Archive

Archive for Januari 2010

PIBG : Campur Tangan Mereka Disokong

25 Januari 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Terdengar dalam berita mengenai sekolah di Terengganu di mana murid-murid yang lemah dalam penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira akan mendapat bantuan daripada wakil ibu bapa yang berkemahiran dan berpengalaman bagi mengurangkan jurang masalah berkenaan di sekolah tersebut.

Saya amat bersetuju sekiranya ada pihak yang berpengalaman dan pakar dalam bidang ini dalam kalangan ibu bapa yang sudi membantu melicinkan tugas bagi mengurangkan masalah murid gagal kuasai 3M ini. Sekurang-kurangnya, guru dan ibu bapa akan saling bertukar-tukar idea dan kemahiran masing-masing

Namun, campur tangan ibu bapa dalam mengurangkan masalah penguasaan murid dalam 3M ini perlu diperhalusi sebelum mereka benar-benar ‘diizinkan’ bersama-sama membantu guru pemulihan dalam hal ini.

Ini kerana bukan semua ibu bapa yang berpengalaman atau pakar dalam mendidik anak-anak ini ‘sebulu’ dengan pendapat guru. Masing-masing mungkin ada cara mengajar masing-masing.

Walau bagaimana pun, mungkin ibu bapa boleh membantu dari aspek mendisiplinkan murid, penyediaan bahan bantu mengajar yang lebih kreatif, ceramah motivasi, sumbangan berbentuk material atau sebagainya yang dapat memberi manfaat kepada keseluruhan murid pemulihan.

Jadi, tugas mengajar tetap dipikul sepenuhnya di bahu guru yang bertanggungjawab mengendalikan kelas Pemulihan, menyediakan data murid, fail pengurusan dan sebagainya.

Campur tangan ibu bapa dalam mengurangkan masalah penguasaan 3M dalam kalangan murid juga boleh dilakukan dengan meminta mereka mengadakan ceramah keibu-bapaan bagi meningkatkan tahap kesedaran akan kepentingan akademik terhadap anak mereka yang didapati bermasalah seperti ini.

Oleh kerana ia adalah perkara yang baik dan masih diperingkat perbincangan, sebaik-baiknya biarlah ada garis panduan yang perlu diikuti oleh ibu bapa yang akan dipertanggungjawabkan untuk membantu guru Pemulihan kelak supaya pengurusan kelas tidak menjadi kelam kabut.

Cadangan mewujudkan kerjasama ibu bapa dan guru sudah ada. Garis panduan juga mungkin sudah ada. Cuma pelaksanaannya mestilah jelas seperti yang termaktub dalam garis panduan supaya matlamat utama yang dirancang akan tercapai. Janganlah nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Akibatnya, murid masih berada ditakuk lama. Yang menanggung kesalahannya tetap ‘orang yang sama’.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Dilema Guru

21 Januari 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Terima kasih kerana anda masih terus mengunjungi laman ini. Semoga anda dapat menjalankan tugas harian dengan penuh dedikasi. Pagi ini, saya telah membaca akhbar Kosmo! semasa sedang rehat di kantin sekolah. Pandangan mata tertumpu pada tajuk yang agak menarik perhatian ‘Ibu Pelajar Tampar Guru’.

Saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan tentang beberapa kejadian berhubung masalah antara ibu bapa-guru-pelajar ini. Saya mula mengajar sejak 2004 dan sudah menghadapi pelbagai kerenah dan masalah daripada guru sendiri, ibu bapa mahu pun pelajar.

Sebab itulah kerjaya sebagai guru ini mencabar kerana kedudukan guru berada antara pihak atasan dengan orang awam. Guru berada di tengah-tengah bertindak menyalurkan maklumat dengan berkesan. Sebarang kesilapan sama ada daripada mana-mana pihak, guru akan tetap dipersalahkan.

Dalam sesebuah sekolah, bukan semua pelajarnya baik, boleh duduk diam, boleh buat kerja sendiri, tak kacau orang lain atau tak bergaduh. Bukan semua sekolah pelajarnya pintar, pandai dan bijaksana. Bukan semua pelajarnya berlagak seperti samseng, kuat agama dan sebagainya.

Walaupun hanya segelintir pelajar yang bermasalah, bilangan yang sedikit inilah yang selalunya akan menimbulkan masalah di sekolah terutamanya dari segi disiplin.

Sebahagian pelajar seperti ini hanya tahu datang ke sekolah tetapi mereka tiada  hala tuju. Hadir ke sekolah hanya untuk memenuhi ‘syarat’ sahaja. Apabila pulang ke rumah, apa yang mereka lakukan?

Walaupun bukan semua pelajar ini menimbulkan masalah di sekolah, tetapi ia tetap memberi kesan terutamanya kepada prestasi akademik sekolah dan guru.

Pelajar seperti ini tidak belajar secara ‘serius’, lebih banyak bermain dan mengganggu rakan. Apabila ditegur, pelajar sudah berani melawan guru. Apabila dirotan, ibu bapa datang ke sekolah dan serang cikgu. Inikah sebenarnya sistem pendidikan yang diamalkan di semua sekolah?

Ibu bapa sewenang-wenangnya masuk ke kelas tanpa mendapatkan kebenaran guru, memarahi murid lain yang mengganggu anak mereka?  Memaki hamun guru sesuka hati walhal kesalahan dilakukan atas kecuaian pelajar sendiri? Bukankan kita ada saluran yang betul untuk mengadu? Jika ada jalan penyelesaian, kenapa ia tidak digunakan sebaiknya?

Guru tidak diberi kuasa untuk membentuk disiplin murid. Tiada lagi amalan merotan jika murid didapati bersalah seperti yang dilakukan semasa saya sekolah zaman kecil-kecil dahulu.

Zaman sekarang, isu disiplin murid semakin meruncing. Banyak pihak menuding pihak sekolah lebih-lebih lagi guru yang tidak cekap menjalankan tanggungjawab. Pelbagai program membentuk disiplin dilaksanakan, pelbagai kaedah dicuba bagi mengurangkan kadar disiplin pelajar yang semakin teruk. Tapi, hasilnya tetap sama. Yang tetap disalahkan adalah guru juga.

Saya pernah berbual dengan seorang pelajar lepasan sekolah yang gemar melepak, merempit dan kaki gaduh. Apabila disebut tentang soal disiplin, pelajar ini berkata, “cikgu buatlah macam mana pun kat sekolah, kami akan tetap macam ni sebab kami tau cikgu takkan berani pukul kami. Cikgu cuma cakap saja. Apa yang kami nak takut?..”

Ada segelintir ibu bapa pula yang gemar mencari salah guru dan kuat mengadu seperti budak-budak tadika. Saya dah lalui semua itu. Dalam hal ini, jika guru bersalah, tegurlah secara berhemah dengan emosi yang positif. Bukannya memaki hamun, menampar atau memukul guru. Murid perlu ditegur dari awal. Jika tiada siapa yang menegur, mereka akan bersikap kurang ajar dengan guru. Pasti ibu bapa murid tahu akan hal ini. Tapi, tidak tahulah jika ada ibu bapa yang tidak kisah jika anak mereka bersikap biadap di rumah.

Ingatlah, masa hadapan pelajar ini semuanya bergantung di hujung mata pena seorang guru sama ada biru, hitam atau merah!

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department.

p/s :

  • Siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya.

Amaran Ancaman Keselamatan Pengguna Internet

20 Januari 2010 3 comments

SERDANG: CyberSecurity Malaysia hari ini mengeluarkan amaran keselamatan kepada semua pengguna Internet yang menggunakan perisian peluncur Microsoft Internet Explorer kerana terdapat unsur kerapuhan yang kritikal.

Ketua Eksekutifnya, Husin Jazri, berkata dalam satu kenyataan hari ini, situasi itu dirujuk sebagai “0-day” kerana kerapuhan itu didedahkan disebabkan belum ada tampalan (patch) yang disediakan oleh vendor terbabit.

“Kerapuhan itu dengan mudah boleh dieksploitasi jika pengguna melawat laman web yang dicipta oleh penyerang. Penyerang akan menghantar URL (alamat laman web) kepada pengguna menggunakan email untuk mengelirukan mereka, sedangkan mereka sebenarnya memasuki ke laman yang berniat jahat,” katanya.

Beliau berkata, kerapuhan itu juga boleh digunakan oleh pencipta kod yang berniat jahat untuk memasang komputer dengan pelbagai ancaman seperti trojan atau virus untuk menyerang komputer mangsa.

sumber : www.hmetro.com.my

Kategori:Pengumuman Tags:

Mohon KPLI Perlu Ada Ijazah Pengkhususan

19 Januari 2010 1 komen

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Syarat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kini diperketatkan termasuk mewajibkan calon memiliki ijazah dalam subjek yang ingin diajar, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Meor Sharuddin.

Beliau berkata, syarat itu yang bertujuan menghasilkan tenaga pengajar berkualiti dan guru pakar telah dilaksana sejak pengambilan tahun lepas.

“Kalau dahulu kita tak tekankan pada bidang pengkhususan pelajar semasa mereka di universiti kerana bagi kita memadai sekiranya mereka ada ijazah pertama. Tetapi sekarang mereka perlu ada ijazah dalam sesuatu subjek yang ingin diajar.

“Contohnya kalau mereka ingin mengajar subjek Matematik, mereka perlu ada ijazah dalam subjek itu bagi membolehkan mereka diterima mengikuti kursus ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI pengambilan Januari 2010, di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ilmu Khas di sini, hari ini.

Mengenai jumlah pengambilan pelajar pada tahun ini, beliau berkata, seramai 1,473 orang daripada 60,000 pemohon dipilih untuk mengikuti 17 bidang pengajian di 27 buah kampus institut pendidikan guru yang pendaftarannya bermula semalam. – Bernama

Sumber : http://www.utusan.com.my

Kategori:Pengumuman Tags:

~Ibu Bapa Perlu Main Peranan~

18 Januari 2010 4 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa ceria di samping melakukan tugas-tugas harian dengan gembira dan penuh kesabaran. Hari ini, saya akan sentuh sedikit hal pendidikan yang lebih bertumpu kepada tanggungjawab ibu bapa di rumah.

Ibu bapa merupakan orang pertama yang paling rapat dengan anak masing-masing. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pertama kepada semua ibu bapa sebelum menghantar anak ke sekolah dengan melengkapkan anak-anak mereka dengan asas akademik.

Abad ini, sudah ramai ibu bapa yang berpendidikan tinggi dan mampu menghantar anak untuk mengikuti kelas tambahan di tempat-tempat yang ‘eksklusif’. Justeru, majoriti anak-anak yang mengikuti kelas ini tidak dinafikan sudah menguasai kemahiran asas membaca dan menulis.

Tidak kurang juga ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka di tempat yang berkenaan. Tetapi, cara mereka membentuk disiplin dan anak-anak di rumah sangat hebat dan mengagumkan. Majoriti anak-anak yang menerima didikan seperti ini cemerlang dalam pelajaran.

Ada pula ibu bapa yang bekerja tetapi, menyerahkan tanggungjawab mendidik anak sepenuhnya kepada isteri yang tidak bekerja atau pembantu rumah. Sebahagian besar anak-anak ini, didapati berjaya walaupun pencapaian mereka tidak boleh dibanggakan.

Namun, apa pula yang terjadi kepada anak-anak yang langsung tidak mendapat didikan yang sempurna? Ada penjaga bersikap lepas tangan. Ramai juga yang sering memberi alasan kepada saya setiap kali diajukan soalan “kenapa encik/tuan/puan/ tak ajar anak membaca di rumah?” . Mereka akan menjawab,

  1. “saya sudah ajar anak di rumah, cikgu. Tetapi anak saya degil tak mau belajar”
  2. “Macam mana saya nak ajar anak, cikgu. Saya sendiri tak tau baca..”
  3. “Dah macam-macam saya ajar anak, cikgu. Tapi anak saya cepat lupa..”

Apa pun alasan, ibu bapa yang menjadi orang pertama di rumah perlulah mempunyai cara untuk mendidik dan mendisiplinkan anak jagaan mereka. Adalah kurang tepat sekiranya seseorang penjaga, ibu atau bapa murid meletakkan sepenuhnya tugasan mendidik murid di bahu guru.

Saya kasihan apabila melihat ada guru terpaksa mengajar murid di tahun satu hingga enam belajar mengeja atau membaca. Malah lebih teruk lagi, ada murid tahun enam yang masih tidak mengenal abjad!.

Sepatutnya pada tahun satu, murid sudah mengikuti silibus yang disediakan. Untuk mengikuti silibus yang disediakan, murid mestilah boleh membaca, memahami dan menulis kandungan isi pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Tetapi, sebaliknya berlaku. Murid tidak mengenal abjad dan tidak tahu menulis. Kalau dah tidak tahu menulis, apatah lagi hendak menyalin latihan yang guru beri.

Murid saya yang tidak tahu menulis semasa di darjah 4 mengambil masa 35 minit untuk menyalin lima baris ayat!. Perlukan saya salahkan murid kerana lambat menyalin?. Bolehkah saya merotan murid kerana lambat menyalin?.

Adakah silap saya yang tidak mengajar murid belajar menulis? Jika saya mengajar murid kemahiran menulis, saya sudah tidak mengikut rancangan tahunan (silibus) lagi. Apabila saya tidak mengikut rancangan tahunan, pegawai yang memantau akan menyalahkan saya kerana tidak mengikut sukatan. Akhirnya yang disabitkan bersalah adalah saya juga. Jika saya memberikan alasan murid tidak boleh menyalin, saya akan tetap dipersalahkan kerana tidak mengajar kemahiran itu sedangkan kemahiran itu tiada dalam sukatan.

Justeru, tanggungjawab mendidik anak murid tidak boleh 100% diletakkan di bahu seseorang guru. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting di rumah. Berilah anak-anak pelajaran. Ajarlah mereka mengenal huruf, mengeja dan menulis.

Janganlah hantar anak ke sekolah dalam keadaan anak-anak tidak bersedia dari aspek akademik. Zaman sekarang, sudah tiada lagi alasan ‘murid degil di rumah dan tidak mahu mendengar cakap’ kerana itu tugas ibu bapa sebagai penjaga di rumah untuk membentuk anak-anak. Murid degil bukan salah cikgu. Mereka degil kerana tidak dibentuk dari kecil lagi. Murid tidak tahu membaca pun bukan salah cikgu. Mereka tahu membaca kerana tidak diajar membaca di rumah.

Murid zaman sekarang tidak dinafikan ada yang degil dan kuat melawan guru. Tetapi, disebabkan kuasa merotan murid telah ditarik balik. Guru tiada kuasa untuk mendisiplinkan murid lagi. Sebab itu di beberapa sekolah, jika ada murid yang buat perangai, cikgu akan membiarkannya sahaja. Bukan apa, kerana cikgu sudah tidak berkuasa kerana terikat dengan peraturan. Jika guru rotan, akan jadi isu pula. Ibu bapa akan serang guru dan macam-macam masalah yang timbul. Inilah yang berlaku terhadap guru lebih-lebih lagi jika guru itu mengajar di kelas yang paling hujung (hardcore).

Kasihan. Inilah realiti dunia pendidikan. Semakin ramai murid di seluruh negara yang dikhuatiri lemah dalam penguasaan 3M. Maka, semakin banyaklah program-program yang dirancangkan oleh pihak atasan. Apabila semakin banyak program ditambah dalam jadual waktu sekolah, beban murid dan guru semakin bertambah.

Di sekolah rendah sudah ada Kajian Tempatan, pada hal subjek itu tidak termasuk dalam UPSR pun. Mungkinkah tidak lama lagi akan ada subjek lain seperti sastera, ekonomi, perdagangan, sejarah, pengetahuan am dalam subjek di sekolah rendah? Bukan saya menafikan subjek ini tidak bagus, tetapi kembali kepada persoalan utama iaitu JIKA MURID TIDAK TAHU MEMBACA, ADAKAH PROGRAM YANG DIRANCANGKAN AKAN BERJAYA?

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Demi masa depan murid, saya berani sahut cabaran mengajar murid tulis baca dalam tempoh 3 bulan. Semoga saya akan berjaya. Amin.

Jadi Rakan Saya

17 Januari 2010 18 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan ceria di hujung minggu. Terima kasih kerana sudi mengunjungi laman ini.

Tiada apa yang hendak saya maklumkan mengenai isu pendidikan pada hari ini kerana saya telah setkan blog ini secara automatik. Jadi, esok akan ada tajuk baharu yang agak menarik untuk dikongsi bersama anda.

Hari ini, saya hendak mengenali anda, pengunjung setia laman ini. Justeru, saya mengalu-alukan kiranya anda sudi untuk menceritakan serba sedikit mengenai diri anda sama ada :

  • Nama (nama samaran pun boleh)
  • Umur
  • Asal
  • Pekerjaan sekarang
  • Email untuk dihubungi

Manalah tahu sekiranya anda dalam kalangan cerdik pandai yang berpengalaman dalam sesuatu bidang, saya atau rakan-rakan yang lain bolehlah menghubungi anda untuk dapatkan khidmat.

Selain itu, kita boleh juga saling berkenal-kenalan antara satu sama lain. Insyaallah. Itu pun jika anda tidak keberatan.

ISIKAN maklumat yang anda mahu dalam ruangan yang disediakan. Sila klik DI SINI untuk maklumat berikut.

Anda juga boleh menulis sesuatu yang berkaitan di ruangan chatroll yang disediakan. Semoga hubungan kita 1 Malaysia akan bertambah erat dan bolehlah kita berkongsi dan bertukar-tukar pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Deparment

Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan – TPM

14 Januari 2010 Tinggalkan komen

LONDON 12 Jan. – Malaysia yakin penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah mudah dilaksanakan dengan penumpuan kepada penguasaan di kalangan guru-guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan melalui kursus berterusan kepada pentadbir sekolah, pengetua dan guru-guru dalam mewujudkan golongan celik komputer telah menunjukkan kesan ketara kepada perkembangan ICT di Malaysia.

Menurutnya, kajian British Commonwealth Group (BCG) 2008 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkaitan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menunjukkan wujudnya peningkatan kesedaran dan kreativiti di kalangan guru dan murid dalam penguasaan ICT.

“Malaysia mempunyai banyak inisiatif termasuk video pendidikan melalui web, EduWeb TV, dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada lapan saluran projek School-Net melalui jalur lebar bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar.

“Makmal komputer juga dibina di 6,633 sekolah. Pusat akses Internet sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi kemudahan murid mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar bandar,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan ucaptama di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II di sini hari ini.

Seramai 73 Menteri Pelajaran dan juga pemimpin serta pegawai-pegawai pendidikan dunia menghadiri forum tersebut yang membincangkan mengenai pembelajaran dalam bidang ICT.

Ia forum pendidikan terbesar di dunia yang memfokuskan pembangunan dan integrasi ICT dalam pembelajaran di sekolah-sekolah.

Forum ini memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, pegawai kanan kerajaan dan pihak berkaitan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman mengenai pengunaan ICT di negara masing-masing.

Tambah Muhyiddin, gabungan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan Malaysia telah memperlihatkan banyak kerjasama antara sektor swasta dan awam dalam membentuk perkongsian pintar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kini menjadi cabaran kepada guru berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan penggunaan ICT yang membawa kepada pelbagai bentuk kemajuan itu dapat dicapai.

“Pada masa sama, kita juga sentiasa mengingatkan para guru bahawa teknologi itu hanyalah alat.

“Interaksi di dalam kelas dengan murid-murid juga perlu diutamakan di samping penggunaan ICT dalam pembelajaran. Tiada teknologi yang boleh menggantikan guru,” jelasnya.

Katanya, cabaran lain adalah kos yang tinggi dalam melaksanakan ICT terutama ketika negara menghadapi krisis ekonomi,

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan mendapat kerjasama baik daripada komuniti sekitar dan sektor swasta dalam menjayakan program ICT di sekolah.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai keperluan menjadikan pendidikan sebagai pertahanan paling utama negara bagi keselamatan ekonomi dan memberi jaminan kesihatan termasuk membantu dunia memerangi kebuluran.

“Selain menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian kemahiran mengenai teknologi, jadikan ia untuk menjalinkan kerjasama erat bagi keamanan dunia melalui komunikasi dan informasi teknologi yang lebih baik dalam ikatan persaudaraan pendidikan,” katanya. – utusan

Sumber : http://www.utusan.com.my

Kategori:Pengumuman Tags: