Archive

Archive for Februari 2011

KSSR : Format Persediaan Mengajar

28 Februari 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Berikut adalah contoh persediaan mengajar Bahasa Melayu bagi kurikulum yang baharu (KSSR) :

Kelas /

Masa/

Mata Pelajaran

Kandungan

Impak / Catatan

1 Intelek

 

9.00 pagi

Hingga

10.00 pagi

 

Bahasa Melayu

Tema : Kekeluargaan

Tajuk : Keluarga Saya

Fokus Utama         : SK 1.2          SP 1.2.4

Fokus Sampingan : SK 2.3          SP 2.2.1

Kem.Linus              : 2.3

(jika kelas bercampur dengan murid LINUS)

 

Objektif                  :

Pada akhir pengajaran, murid dapat :

  1. Mendengar, menyebut dan mengeja perkataan berkaitan keluarga yang mengandungi suku kata
  2. Membaca perkataan berkaitan keluarga yang mengandungi dua atau tiga suku kata terbuka dan tertutup dalam ayat dengan sebutan yang betul.
  3. Membaca dan membunyikan suku kata KVK (LINUS)

 

Aktiviti :

  1. Set induksi
  2. Murid mengeja dan membaca suku kata
  3. Murid menandakan perkataan yang didengar
  4. Murid memadankan gambar dengan perkataan.
Pengisian Kurikulum :

Ilmu : Pendidikan Moral

Nilai : Kasih Sayang

KBT  : KB (menjana idea)

 

EMK :   Fasa Persediaan

Fasa Imaginasi

Fasa Perkembangan

Fasa Tindakan

 

Sistem Bahasa :

Kata Nama Am

 

Media (BBB) :

–          Kad perkataan, kad gambar

 

Refleksi :

–          80% daripada 36 murid dapat mengeja perkataan dan suku kata terbuka dan tertutup manakala selebihnya dapat mengeja dengan bimbingan guru.

 

–          100% daripada 4 orang murid LINUS dapat membaca dan membunyikan suku kata KV

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Fahami Cara Belajar Murid

24 Februari 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih yang tidak terhingga kerana anda sudi mengunjungi laman ini. Terima kasih sekali lagi.

Hari ini saya hendak kongsikan bersama anda tentang cara pembelajaran murid yang perlu kita fahami sebagai warga pendidik. Kita selalu melihat cara murid belajar dengan gaya tersendiri dan ketaranya dilihat apabila mereka hendak menyalin maklumat di papan tulis. Ada yang duduk senget, berebut-rebut ke depan dan baring di lantai, bersusun di meja guru hinggakan murid di belakang terpaksa memekik ‘tak nampak!..”, menulis sambil berdiri di papan tulis.

Sesetengah guru yang tidak gemarkan suasana begini, akan meminta murid ini duduk semula di tempat masing-masing. Ada kalanya, arahan guru ini dipatuhi sementara sahaja. Tidak sampai lima minit, perkara sama terjadi lagi.

Pada saya, inilah sebenarnya cara pembelajaran murid. Sesetengah daripada kita akan menyatakan guru perlu memperbetul tindakan murid, benar. Tetapi jika murid selesa dengan cara belajar yang sebegitu, tidak mengganggu tumpuan pelajar lain, apa salahnya.

Kebanyakan murid yang tertarik hendak mengetahui perkara baharu akan sering bertanya kepada guru. Seorang demi seorang akan bertanya soalan yang sama walaupun telah diulang berkali-kali. Ada banyak faktor yang dilihat keadaan menjadi seperti ini. Pertama sekali, murid tidak faham dengan arahan guru, atau tidak yakin dengan hasil kerja yang telah dibuat, atau tidak mendengar dengan jelas arahan guru, atau murid sengaja ingin mencuri perhatian.

Berbeza dengan cara pembelajaran murid di rumah yang mungkin belajar bersendirian, atau ditemani ibu bapa, pembantu rumah atau adik beradik lain. Semua ini tidak sama suasana dan keadaan seperti di dalam kelas yang ramai, bising, kerja yang tersusun dan sistematik, tidak faham boleh merujuk kepada guru.

Cara belajar murid yang pelbagai ini ada baik dan buruknya. Semoga guru-guru akan lebih memahami cara belajar murid supaya guru-guru dapat mengenal pasti sistem pembelajaran yang manakah dapat membantu meningkatkan prestasi akademik murid kelak.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Jangan Guna Pemadam

16 Februari 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih yang tidak terhingga kerana anda sudi mengunjungi laman ini. Terima kasih sekali lagi.

Minggu ini boleh dikatakan minggu yang memenatkan setiap kali saya masuk mengajar murid kemahiran menulis. Bukan hendak merungut, tetapi terkilan kerana apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Maklum sajalah, mengajar murid di kelas belakang ini bukanlah mudah. Majoriti muridnya tidaklah sehebat kelas-kelas hadapan. Mengajar murid kelas belakang ini samalah seperti mengajar murid Prasekolah. Guru mesti banyak bersabar dan tekun menjalankan tugas.

Dua minggu yang lalu sudah masuk minggu ke-3 saya mengajar murid mengenal abjad, huruf vokal, mengenal suku kata, mengeja perkataan KVKV dan menulis perkataan. Semua objektif pembelajaran yang disasarkan tercapat 70% hingga 100% bagi semua kemahiran yang telah diajar kecuali kemahiran menulis.

Saya akui kadang-kadang sakit hati dan rasa hendak marah. Melihat muka murid tahun satu yang comel-comel itu, rasa hendak marah tiba-tiba tidak jadi. Timbul pula rasa kasihan. Mana tidaknya, sudah masuk minggu ke-3, tetapi menulis tidak boleh lagi walaupun satu perkataan seperti ‘mata..”

Murid menggigil memegang pensel, jika boleh menulis pun, satu huruf mengambil masa 10 minit untuk ditulis. Itu pun bukan atas garisan dalam buku tulis yang sepatutnya.

Ada murid pula boleh menulis perkataan, tetapi tunggang langgang dan kerap terbabas ke atas dan ke bawah, tulisan yang senget seolah-olah buku latihan itu kertas lukisan (tiada garisan biru).

Jika ditegur kesalahan, mulalah murid padam semula apa yang ditulis. Inilah murid tahun satu. Tulis satu huruf, kemudian padam. Tulis lagi, kemudian padam. Masa pengajaran selama sejam tiga puluh minit sia-sia begitu sahaja.

Jadi, saya ambil pendekatan dengan melarang murid menggunakan pemadam pensel sewaktu saya memberi latihan. Saya tidak menggalakkan murid memadam tulisan yang salah. Sebaliknya meminta murid menulis pada ruangan yang baru. Dengan ini akan memudahkan saya untuk meminta murid membandingkan tulisan yang salah dan tulisan yang betul kepada murid untuk dibuat perbandingan.

Pada mulanya, memanglah ramai murid yang tidak dapat menerima ‘pembaharuan’ ini. Tetapi, dalam masa seminggu berikutnya, alhamdulillah saya sudah nampak banyak perubahan dalam cara menulis murid. Cuma ada dua orang murid sahaja yang masih perlu diberi perhatian ‘rapi’ dalam aspek menulis ini.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Makluman..

11 Februari 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di sampig dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih atas kesudian anda melayari laman ini.

Dukacita dimaklumkan bahawa laman ini tidak dapat dikemas kini bermula 11/2/2011 sehingga diberitahu kelak ekoran kesibukan penulis mengurus darjah satu terutamanya yang melibatkan fail KSSR murid tahun 1, mengubah suai kelas khas LINUS, dokumentasi Transisi 2011 dan pelbagai lagi urusan di sekolah.

Kesan daripada tanggungjawab ini, penulis tidak dapat mengemas kini laman ini. Maaf atas segala kesulitan. Insyaallah, jika ada kelapangan dalam masa terdekat, penulis akan masukkan informasi terkini serta membalas email pertanyaan yang anda kirimkan kepada penulis.

Terima kasih,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : untuk chat secara online melalui YM (Yahoo Massanger) sila add penulis : belalangcyber@yahoo.com

Kategori:Pengumuman Tags:

Murid Tahun 1 Terbeban..Jadi??

10 Februari 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Semoga apa jua yang anda lakukan pada hari ini, segalanya akan diberkati oleh yang maha Esa, Insyaallah. Terima kasih atas kesudian anda untuk terus melayari laman ini. Maaf andai masih ada email anda yang belum saya jawab.

Hari ini, topik perbincangan berkisar dengan ‘bebanan’ yang dihadapi oleh murid-murid tahun 1 terutamanya yang belajar di kelas belakang. Seronok melihat telatah murid, tetapi kasihan apabila melihat mereka belajar. Ada yang tidak tahu mengenal abjad, ada yang tidak tahu menulis lagi.

Saya masuk ke bilik guru dan bertanya kepada salah seorang guru lama di sekolah perihal murid tahun 1 ini. Saya percaya di kebanyakan sekolah juga mengalami masalah yang serupa. Satu soalan dibincangkan :

  • Sejak dari murid ini bayi hinggalah ke usia 7 tahun, apa yang ibu bapa lakukan sehinggakan anak ini tidak boleh mengenal A hingga Z? bahkan ada yang tidak tahu menulis langsung?

Guru terpaksa mengambil alih tugas ini mengajar murid dan terpaksa meninggalkan silibus supaya murid menguasai asas ini dahulu. Pasti segalanya akan menjadi normal jika ibu bapa murid tahun 1 turut bekerja sama mengajar anak membaca di rumah.

Itu baru satu hal, mengenai buku pelajaran anak-anak pula? Kasihan. Ada yang tiada buku tulis walau sebuah pun. Pensel pun tidak ada. Murid datang ke sekolah kusut masai seperti baru bangun tidur terus dipakaikan pakaian sekolah dan dihantar hingga ke pintu pagar sekolah.

Buku teks yang baru dapat tidak dibalut dan sudah ada yang tertanggal kulit. Isi dalam beg tak perlu dicakapkan lagilah..Semuanya ada. Baju pendidikan jasmani yang dipakai kelmarin yang kotor masih ada, bekal makanan murid yang sudah habis masih ada, semua jenis buku teks disumbat sama.

Kasihan. Ini semua menjadi beban kepada murid. Masalah di rumah barangkali, masalah akademik, beban yang dipikul murid. Walaupun tidak semua murid hadapi masalah ini, tetapi bersimpatilah terhadap murid yang mengalami masalah seperti ini.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

 

 

 

Kategori:Pend.Pemulihan