Archive

Archive for Jun 2010

Masalah Guru – Murid – Penjaga (1)

30 Jun 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa ceria dan sihat sentiasa di samping dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan pada hari ini dengan sebaik mungkin. Terima kasih kerana anda masih terus mengunjungi laman ini.

Begitu banyak email yang dihantar tidak dapat saya balas semuanya. Jadi, saya mengambil pendekatan ini untuk menggunakan laman saya sebagai medan membalas email yang dikirimkan kepada saya.

Sehingga ke hari ini, jumlah murid yang tidak tahu membaca tidak dapat saya ketahui jumlah sebenarnya. Barang kali berkurangan atau pun sebaliknya. Ada guru yang masuk ke kelas tahun 1 terpaksa berdepan dengan sejumlah besar murid yang majorotitnya tidak tahu membaca. Lebih-lebih lagi jika guru berkenaaan ditugaskan mengajar di kelas yang paling tercorot (maaf andai kata-kata ini keterlaluan).

Ada pula guru yang dikatakan beruntung kerana masuk ke kelas, mereka dapat mengajar murid yang sudah pandai membaca, menulis dan mengira. Jarang kita dengar guru-guru ini merungut. Kasihan dengan guru-guru yang mengajar murid di kelas yang belakang ini.

Masalah yang timbul apabila guru mengajar di kelas yang majoriti muridnya tidak tahu membaca  adalah :

  • Murid tidak faham apa yang guru ajarkan kerana mereka sama sekali tidak boleh membaca. Mungkin ada pihak akan mencadangkan agar guru merendahkan laras bahasa dan aras kemahiran ketika mengajar. Jika semua itu sudah dilakukan tetapi murid masih tidak boleh membaca juga.
  • Rata-rata murid kelas belakang lebih aktif dan kerap mengganggu rakan-rakan lain berbanding murid kelas hadapan. Situasi ini menyukarkan guru untuk mengajar kerana masa mengajar kerap terganggu akibat teguran demi teguran yang dilakukan terhadap murid yang menimbulkan masalah.
  • Rancangan Tahunan memastikan aras pendidikan yang diterima setiap murid adalah sama. Jika murid kelas belakang ini mengikuti sistem ini, proses pembelajaran akan menjadi lebih sukar.
  • Ibu bapa mahukan hasil yang memberangsangkan tanpa mengambil kira keupayaan anak masing. Jika anak tidak boleh membaca, bagaimana mereka hendak mengikut sistem yang dibuat dalam Rancangan Tahunan?
  • Mungkin subjek Bahasa Melayu dan Matematik ada guru LINUS atau PEMULIHAN yang akan bekerjasama untuk membantu mengurangkan masalah ini. Bagaimana pula dengan subjek lain?
  • Segelintir murid nakal dalam kelas. Apabila ditegur, murid semakin berani. Apabila dikenakan tindakan disiplin, guru diserang tanpa dipertahankan. Jika itu ini semua guru tidak boleh lakukan, macam mana guru hendak mengajar dan mendisiplinkan murid?
  • Ada ibu bapa yang hanya hantar anak ke sekolah untuk dapat A dalam peperiksaan. Sekolah ibarat nurseri. Cukup masa, ibu bapa akan datang ambil anak masing-masing.

Semua luahan ini berbeza sekali dengan guru yang mengajar di kelas hadapan. Tetapi ini bukan bermakna guru kelas hadapan tiada rungutan. Setiap murid itu tingkah laku dan potensinya berbeza-beza. Ada juga murid kelas hadapan yang ‘terlebih bijak’ dan terlalu mengada-ngada. Bagi saya, itu semua perkara biasa kerana itulah sifat kanak-kanak.

Walau apa pun yang terjadi di sekolah, kita sebagai guru perlulah kurangkan mengeluh dengan tanggungjawab yang diterima. Inilah risikonya yang perlu ditanggung oleh individu yang berstatus ‘CIKGU’ kerana golongan ini bekerja ‘memperbetulkan’ otak manusia bukan bekerja dengan mesin.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ SARPONEN

Teacher’s Department

  • Mungkinkah sudah tiba masanya sistem persekolahan berorientasikan peperiksaan semata-mata perlu diubah?

Akan Datang : Ebook Mahir 2M

25 Jun 2010 3 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada anda kerana masih sudi melayari laman ini.

Pada kali ini, saya ingin maklumkan bahawa ebook yang saya hasilkan akan dijual bermula 31 Ogos 2010 ini. Justeru, sekiranya anda berminat untuk mendapatkan ebook berkenaan, sila klik di pautan yang disediakan di bawah.

BUKU 1

Siri Bacaan Asas

Buku 2

Siri Lembaran Kerja

klik DI SINI untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai ebook ini


Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Deparment

Naik Cuti, Semua Lupa..Alamak!

24 Jun 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab harian dengan sempurna. Terima kasih kerana anda terus melayari laman ini.

Cuti sekolah bagi sesi penggal kedua bermula pada Isnin yang lalu. Seperti biasa, seawal jam 7.00 pagi, suasana sunyi sekolah selama dua minggu diganti dengan hiruk pikuk bisingnya suara jerit dan teriak murid-murid. Barang kali gembira setelah dua minggu tidak berjumpa dengan teman sekelas.

Hari Isnin, saya masuk ke kelas untuk menyambung sesi pengajaran yang tertunda selama dua minggu ekoran cuti pertengahan tahun. Sebelum bercuti, saya ada beri murid beberapa latihan untuk disiapkan sebagai mengisi masa lapang murid agar mereka tidak lupa akan kemahiran yang diajar.

Namun, apabila latihan yang diberi itu saya minta, seperti yang dijangka – ramai yang tidak siap, beri alasan tertinggal di rumah, beri alasan buku hilang dan segala macam alasan.

Tetapi, saya tidak marah kerana saya memang sudah faham ‘situasi’ setiap kali selepas cuti sekolah. Kemudian, saya menyambung pengajaran untuk LITERASI. Sebelum masuk ke tajuk baharu (murid telah kuasai kemahiran sebelum cuti sekolah), saya ulang semula kemahiran yang telah dikuasai murid.

Malangnya, tidak seorang pun murid tahu mengeja mahu pun menulis perkataan seperti BAL+DI, BAN+TAL, KA+ME+RA, PA+YUNG dan lain-lain perkataan yang mudah. Alangkah kecewanya saya ketika itu. Kata seorang rakan guru di sekolah yang sama, “Biasalah tu. Budak-budak apalah yang dia orang ingat?. Masa cuti masa untuk main. Naik cuti, semua lupalah. Yang teruknya? Cikgu la sebab kena ulang ajar balik kemahiran sebelum ni..”

Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • AKAN DATANG!! ebook Mahir 2M yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Sila ke Gallery Ebook untuk mengetahui maklumat lanjut.

Masalah Pembelajaran : Autisme

18 Jun 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda sihat sejahtera dan sentiasa ceria di samping dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap tugas harian pada hari ini dengan sebaik-baiknya. Terima kasih atas kesudian anda melawat laman ini. Saya amat menghargainya.

Hari ini hari Jumaat, 18 Jun 2010. Sekejap sahaja masa berlalu. Diam tak diam, sudah pertengahan tahun rupanya.

Baiklah. Hari ini, saya ingin sentuh sedikit perkara berkaitan Pendidikan Khas ekoran begitu banyak email yang saya terima minta saya jelaskan serba sedikit tentang kanak kanak Autisme.

Pada 2008, saya telah mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) satu tahun di IPBMM, KL. Kebetulan pada masa itu saya mengikuti kursus masalah pembelajaran. Jadi, dapatlah saya kongsi sedikit maklumat ini.

Autisme adalah satu ‘penyakit’ yang kompleks di mana penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti apakah punca sebenar ianya berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, mengahidap penyakit seperti Congenital Rubella, penyakit baka phenylketouria, sindrom fragile-x, tuberos sclerosis , mengalami kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan menghidap penyakit encephalitis (lembam otak) dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisme.

Kes-kes autisme yang dikesan dan dikenal pasti pula mempunyai perbezaan dari aspek perkembangan dan tingkah laku. Ianya ada kaitan dengan faktor baka, pengalaman dan keadaan alam sekitar yang mempengaruhi perkembangan seseorang anak yang autistik dan cara mereka membentuk personaliti.

Tetapi, hampir semua kanak-kanak autisme menunjukkan ciri-ciri seperti yang berikut :

  • Masalah komunikasi, kanak-kanak ini tidak menunjukkan perkembangan bahasa seperti kanak-kanak lain. Tahap kefahaman bahasanya rendah tahap penggunaan bahasanya terbantut.

  • Suka bersendirian, kanak-kanak ini seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri dan didapati sukar untuk menjalin kemesraan dengan orang lain termasuklah tidak suka dibelai, dipeluk dan dicium.
  • Tingkah laku aneh, biasanya mereka bermain berjam-jam lamanya dengan sesuatu barang yang diminati dan akan menjadi baran jika barang tersebut hilang, dialihkan atau diambil. Kanak-kanak ini akan bermain seorang diri, tidak bercakap atau menumpukan perhatian dalam kelas dan kerap keluar kelas pada bila-bila masa.
  • Tingkah laku pelik, kebanyakannya menunjukkan tingkah laku seperti suka menjengkit kaki apabila berjalan, bermain suiz lampu, menepuk-nepuk tangan dan sebagainya.

Sumber : Nota kuliah KSPK 2008

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Deparment

p/s :

  • Jika ada komen atau pertambahan atau pembetulan maklumat adalah dialukan.

“Cuti sekolah, ‘semua cutilah..”

17 Jun 2010 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sihat sejahtera dan sentiasa ceria di samping dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap tugas harian dengan sebaik-baiknya. Terima kasih atas kesudian anda melawat laman ini. Saya amat menghargainya.

Alkisah minggu ini, anak buah datang dari kampung. Bercuti di rumah saya di Kuala Lumpur. Orang kampung datang ke bandar besar, sedikit banyak agak terpegun juga. Maklum sajalah. Suasananya cukup berbeza.

Di kampung, udaranya nyaman, sejuk sunyi dan sesekali bunyi burung dan ayam ternakan. Berbanding di kota metropilitan,di sini irama haiwan ternakan ditukar dengan bunyi kenderaan lalu lalang. Di kota besar seperti Kuala Lumpur juga, siang atau malam, sama sahaja.

Seronok juga membawa anak buah bercuti. Melawat sekitar Kuala Lumpur. Banyak yang mereka pelajari dengan macam-macam ragam dan kerenah. Dua hari berlalu, mereka akan pulang. Sebelum pulang, saya bawa mereka singgah di sebuah taman permainan yang besar di dalam bangunan.

Malam itu, mereka tidur di rumah saya. Sempat juga saya bergurau senda dengan anak-anak buah. Yang sulung baru darjah satu. Dilahirkan melalui kaedah forsep. Memang ligat kanak-kanak ini dan tidak senang duduk. Ada saja perkara yang hendak diusik.

Saya memanggilnya Azim.

Penulis : Seronok tak bercuti kat rumah pak cik?

Azim     : Mestilah best. Lain kali boleh datang lagi tak?

Penulis : Ish, mestilah boleh. Tapi, ada syaratnya.

Azim     : Apa dia?

Penulis : Ayah Azim cakap kat pak cik tadi Azim ada banyak kerja sekolah. Tapi kerja tu tak siap. Pak cik tak mau dengar Azim tak buat kerja sekolah tau. Kalau tak, pak cik tak mau bawak Azim pergi jalan-jalan lagi.

Azim     : Ala, balik-balik kena buat kerja sekolah je. Masa cuti, semua kena cutilah. Tak payahlah buat kerja sekolah.

Mendengar jawapan Azim, saya sekadar tersenyum, tidak marah atau menegurnya kerana urusan selebihnya saya serahkan kepada penjaganya. Azim dinasihati.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Teringat semasa zaman kanak-kanak dahulu. Jika ada kerja sekolah yang di beri semasa musim cuti, ibu dan ayah gesa saya siapkan semua kerja sekolah yang diberi. Kalau tidak, saya tidak dibenarkan keluar rumah. Inilah undang-undang pendidikan zaman kanak-kanak dahulu.

Bila Masa Sesuai ‘Putus Susu’

12 Jun 2010 33 comments

PENYUSUAN badan adalah langkah terbaik bagi memastikan bayi yang baru lahir sihat dan memperoleh nutrien-nutrien yang diperlukan.

Namun pada satu peringkat ibu kadang kala terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan penyusuan badan terutama apabila bayi semakin meningkat usia.

Cubalah beberapa tip di bawah untuk menghentikan penyusuan badan apabila masanya sesuai.

  • Bayi akan menjadi biasa dengan sesuatu rutin yang kerap dilakukan mereka, jadi jangan mengubah secara tiba-tiba rutinnya.
  • Dalam kata lain, apabila tiba masa menyusukan bayi, berikan bayi susu botol tetapi susukan mereka dalam bilik yang sama dan duduk di kerusi yang sama.
  • Ia akan menenangkan bayi dan membantunya mengubah cara penyusuan sedikit demi sedikit.
  • Kurangkan jumlah penyusuan badan setiap hari secara perlahan-lahan dan konsisten.
  • Adakala memang sukar untuk anda menghentikan penyusuan badan secara serta merta kerana bayi tidak akan memahaminya dan sukar menyesuaikan diri.
  • Jadi jika bayi agak cerewet, lebih mudah anda mengalah dan teruskan penyusuan badan.
  • Kaedah itu juga membantu anda secara perlahan-lahan menghentikan penyusuan badan.
  • Sebagai permulaan anda juga boleh mengurangkan satu waktu penyusuan harian tidak kiralah sama ada pada waktu siang dan malam.
  • Jika bayi lapar kerana jumlah penyusuan hariannya dikurangkan, berikannya minuman formula bayi atau susukan menggunakan botol.
  • Ketika tempoh sepatutnya untuk berhenti menyusu badan, anak akan mula menunjukkan minat kepada makanan pejal.
  • Selepas itu, kurangkan jumlah penyusuan badan setiap hari sehingga mungkin sekali sehari. Untuk itu bayi tidak akan lagi bergantung kepada penyusuan badan.
  • Pada masa sama, ambil berat mengenai payu dara anda kerana susu badan akan terus keluar dengan banyak walaupun anda menghentikan penyusuan badan pada waktu yang sesuai.
  • Biarkan anak melakukan perubahan mengikut kehendak mereka dalam soal penyusuan badan ini.
  • Kadang-kala, bayi akan mula mengambil lebih banyak makanan pejal berbanding terlalu bergantung kepada penyusuan badan dan ia menunjukkan mereka sudah melepasi peredaran dengan mudah.

sumber : www.utusan.com.my

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Guru Tirai Besi

11 Jun 2010 Tinggalkan komen

BILA disebut akan ditukarkan ke kawasan pendalaman, ramai guru terutamanya wanita mula bimbang jika berita itu menjadi kenyataan.

Mereka takut terpaksa berjauhan dengan keluarga dan jauh dari pusat membeli belah selain berdepan dengan pelajar yang serba kekurangan dari segi ilmu pengetahuan dan kelengkapan persekolahan.

Namun jika difikirkan guru-guru tersebut masih bernasib baik. Ini kerana ada guru yang terpaksa terpaksa mengajar di sebalik tirai besi iaitu di pusat-pusat tahanan.

Guru tirai besi itu ialah tenaga pengajar yang ditugaskan untuk memberi ilmu dan membentuk banduan remaja berusia 15 hingga 21 tahun yang ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam penjara.

Nasib guru tirai besi di sekolah integrasi terbabit juga tidak sebaik guru lain yang mengajar di sekolah menengah kerana kelas yang merupakan tempat mengajar tidak ubah seperti sel yang didiami banduan.

Bagi guru wanita, mereka berdepan dengan anak murid yang disabitkan dengan kesalahan jenayah yang pastinya membuatkan hati tidak senang.

Namun ia bukan penghalang kepada guru terbabit untuk memberikan khidmat terbaik kepada anak-anak murid mereka itu.

Di sebalik terpaksa berulang-alik ke penjara setiap hari termasuk perlu mematuhi pelbagai prosedur keselamatan yang ketat, tugas tetap dilaksana tanpa berbelah bagi.

Malah walaupun terdiri daripada mereka yang disabitkan dengan pelbagai salah laku jenayah, para pelajar dalam penjara itu turut menghargai guru mereka.

Ini terbukti melalui sambutan Hari Guru Sekolah Integrasi Kajang di Penjara Kajang yang diadakan baru-baru bagi meraikan 14 orang guru mereka.

Meskipun pelajar terbabit mempunyai rekod sebagai seorang penjenayah, namun kasih sayang mereka terhadap guru juga teguh.

Perhubungan akrab dan kasih sayang antara mereka dapat dilihat apabila hampir 100 banduan juvenil tidak henti-henti menghiburkan guru mereka dengan pelbagai pertunjukkan pada hari berkenaan.

Terdapat antara mereka mendeklamasi sajak dengan penuh perasaan sebagai menghargai pengorbanan guru dan ada juga yang mengubah lagu bagi menyampaikan rasa terima kasih kepada yang dianggap ibu dan bapa kepada mereka.

Persembahan yang disampaikan ternyata menyentuh hati guru-guru terbabit sehingga ada yang mengalirkan air mata.

Namun suasana itu kemudiannya bertukar menjadi riuh rendah apabila banduan juvenil berkenaan melakonkan semula lagak guru mereka ketika di dalam kelas.

Persembahan itu menjadikan guru-guru terbabit yang terharu kembali ketawa.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Malaysia, Datuk Seri V.S Suwaminathan, terharu dengan komitmen yang diberikan para guru bagi membentuk pelajar di sebalik tirai besi.

sumber : www.utusan.com.my

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Pada tahun 2009, semua banduan lulus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diduduki.
  • Bukan semua guru sanggup datang dan mengajar dalam penjara kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
  • Dalam kesukaran, akan ada jua kesenangan dan kegembiraan. Semuanya memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua