Archive

Archive for Disember 2009

Guru Pelatih Diganggu Pensyarah GATAL!

29 Disember 2009 91 comments

PELATIH KESAL INSTITUT TAK HIRAU ADUAN GANGGUAN PENSYARAH GATAL

INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPG KBA) Kuala Lumpur melahirkan ramai pendidik berkaliber. Malangnya, tindakan pensyarah tertentu menimbulkan kegelisahan pelajar perempuan.

Masalah kami sudah dibawa ke pengetahuan pengurusan tertinggi institut, namun tiada tindakan diambil.

Ini memaksa kami mendedahkannya melalui media supaya Bahagian Pendidikan Guru turun padang menyiasat masalah itu.

Pelatih perempuan sering berdepan gangguan seksual pensyarah lelaki. Perkara ini berlarutan dari semasa ke semasa yang mengundang keresahan serta ketakutan.

Pensyarah berkenaan sering menyentuh bahagian tertentu tubuh. Walaupun cuba dihalang dia terus melakukannya berkali-kali. Bentuk gangguan seksual lain ialah melalui pujuk rayu di telefon.

Saya antara mangsanya dan sentiasa ketakutan di institut ini kerana bimbang terserempak dengan pensyarah berkenaan yang akan mengambil kesempatan menyentuh saya.

Kejadian ini berlarutan sejak sekian lama dan ramai pelajar perempuan menjadi mangsa. Saya beranggapan institut ini tempat selamat untuk menuntut ilmu, begitu juga anggapan ibu bapa.

Sebaliknya, pensyarah yang tidak bertanggungjawab mengancam dan menggugat keselamatan pelajar perempuan di institut itu.

Pihak pentadbir mengetahui perkara ini, namun tiada tindakan diambil terhadap pensyarah berkenaan.

Saya harap perbuatan tidak bermoral ini dapat tangani segera oleh IPG KBA dan Bahagian Pendidikan Guru bagi mengembalikan kepercayaan dan keselesaan pelajar perempuan sepanjang berada di institut itu.

PELATIH KETAKUTAN,
IPG Kampus Bahasa Antarabangsa,
Kuala Lumpur

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20091228230625/Article/index_html

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

P/s :

  • Kasihan kepada guru pelatih berkenaan. Saya simpati dengan apa yang terjadi terhadapnya dan rakan-rakan yang lain. Saya pasti masalah yang serupa turut berlaku di Institut Perguruan yang lain.
  • Geram juga bila dengar kes sebegitu yang sudah diadu tetapi tiada tindakan di buat. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur dan dah keluar di stesen tv swasta barulah pihak terbabit nak ambil tindakan!
  • Saya syorkan, jika benar kejadian berkenaan terjadi, laporlah kepada pihak polis dan biar seluruh negara sedia maklum akan perbuatan terkutuk pensyarah berkenaan melalui siaran berita.
  • Jika di maktab perguruan maruah guru itu sendiri telah ‘dicabul’ oleh insan yang sepatutnya mengajar kemahiran mendidik, tak mustahil di sekolah kelak prestasi dan fokus guru berkenaan akan terjejas teruk sekali gus mengheret murid terlibat sama dalam masalah ini.
  • Justeru pihak berkenaan, TOLONGLAH pantau juga pensyarah di maktab. Kalau guru sudah ‘ROSAK’ semasa di institut perguruan lagi, apa akan jadi pula dengan masa depan murid?

Malware Dalang Kerosakan Sistem Komputer

21 Disember 2009 4 comments

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Kira-kira 70.8 peratus daripada semua komputer yang mengalami kerosakan sistem di Malaysia pada separuh pertama 2009 adalah disebabkan oleh malware, demikian menurut kajian firma perisian, Microsoft Corp.

Jumlah komputer yang dijangkiti meningkat begitu ketara berbanding 57.4 peratus pada separuh kedua 2008, kata Ketua Keselamatan dan Persendirian Serantau Asia Pasifik Microsoft, Jacqueline Peterson-Jarvis pada taklimat media di sini.

Malware ialah perisian yang boleh diguna oleh penjenayah siber untuk mencuri akaun dan maklumat bank, mengesan segala apa yang ditaip oleh pengguna komputer, menghantar perisian berniat jahat atau spam dan merosakkan komputer.

Laporan Perisik Keselamatan Microsoft mendapati kategori malware yang paling banyak terdapat di Malaysia ialah cecacing yang menyumbang 39.5 peratus daripada kesemua komputer yang dijangkiti.

Sejumlah 32,387 komputer dijangkiti cecacing semasa separuh pertama 2009, 2,379 komputer oleh spyware dan 1,272 komputer oleh virus.

Laporan itu mendapati jangkitan cecacing dalam ruang perniagaan meningkat hampir 100 peratus semasa separuh pertama 2009 berbanding enam bulan sebelumnya di seluruh dunia.

Conficker merupakan cecacing paling banyak dikesan bagi perniagaan kerana cara ia membiak lebih efektif di persekitaran jaringan dalam lingkungan firewall.

Peterson-Jarvis berkata, bagi separuh pertama tahun ini, produk dan perkhidmatan Microsoft telah menyingkir malware daripada lebih 13 juta komputer di seluruh dunia.

“Internet Explorer 8 meningkatkan keyakinan pelanggan dalam talian dengan menyediakan peningkatan keupayaan mengawal dan melindungi data mereka.

“Ia satu pendekatan keselamatan dan persendirian dari awal hingga akhir yang memberi fokus pada kejuruteraan sosial, pertahanan baharu serangan terhadap pelayan laman, dan kemajuan tambahan mempertahankan eksploitasi terhadap pangkalan penyemak pengimbas,” katanya.

Dilancarkan pada Mac tahun ini, Internet Explorer 8 mengandungi SmartScreen Filter baharu yang melindungi komputer dengan lebih baik dan memberi amaran apabila pengguna cuba melihat laman web atau turun muat fail yang berkemungkinan tidak selamat.

“Ia berupaya menyekat dua hingga empat kali laman berniat jahat seperti penyemak lain di pasaran hari ini,” kata Peterson-Jarvis.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Awasi Laman Web Perbankan Internet Palsu

20 Disember 2009 4 comments

KUALA LUMPUR: Perbuatan mencuri maklumat menerusi internet semakin meningkat, demikian menurut nasihat oleh Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity Malaysia.

Pusat Bantuan Cyber999 menerima banyak laporan daripada pengguna internet mengenai laman web yang hosnya dari luar negara. Ia seperti beberapa laman web e-perbankan bank terkemuka di negara ini.

Laman web penipuan itu atau laman web palsu digunakan untuk “serangan mencuri” yang memanipulasi kelemahan keselamatan manusia. Ia dilakukan dengan menceroboh entiti sebenar, sebagai contoh, meniru laman web perbankan biasa.

“Serangan mencuri” ini juga menggunakan taktik kejuruteraan sosial seperti menghantar e-mel spam, katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Kandungan e-mel terbabit menggunakan perkataan-perkataan yang meyakinkan untuk menipu orang ramai supaya membuka hubungan yang akan membuka laman web perbankan palsu.

Memandangkan laman web itu sama seperti laman web sebenar, pelanggan terpedaya dengan memasukkan maklumat sulit, seperti nama pengguna dan kata laluan e-perbankan ke dalam laman web e-perbankan palsu itu.

Menerusi kaedah itu, “serangan mencuri” mudah mencuri nama pengguna dan kata laluan pelanggan bank yang tidak mengesyakinya.

Bank tidak pernah meminta pengguna membuat kemas kini, menukar semula kata laluan, membuka akaun atau apa saja berkaitan perbankan menerusi e-mel dan URL.

“Jika anda menerima e-mel sama seperti daripada bank atau institusi perbankan, nasihat kami ialah abaikannya.

“Jika anda curiga, sila hubungi bank anda untuk tujuan pengesahan atau hubungi Pusat Bantuan Cyber999, kata Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri.

CyberSecurity Malaysia ialah pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. – Bernama

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Mutakhir/20091219164054/Article/

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Laman Twitter Kena Godam

19 Disember 2009 2 comments

LONDON – Penggodam Iran menggodam laman web Twitter menyebabkan operasinya terjejas selama dua jam pada pagi semalam, lapor sebuah akhbar semalam.

Serangan itu berlaku pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan sekali gus mengakibatkan kira-kira 30 juta pengguna tidak dapat menghantar mesej. Laman utama Twitter itu digantikan dengan skrin berwarna hitam dan merah yang memaparkan satu bendera berwarna hijau. Muka surat di laman itu mengandungi mesej yang menyatakan laman tersebut sudah digodam oleh Tentera Siber Iran.

“Tentera Amerika Syarikat (AS) berpendapat ia mengawal dan menguruskan akses Internet tetapi sebenarnya AS tidak mengawalnya.

“Kami mengawal dan menguruskan Internet dengan kuasa yang ada pada kami. Justeru jangan cuba untuk menghasut penduduk Iran,” kata mesej tersebut.

Kakitangan-kakitangan laman Twitter memberitahu pengguna: “Kami sedang melakukan pemulihan dan akan memberitahu maklumat terkini semasa kami mencari punca yang menyebabkan ia (operasi terjejas) berlaku.”

Laman web seperti Twitter dan Facebook menjadi tumpuan utama golongan muda. Golongan muda yang tinggal di bandar-bandar Iran menentang pemerintahan Presiden Mahmoud Ahmadinejad. Mahmoud menewaskan pencabar terdekatnya, Mir Hossein Mousavi dalam pilihan raya presiden tahun ini. Ramai rakyat Iran menggunakan Twitter bagi mengatur tunjuk perasaan.

Menurut badan pemantau Internet, OpenNet Initiative, penduduk Iran mula menggunakan Internet semasa pemerintahan Presiden Mohammad Khatami pada 1997 hingga 2005. – Agensi

Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Salam Maal Hijrah

18 Disember 2009 4 comments


Daripada,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Tazkirah Remaja

17 Disember 2009 38 comments

Tazkirah Remaja: Cuti cuti juga tapi jangan…
Bersama : Mohd Zawawi Yusoh

SEKARANG musim cuti sekolah. Anak remaja pasti gembira selepas penat belajar, tiba musim merehatkan minda. Kepada yang berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, lebih bermakna meraikan cuti.

Kepada mereka yang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pasti sedang bertungkus-lumus dan didoakan mereka melakukan yang terbaik.

Sesetengah ibu bapa mungkin sudah atau sedang merancang untuk memanfaatkan cuti yang panjang. Semoga perancangan digarap terbaik untuk anak-anak. Sebab anak aset paling berharga untuk keluarga, agama dan negara.

Manusia memang perlu didisiplinkan dengan sistem. Islam sendiri adalah satu sistem. Solat ialah satu sistem, puasa, zakat ada sistem tersendiri, apa lagi ibadat haji. Dengan amalan Islam, hidup kita lebih bersistematik.

Pada musim cuti sekolah ini, cuti cuti juga tetapi jangan sampai lupa sistem. Jika ketika bersekolah kita kena bangun awal sebab mahu ke sekolah. Dengan adanya sistem solat, walaupun musim cuti sekolah tetap kena bangun awal.

Janganlah mentang-mentang tidak bersekolah, solat Subuh menjadi Subuh gajah. Yang ini ibu bapa kena pastikan anak-anak bangun bersolat Subuh.

Begitu juga pelajar perempuan, mereka ke sekolah pakai tudung. Tutup aurat bukan kerana disiplin sekolah atau untuk kelihatan cantik menawan atau bersopan atau sebab orang lain memakainya tetapi mereka melakukan demikian disebabkan perintah Allah.

Begitu juga dengan waktu, jangan buang masa, sebab masa adalah kehidupan. Sebenarnya walaupun kita ada masa cuti dan berehat perlu diingat syaitan dan iblis serta konco-konconya tidak pernah berehat atau cuti. Makhluk ini tidak tidur malam, malah misinya tidak akan berhenti sehingga manusia tergoda dengan pujukannya.

Syaitan dari awal lagi mengisytiharkan perang dengan anak Adam untuk menyesatkannya selagi nyawa masih di badan.

Cuti, cuti juga tetapi jangan sampai solat pun bercuti, tutup aurat cuti dan al-Quran pun cuti. Sebenarnya Allah memerintahkan kita mentaati-Nya supaya kita hidup bersistem dan Allah hendak menjanjikan syurga kepada kita.

Syaitan yang tidak pernah cuti itu akan terus menggoda kita supaya sama-sama menemaninya di neraka dan supaya kita hidup tidak berdisiplin.

Apabila tidak mengikuti Islam kita tidak berdisiplin. Apabila tidak berdisiplin akan menjadi seperti Mat Rempit, bukan saja tidak berdisiplin di jalan raya, malah kadangkala mencabar undang-undang, menagih dadah dan apabila sudah tidak takut Tuhan, membujur lalu melintang patah.

Remaja Punk dan Black Metal sanggup makan tulang dan makanan buangan sedangkan yang baik mereka tinggalkan sebab sudah tiada disiplin. Semuanya bermula kerana tidak takut Allah. Apabila tidak takut, tiada disiplin.

Kepada ibu bapa, cuti-cuti juga, program pembangunan iman untuk anak-anak mesti masuk dalam agenda. Bawa anak-anak remaja mengerjakan solat berjemaah di masjid.

Ajak mereka bersama mendengar kuliah yang tidak pernah lekang diadakan di masjid, malah mengaji al-Quran bersama sama ada pada awal pagi atau petang.

Hadiahlah mereka dengan buku-buku dan cerita bermanfaat. Hantar mereka ke kem motivasi untuk peningkatan sahsiah (peribadi), ajak menziarahi rumah anak yatim supaya timbul keinsafan, bawa mereka menziarahi sanak saudara untuk meningkatkan ukhuwah dan filem yang menginsafkan ditonton bersama.

Bagi masjid, rancanglah program yang efektif kepada masyarakat. Wang derma yang dihulurkan jemaah jangan hanya disimpan untuk pembelian cat dan pengindahan masjid semata-mata, tetapi sebaliknya pulangkan wang terbabit kepada jemaah dalam bentuk program dan pembangunan pendidikan.

Melalui program sebegini barulah jemaah berasa berbaloi dan akan menderma lagi, sesuai dengan hasrat negara membangunkan modal insan.

Cuti-cuti juga, beribadat jangan berhenti, taat jangan berkurang, kerja diteruskan, sebab di dunia tempat mencari bekalan. Bercuti dan berehat sebenarnya di syurga yang abadi. Selamat bercuti!

Sumber : www.hmetro.com.my

Sekian,


NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Kategori:Agama, Kasih Sayang Tag:,

Berbohong Secara Kompulsif

15 Disember 2009 1 komen

Salam sejahtera,

KANAK-KANAK berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Tiada arahan atau galakan diperlukan. Sebagai seorang guru, saya juga kerap mengalami situasi seperti ini di sekolah. Saya percaya pasti ramai guru di luar sana sudah arif akan selok belok dan cara mengenal pasti murid apabila mereka berbohong.

Berbohong seakan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara yang akan dilakukan sewaktu bercakap bohong.

Namun, jika kekerapan seseorang anak berbohong menjadi kompulsif dan tanpa sebab, ibu bapa mungkin perlu ‘campur tangan’.

Apabila kitaran penipuan bermula, ia akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap si anak, sekali gus menyukarkan kitaran tidak sihat ini dihentikan.

Oleh sebab itulah, ibu bapa perlu bertindak meneroka sebab anak berbohong dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat buruk itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong juga adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.

Berbohong cara kompulsif biasanya dikaitkan dengan penderitaan anak ekoran gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan gangguan perilaku.

Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong secara kompulsif turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Ini termasuk mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.

Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian.

Apabila berlaku situasi seperti ini, penglibatan pakar-pakar kaunseling misalnya, amat penting untuk membantu kanak-kanak ini. Kaunselor-kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak yang lebih spesifik.

Mengapa berbohong?

Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.

  • Takut
  • Tabiat
  • Meniru

Perlukah saya menghukum?

PERASAAN takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong.

Terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa dan guru pertimbangkan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan anak.

1. Hukuman sememangnya direka untuk mengurangkan perilaku yang teruk. Masalahnya, hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.

2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau akibat meniru bukan satu kaedah efektif dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal berbanding berdepan dengan simptom-simptomnya.

3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan dilakukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada rendah seperti, “Tahu tak, mak dan ayah rasa kecewa apabila Atan berbohong?”

Yang penting, ketahuilah niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Famili&pg=fa_02.htm

Sekian,


NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department