Arkib

Archive for September 2010

Lupa Atau Masalah Pengamatan?

27 September 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa sihat dan ceria di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Tidak kira di mana pun anda berada, terima kasih kerana anda sudi melayari laman ini.

Pada suatu pagi, saya meminta seorang murid untuk mengambil barang saya yang tertinggal di atas meja dalam bilik guru.

Penulis   : Akmal. Mari ke sini sekejap. Awak tau meja cikgu tak?

Akmal     : Tau.

Penulis   : Okey, tolong ambilkan ‘marker pen’ warna biru atas meja cikgu.

Murid     : Sekarang ke, cikgu?

Penulis   : Ya.

Murid ini tadi keluar dan menuju ke bilik guru. Sebentar kemudian, dia kembali semula.

Penulis     : Mana barangnya?

Akmal      : He.he.. Lupalah. Cikgu suruh ambik ape tadi?

Penulis   : Cikgu suruh kamu ambil ‘marker pen’ warna biru macam ni (menunjukkan contoh) atas meja cikgu kat bilik guru.

Murid B   : Biar saya pergi, cikgu!

Jerit ketua kelas dari belakang.

Sekali lagi saya tunjukkan contoh ‘merker pen’ warna biru kepada murid berkenaan dan memintanya mengambil segera. Beberapa ketika kemudian, murid ini kembali semula.

Akmal     : Tak ada pun?

Penulis   : Atas meja cikgu la. Awak dah cari betul-betul?

Akmal     : Dah cari. Memang tak ada. Buku banyak la atas meja.

Penulis   : Awak cari atas meja siapa?

Akmal     : Atas meja cikgulah.

Penulis    : Ada gambar cikgu tak atas meja tu?

Akmal     : Ada. Tapi bukan gambar cikgu. Gambar Cikgu Faiz.

Penulis   : Akmal, meja yang awak pergi tadi tu bukan meja cikgu. Itu meja cikgu Faiz. Atas meja cikgu mestilah ada gambar muka cikgu ni. Tak apalah. Cikgu suruh orang lain pergi ambil.

Akmal     :  Saya tau, cikgu. Biarlah saya ambil.

Penulis   : Okey. Pastikan awak tak silap meja tau. Pergi ambil sekarang.

Akmal    : Ambil ‘marker pen’ je kan, cikgu?

Penulis   : Ya. Warna biru macam ni tau. (sekali lagi saya tunjukkan contoh)

Murid tadi meluru keluar berlari menuju ke bilik guru. Sebentar kemudian, murid ini kembali semula ke kelas dengan sebatang ‘marker pen’ yang saya minta diambilnya.

Akmal   : Nah!.

Penulis  : Akmal, ini ‘marker pen’ warna hitam. Cikgu suruh ambil warna biru.

Akmal   : Yeke, cikgu? Tadi saya ambil warna biru la. Macam mana sampai kat sini jadi warna hitam? (sambil menggaru kepala yang tak gatal)

Penulis  : Hmm.Tak apalah. Terima kasih. Awak sambung siapkan latihan tadi.

Murid tadi berlalu. Saya memandangnya dan kemudiannya menggeleng kepala dan tersenyum.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : Lain yang disuruh, lain yang dibuat

Advertisements

Jangan Biar Anak Terabai

25 September 2010 3 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan ceria di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Di mana pun anda berada ketika ini, jutaan terima kasih saya ucapkan kerana sudi melayari laman ini.

Hari ini saya hendak kongsikan sedikit mengenai salah seorang murid lelaki tahun dua yang saya ajar. Murid ini sering kali tidak dapat menyiapkan kerja rumah yang diberi.

Malah, dalam masa satu jam, hendak menyalin dua baris ayat yang sederhana pendek pun sukar. Pada mulanya, saya ingatkan murid ini memang sengaja tidak mahu menyalin atau malas. Namun, setelah berjumpa dan berbincang dengan guru Pemulihan, saya mendapat tahu murid ini sebenarnya menghadapi masalah pembelajaran iaitu hiperaktif lavel 2.

Dengan masalahnya yang begitu, murid ini sering kali dilihat merayau-rayau serta tidak boleh duduk diam. Suka mengganggu rakan, bergaduh dalam kelas dan macam-macam masalah yang dibuatnya.

Bagi saya dan guru-guru lain yang sudah biasa dengan murid seperti ini, mungkin masalah ini kecil sahaja. Tetapi bagi guru yang baru pertama kali bertugas, pasti hampir setiap hari ‘dibuli’ oleh murid ini.

Saya menganggap murid ini mempunyai masalah yang boleh diatasi dengan segera. Caranya, saya mesti berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa atau penjaga murid ini.

Si ibu telah datang ke sekolah dan berjumpa dengan saya untuk membincangkan masalah murid ini. Ibunya mengaku anaknya memang hiperaktif lavel 2 berdasarkan laporan doktor. Saya turut bertanyakan sekiranya doktor ada mengeluarkan laporan bertulis atau tidak. Saya dimaklumkan, laporan masih belum boleh dikeluarkan memandangkan murid ini masih menerima rawatan daripada doktor berkenaan.

Saya dimaklumkan oleh si ibu, jika murid ini gagal melepasi satu tahap ujian yang dijalankan oleh doktor, maka doktor akan mencadangkan anaknya supaya ditempatkan ke sekolah khas. Si ibu yang kelihatan gelisah dengan kenyataan doktor telah meminta pandangan saya.

Saya hanya boleh berkata bahawa doktor telah menjalankan ujian dan analisisnya jika diketahui benar seperti yang dijangka, maka sebaik-baiknya berbincanglah dengan suami untuk menentukan di mana anak murid ini sepatutnya berada.

Saya mencadangkan supaya si ibu tadi mengikut saranan doktor. Namun, si ibu tidak mahu kerana malu orang sekeliling akan mengatakan anaknya cacat. Saya menjelaskan bahawa anaknya bukan cacat dan masuk ke sekolah khas tidak semestinya murid cacat sahaja kerana ada kategori murid dalam sekolah khas.

Anaknya cuma akan belajar di sekolah khas atau sekolah yang ada sediakan kelas khas masalah pembelajaran. Bukan bermaknya masuk ke sekolah atau kelas berkenaan maka anaknya dikategorikan sebagai cacat.

Justeru, saya meminta supaya satu salinan laporan daripada doktor diberikan kepada saya untuk tindakan susulan. Saya juga meminta supaya si ibu tadi tidak melengah-lengahkan hal ini dan melakukan tindakan seterusnya.

Namun, hingga kini masih tiada apa yang berlaku. Murid tersebut terus ketinggalan berbanding rakan sebaya yang lain.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • Ada sesetengah ibu bapa sukar untuk dihubungi guru untuk menyampaikan maklumat mengenai program sekolah atau pun laporan disiplin atau prestasi akademik anak mereka.

~Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR 2010~

21 September 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Hari ini merupakan hari penting bagi semua murid tahun enam di seluruh negara kerana mereka akan menduduki peperiksaan penting iaitu UPSR 2010.

Justeru, penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjuang dan semoga dipermudahkan segala urusan semasa menjawab soalan khasnya untuk murid-murid tahun enam di Sek.Keb Seri Suria, Kuala Lumpur.


Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

~SELAMAT HARI RAYA AIDILFIRTI~

6 September 2010 Tinggalkan komen


Daripada :

Admin,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Penulis akan bercuti bermula 6 hingga 16 September 2010. Justeru, sepanjang tempoh berkenaan, tiada entri terbaru yang akan dimasukkan.
  • Walau bagaimana pun, kedai buku online penulis tetap akan dibuka 24 jam seperti biasa.

Diskaun Tol Di Musim Perayaan

4 September 2010 4 comments

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Sebanyak 24 syarikat konsesi tampil menawarkan diskaun tol sehingga 40 peratus sempena Hari Raya Aidilfitri dengan MTD Prime Sdn. Bhd. (MTD) memberi tol percuma kepada pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Satu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, laluan tol percuma oleh MTD itu diberi kepada para pengguna laluan berkenaan pada 7, 8, 15 dan 16 September ini mulai pukul 9 malam hingga 6 pagi buat semua jenis kenderaan.

Katanya, 24 syarikat konsesi lain pula memberi diskaun tol pada 6 hingga 8 September serta 13 hingga 15 September bermula pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi, umumnya buat kenderaan ringan iaitu kereta dan beberapa kelas kenderaan lain.

Menurutnya, keadaan itu menandakan syarikat konsesi lebuh raya semakin rancak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan ia amat berbeza dengan tahun lalu yang menyaksikan hanya dua syarikat menawarkan diskaun tol.

