Arkib

Archive for Oktober 2010

Kursus Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran LINUS

21 Oktober 2010 20 comments

Salam sejahtera,

Pada minggu lepas, saya telah mengikuti satu kursus Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran bagi guru-guru LITERASI dan NUMERASI yang diadakan di Pejabat Pelajaran Bangsar – Pudu.

Kursus yang diadakan selama satu hari ini padat dengan pelbagai informasi dan aktiviti. Bertuah rasa diri kerana saya dapat mengikuti kursus ini. Walaupun masanya singkat, tetapi begitu banyak maklumat yang saya telah perolehi.

Berikut adalah kandungan kursus yang saya hadiri :

TENTATIF PROGRAM

 

7.30 pagi                      : Ketibaan dan pendaftaran

8.00 pagi                      : Taklimat oleh penyelaras program

– Pengajaran dan pembelajaran kelas LINUS Literasi

10.30 pagi                    : Kudapan

11.00 pagi                    : Bengkel Penghasilan Modul

12.30 tengah hari        : Merarau

2.00 petang                  : Pembentangan dan Pemurnian Modul

4.30 petang                  : Bersurai


Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Advertisements

Mengajar Murid Kemahiran Vokal Berganding

18 Oktober 2010 26 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Semoga hari ini merupakan antara hari yang paling cemerlang dalam hidup anda.

Terima kasih kerana terus melayari laman ini. Saya selaku penulis blog ini amat menghargainya.Terima kasih juga diucapkan kepada pembeli-pembeli ebook saya. Insyaallah, jika tiada aral, lewat hujung tahun ini saya akan melancarkan sebuah lagi ebook yang berkaitan dengan dunia pendidikan Pemulihan. Insyaallah.

Baiklah, hari ini saya hendak berkongsi mengajar kemahiran vokal berganding dengan anda. Sebagaimana yang diketahui, kemahiran ini agak sukar dikuasai murid jika konsep mengeja yang diajar tidak dapat difahami dengan jelas oleh murid.

Bahan Bantu Mengajar – kemahiran vokal berganding

  • Kad perkataan mengandungi vokal berganding.
  • permainan – Dadu
  • Kad imbasan bergambar
  • lembaran kerja :
  1. lembaran kerja – memadan perkataan dengan gambar
  2. lembaran kerja  – menulis vokal berganding berpandukan gambar
  3. lembaran kerja – mencari perkataan tersembunyi

Panduan Mengajar :

  1. Tunjukkan salah satu gambar daripada kad imbasan dan minta murid sebutkan nama gambar. Sila lihat contoh di bawah :
  2. Guru rangsang murid untuk menyebut nama gambar yang dilihat.
  3. Murid akan memberi jawapan iaitu : buah durian
  4. Tunjukkan kad perkataan bagi : durian
  5. Bimbing murid konsep eja perkataan ‘durian’ menggunakan kad suku  yang dipecahkan kepada suku kata berwarna. Lihat contoh di bawah : 
  6. Kemudian, minta murid eja sendiri perkataan mengikut suku kata.
  7. Jika sudah boleh, tunjukkan kad perkataan (gabungan suku kata pertama dan kedua tadi). Lihat contoh di bawah :
  8. Rangsang murid untuk mengeja dan membatang perkataan ini secara kumpulan dan individu.
  9. Tunjukkan kad imbasan bergambar yang lain dan ulang langkah di atas.
  10. Edarkan lembaran kerja kepada setiap murid.
  11. Pantau aktiviti murid semasa lembaran kerja di edarkan.
  12. Semak latihan murid melalui perbincangan
  13. Edarkan permainan bahasa berbentuk dadu ( dadu mengandungi vokal berganding pada setiap muka)

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Teacher’s Department

Pertama Kali Kelas Jadi Riuh – Seronoknya!

17 Oktober 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping bersama insan tersayang. Tidak kira di mana jua anda berada, jutaan terima kasih saya ucapkan kerana anda sudi mengunjungi laman ini.

Hari ini ketika saya sedang asyik menyiapkan buah tangan terbaru (Ebook Khas Pemulihan), tiba-tiba terkenang kembali sesi pengajaran saya bersama murid-murid Numerasi pada hari Jumaat yang lalu.

Pertama kali dalam kelas tercorot yang saya ajar, 100% murid dapat memberikan tumpuan dan belajar dengan penuh bersemangat. Apabila murid menjadi bersemangat, saya sebagai tenaga pengajar lagilah bersemangat. Kebetulan pada hari tersebut saya membawa pelbagai jenis bahan bantu mengajar yang boleh dilihat, disentuh dan diguna oleh setiap murid.

Berbanding dengan hari-hari biasa, saya cuma membawa tidak lebih dari tiga jenis bahan bantu mengajar. Barangkali kerana itu murid menjadi bersemangat. Murid-murid yang duduk di belakang pula boleh lihat dengan jelas bahan yang saya bawa.

Pada permulaan sesi pengajaran dan pembelajaran lagi murid tidak sabar bagaimana hendak menggunakan bahan yang saya bawa. Selepas mengajar dan sesi penerangan bahan, saya memberi murid peluang menggunakan bahan sebagai rujukan untuk menyiapkan latihan dalam modul Numerasi yang dibekalkan.

Pada masa itulah kelas menjadi riuh. Riuh bukan kerana murid berebutkan bahan. Riuh bukan kerana murid membuat bising. Tetapi riuh kerana masing-masing membuat latih tubi yang diberi sambil merujuk bahan yang diberi.  Mana tidaknya, mulut masing-masing terkumat kamit membaca soalan Matematik sambil merujuk bahan yang saya bawa dalam kumpulan masing-masing. Ada yang khusyuk membuat latih tubi, tidak mahu diganggu. Tidak ada murid yang berlari ke sana sini, tidak ada murid yang bercakaran.

Tugas saya dalam mengawal keadaan kelas menjadi mudah pada hari tersebut. Gembira rasa hati. Itulah pertama kali saya dapat lihat 100% murid hendak membuat latih tubi yang diberi berbanding sebelum ini tidak sampai 70% murid yang hendak belajar.

Ada yang tidak faham akan bertanya berbanding sebelum ini, mereka sekadar berdiam diri dan menyukarkan saya untuk menilai mereka pada akhir pengajaran. Berbeza dengan hari tersebut, semuanya berjalan lancar. Ada banyak faktor yang perlu saya nilai semula bagaimana keriuhan pembelajaran ini terjadi berbanding hari-hari yang sebelumnya.

Apa pun, saya berasa gembira kerana objektif pembelajaran tercapai. Semoga kecemerlangan murid pada hari berkenaan akan dapat diteruskan pada hari-hari yang akan datang. Insyaallah.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ SARPONEN

Teacher’s Department

Kecewa Apabila Tahu Ditipu!!

13 Oktober 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sentiasa dan ceria di samping insan tersayang. Semoga apa yang anda lakukan pada waktu ini,akan berjalan dengan sebaiknya seperti mana yang dirancang.

Bagi anda yang masih terus melayari laman ini, terima kasih saya ucapkan. Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya selaku penulis laman ini.

Maaflah. Hari ini, bukan isu LINUS, KIA2M, Protim atau Pemulihan yang saya hendak sentuh. Sebaliknya sekadar meluah rasa yang terbuku di hati.

Terkilan dengan sikap sesetengah pihak yang berkhidmat sama dalam satu organisasi. Bertanggungjawab membentuk anak bangsa dari akar umbi, satu profesion yang tinggi martabatnya, namun itu hanyalah bersifat luaran atau lebih tepat lagi ‘topeng kebaikan’ semata-mata. Maaflah jika bahasa saya kali ini terlalu kasar.

Sebenarnya, saya berasa terkilan dengan sikap sesetengah individu yang dilihat amat mementingkan diri sendiri. Atas alasan yang tidak munasabah dan kadang-kadang tidak boleh diterima akal, tetapi ada juga individu yang menyokong alasan yang tidak munasabah tersebut.

Apabila alasan tidak munasabah diterima, maka individu lainlah yang menjadi mangsa. Saya teramat kecewa ada segelintir individu yang seperti ini dalam dunia pendidikan zaman sekarang.

Kalau alasan yang diberi itu munasabah dan boleh diterima, tak mengapalah. Tetapi, yang berlaku adalah sebaliknya. Apalah salahnya berkata jujur?. Salahkah berkhidmat dengan niat yang baik atas matlamat yang suci?

Saya telah bertugas di banyak tempat dan organisasi. Sepanjang saya bertugas, saya sudah berjumpa dengan individu yang pelbagai kerenah. Tetapi, semuanya dapat diatasi dengan baik.

Namun, sejak berpindah ke organisasi yang baru ini. Ada sahaja cerita yang tak sedap didengar setiap hari. Ada sahaja buruk orang itu ini dicerita sana sini. Entah betul orang itu salah atau tidak, cerita tetap ikut sedap mulut.

Kerja tidak boleh lebih sikit. Asal lebih saja, merungut atau orang lain yang menjadi mangsa. Saya teramat kecewa dengan sikap sesetengah individu yang seperti ini. Menipu secara terang-terangan dengan alasan yang tidak munasabah.

Semoga individu yang berkenaan berubah dan insaflah. Sampai bila hendak menipu? Orang yang ditipu jika tahu dirinya ditipu akan berasa kecewa, terkilan dan marah. Berubahlah. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

p/s :

  • Rindukan suasana ceria semasa bertugas selama enam tahun di Sek Keb Taman Impian Emas, Johor Bahru.

Saringan 3 (Lisan) Selesai

7 Oktober 2010 3 comments

salam sejahtera,

Syukur ke hadrat Ilahi, dengan izin-Nya pada hari ini kita masih dapat bernafas dan menikmati keindahan dunia. Begitu juga anda, terima kasih saya ucapkan kerana masih sudi melayari laman ini. Semoga hari ini adalah hari yang paling baik bagi anda berbanding hari-hari yang sebelumnya.

Sedikit catatan ringkas yang ingin saya masukkan pada kali ini adalah berkaitan saringan 3 LINUS.

Saya telah menjalankan Saringan 3 bagi LITERASI dan NUMERASI. Murid LITERASI saya seramai 16 orang dan murid NUMERASI pula 19 orang.

Alhamdulillah, kesemua murid ini telah lulus kesemua 12 konstruk yang diuji di mana mereka berjaya menjawab setiap dua soalan dalam satu konstruk itu dengan betul.

Berdasarkan rekod semasa, saya amat yakin murid-murid tahun satu pada musim ini yang mengikuti program LINUS akan berkurangan menjelang akhir musim ini.

Cuma satu sahaja perkara yang membimbangkan saya selaku guru LITERASI dan NUMERASI iaitu saringan bertulis.

Berdasarkan rekod sejak Saringan 1 dan 2, kebanyakan murid yang mengikuti program LINUS kerana kegagalan mereka dalam saringan bertulis.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

“Tolonglah Saya, Cikgu..”

4 Oktober 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda ceria di samping orang tersayang. Mungkin ketika ini anda sedang bekerja, membuat tugasan atau mencari maklumat dan sebagainya. Tidak kira di mana anda berada, saya doakan semoga anda selamat dan bahagia.

Baiklah. Minggu ini bermulalah SARINGAN 3 LINUS. Dan pada hari ini sehingga esok, akan dimulakan dengan LITERASI disusuli NUMERASI pada hari Rabu. Ketika saya sedang menjalankan saringan lisan di bilik mesyuarat, saya didatangi seorang murid tahun dua.

Murid tersebut adalah murid Pemulihan dan saya merupakan guru kelasnya. Murid tersebut menyatakan ibunya ingin berjumpa dengan saya. Saya minta supaya ibunya dibenarkan masuk ke bilik mesyuarat dan saringan lisan LITERASI saya tangguhkan sementara.

Sebenarnya, penjaga yang datang berjumpa saya itu merupakan nenek kepada murid berkenaan. Murid tersebut dijaga oleh nenek serta datuknya kerana ibu bapanya telah bercerai dan membawa haluan masing-masing.

Penjaga murid ini memberitahu, kerana tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk menjaga cucunya ini, maka dengan rela hati dia menjaganya. Ibu dan bapa kandung murid ini tidak pernah menjenguk anaknya, jauh sekali menghulurkan bantuan dari segi makan pakai anak.

Saya cuma mampu mendengar dan mencatat segala ‘keterangan’ penjaga murid ini tadi. Katanya lagi, kerana tidak dibela dengan baik, cucunya ini menjadi liar.

Pelajaran usah diceritalah. Asal sebut sahaja suruh baca buku, murid ini pasti akan menarik muka dan bersikap kepala batu. kalau di rumah pula, memang tidak tahu duduk diam. Pantang nampak pintu terbuka, pasti cucunya ini akan hilang. Menjelang senja barulah ingat nak balik.

Pernah suatu malam ketika neneknya sedang tidur, murid ini datang mengambil wang yang diletakkan di bawah bantal. Mujur nenek ini tadi terjaga dan perasan situasi yang berlaku.

Penjaga ini tadi menambah, kini anak dan menantunya sudah bercerai. Masing-masing sudah tidak memperdulikan anak dan dibiarkan terkontang kanting.

Hendak menjaganya pula, nenek tersebut sudah tua dan uzur. Malah tidak bekerja. Bagaimana hendak menyara keluarga dan cucunya tambahan pula suaminya kini sedang sakit. Penjaga tersebut memohon bantuan agar cucunya diberikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.

Saya berhenti mencatat dan memandang penjaga murid tersebut. Raut wajahnya jelas terpancar rasa kecewa, terkilan dan sedih. Kasihan. Saya memberi jaminan lisan kepada penjaga tersebut mengenai RMT yang akan saya uruskan setelah saya rujuk masalah ini kepada GPK HEM dan Guru Besar.

Mengenai prestasi akademik pula, saya menyatakan bahawa cucunya itu dijamin akan ada peningkatan. Namun, proses pembentukan semula ‘sistem akademik’ dalam diri murid ini akan mengambil masa yang lama. Mungkin semasa murid ini berada di tahun enam kelak baru saya akan dapat lihat hasilnya. Itulah jaminan yang mampu saya beri.

Saya menyatakan demikian kerana prestasi tidak menentu murid berkenaan yang memerlukan bimbingan khas secara berterusan. Berdasarkan pemerhatian, murid berkenaan sememangnya tidak berminat terhadap pelajaran. Malah, tulisannya juga cakar ayam.

Justeru, untuk membentuknya semula, saya memerlukan masa yang agak lama kerana saya tidak berada bersama murid sepanjang masa. Sebab itulah saya memberikan jaminan yang sedemikian.

Setelah penjaga ini tadi berpuas hati dengan keterangan saya, dia segera beredar. Saya sekadar memandangnya dan menutup buku catatan lalu menyambung saringan lisan.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Ada pasangan telah berkahwin selama bertahun-tahun. Tapi, belum juga dikurniakan cahaya mata. Susahnya mereka. Berbeza dengan pasangan yang sudah ada anak, tapi ditinggalkan begitu sahaja. Sedihnya dengan gelagat manusia zaman sekarang.

Karnival ‘Food & Fun Fair’ 2010

1 Oktober 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda ceria di samping keluarga atau pun rakan taulan. Terima kasih kerana terus melayari laman ini.

Hari ini, bukan isu pendidikan yang hendak saya sentuh. Sebaliknya, sedikit makluman mengenai program Hari Kantin Sek Keb Seri Suria yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sehubungan dengan itu, individu yang ada kelapangan dijemput memeriahkan karnival ini. Penulis sendiri turut memeriahkan karnival ini dengan berniaga di tapak karnival.

Pelbagai jenis gerai termasuk dari pihak luar akan beroperasi seawal jam 8.00 pagi. Kupon-kupon berharga RM5 boleh didapati dikaunter yang disediakan.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Teacher’s Department

Naib Setiausaha PIBG
Sek.Keb Seri Suria,
Taman Tan Yew Lai,
Off Jalan puchong,
58200 Kuala Lumpur

p/s : Tahun ini penulis akan menjual burger di tapak karnival.