“Tolonglah Saya, Cikgu..”

Salam sejahtera,

Semoga anda ceria di samping orang tersayang. Mungkin ketika ini anda sedang bekerja, membuat tugasan atau mencari maklumat dan sebagainya. Tidak kira di mana anda berada, saya doakan semoga anda selamat dan bahagia.

Baiklah. Minggu ini bermulalah SARINGAN 3 LINUS. Dan pada hari ini sehingga esok, akan dimulakan dengan LITERASI disusuli NUMERASI pada hari Rabu. Ketika saya sedang menjalankan saringan lisan di bilik mesyuarat, saya didatangi seorang murid tahun dua.

Murid tersebut adalah murid Pemulihan dan saya merupakan guru kelasnya. Murid tersebut menyatakan ibunya ingin berjumpa dengan saya. Saya minta supaya ibunya dibenarkan masuk ke bilik mesyuarat dan saringan lisan LITERASI saya tangguhkan sementara.

Sebenarnya, penjaga yang datang berjumpa saya itu merupakan nenek kepada murid berkenaan. Murid tersebut dijaga oleh nenek serta datuknya kerana ibu bapanya telah bercerai dan membawa haluan masing-masing.

Penjaga murid ini memberitahu, kerana tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk menjaga cucunya ini, maka dengan rela hati dia menjaganya. Ibu dan bapa kandung murid ini tidak pernah menjenguk anaknya, jauh sekali menghulurkan bantuan dari segi makan pakai anak.

Saya cuma mampu mendengar dan mencatat segala ‘keterangan’ penjaga murid ini tadi. Katanya lagi, kerana tidak dibela dengan baik, cucunya ini menjadi liar.

Pelajaran usah diceritalah. Asal sebut sahaja suruh baca buku, murid ini pasti akan menarik muka dan bersikap kepala batu. kalau di rumah pula, memang tidak tahu duduk diam. Pantang nampak pintu terbuka, pasti cucunya ini akan hilang. Menjelang senja barulah ingat nak balik.

Pernah suatu malam ketika neneknya sedang tidur, murid ini datang mengambil wang yang diletakkan di bawah bantal. Mujur nenek ini tadi terjaga dan perasan situasi yang berlaku.

Penjaga ini tadi menambah, kini anak dan menantunya sudah bercerai. Masing-masing sudah tidak memperdulikan anak dan dibiarkan terkontang kanting.

Hendak menjaganya pula, nenek tersebut sudah tua dan uzur. Malah tidak bekerja. Bagaimana hendak menyara keluarga dan cucunya tambahan pula suaminya kini sedang sakit. Penjaga tersebut memohon bantuan agar cucunya diberikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.

Saya berhenti mencatat dan memandang penjaga murid tersebut. Raut wajahnya jelas terpancar rasa kecewa, terkilan dan sedih. Kasihan. Saya memberi jaminan lisan kepada penjaga tersebut mengenai RMT yang akan saya uruskan setelah saya rujuk masalah ini kepada GPK HEM dan Guru Besar.

Mengenai prestasi akademik pula, saya menyatakan bahawa cucunya itu dijamin akan ada peningkatan. Namun, proses pembentukan semula ‘sistem akademik’ dalam diri murid ini akan mengambil masa yang lama. Mungkin semasa murid ini berada di tahun enam kelak baru saya akan dapat lihat hasilnya. Itulah jaminan yang mampu saya beri.

Saya menyatakan demikian kerana prestasi tidak menentu murid berkenaan yang memerlukan bimbingan khas secara berterusan. Berdasarkan pemerhatian, murid berkenaan sememangnya tidak berminat terhadap pelajaran. Malah, tulisannya juga cakar ayam.

Justeru, untuk membentuknya semula, saya memerlukan masa yang agak lama kerana saya tidak berada bersama murid sepanjang masa. Sebab itulah saya memberikan jaminan yang sedemikian.

Setelah penjaga ini tadi berpuas hati dengan keterangan saya, dia segera beredar. Saya sekadar memandangnya dan menutup buku catatan lalu menyambung saringan lisan.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Ada pasangan telah berkahwin selama bertahun-tahun. Tapi, belum juga dikurniakan cahaya mata. Susahnya mereka. Berbeza dengan pasangan yang sudah ada anak, tapi ditinggalkan begitu sahaja. Sedihnya dengan gelagat manusia zaman sekarang.
  1. 5 Oktober 2010 at 9:41 AM

    Perkahwinan tak semestinya akan menjamin kebahagiaan anak-anak.

  2. kaseh selamat
    7 Oktober 2010 at 11:06 AM

    tahniah la pada saudara kerana sudi mendengar keluahan dan luahan nenek pelajar tersebut…kalau saya pun saya akan tolong yang terbaik untuk cucunye….

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: