Arkib

Archive for Mei 2010

Saringan 2 LITERASI (lisan) selesai!

31 Mei 2010 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga anda sentiasa sihat dan ceria walau di mana jua anda berada. Semoga anda dapat melaksanakan tugas pada hari ini dengan sempurna. Terima kasih kerana anda terus mengunjungi laman ini.

Hari ini, selesai sudah saya menjalankan saringan 2 (LISAN) bagi LITERASI. Banyak kejutan yang berlaku dalam proses saringan ke-2 ini.

Saya tidak terkejut jika sebelum ini, ramai murid yang gagal melepasi saringan 1 dan dalam saringan lisan 2 ini, ramai pula yang lulus. Satu pencapaian yang membanggakan.

Namun, apa yang mendukacitakan saya adalah kegagalan seorang murid yang saya sasarkan dengan mudah akan melepasi saringan lisan ke-2 ini. Saya termasuk beberapa orang guru lain berasa hairan dengan prestasi merudum murid ini.

Murid-murid lain yang dalam sasaran didapati tiada masalah untuk melepasi saringan lisan 2 ini. Namun, seorang murid perempuan ini pula terkandas. Saya yang bertindak sebagai ‘pemudah cara’ semasa saringan tersebut dijalankan juga berasa terkejut dengan keputusan saringan berkenaan.

Setelah berbincang dengan guru kelas dan guru mata pelajaran yang lain, barulah saya ketahui apa punca sebenar prestasi murid berkenaan jatuh merosot.

Apa pun berlaku, saringan lisan sudah selesai dijalankan. Minggu ini akan bermula pula saringan lisan bertulis LITERASI dan saringan lisan NUMERASI.

Berdasarkan rekod semasa LITERASI dan NUMERASI yang ada di tangan, dijangka akan ada perubahan dari segi jumlah murid yang menguasai dan tidak menguasai kemahiran asas.

sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Advertisements

Jangan Sesekali Cabar Kesabaran Guru

30 Mei 2010 3 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa ceria di samping dapat melakukan tugas harian dengan sempurna.

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita mengenai salah seorang anak didik saya yang berusia lapan tahun. Biarlah saya namakannya sebagai Z sahaja. Z seorang kanak-kanak yang periang dan di lihat dari segi luaran sebagai individu yang tiada masalah.

Tetapi, Z sebenarnya adalah murid yang saya anggap sebagai ‘hiperaktif ‘ kerana Z sering tidak boleh duduk diam di dalam kelas dan suka mengganggu rakan dalam kelas, suka mencuri barang rakan, mengambil barang tanpa meminta izin, selalu bergaduh dan suka menuduh tanpa bukti.

Hendak dijadikan cerita, saya masuk ke kelas Z sebagai guru Bahasa Melayu. Semasa mengajar, Z mula menunjukkan tingkah laku sebenarnya yang telah saya duga. Saya berhenti mengajar dan menegur sikap keterlaluan Z yang kerap berjalan dalam kelas dan mengganggu rakan yang lain.

Z kembali duduk di tempatnya setelah ditegur. Saya segera menyambung pengajaran. Tidak sampai lima minit, Z kembali buat hal. Kali ini entah dari mana getah gelang didapatinya, dihalakan getah itu ke muka rakan sebelahnya.

Sakitnya hati sebab saya terpaksa memberhentikan pengajaran sekali lagi. Saya ambil pembaris panjang dan halakan tepat ke arah muka Z sebagai amaran supaya dia tidak mengganggu rakan dan menyalin latihan yang saya beri.

Z seperti tidak endah akan amaran yang saya berikan. Kerana tidak mahu emosi terganggu, saya enggan melayan tingkah laku Z yang mula hendak membuat riuh dalam kelas. Habis semua murid dijentiknya menggunakan getah gelang tersebut.

Dengan penuh rasa geram saya rampas getah gelang dan halakan ke lengan Z. Z mengaduh kesakitan. Kemudian, dia menyambung latihan (tapi tak buat juga, sekadar gimik sahaja pegang pensel) sambil berbisik kepada rakan di sebelahnya dengan kata-kata ini “Ala, tak sakit pun..”

Saya yang mendengarnya pura-pura tak tahu kerana saya tidak mahu layan sangat kerenahnya. Saya pun bergerak dari seorang murid ke seorang murid yang lain untuk memantau perkembangan latihan masing-masing.

Saya tahu bahawa Z masih tidak menulis satu apa pun di dalam buku latihannya walaupun 30 minit sudah berlalu. Saya sengaja dari belakang kelas memberikan amaran lisan. Kemudian, saya memberikan tumpuan kepada seorang murid yang tidak faham akan latihan yang diberi.

Tiba-tiba Z bangun dan mencampakkan buku latihannya keluar kelas. Saya tidak terperanjat dengan tindakannya. Secara baik saya mengarahkannya mengambil semula buku tersebut. Tetapi, Z tidak mengendahkannya. Saya beritahu Z bahawa saya akan mengulang kata-kata saya sebanyak 3 kali sahaja. Jika pada kata-kata yang ketiga Z masih tidak mengambil semula buku latihannya, saya akan memukulnya.

Perlahan-lahan Z bangun dan ambil buku latihan. Buku tersebut dipegangnya dan loceng pun berbunyi menandakan waktu balik. Z terus mencampakkan buku itu dari tingkat tiga bangunan sekolah. Kemudian, dia masuk ke dalam kelas dan mencapai beg sekolahnya lalu meluru keluar.

Murid-murid lain semua riuh. Saya segera minta murid lain berkemas dan pulang. Saya turun ke bawah dan ambil buku latihan yang Z campak tadi.

Keesokan harinya, di dalam kelas saya telah mengarahkan semua murid membuka buku latihan yang mereka salin semalam. Semua murid mengeluarkan buku masing-masing kecuali Z.

Mungkin dia perasan saya tidak senyum pada hari tersebut, perlahan-lahan dia keluar menemui saya. Z mengatakan buku yang dia campak semalam sudah dikutip sebelum balik. Saya tanya di mana buku latihan tersebut kalau benar dia telah kutip. Z katakan buku tersebut tertinggal di rumah.

Saya tanpa banyak cakap segera mencapai pembaris panjang dan mengeluarkan sebuah buku tulis. Saya minta Z membaca nama yang tertera pada buku tersebut.

Belum pun sempat Z habis baca, satu sebatan singgah di punggung Z. Kemudian, saya suruh Z baca kuat-kuat nama yang tertera pada buku latihan tersebut di hadapan kelas. Sekali lagi, belum sempat Z habis membacakan nama tersebut, satu lagi sebatan yang kuat singgah di punggungnya.

Z mengaduh menahan sakit. Memang sebatan kedua saya sebat dengan kuat sebagai pengajaran kepada dirinya dan murid-murid lain. Air mata Z mula mengalir. Tetapi saya tidak peduli dengan lakonan itu. Saya minta Z baca sekali lagi nama yang tertera pada buku latihan tersebut. Dalam sedu sedan dan disaksikan semua murid, Z membaca namanya pada buku tersebut.

Habis sahaja menyebut namanya pada buku tersebut, satu sebatan yang kuat  singgah sekali lagi di punggung Z. Z meraung kuat dan memeluk kaki saya memohon ampun.

Saya alihkan kaki dan mengambil buku latihan Z yang penuh dengan contengan. Saya renyukkan buku tersebut dan masukkan dalam tong sampah. Saya biarkan Z menangis di lantai hadapan kelas.

Kemudian, saya menyambung pengajaran pada hari berkenaan tanpa menghiraukan Z. Selepas, 30 minit pengajaran tiba masa untuk saya memberi latihan kepada murid-murid.

Z datang dengan wang tunai RM5 ditangan. Saya tidak menghiraukannya dan terus mengajar. Z datang menghampiri. Dengan muka sedih yang penuh air mata, Z memohon kebenaran keluar untuk membeli buku latihan baru.

Sekali lagi saya tidak mengendahkannya. Tiga kali Z merayu barulah saya mengizinkannya membeli buku. Saya memberinya tempoh seminit untuk mendapatkan buku latihan yang baru.

Seminit kemudian, Z naik semula ke kelas dengan sebuah buku baru di tangannya. Tetapi bukan buku latihan untuk subjek Bahasa Melayu. Z sudah terbeli buku latihan Matematik. Buku itu ditunjukkannya kepada saya.

Saya kata buku apa pun tidak menjadi masalah asalkan Z dapat menyiapkan latihan yang diberi. Tanpa buang masa, Z segera menyalin dan menyiapkan latihan yang diberi. Malah, sebahagian latihan yang dibuatnya betul.

Sewaktu rehat, saya memanggil Z ke bilik guru untuk memberinya kaunseling. Saya bertanya Z :

“Pernah tak awak kena rotan kat rumah?..”

Z sekadar menggelengkan kepala.

“Habis tu, kalau awak nakal, siapa yang rotan?..”

“Mak marah je. Mak tak pernah rotan pun..”

“Oh..sebab tak pernah kena rotan la awak jadi macam ni ye.. Ayah pun tak pernah pukul awak ke?..”

“Ayah pun marah je. Tak pernah rotan..”

“Kalau awak degil kat rumah siapa yang rotan?..”

“Mak dengan ayah marah je. Mana ada rotan..”

Emm.. Barulah saya faham. Selesai sesi kaunseling dengan Z, saya membenarkannya rehat dan memintanya menyiapkan semua latihan yang telah saya beri semalam dan pada hari ini.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Dalam PKSR 1 baru-baru ini, Z mencapai sasaran markah yang saya tetapkan.
  • Walaupun Z masih nakal di dalam kelas dan menggangu rakan lain, namun setiap kali latihan yang saya beri, dia akan siapkan dan menghantarnya pada hari itu juga.

Apabila Tugas Guru Diperlekeh..

29 Mei 2010 6 comments

Salam sejahtera dan salam hujung minggu.

Semoga anda semua sentiasa sihat dan sentiasa ceria di samping bersama insan tersayang. Terima kasih atas kesudian anda untuk terus mengunjungi laman ini.

Topik kali ini saya ingin sentuh mengenai ‘tugas guru’ sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah.

Sejak akhir-akhir ini, hampir setiap hari terpampang di dada akhbar isu berkaitan guru. Guru dibelasah, guru tampar murid, guru diserang ibu bapa, guru ditendang, guru ditahan kerana terlibat dengan penjualan dadah dan macam-macam isu yang timbul berkaitan guru.

Sebagai individu biasa, saya terkesan juga dengan isu guru yang dibangkitkan di dada akhbar saban hari. Pendedahan akhbar pada hari ini mengenai isu guru seolah-olah memberi tanggapan negatif kepada masyarakat mengenai pandangan mereka terhadap guru.

Saya selalu duduk bersama dengan jiran-jiran kadang-kadang di restoran mamak atau ketika pulang daripada bermain futsal. Semasa minum, jika isu tentang guru dibangkitkan, pasti tanggapan negatif sahaja yang dilemparkan oleh golongan ini terhadap guru.

Mujurlah saya tidak menyatakan dari awal perkenalan bahawa saya adalah seorang guru juga. Kalau tidak, sudah tentu saya juga dilabel sebagai ‘gila’ seperti yang diberitahu oleh rakan saya dalam satu sidang mesyuarat di mana rakan saya ini menyatakan penduduk sekitar mengatakan cikgu sekolah semua gila.

Apabila segala tanggapan mengenai guru menjurus kepada yang negatif sahaja, maka tugas guru menjadi bertambah sukar. Selain mengajar, guru memikul beban yang pelbagai. Hanya individu yang menjadi GURU memahami situasi ini.

‘Orang luar’ tidak tahu akan tanggungjawab sebagai guru. Justeru, mereka ini dengan biadabnya memperlekeh tugas guru. Jadi, tidak hairanlah kalau saban hari kita selalu dengar cerita negatif tentang guru.

Kepada guru yang mendidik murid dengan penuh dedikasi tanpa mengenal erti susah payah tidak kira apa orang lain kata dan lakukan perkara buruk di belakang anda, TAHNIAH saya ucapkan.

Saya tidak setanding anda semua yang lebih banyak melalui dan merasai pahit manis dunia pendidikan, tetapi saya akan berusaha sehingga berjaya tidak kira walau berjuta rintangan di hadapan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Jarang kita dengar sifat baik guru dipaparkan di dada akhbar bukan? Paling banyak adalah cerita negatif tentang guru sahaja.
  • Apakah peranan media pada hari ini sebenarnya? Adakah mencari salah orang, kemudian memaparkannya di akhbar untuk mengaut keuntungan atau mendidik masyarakat?
  • Adakah seseorang penulis yang menulis cerita tentang keaiban seseorang untuk dibaca oleh orang lain itu berasa gembira kerana cerita yang ditulisnya tersiar di akhbar?

45,000 Kakitangan Awam Tipu Sijil Cuti Sakit

26 Mei 2010 3 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda terus sihat dan ceria pada hari ini untuk melakukan tugas yang diamanahkan dengan sesempurna mungkin. Terima kasih kerana anda masih terus melayari laman ini.

Maaflah jika topik kali ini bukan berkaitan dengan isu murid pemulihan. Tetapi, apa yang hendak saya kongsikan bersama ada kaitan juga dengan prestasi semasa kakitangan awam.

Berikut adalah lapaoran yang terpampang di dada akhbar berkaitan tajuk pada hari ini. Selamat membaca!

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam mendedahkan kira-kira 45,000 atau tiga peratus daripada 1.5 juta kakitangan awam menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk ponteng kerja.

Presidennya, Omar Osman, berkata ada juga segelintir kakitangan awam mengambil cuti sakit kerana melakukan kerja sampingan.
“Kita tidak menghalang mencari pendapatan tambahan, tetapi biarlah kerja sampingan itu tidak mengganggu tugas hingga menjejaskan produktiviti,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau mahu perbuatan itu dipantau bagi mengelak ia bertambah kronik.

Omar berkata, berdasarkan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kakitangan yang didapati menggunakan sijil cuti sakit palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti turun pangkat atau dibuang kerja.

“Kita menyarankan Panel dan Pegawai Perubatan supaya memberi sijil cuti sakit kepada mereka yang betul-betul memerlukannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana jabatan mengenai peratus kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu.
“Kita ada menghantar surat kepada jabatan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu,” katanya kepada Berita Harian.

sumber : www.bharian.com.my

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • Harap-harap isu ini tidak dikaitkan dengan guru. Sukar digambarkan bagaimana sesebuah organisasi itu hendak berjaya dan mencapai matlamat dan sasaran tahunan jika dalam organisasi itu ada ‘ulat’ yang ‘gemar’ membuat onar dan memburukkan imej organisasi yang disertainya.
  • Kalau guru sendiri tidak berdisiplin, macam mana hendak membentuk anak murid?

Kasihan Lihat Ibu

25 Mei 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dapat melakukan tugas harian pada hari ini dengan sempurna. Terima kasih atas kesudian anda mengunjungi laman ini.

Hari ini, bukan hal pemulihan yang hendak saya sentuh. Tetapi sedikit berita mengenai kejayaan seorang anak penoreh getah yang menarik perhatian saya untuk kita kongsi bersama.

Walaupun ramai yang sudah membaca berita ini, tapi saya tetap paparkan sedikit kisah mengenai kejayaan anak muda ini.

Selamat membaca!

SHAH ALAM: Seorang anak penoreh getah tidak menjadikan kemiskinan dalam hidupnya sebagai alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya dia menjadikan kekurangan itu sebagai pendorong untuk belajar bersungguh-sungguh sebelum dinobatkan antara pelajar terbaik, sekali gus menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Seri Budiman di sini, semalam.

Noor Suzilawati Nasrudin, 22, menjadikan ibunya, Fatimah Samad, 43, seorang ibu tunggal, sebagai idolanya untuk berusaha bersungguh-sungguh dan mengubah hidup keluarganya.

Pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Perindustrian), Kampus UiTM Merbuk, Kedah itu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72 untuk melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor iaitu anugerah tertinggi yang diberikan UiTM kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran diambil.

Noor Suzilawati berkata, kepayahan ibunya bekerja membesarkannya dan lima beradik lain menyebabkan dia ingin membalas jasa dan pengorbanan ibunya.

“Dulu sebelum bekerja sebagai penoreh getah, ibu bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerambit (SMK), Kuala Lipis, Pahang.

“Kebiasaannya selepas tamat kerja sebagai tukang sapu, ibu akan bekerja di kantin pula manakala malam kerja dobi asrama. “Perkara ini dilakukan ibu tiap-taip hari iaitu bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 1 pagi,” katanya.

Menurutnya, pengorbanan ibunya itu menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh dan selepas diterima masuk ke UiTM dia tidak lagi menoleh ke belakang dan berusaha siang dan malam dengan mentelaah buku pelajaran.

sumber : http://www.utusan.com.my

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • Sekalung tahniah diucapkan kepada pelajar ini. Bangga dengan pencapaian anak peneroka. Siapa kata anak peneroka tidak boleh berjaya?
  • Alangkah seronoknya jika segelintir murid-murid pemulihan yang bermasalah dari segi disiplin dan akademik mempunyai motivasi diri untuk bergerak maju dan bersaing untuk berjaya.

Penjawat Awam Dilarang Buat Sebarang Bentuk Pernyataan Awam

17 Mei 2010 1 komen

KUALA LUMPUR 15 Mei — Penjawat awam dilarang membuat sebarang bentuk pernyataan awam — lisan atau bertulis — kerana dibimbangi boleh menjejaskan imej perkhidmatan, organisasi dan kerajaan.

Dalam surat edaran kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam mengingatkan tentang peraturan yang perlu dipatuhi penjawat awam berkaitan pernyataan awam.

“Dimaklumkan bahawa, Kerajaan memandang serius terhadap sebarang bentuk pernyataan awam yang dibuat pegawai awam sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan.

“Keadaan ini boleh menjejaskan imej kerajaan serta hasrat untuk menjayakan Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”,” katanya dalam surat edaran bertarikh 14 Mei yang disiarkan dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam.

Di bawah Peraturan 19 (1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memberi pelbagai implikasi; a. memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang apa-apa isu; b. memalukan atau memburukkan nama kerajaan; atau c. menunjukkan kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan. – Bernama

sumber : http://www.utusan.com.my

Sekian,
NORHAIDI HJ SARPONEN
Teacher’s Department

~SELAMAT HARI GURU 2010~

16 Mei 2010 11 comments

“Mak cakap, CIKGU tu macam MAGGI, makan masa susah..”

“Ayah pulak cakap, CIKGU tu macam D’SEEKERS, menakutkan..”

“Atuk cakap pulak, CIKGU macam ASTRO, macam-macam ada…”

“Tapi anak saya cakap, CIKGU macam L’OREAL kerana dirimu begitu BERHARGA!..”

*****

Without TEACHERS : days are –

  • “sadday”
  • “moanday”
  • “tearsday”
  • “wasteday”
  • “thirstday”
  • fightday”
  • “shatterdays”

So, “HAPPY TEACHER’S DAY..”

*****

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ SARPONEN

Teacher’s Department

  • Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik. Tak lupa buat kakak (Pn.Sabaria binti Sarponen) yang kini mengajar di Kem Iskandar, Mersing, Selamat Hari Guru, Angah..