Cukupkah kurikulum 3M?

Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin kongsikan isu menarik berkenaan pendidikan dalam negara ketika ini. Artikel ini saya perolehi dari sebuah akhbar tempatan.

Oleh :
ANUAR AHMAD

Awal bulan Jun ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Dua sebab utama cadangan ini dikemukakan iaitu menolak budaya berorientasi peperiksaan dan pembelajaran menghafaz yang terlalu menguasai sistem pendidikan. Kedua, UPSR menyebabkan potensi sebenar para pelajar gagal dibangunkan kerana budaya taksub kepada akademik semata-mata.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkaitan hasil pelaburan pendidikan mendapati kadar pulangan pendidikan di peringkat sekolah rendah memberikan hasil pulangan perseorangan yang paling tinggi berbanding perbelanjaan untuk sekolah menengah dan universiti (Rahmah dan NanthaKumar:2007).

Maksudnya, setiap ringgit yang dibelanjakan untuk menjayakan pendidikan rendah akan menyebabkan kerajaan mendapat hasil modal insan dan modal sosial yang lebih tinggi termasuk penjimatan kos pengurusan salah laku, misalnya masalah sosial seperti penagihan dadah dan perlakuan jenayah, vandalisme dan moral.

Apakah yang dikategorikan sebagai pendidikan rendah? Tentulah bidang ilmunya. Maknanya pelajar diberikan ilmu asas. Ilmu asas di sekolah rendah boleh sahaja menjadi sangat mustahak, penting dan tinggi nilainya berbanding ilmu di sekolah menengah atau di universiti sekalipun.

Penting pada pembangunan pelajar dan lebih- lebih lagi pada pembangunan negara. Jika ilmu asas tidak kukuh, maka ilmu lanjutan yang dipelajari di sekolah menengah dan universiti tentunya tidak jelas dalam diri pelajar.

Pendidikan asas atau rendah ini sebenarnya satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia dan sebagai seorang ahli dalam sebuah negara. Maka, pendidikan ilmu asas di peringkat sekolah rendah sering kali dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).

Sebenarnya pendidikan asas lebih daripada itu kerana pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama. Oleh itu apabila pendidikan rendah hanya menekankan soal pendidikan berkonsepkan 3M maka matlamat pendidikan ilmu asas gagal dicapai sepenuhnya semasa di sekolah rendah.

Pendidikan ilmu asas juga seharusnya tidak melibatkan satu proses pengaliran (streaming) yang rigid. Malah penilaian yang dilakukan kepada pelajar untuk pendidikan ilmu asas bukanlah sepatutnya melihat siapa yang paling pandai tetapi tumpuan sepatutnya diberikan untuk setiap pelajar mencapai tahap-tahap yang sepatutnya dicapai sepanjang program pendidikan asas.

Oleh itu, penggredan yang terlalu ketat melalui peperiksaan seperti UPSR membunuh sistem pendidikan ilmu asas. Penilaian sepatunya mengukur tahap-tahap yang telah atau belum dicapai oleh pelajar tanpa membandingkan dengan pelajar yang lain.

Maka tidak hairanlah ada negara yang menggunakan istilah ‘sekolah asas’ berbanding sekolah rendah. Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luas. Manakala pendidikan sekolah rendah lebih merujukkan kepada sekolah dan bukan ilmu yang ingin disampaikan. Oleh itu, apabila orang dewasa ingin mempelajari pendidikan asas, misalnya belajar ilmu asas membaca al-Quran, akan ada pandangan orang itu sepatutnya sudah belajar dahulu semasa di sekolah rendah dan pelik jika ingin belajar ilmu asas seperti membaca al-Quran apabila sudah dewasa.

Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan ilmu asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau di usia tua. Walaupun seelok-eloknya bermula di peringkat umur paling muda.

Maka pendidikan untuk orang dewasa juga meliputi aspek ilmu asas. Jika seseorang dewasa ingin mempelajari asas komputer dan teknologi maklumat maka kurikulum pendidikan asas sepatutnya menyediakan peluang pendidikan tersebut, berbanding pendidikan sekolah rendah yang hanya tertumpu kepada kanak-kanak semata-mata.

Justeru, ke manakah golongan dewasa yang buta huruf perlu pergi jika mereka ingin belajar, apakah kita akan menghantar mereka ke sekolah rendah untuk mempelajari pendidikan asas membaca, menulis dan mengira?

Malangnya masyarakat sering melihat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai sangat penting tetapi melihat ujian asas seperti kebolehan membaca, menulis dan mengira atau sebarang peperiksaan untuk pendidikan asas tidak begitu penting.

Malah ujian kebolehan membaca, menulis dan mengira dianggap sebagai remeh dan tidak mendapat perhatian sepenuhnya di kalangan ahli masyarakat.

sumber : www.utusan.com.my

sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • Jika diingat-ingat kembali tentunya pembaca bersetuju bahawa sebahagian besar perkara dalam pendidikan asas bukanlah perkara yang mudah untuk kita lupakan.
  • PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: