur berhubung perkara ini sekiranya mereka dapat melakukannya walau sebentar.

Jadi ibu bapa perlu membenarkan mereka meneruskan keinginan itu dengan syarat mengehadkan masa supaya mereka berhenti melakukan aktiviti dalam tempoh tertentu. Apabila kanak-kanak menentang untuk berhenti melakukan aktiviti digemari, pujuk mereka dengan cara terbaik seperti menjanjikan aiskrim jika mereka berhenti bermain di taman permainan dan mengikut anda pulang.

5. Bina semangat

Sesetengah kanak-kanak bersikap ‘amat sempurna’ dan ‘tidak boleh menerima kekalahan’ dalam segala tugasan seharian yang dilakukan. Anda perlu mengingatkan mereka bahawa anda sebenarnya mengagumi usaha yang dilakukan mereka walaupun hasil aktiviti yang dilakukannya tidak sempurna. Lebih baik, janjikan habuan jika mereka kalah sesuatu permainan bagi mengelakkannya merasa sedih atau rendah diri.

6. Melawan untuk perhatian

Bagi sesetengah kanak-kanak, sikap golongan dewasa yang tidak membenarkan mereka mengikuti aktiviti dilakukan akan membuatkan kanak-kanak merasa tersisih.

Kanak-kanak tidak akan meminta perhatian dalam keadaan yang tidak bersesuaian jika mereka memahami situasinya. Jika anda membawa kanak-kanak menemani anda bagi sebarang pertemuan atau tugasan penting, terangkan kepada mereka orang lain sama ada dewasa atau kanak-kanak tidak dibenarkan turut serta dalam perkara itu.

Sumber : www.utusan.com.my

Pengorbanan Seorang Ibu..

20 November 2009 9 comments

Perit ibu dukung anak ke sekolah setiap hari berbaloi

BESUT – Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.

SITI NORFARAH didukung ibunya, Norhaida untuk diletakkan di atas motosikal di Besut, Terengganu semalam.

Walaupun cacat kerana menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta iaitu sejenis penyakit kerapuhan tulang, Siti Norfarah Hanim, 12, tidak mudah mengalah hingga akhirnya mencipta kejayaan itu.

Siti Norfarah adalah antara 40 orang pelajar Sekolah Kebangsan Tengku Mahmud II di sini yang mendapat 5A dan diraikan dalam satu majlis di sekolah itu.

Ketika nama Siti Norfarah diumumkan untuk ke pentas bagi mengambil slip keputusan, dia bersama ibunya, Norhaida Harun, 38, dilihat berlinangan air mata kegembiraan.

Bagi Norhaida, hanya pelajaran yang mampu diberikan kepada anaknya itu memandangkan dirinya tidak mampu untuk menyediakan harta yang banyak untuk kehidupan pada masa depan.

Katanya, setiap pagi sebelum ke sekolah, Siti Norfarah akan dibekalkan dengan sedikit makanan kerana tidak mampu berjalan ke kantin dan dia bernasib baik kerana seorang rakan sekelasnya, Nurul Alia Rosdi secara sukarela membantu anaknya semasa di dalam kelas.

Sementara itu, di Pasir Mas, Kelantan, Muhammad Nabil Mohd. Nasir, 12, yang mengalami kecacatan pada kaki kiri dan kedua-dua tangannya sejak dilahirkan turut berjaya meraih 5A dalam UPSR.

“Ini hadiah untuk ibu saya yang bersusah payah mendukung saya ketika menghantar dan mengambil saya sekolah setiap hari,” katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1, Pasir Mas.

Sumber : www.kosmo.com.my

p/s : Terkenang pengorbanan ayah dan ibu yang tidak ternilai..

Terima Kasih SKTIE (2004-2009)

18 November 2009 20 comments

Salam sejahtera..

Minggu-minggu terakhir sebelum menjelang cuti sekolah sememangnya menjadi kelaziman bagi semua guru yang akan sibuk dengan kerja-kerja yang perlu diselesaikan.

Begitu juga halnya dengan saya. Walaupun tidak sesibuk guru-guru lain, ada beberapa tugasan yang perlu saya siapkan. Oleh yang demikian, saya tiada kesempatan untuk mengemaskini blog ini.

Ramai juga yang menghantar email dan ‘chat’ dengan saya bertanyakan maklumat Pemulihan. Namun, tidak semuanya sempat saya layan. Insyaallah, ada kelapangan saya akan membalas semula email yang dikirim.

Sukacita dimaklumkan, minggu ini merupakan minggu terakhir saya di SK Taman Impian Emas, Johor Bahru ini kerana bermula 1 Disember 2009 saya akan mula bertugas di sekolah baharu  ekoran permohonan perpindahan antara negeri telah diluluskan.

Sepanjang saya bertugas di sekolah ini, banyak kenangan manis bersama tenaga kerja dan murid yang tidak akan saya lupa. Bermula 2004 sehinggalah 2009 (kecuali 2008 – mengikuti kursus satu tahun di IPBMM, KL) banyak perkara baru yang saya pelajari setiap hari sama ada daripada guru-guru, staf sokongan, pekerja-pekerja am mahu pun murid-murid.

Terima kasih diucapkan kepada semua warga kerja SKTIE atas segala tunjuk ajar yang telah diberi dari mula-mula saya bertugas di SKTIE sehinggalah ke hari-hari terakhir saya di sini. Saya amat menghargai jasa baik dan pertolongan ikhlas semua warga kerja.

Akhir kata, saya memohon ampun dan maaf  daripada semua warga SKTIE kerana sepanjang saya bertugas, tentu ada kekurangan dan kesilapan yang dilakukan tanpa disengajakan. Andai ada hati yang terguris kerana itu, saya mohon dimaafkan. Halalkan juga segala makan dan minum yang diberi. Doakan semoga saya akan berjaya di sekolah baharu kelak.

Sekian,


NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Kelam Kabut Sindrom Penyakit?

15 November 2009 Tinggalkan komen

Oleh : SHANIKA ABADULLATIB

Dysprexia umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.

Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.

Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.

Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.

Gagal ikat tali kasut

“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti dysprexiaautisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”

“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor anggota badan dan otak,” jelasnya.

Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.

aripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.

“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.

Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.

“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain, Daily Mail.

Kesukaran kawal pernafasan

Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.

“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.

Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari segi perkembangan bahasa.

Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.

Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.

“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.

Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah dysprexia.

“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.

Tiada rawatan khusus

Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.

Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.

“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.

Sumber : www.kosmo.com.my