“Langkah ini bagi penyuraian trafik kerana mereka (syarikat konsesi) percaya bila beri diskaun atau tol percuma pada waktu itu (malam), maka lebih ramai orang akan menggunakan lebuh raya,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya kementerian itu di Plaza Tol Gombak di sini hari ini.

Pada musim perayaan ini, Shaziman turut meminta syarikat-syarikat konsesi supaya menyediakan kemudahan yang diperlukan para pengguna lebuh raya seperti perkhidmatan lori penunda.

“Saya juga berharap pengguna lebuh raya yang menghadapi sebarang masalah supaya menghubungi syarikat konsesi ini atau Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM),” katanya.

Dalam ucapannya, Shaziman meminta syarikat-syarikat konsesi supaya menghentikan kerja-kerja pembaikan dan pembinaan di sepanjang lebuh raya masing-masing sempena musim perayaan ini.

“Langkah-langkah ini perlu diambil kerana aliran trafik dijangka mencapai 1.4 juta kenderaan sehari di lebuh raya sempena musim balik kampung nanti,” jelasnya.

sumber : www.utusan.com.my

Kategori:Berita, Pengumuman Tag:

Juadah Berbuka Bercampur Wain

3 September 2010 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Di hari yang baik di bulan yang baik, semoga anda dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik daripada semalam. Terima kasih kerana anda terus melawat laman ini.

Hari ini, saya hendak kongsikan laporan penuh dari sebuah akhbar tempatan mengenai masakan. Semoga artikel yang tersiar ini dapat dijadikan iktibar buat semua umat Islam di negara ini.

SUBANG JAYA: Entah berapa ramai pelanggan yang sudah ‘terkena’ apabila sebuah restoran makanan Barat yang menganjurkan bufet Ramadan mengaku dengan sengaja mencampurkan arak masakan di dalam hidangan yang disajikan kepada orang ramai.

Lebih mengejutkan apabila pemilik restoran turut sewenang-wenang memalsukan logo halal Jakim yang dicetak pada katalog menu bagi meyakinkan pelanggan yang menyangka restoran itu mendapat pentauliahan sijil halal Jakim.

Perbuatan itu dibongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah restoran makanan Barat di Subang Jaya, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, pegawai Jakim diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah memeriksa restoran terbabit yang menganjurkan bufet Ramadan.

Sumber Jakim berkata, restoran terbabit sebelum ini mengundang tanda tanya pegawai Jakim dan KPDNKK berikutan didapati sengaja menjual minuman keras dan wain kepada pelanggan walaupun pada masa sama menganjurkan bufet Ramadan.

“Pemeriksaan lanjut di dapur restoran terbabit menemui beberapa botol wain masakan yang digunakan chef sebagai bahan dalam masakan.

“Ketika disoal siasat, chef bukan beragama Islam terbabit mengaku mencampurkan wain itu ketika memasak juadah yang disajikan di dalam hidangan bufet Ramadan,” katanya.

Menurutnya, chef terbabit turut mengaku memasukkan kicap mengandungi alkohol di dalam kebanyakan masakannya yang dianggap sebagai perisa tambahan bagi menyedapkan masakan.

“Pemilik restoran terbabit tidak pernah memohon sijil halal dan pihak Jakim tidak akan membenarkan logo itu diguna pakai berikutan restoran terbabit turut menawarkan arak kepada pelanggan.

“Pihak pengurusan restoran terbabit diberikan notis. Berdasarkan kesalahan dilakukan kerana memalsukan logo halal jakim, pengusaha restoran terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Difahamkan, operasi terbabit antara puluhan pemeriksaan dan operasi berterusan dilakukan pihak Jakim terhadap hotel dan restoran sekitar ibu negara yang menawarkan bufet Ramadan sejak hari pertama puasa lalu.

sumber : www.hmetro.com.my

p/s : berhati-hatilah sebelum terkena!

Lambakan Guru Wanita – Di mana Guru Lelaki?

2 September 2010 4 comments

Oleh : Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my
2010/08/30


ENTAH di mana silapnya dunia pendidikan kini berdepan masalah lambakan guru wanita manakala lelaki pula lebih selesa memilih bidang pekerjaan lain.

Alasan kurang mencabar, tidak sesuai dengan jiwa dan gaji sedikit antara faktor penolakan menyebabkan guru wanita mendominasi bidang perguruan biarpun pelbagai usaha dilakukan bagi menarik golongan lelaki.

Berikutan ketidakseimbangan jantina itu, timbul persoalan, sampai bilakah senario ini akan berterusan?

Tokoh Guru Kedah Sayed Mahdzir Sayed Omar, berkata lambakan itu bukannya disebabkan golongan lelaki terlalu memilih, tetapi tawaran kerjaya lain lebih menarik.

Beliau berkata, dulu bidang kerjaya terhad, kini dengan perkembangan ekonomi memberangsangkan, wujud pelbagai bidang pekerjaan yang memerlukan kepakaran tertentu.

“Sesetengah lelaki memilih bidang perguruan, mungkin gagal mendapat pekerjaan lain di luar atau guru adalah pilihan terakhir mereka.

“Dari segi fizikal dan emosi, kerjaya ini lebih sesuai dengan wanita, malah pelajar rasa lebih selesa kerana wanita penuh kelembutan.

“Bagaimanapun, peranan guru lelaki juga penting kerana ada bidang tertentu yang tidak mampu dilakukan guru wanita,” katanya.

Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.

Sayed Mahdzir, berkata sukar meneka mengapa kerjaya guru didominasi wanita namun hakikatnya, golongan itu mempunyai kredibiliti dan kesabaran melaksanakan tugas.

Walaupun guru wanita dikatakan lebih garang, pelajar mudah berkomunikasi dan ini memudahkan proses pembelajaran.

“Guru wanita mempunyai emosi lembut, mudah berunding dan lebih memahami menyebabkan kerjaya ini. Waktu bertugas juga agak fleksibel.

“Meskipun bebanan tanggungjawab semakin berat, mereka berkemampuan apatah lagi kerjaya ini bagaikan tugasan hakiki sejak dulu,” katanya.

Namun, katanya, dalam beberapa aspek, kepakaran guru lelaki memang dituntut terutama membabitkan penggunaan fizikal, disiplin dan pendidikan jasmani .
“Malangnya, kekurangan itu menyebabkan guru perempuan terpaksa melakukannya, sudah tentu membebankan.

“Justeru, keseimbangan jantina juga penting bagi memastikan pelaksanaan bidang tugas mengikut kesesuaian mampu dilaksanakan,” katanya.

Ditanya apakah bidang tugasan menuntut komitmen penyertaan guru lelaki, beliau berkata disiplin lebih sesuai kerana pelajar mudah memperlekehkan guru wanita. Katanya, gejala sosial di kalangan pelajar terutama memerlukan mekanisme dan pemantauan sesuai yang hanya berkesan jika ditangani guru lelaki.

“Penting mengimbangi jantina antara dua golongan supaya penyelarasan tugasan dapat diseimbangkan kerana kemampuan guru wanita terbatas.

“Bayangkan apa akan jadi jika krisis ini berterusan, siapa yang akan menanggung akibatnya pada masa depan. Justeru, tindakan agresif perlu dilakukan bagi menarik guru lelaki menyertai kerjaya ini,” katanya.

Beliau meminta Kementerian Pelajaran menambah kouta pengambilan guru lelaki selain menyediakan skim gaji lebih menarik.

“Itu antara langkah boleh dilakukan, untuk jangka masa panjang. Dulu, lelaki suka jadi guru, kini sebaliknya.

“Fenomena ini menyedihkan kerana gabungan antara guru lelaki dan perempuan boleh melahirkan kecemerlangan dalam akademik,” katanya.

Beliau tidak menafikan kejatuhan disiplin pelajar juga disebabkan kurangnya peranan dimainkan guru lelaki namun bukan aspek kecemerlangan.
“Kewibawaan guru wanita tidak perlu dipersoalkan, mereka komited. Ini bukan masa mencari kesalahan orang lain.

“Selesaikan dulu kekurangan sedia ada. Letakkan kepentingan mendidik anak bangsa di tangga paling atas supaya tidak sesiapa menjadi mangsa,” katanya.

sumber : www.hmetro.com.my

INFO :

  • Lebih 80 peratus atau 54,400 daripada kira-kira 68,000 permohonan untuk mengikuti Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) yang diterima Kementerian Pelajaran bagi pengambilan Jun lalu membabitkan golongan wanita.
  • Justeru, pelbagai usaha diambil bagi mengatasi kekurangan itu, antaranya mengambil keputusan mengimbangkan pengambilan guru lelaki dan wanita.
Kategori:Berita Tag: