Archive

Archive for Januari 2011

Murid Hyper Yang Matang Dan Cerdik

27 Januari 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Terima kasih kerana masih terus mengunjungi laman ini. Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan ceria. Tidak kira di mana anda berada, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Semoga pekerjaan yang anda lakukan pada hari ini akan diberkati, Insyaallah.

Maaf kerana kelewatan mengemas kini laman ini kerana saya mengalami demam yang teruk baru-baru ini.

Topik hari ini berkaitan dengan murid hyperaktif. Pengetahuan saya tentang sejarah dan latar belakang murid kategori ini tidaklah banyak mana pun.

Tetapi apa yang saya hendak kongsikan bersama anda adalah tentang gaya pembelajaran murid hyper itu sendiri. Sepanjang perkenalan dengan tiga orang murid hiper pada tahun 2010, banyak perkara baharu yang saya pelajari tentang diri murid kategori ini.

Ketiga-tiga murid hyper ini petah berkata-kata, tutur dan percakapannya lebih tersusun berbanding murid normal yang lain, dalam situasi lain pula dilihat ketika belajar, murid lebih banyak bermain dan mengganggu rakan sebaya tetapi jika disoal, murid dapat memberi jawapan yang tepat dan maklum balas yang lebih baik berbanding murid normal yang lain.

Saya akui murid hyper sukar dikawal tanpa ubat. Namun, adalah lebih baik sekiranya guru atau ibu bapa di rumah dapat mengawal tingkah laku murid hyper ini dengan cara yang lebih berkesan dan tanpa ubat-ubatan. Sebab itulah dikebanyakan kelas khas, majoriti gurunya sangat tegas.

Tegas bukan bermaksud sangat garang atau hendak menakutkan murid. Tegas yang saya maksudkan adalah untuk lebih mendisiplinkan murid, mengawal tingkah laku murid yang aktif, mengajar murid supaya lebih menghargai,  dan menghormati suasana persekitaran termasuk rakan sebaya, guru, ibu bapa dan orang lain.

Murid hyper perlu diberi perhatian secara individu. Dengan mengekalkan murid dalam kelompok yang besar (sebuah kelas biasa) akan menyukarkan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Cakap-cakap belakang mengatakan murid ini kurang bijak, terlalu sukar dikawal, nakal dan sebagainya memang ada benarnya dan tercatat juga dalam buku panduan murid bermasalah pembelajaran. Tetapi, bukan semua murid ini mengalami kesukaran yang di’cakap-cakapkan’ sebelum itu.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teachers Department

p/s : Sekiranya anda mempunyai pendapat dan cadangan untuk murid hyperaktif ini, saya amat mengalu-alukan komen dan cadangan anda

Beg Lagi Besar Dari Murid

18 Januari 2011 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih yang tidak terhinggakerana anda sudi mengunjungi laman ini. Terima kasih sekali lagi.

Hari ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Tiga minggu hampir berlalu. Kebanyakan murid terutamanya tahun satu sudah dapat membiasakan diri dengan suasana dan persekitaran sekolah. Ramai yang sudah mendapat rakan baharu, pergaulan sosial yang lebih baik berbanding ketika mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah.

Hari demi hari berlalu, pelbagai ragam, kerenah dan telatah murid dapat dilihat. Bermula dari yang berpakaian bersih setiap pagi, bertukar comot dengan kesan tapak tangan di merata-rata tempat, kesan tumpahan air minuman, kesan tumpahan makanan ke baju, peluh, berbau dan sebagainya selepas wakturehat.

Paling memberi tumpuan adalah pada awal pagi. Kebanyakan murid tiba seawal jam 6.30 pagi. Berlari menaiki tangga mengheret beg yang lebih besar dari tubuh mereka. Tidak kurang juga yang sibuk menggalas beg menaiki tangga. Jika dilihat dari jauh kadang-kadang nampak seperti beg sedang bergerak sendiri kerana saya tidak nampak susuk tubuh si empunya beg.

Kelakar pun ada juga. Tetapi di situlah timbul rasa kasihan. Apabila beg besar, kurang isinya itu tidak mengapalah kerana beban ditanggung murid berkurangan. Tetapi amat menyedihkan jika murid itu membawa semua buku teks dan buku tulisnya ke sekolah. Bayangkan jika murid mempunyai 17 buah buku teks. Berapa kilogram beban yang murid terpaksa ‘heret’ setiap hari pergi dan balik?

Persoalannya,

  1. Adakah ibu bapa tidak menerima jadual waktu yang diberi oleh pihak sekolah kepada anak masing-masing? atau,
  2. Adakah jadual waktu yang diberi oleh pihak sekolah telah dihilangkan murid menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengurus dan mengatur buku persekolahan anak jagaan masing-masing? atau,
  3. Pihak sekolah sendiri tidak memberi jadual waktu kepada murid? atau,
  4. Guru itu sendiri tidak maklumkan kepada murid hari apakah yang sepatutnya mereka boleh bawa buku teks? atau,
  5. Ibu bapa sememangnya tidak ambil peduli akan buku apakah yang perlu dibawa oleh anak mereka ke sekolah?

Saya mungkin tiada jawapannya. Cuma harapan saya agar semua pihak terlibat memainkan peranan masing-masing agar murid tidak menanggung beban ini. Cukup kasihan melihat murid terpaksa memikul beban berat setiap hari membawa berbelas-belas buku teks dan buku latihan.

Tanyalah kepada mereka, bukan diguna sangat pun buku teks berkenaan kerana ada guru mengamalkan sistem hari apakah yang sepatutnya murid bawa buku teks bagi mata pelajaran tertentu.

Mungkin selepas ini, guru kelas boleh mencadangkan supaya buku teks ini di simpan sahaja dalam kelas masing-masing. Jika hendak diguna barulah boleh dikeluarkan dan murid mengambil buku yang telah ditulis nama masing-masing. Mungkin cara ini dilihat praktikal.

Namun ada risikonya. Bukan semua kelas berkunci dan kemungkinan buku hilang akibat dicuri, terkena tempias hujan dan sebagainya akan terjadi.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : sesekali bawa balik buku latihan murid untuk ditanda pun sudah terasa berat

Bila LINUS Tahun 2 Nak Mula?

15 Januari 2011 6 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan ceria. Semoga apa jua tugas yang anda lakukan pada hari ini akan mendapat keberkatan daripada-Nya. Terima kasih kerana terus mengunjungi laman ini.

Sudah dua minggu sesi persekolahan bermula. Suasana pembelajaran kembali riuh. Apabila dikenang kembali proses awal saringan LINUS apabila diperkenalkan pada 2010, saya dan beberapa orang guru tahun 1 termasuk guru Pemulihan berasa bangga apabila matlamat dan sasaran untuk mengurangkan jumlah murid daripada kategori LINUS TEGAR dan LINUS berjaya.

Kini tiada lagi murid tahun 1 pada 2010 yang layak diklasifikasikan sebagai LINUS TEGAR. Usaha yang dilakukan selama ini berbaloi. Cuma beberapa persoalan yang timbul apabila tahun 2011 menjelma. Sudah ada guru yang datang berjumpa dan bertanya bagaimana dengan program LINUS Tahun 2 pada 2011.

Sebenarnya saya sendiri tidak dapat menjawabnya kerana tidak ada seorang guru pun yang pergi kursus untuk LINUS Tahun 2 bagi 2011. Saya sendiri cuma menghadiri kursus LINUS tahun 1. Jadi, tiada siapa dapat mengagak bilakah murid yang menjadi perintis ini akan disaring semula.

Jika mengikut saringan 1 pada tahun 2010, ia dilakukan pada bulan Mac. Tetapi pada tahun 2011 masih belum dipastikan bila tarikh sebenar saringan 1 akan dibuat kerana tiada surat arahan dikeluarkan dari PPD.

Ini kerana kandungan kemahiran dalam sukatan tahun 2 tidak sama dengan tahun 1. Mungkin juga modul bagi tahun 2 bagi sesi 2011 tidak sama dengan 2010. Saya sekadar memaklumkan guru yang berkenaan supaya menunggu surat arahan daripada PPD.

Bila LINUS tahun 2 hendak bermula? Itu saya tiada jawapannya.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Boleh Membaca, Tapi Tak Faham

12 Januari 2011 8 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana anda terus melayari laman ini. Saya amat menghargainya.

Baiklah, hari ini saya hendak kongsi maklumat dengan anda berkaitan murid pemulihan yang sudah pandai membaca, tetapi tidak faham apakah yang sedang dibaca.

Sebagai guru yang dedikasi dan komitmen tinggi, tentu kita berasa seronok apabila dapat melihat prestasi murid dalam kelas meningkat dan ada yang berjaya, teruatamanya bagi guru Pemulihan yang mendidik anak murid daripada tidak mengenal huruf sehinggalah sudah boleh membaca.

Namun sayangnya, mereka boleh membaca. Tetapi tidak faham akan cerita atau ayat yang dibaca. Kes seperti ini kerap berlaku pada setiap proses bacaan awal murid. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa tips yang berikut mungkin boleh dijadikan panduan :

  • Murid yang baharu keluar dari kelas Pemulihan ke kelas biasa tidak digalakkan diberi latihan yang terlalu tinggi arasnya.
  • Teknik membaca di kelas Pemulihan berbeza dengan murid di kelas biasa. Guru mata pelajaran perlu peka dan tidak menegur kesalahan murid ini.
  • Biarkan murid membaca sebaris ayat itu tidak kira salah atau tidak tepat bacaannya, guru tidak perlu menegur semasa murid sedang membaca. Biarkan murid baca sehingga habis sebaris ayat, kemudian barulah betulkan kesilapan jika ada.
  • Jangan perli murid yang masih membaca secara ‘merangkak’. Beri mereka pujian kerana berani mencuba.
  • Soal murid maksud ayat yang dibaca setiap kali sebaris ayat itu dibaca. Jika murid tidak dapat menjawabnya, guru hendaklah membantu dengan memberi penerangan yang paling ringkas akan maksud ayat supaya mudah difahami murid.
  • Minta murid baca ayat yang lain dan kemudian soal semula murid maksud ayat yang dibaca. Ulangi proses ini berulang kali supaya murid dapat membiasakan diri untuk menterjemah maksud ayat.
  • Jangan biarkan murid membaca ayat yang terlalu panjang kerana itu akan menyesakkan fikirannya. Pastikan murid membaca beberapa ayat yang pendek dan kemudian adakan sesi soal jawab.
  • Sesekali, guru mesti merangsang minda murid bagaimana hendak menterjemah ayat yang dibaca menggunakan ayat sendiri.

 

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Persediaan Awal Ke Sekolah

8 Januari 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Semoga kehadiran tahun baru 2011 ini akan membawa lebih banyak kejayaan dalam diri anda. Terima kasih kerana anda masih terus melayari laman ini.

Hari ini, hari pertama sekolah dibuka semula selepas hampir sebulan lamanya murid ‘bercuti’. Rata-rata dalam kalangan murid, ramai yang berpindah ke kelas baru ekoran keputusan peperiksaan pada akhir tahun 2010.

Namun, tidak kurang juga yang masih kekal di kelas lama ekoran prestasi yang kurang memberangsangkan.

Tahun baru 2011 saya dapati pelbagai ragam dan kerenah baru khususnya bagi murid-murid yang berada di kelas belakang.

Tidak kurang juga bagi murid yang baru pertama kali memasuki alam persekolahan (tahun satu). Kebanyakan mereka ada yang terpinga-pinga. Tidak kurang juga yang berasakan sekolah seperti rumah mereka, hendak buat apa pun tidak ada siapa yang marah. Ada yang panjat meja dan pelbagai kerenah.

Sebahagian besar murid tahu apa yang hendak dilakukan ketika berada di dalam kelas. Mereka mendengar kata-kata guru, membuat aktiviti yang diarahkan dan tidak kurang juga yang terpinga-pinga.

Barangkali masih sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Mereka duduk diam dan tidak mengganggu rakan lain buat kerja. Tidak mengapalah.

Kebanyakan murid tahun satu dilihat seperti tidak mempunyai persediaan secukupnya sebelum ke sekolah. Segalanya dapat dilihat dalam satu minggu program Transisi yang telah bermula. Kasihan apabila melihat murid masih tidak tahu memegang pensel, takut hendak mewarna, malu berbual-bual dengan rakan di sebelah.

Lebih menyedihkan apabila ramai yang tidak tahu menulis nama masing-masing. Majoriti murid bergantung harap menulis nama berdasarkan tag nama sementara yang dibekalkan. Apabila perkara ini terjadi, maka ramailah yang menulis terbalik.

Tetapi, mungkin itu perkara biasa di semua sekolah. Walaupun bukan semua murid yang tidak tahu menulis nama masing-masing, masih ada juga sebahagian murid yang menerima pendidikan asas dengan baik semasa berusia 4 hingga 6 tahun.

Minggu kedua persekolahan, program Transisi bersambung dengan pelbagai aktiviti dan program.  Pada minggu kedua juga pasti banyak kelemahan murid tahun satu akan dapat dikesan. Diharapkan agar ibu bapa atau penjaga murid dapat membuat lebih persediaan untuk anak-anak dalam sehari dua ini.

Persediaan awal anak-anak ke sekolah amat penting. Bukan sahaja dari segi tumpuan subjek, tapi juga dari segi disiplin. Sikap anak-anak di sekolah mungkin terbawa-bawa dari rumah. Justeru, ibu bapa diingatkan supaya sentiasa mendidik disiplin yang tinggi dalam diri anak jagaan masing-masing. Didikan disiplin ini juga demi kebaikan bersama.

Tingkah laku murid di rumah dan di sekolah ada kalanya tidak sama. Jika tingkah lakunya positif tidak mengapalah. Tetapi jika sebaliknya, pasti akan menimbulkan banyak masalah.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Ibu Prihatin Masalah Anak

3 Januari 2011 3 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping insan tersayang. Semoga apa jua yang anda lakukan pada hari ini, hasilnya akan mendatangkan keceriaan buat diri anda. Terima kasih kerana masih terus melayari laman ini.

Pada 31 Disember 2010, pihak sekolah telah mengadakan sesi Orientasi Murid Tahun 1. Walaupun diisytihar sebagai cuti umum ekoran kemenangan skuad Harimau Malaya dalam kejuaraan AFF Suzuki 2010, program tetap diteruskan kerana surat makluman telah pun dihantar lebih awal.

Saya telah dilantik sebagai guru kelas tahun 1 Intelek (nama baharu menggantikan nama kelas yang lama : Topaz) merangkap penyelaras Transisi (menggantikan guru yang cuti bersalin).

Selepas taklimat, ibu bapa menuju ke kelas anak masing-masing untuk membayar yuran. Ketika itu, kelas penuh sesak dengan ibu bapa.

Saya mengarahkan beberapa orang guru yang ditugaskan membantu memberi bantuan ‘teknikal’ kepada ibu bapa yang sedang mengisi maklumat anak jagaan masing-masing.

Beberapa minit kemudian, seorang murid memanjat di atas meja. Saya memerhatikannya kerana beranggapan ibu bapanya akan mengarahkannya turun. Namun, sangkaan saya meleset. Si ibu dan si bapa sekadar buat tidak tahu sahaja. Maka, terpaksalah saya yang bersuara.

Semasa ibu bapa sedang membuat pembayaran pula, salah seorang murid mengambil kalkulator yang saya hendak gunakan. Saya sekadar memerhatikannya. Si ibu yan sedang beratur menunggu giliran untuk membuat pembayaran yuran menegur si anak tersebut. Namun, si anak terus dengan sikap tidak endahnya.

Saya tersenyum dan mengeluarkan kalkulator lain. Tiba giliran si ibu tadi, pantas dia meminta maaf atas sikap anaknya. Saya cuma mengatakan tidak apa kerana faham dengan gelagat anak murid darjah satu.

Si ibu segera menyatakan anaknya bermasalah dan hendak membincangkan hal itu dengan saya pada hari Isnin kelak. Saya yang faham dengan ‘masalah’ yang hendak disampaikannya segera meminta si ibu membawa surat dan laporan doktor sekali pada perjumpaan akan datang.

Si Ibu    : Itulah yang saya hendak bagi tau cikgu.

Penulis : Tak apa. Saya faham. Biasalah budak-budak.

Si Ibu    : Anak saya ni lain sikit, cikgu.

Penulis : Anak kak ni hyper kan?

Si Ibu    : Emm..Macam mana cikgu tahu?

Penulis : Saya agak je. Tengok dari cara dia ‘nampak’ la sikit. Hyper tahap berapa ni kak?

Si Ibu    : Tak tau lagi. Lepas ni pun kena bawa jumpa doktor lagi.

Penulis : Tak apa. Nanti bila jumpa saya, pastikan akak bawa salinan laporan pengesahan doktor tu.

Si Ibu    : Ya. Terima kasih, cikgu

Itu baru seorang yang saya lihat sendiri kelakuan murid. Saya tidak pasti sama ada murid lain bermasalah atau tidak. Berdasarkan maklumat dan rekod murid sedia ada, ada lagi seorang murid yang saya dapati seperti menghadapi masalah pada penglihatan. Namun, semasa si ibu murid tersebut membuat pembayaran yuran, murid berkenaan tiada pula.

Apa pun, saya gembira dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh si ibu berhubung masalah anaknya yang hyper itu. Saya juga berharap agar ibu bapa lain yang mendapati anak mereka menghadapi masalah, segeralah merujuk kepada doktor.

Sekian.

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Kategori:Pend.Pemulihan Tags:

SELAMAT TAHUN BARU 2011

1 Januari 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana anda masih terus melayari laman ini.

Sebulan lamanya saya telah ‘bercuti’ daripada mengemas kini laman ini atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimana pun, segala email yang dikirim telah saya balas dengan saksama.

Banyak perkara yang berlaku dalam tempoh sebulan ini. Namun bukan itu yang hendak saya sampaikan. Tahun baru 2011 telah menjelma. Pasti begitu banyak perkara akan berlaku dalam hidup anda dan saya. Cuma tidak dapat dipastikan apakah yang akan terjadi.

Apabila saya memohon untuk berpindah dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada penghujung 2009 dan permohonan itu diluluskan, saya begitu gembira dan bersukur kerana akhirnya saya dapat melihat lebih banyak perkara baru dalam hidup.

Di organisasi yang baru, saya banyak belajar tentang dunia pendidikan yang berbeza cara pengurusan dan pentadbirannya. Semua itu mengajar saya erti kesabaran, etika, rasa tanggungjawab, rasa hormat dan sikap profesional bagi membentuk jati diri yang lebih sempurna terutamanya dalam bidang pendidikan.

Tahun 2010 telah melabuhkan tirainya. Perjalanan tahun 2011 baru bermula. Ada banyak perkara yang saya perlu buat untuk memastikan impian tercapai. Semoga apa jua yang anda turut impikan pada tahun ini akan tercapai.

Pada tahun 2011 ini, terdapat begitu banyak maklumat tentang PEMULIHAN, LINUS dan PROTIM yang saya ingin kongsikan bersama anda. Segala maklumat akan dikongsikan secara berperingkat.

Justeru, sekiranya anda juga mempunyai maklumat berguna dalam dunia pendidikan yang ingin dikongsi bersama, bolehlah mengirim kepada saya melalui email tertera : pemulihan2u@gmail.com

Semoga tahun baru 2011 yang tiba akan membuka lembaran baru dalam dunia pendidikan. Semoga kita akan sentiasa cemerlang dalam bidang tugas masing-masing.

 

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Teacher’s Department