Archive

Archive for November 2010

Bilik Terapi Untuk Kanak-Kanak Istimewa

29 November 2010 2 comments

ARKIB : 25/11/2010

P rocter & Gamble Malaysia (P&G) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya yang dikenali sebagai Open Minds, baru-baru ini menyampaikan sumbangan bernilai RM300,000 kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Ia sebagai memenuhi ikrarnya untuk menyumbang sejumlah RM1 juta yang dibuat sempena meraikan ulang tahun ke-10 program tersebut.

Dana tersebut digunakan untuk membina 40 bilik terapi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh Malaysia.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Luar P&G, Zulhaimi Abdul Hamid kepada Pengarah di Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Norani Mohd. Hashim.

Menurut Norani, bilik terapi pelbagai pancaindera tersebut dibina di setiap negeri untuk memastikan kanak-kanak istimewa dapat menerima layanan dan manfaat yang sama, tidak kira di mana dan apa juga latarbelakang mereka.

Setiap bilik tersebut diubahsuai secara spesifik untuk membolehkan ransangan i terhadap deria penglihatan, bunyi dan tekstur disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak yang mempunyai kecacatan deria-deria tersebut.

“Dengan semua kemudahan ini di PDK, kanak-kanak istimewa dapat memanfaatkannya bagi membantu perkembangan pembelajaran mereka.

“Semua ini dilakukan di bawah pengawasan pelatih-pelatih, iaitu individu-individu yang dilatih khas untuk menjaga dan mengambil berat tentang kebajikan kanak-kanak ini,” katanya.

Norani berkata, usaha-usaha baik P&G itu akan terus memberi kebaikan kepada lebih ramai kanak-kanak istimewa pada masa akan datang.

“Kami berasa gembira kerana menerima sokongan daripada organisasi korporat seperti P&G yang berkongsi misi yang sama, iaitu meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak istimewa,” katanya

Program P&G Open Minds merupakan sebahagian daripada matlamat korporat syarikat itu yang memberi fokus terhadap usaha-usaha kemanusiaan.

sumber : www.utusan.com.my

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Artritis Turut Serang Kanak-Kanak

28 November 2010 Tinggalkan komen

ARKIB : 25/11/2010

Oleh :
Zuhayati Yazid

PENYAKIT artritis di kalangan kanak-kanak jarang diketahui ramai kerana radang sendi yang menyebabkan kemerahan, bengkak dan kesakitan berpanjangan itu lazimnya dikaitkan dengan golongan berusia.

Presiden Persatuan Artritis Malaysia, Dr. Amir Azlan Zain berkata, serangan artritis sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira kanak-kanak ataupun golongan dewasa.

Katanya, sebagaimana dideritai oleh orang tua, penyakit artritis yang menyerang kanak-kanak dan golongan muda turut menjejaskan kualiti kehidupan harian mereka.

”Artritis adalah gangguan pada sistem ketahanan badan yang berfungsi melindungi badan daripada jangkitan penyakit.

“Bagaimanapun bagi penghidap artritis sistem ini menyebabkan masalah kesihatan, terutama pada sendi,” katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat beberapa jenis artritis di kalangan kanak-kanak dan ia sukar dikesan kerana sesetengahnya tidak menunjukkan simptom yang jelas.

”Radang sendi kanak-kanak lebih dikenali sebagai Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA) dan boleh menyerang seawal umur enam tahun hingga remaja berusia 17 tahun.

“Malah jenis serangan JIA juga berbeza antara individu dan ia berkait rapat dengan faktor umur,” katanya.

Beliau yang juga Perunding Rheumatologi di Pusat Perubatan Sunway menjelaskan, kesan terhadap JIA bergantung kepada sistem imunisasi kanak-kanak tersebut.

”Ada sesetengah kes yang akan sembuh sepenuhnya apabila meningkat usia 15 tahun ke atas.

“Bagaimanapun ada juga kes yang sekadar mampu bertahan sahaja,” ujarnya.

Dr. Amir berkata, sebenarnya artritis bukan penyakit luar biasa, ia berlaku pada nisbah satu bagi 1,000 orang di seluruh dunia.

Dari segi jantina katanya, kanak-kanak perempuan mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki.

Secara umumnya kira-kira 70 peratus pesakit JIA adalah kanak-kanak perempuan yang berumur antara dua hingga enam tahun.

Ditanya mengenai jenis serangan JIA, Dr. Amir memberitahu, ia ditentukan melalui jumlah sendi yang terbabit.

Katanya, terdapat lebih 100 jenis artritis termasuklah osteoartritis, artritis reumatoid, ankylosing spondylitis dan sebagainya.

Bagaimanapun artritis jenis oligoartritis adalah yang paling lazim dihidapi di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan serangan biasanya tertumpu pada lutut dan buku lali.

”Ini adalah serangan artritis paling ringan. Tetapi ia memberi kesan jangka panjang, terutama pada mata hingga boleh menyebabkan buta jika tidak dikesan pada peringkat awal.

”Oleh itu, rawatan awal penting dalam mengurangkan risiko penyakit itu berterusan,” tegasnya.

Katanya, ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan pada anak kecil terutama bagi JIA yang tidak menunjukkan kesan ketara.

Tanpa rawatan dan pengesanan awal JIA boleh membantutkan tumbesaran kanak-kanak.

Ditanya mengenai rawatan yang boleh diberikan, Dr. Amir berkata, terdapat beberapa kaedah untuk merawat JIA, antaranya penggunaan ubat seperti antiradang bukan steroid (NSAIDs) untuk mengurangkan kesakitan, kejang dan bengkak yang perlu diambil secara teratur.

Selain itu, penghidap JIA digalakkan menjalani fisioterapi dan senaman bagi mengurangkan rasa sakit, sekali gus membantu pesakit menjalani kehidupan seharian yang lebih bertenaga.

”Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk mengambil tindakan yang serius dengan melakukan pemeriksaan doktor sekiranya mendapati anak mereka ada simptom-simptom berkenan,” katanya.

sumber : www.utusan.com.my

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

E-BOOK 4 : Menjana Pendapatan Online Dengan BROADBAND

27 November 2010 9 comments

Salam sejahtera,

Bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan limpah dan kurniaNya maka, pada hari ini siaplah sebuah lagi ebook akses kendiri yang julung kalinya saya hasilkan buat anda di luar sana yang tercari-cari formula untuk menambah pendapatan sampingan.

Barang kali anda sudah jemu dan bosan apabila disogok dengan pelbagai jenis cerita mengenai kejayaan orang itu orang ini tetapi anda masih begitu juga. Nah!, usahlah anda risau lagi.

Dengan terhasilnya e-book Menjana Pendapatan Online Dengan BROADBAND ini diharap dapat membantu anda yang ingin memajukan diri dengan menambah pendapatan sampingan.

Ebook ini sesuai untuk :

  • suri rumah
  • pelajar
  • remaja
  • pekerja yang ingin menambah pendapatan sampingan
  • golongan yang tidak bekerja tetap

Ebook ini mengandungi empat bahagian utama dan setiap bahagian dikupas dengan lebih terperinci kepada sub-topik yang lain.

Penulis turut memuatkan KISAH BENAR JUTAWAN INTERNET BERUSIA 16 TAHUN untuk tatapan pembeli. Jangan lupa untuk mendapatkan ebook ini.

Klik e-book untuk lihat maklumat lanjut

Klik http://norhaidisarponen.webs.com untukmembeli ebook ini

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Penulis,

Menjana Pendapatan Online Dengan BROADBAND

E-BOOK 3 : Panduan Asas Mengajar Pemulihan

24 November 2010 6 comments

Salam sejahtera,

Alhamdulillah, berkat dorongan dan usaha yang tidak mengenal erti putus asa, akhirnya saya berjaya juga menghasilkan sebuah lagi ebook berkaitan pendidikan Pemulihan untuk semua.

Dengan terhasilnya ebook PANDUAN ASAS MENGAJAR PEMULIHAN ini di harap sedikit banyak dapat membantu anda di luar sana memahami dan lebih mengetahui teknik pengajaran dalam pendidikan Pemulihan.

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan buat anda semua yang sudi memberi respon terhadap kajian rawak saya sepanjang ebook ini dihasilkan. Terima kasih juga kepada Encik Hasnor, Encik Firdaus, Encik Zakuan, Puan Munirah serta ramai lagi yang memberi dorongan dan semangat agar ebook ini dapat dihasilkan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ebook ini, sila klik di e-book atau layari http://norhaidisarponen.webs.com untuk maklumat lanjut.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Penulis,

Panduan Asas Mengajar Pemulihan

 

Jangan Terpedaya..

8 November 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera. Terima kasih atas kesudian anda melayari laman ini.

Hari ini, saya tidak menceritakan tentang isu pendidikan Pemulihan. Sebaliknya saya hendak sentuh sedikit mengenai laman web perbankan  yang telah ditiru oleh pihak luar.

Sebenarnya isu ini sudah lama. Saja saya masukkan pada hari ini sebagai peringatan kerana hampir setiap hari email saya di penuhi dengan mesej untuk memperdayakan orang ramai.

taktik memperdaya orang ramai..

Semoga orang ramai berhati-hati sebelum melakukan transaksi perbankan secara online.

Sekian,

NORHAIDI HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Kenapa Mesti Permainan?

5 November 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda yang sedang melayari laman ini ketika ini berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Tidak kira di mana anda ketika ini, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Semoga hari ini bagi anda adalah antara hari yang terbaik berbanding hari-hari yang sebelumnya. Terima kasih..terima kasih..terima kasih atas kesudian anda melayari laman ini.

Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan sistem pengajaran dan pembelajaran dalam Pemulihan. Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa sistem pengajaran dan pembelajaran tidak melalui teori semata-mata. Lain pelajar, lain cara belajarnya.

Semasa bertugas di sekolah lama dahulu, saya pernah ditanya oleh Guru Besar  dengan soalan-soalan berikut :

  • Mengapa saya turut berbaring bersama-sama murid semasa belajar?
  • Mengapa kelas berselerak dengan permainan?
  • Mengapa tiada lembaran kerja disediakan untuk murid?

Soalan-soalan ini memang dijangka akan ditanya oleh sesiapa pun yang lalu di hadapan kelas Pemulihan saya ketika itu kerana sistem pembelajaran saya di kelas Pemulihan berbeza dengan kelas-kelas normal yang lain.

Sebenarnya, memang itulah gaya belajar murid di kelas Pemulihan. Saya mengajar mereka mengikut kesesuaian dan cara belajar yang mereka inginkan. Sebagai seorang guru, saya faham tidak semua murid akan menerima pelajaran secara teori, lebih-lebih lagi jika itu murid Pemulihan.

Saya memilih mengajar murid ini melalui teknik permainan. Teknik ini bukan bermain semata-mata. Namun, ada diselitkan unsur pengajaran dan pembelajaran.

Contohnya, permainan DAM ULAR, murid mesti faham peraturan permainan. Kemudian melakukan lontaran untuk menggerakkan buah permainan. Jika mereka tiba di satu tempat, mereka akan diuji dengan satu teka teki sama ada soalan berbentuk ejaan perkataan dalam Bahasa Melayu atau pun soalan dalam bentuk ayat Matematik.

Jika di lihat dari sudut ‘bermain’ semata-mata, memang objektif pengajaran tidak akan tercapai. Tetapi, jika sasaran permainan tersebut sekurang-kurangnya murid dapat mengeja 10 patah perkataan dengan betul, tidak mustahil ianya akan tercapai dengan mudah berbanding meminta murid mengeja perkataan menggunakan kad perkataan.

Menggunakan permainan di kelas Pemulihan ada beberapa risiko yang perlu diketahui.

  1. Peralatan permainan boleh mendatangkan kecederaan
  2. Permainan akan berselerak di merata tempat dalam kelas
  3. Suasana bising menyelubungi kelas

Semua risiko ini boleh dielakkan apabila guru mengamalkan sistem kawalan kelas yang baik dan sempurna. Sentiasa memberi peringatan kepada murid akan peraturan sebelum, semasa dan selepas permainan.

INFO :

TAHUKAH ANDA??, Kajian tentang interaksi dalam kelas oleh Ned Flanders (1963) dan Wragg (1973) mendapati :

  • 2/3 daripada semua pelajaran adalah percakapan guru.
  • 2/3 daripada masa percakapan itu adalah percakapan guru.
  • 2/3  daripada percakapan guru adalah dalam bentuk syarahan.

Dalam kelas Pemulihan, jika guru banyak bercakap, tidak banyak perkara dapat dilakukan dalam tempoh 60 minit waktu mengajar. Kebanyakan murid pula akan bosan dan mengantuk.

 

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Tingkatkan Kualiti Murid

4 November 2010 1 komen

 

TINGKATKAN KUALITI MURID SEKOLAH KECIL DI KAMPUNG

Oleh :

ZULKIFLI JALIL

(WARTAWAN UTUSAN)

ARKIB : 26/04/2005

PENEMPATAN guru pemulihan di sekolah-sekolah kecil di luar bandar bagi meningkatkan pencapaian pelajar yang lemah adalah tepat dan kena pada masanya.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa kerajaan komited untuk berbuat demikian amat dialu-alukan. Sememangnya benar ada kalangan murid di sekolah terbabit malah mungkin lebih ramai lagi, memiliki potensi untuk berjaya dalam akademik.

Dan pencapaian murid-murid di sekolah itu lazimnya dikatakan masih rendah dan memerlukan panduan yang lebih intensif daripada guru.

Meskipun kenyataan Najib hanya merujuk sekolah-sekolah kecil di luar bandar serta mempunyai jumlah murid kurang daripada 150 orang, realitinya terdapat juga sekolah kecil di kawasan bandar yang turut memerlukan pemantauan serupa.

Satu kajian terhadap 10 buah sekolah kebangsaan (SK) di Pulau Pinang beberapa bulan lalu oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan universiti itu, Prof. Madya Dr. Aminah Ayob mendedahkan keperluan program pemulihan di sekolah-sekolah berkenaan.

Skop kajian meliputi sekolah rendah dalam bandar dan luar bandar itu yang bermajoriti pelajar Melayu dan dikenal pasti berprestasi rendah dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2002, khususnya dalam mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Identiti kesemua 10 SK berkenaan tidak didedahkan demi menjaga nama baik sekolah.

Aminah yang ditemui Utusan Malaysia di USM, Pulau Pinang baru-baru ini berkata, prestasi akademik kebanyakan sekolah dalam kajiannya didapati tidak meningkat sejak lima tahun lepas. Cuma beberapa buah sekolah saja menunjukkan peningkatan, itu pun hanya peningkatan kecil.

Kajian mendapati ketidakhadiran murid di beberapa sekolah dalam setahun (kira-kira 200 hari persekolahan) adalah tinggi, misalnya di SK A (30.4 peratus), SK B (25.8 peratus), SK C (23 peratus), SK D (17 peratus) dan SK E (14.1 peratus).

Ketidakhadiran murid Tahun 5 dan 6 ialah antara 10 hingga 24 peratus, kecuali di dua atau tiga buah sekolah sahaja. Ketidakhadiran di kalangan murid Tahun 1 dan 2 agak menonjol di sesetengah sekolah dan dilihat petanda awal yang boleh mencetuskan kegagalan akademik.

Dari aspek pengurusan sekolah, kajian mendapati semua perancangan aktiviti sekolah dibuat oleh guru besar, penolong kanan dan ketua panitia. Guru kelas tidak terlibat.

Perancangan hanya meliputi aktiviti-aktiviti biasa akademik dan bukan akademik untuk dimasukkan dalam takwim sekolah. Tidak ada sekolah yang membuat perancangan strategik yang benar-benar sesuai bagi mencapai sesuatu sasaran atau matlamat.

Malah, dalam semua perancangan sekolah, tiada sasaran pencapaian akademik dibuat.

Kesemua sekolah mengakui tidak semua yang dirancangkan dapat dilaksanakan. Hanya 60 peratus sahaja yang dapat dicapai. Pelaksanaan program sekolah juga semakin sukar kerana terdapat banyak program Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah yang perlu diberi keutamaan.

Pada masa sama, rancangan sekolah tergendala kerana ramai guru terpaksa menghadiri kursus.

“Bilangan guru perempuan yang ramai memberi masalah seperti mereka kerap cuti bersalin serta ramai tidak boleh datang sebelah petang untuk aktiviti sekolah. Ada guru yang mesti diarah, baru akan buat kerja,” katanya.

Katanya, ibu bapa juga tidak memberi kerjasama yang sewajarnya dari segi pencapaian akademik anak-anak. Mereka tidak hadir ke sekolah bila dijemput, selain tidak memastikan anak-anak mereka membuat kerja rumah yang diberikan.

Hasil kajian turut menunjukkan tahap pengetahuan mata pelajaran Sains di kalangan guru sains di kesemua 10 sekolah sangat rendah.

Pencapaian

Sebanyak 65 peratus guru hanya berupaya mencapai Gred B dan C dalam ujian bertaraf Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diberikan (soalan-soalan diambil daripada soalan PMR dan UPSR). Hanya 35 peratus guru mendapat markah 70-80 peratus (iaitu setaraf gred A2). Tidak ada guru mendapat markah lebih 80 peratus (cemerlang).

Kajian merumuskan bahawa tahap pengetahuan guru-guru Sains di 10 buah sekolah yang dikaji adalah rendah, sekali gus mempengaruhi kualiti pengajaran mereka dan seterusnya pencapaian murid.

Kualiti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah turut diselidiki secara pemerhatian. Sebanyak 54 waktu pengajaran (atau 1,620 minit) dalam empat mata pelajaran utama UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dicerap di dua buah sekolah kajian.

Dapatan kajian menunjukkan kualiti pengajaran guru tidak memuaskan. Proses P&P yang berlaku berbentuk sehala dan murid hanya terlibat dalam aktiviti soal-jawab mudah saja.

Pengajaran lebih banyak bersifat retorik manakala penjelasan guru kurang berupaya membentuk kefahaman dan respons murid. P&P hanya bergantung kepada buku teks dan kebanyakan masa murid dihabiskan dengan mendengar penerangan guru dan menyalin nota-nota.

Guru juga tidak mengulang pelajaran lepas serta tidak memberi perhatian khusus kepada murid-murid yang lemah.

Aminah berkata, setiap sekolah dalam kajian didapati merancang dan melaksanakan beberapa program seperti kelas tambahan/tuisyen UPSR, kelas bimbingan (berbentuk pemulihan), ulang kaji intensif (latih tubi) UPSR, bengkel teknik menjawab soalan, ceramah teknik belajar berkesan, ceramah motivasi serta program peningkatan kemahiran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Namun kajian mendapati program-program tersebut diakui pihak sekolah tidak memberangsangkan. Menurut pentadbir, program-program tersebut dijalankan setiap tahun dan telah menjadi sebahagian rutin yang `terpaksa dibuat’ bagi mengelakkan `ditegur’ oleh Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri. Semua program yang dirancang dan dilaksanakan pihak sekolah adalah berfokus kepada murid Tahun 6 yang akan menduduki UPSR.

Aminah berpendapat, masalah yang dihadapi 10 buah sekolah di Pulau Pinang itu turut dialami oleh kebanyakan sekolah kecil di bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Sebab itu, kata beliau, kajian pihaknya mengutarakan beberapa cadangan yang perlu disegerakan bagi menangani permasalahan tersebut.

Antaranya program pemulihan yang sebenarnya perlu diberi kepada murid-murid yang lemah – senada dengan apa yang diumumkan oleh Najib, kelmarin.

Beberapa cadangan dalam kajian Aminah berikutnya, barangkali boleh digunakan oleh kerajaan untuk meningkatkan lagi pencapaian sekolah kecil di luar bandar.

  • Perlu ada program untuk semua kelas, bermula dengan murid Tahun 1, bukan hanya terhad untuk Tahun 5 atau 6 sahaja. Program yang bermula dengan murid Tahun 1 perlu menumpukan kepada aspek membina dan mengukuhkan kemahiran-kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira), seterusnya barulah untuk penguasaan pengetahuan asas isi kandungan mata pelajaran.
  • Tempatkan guru besar yang cemerlang di sekolah-sekolah yang lemah prestasi akademiknya.
  • Adakan latihan/kursus untuk meningkatkan pengetahuan guru dalam mata pelajaran dan teknik pengajaran berkesan.
  • Tingkatkan prasarana pembelajaran di sekolah. Lengkapkan perpustakaan sekolah dan pastikan makmal komputer dan makmal sains digunakan sepenuhnya.
  • Adakan pemeriksaan kesihatan murid oleh pakar perubatan dengan kerap (sekurang-kurangnya sekali setahun) untuk mengenal pasti jika murid-murid ini mengalami masalah kesihatan dan kecacatan pembelajaran (learning disabilities).
  • Penyeliaan dan pencerapan pengajaran guru wajar dilakukan dengan lebih kerap oleh pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah atau nazir sekolah supaya dapat membantu guru meningkatkan kualiti pengajaran.
  • Beri ganjaran dan pengiktirafan kepada guru yang komited dalam meningkatkan pencapaian murid.

Sumber : www.utusan.com.my

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Kategori:Berita Tag:,