Archive

Archive for Mac 2011

Bosan Dengan Sikap ‘Mereka’

31 Mac 2011 3 comments

salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga atau insan tersayang. Semoga pekerjaan yang anda lakukan pada hari ini akan mendapat rahmat dari-Nya.

Hari ini bukan isu pendidikan yang penulis hendak sentuh. Tetapi isu ‘diri guru’ itu sendiri yang penulis hendak perkatakan.

Bukan hendak mengatakan diri ini bagus, setiap insan tetap ada kekurangan dan kelemahan. Sejak penulis mula bertugas di tempat baharu ini, ada sahaja pelbagai isu tentang guru yang tidak enak didengar.

Macam-macam cerita dalam kalangan guru sama ada baik atau buruk boleh ‘diakses’ dengan mudah oleh guru-guru lain melalui kaedah cerita ‘mulut ke mulut’. Penulis sendiri pun tidak terkecuali daripada terkena tempias cerita ‘mulut ke mulut’ ini.

Satu perkara yang penulis tidak suka adalah apabila diberi amanah oleh pihak atasan, seseorang itu dengan mudahnya boleh menolak tanggungjawab yang diberi sesuka hati. Maka, pihak atasan terpaksa membuat rombakan dan menyerahkan tugas itu kepada guru lain yang kurang berpengalaman. Apabila guru yang kurang berpengalaman ini menjalankan amanah tersebut, maka terdapatlah kekurangan.

Tetapi kekurangan itu tidak segera ditegur. Sebaliknya dibawa ke dalam mesyuarat dan guru yang mula-mula dipertanggungjawab ini tadi memberi komen negatif kepada guru baru yang tiada pengalaman ini. Bukan hendak membantu, tetapi tahu mencari salah sahaja.

Apabila diberi tugas, sering kali mengelak. Tidak mahu buat atas alasan yang langsung tak masuk akal. Bukankah semasa menurunkan tandatangan dalam surat akujanji dahulu setiap guru telah bersetuju akan mengutamakan perkhidmatan?

Semasa bertugas di organisasi lama, penulis dan rakan-rakan guru yang lain menerima tugas yang diberi tanpa bantahan walaupun kami penat melaksanakannya. Kami tetap melaksanakan tugas sebaik mungkin. Jika ada cacat cela atau tidak kena, kami akan segera ditegur dan menerima teguran dengan baik.

Itulah sepatutnya yang berlaku, yang berpengalaman dan bijak pandai sepatutnya memberi tunjuk ajar dan menurunkan ilmu kepada guru baru. Bukan menunjukkan contoh yang tidak disenangi. Apabila tindakan ini ‘dicontohi’ guru baru, maka membiaklah ‘sikap’ seperti ini berkurun-kurun lamanya di organisasi itu.

Paling bahaya apabila sikap seperti ini mampu mempengaruhi keputusan pihak pentadbir. Memang tidak selamatlah sistem pentadbiran, rosaklah sistem pendidikan. Semoga guru-guru yang berkenaan berubah sikap. Jangan hanya nampak salah orang lain dan tidak mahu mengaku kalah. Berubahlah demi kebaikan bersama..

Sekian, terima kasih

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

p/s : Rindu dengan cara kerja, semangat kerjasama di sekolah lama.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah : Hari Ke-3

24 Mac 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Alhamdulillah, hari ini masuk hari ketiga sesi yang ke-7 dalam Mesyuarat Penataran Dokumen Standard Prestasi Tahun 1 berdasarkan KSSR.

Pada mulanya, penulis tidak begitu memahami isi kandungan PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) yang dibentangkan. Bagi penulis, segala input yaang diterima masih samar-samar.

Namun, pada hari ini semua peserta telah dibahagikan dalam kumpulan mengikut pecahan mata pelajaran. Penulis terlibat dengan mata pelajaran Dunia Seni Visual.

Hari ini, segala input yang samar-samar diperoleh pada hari pertama semakin ‘cerah’ dan penulis sudah memahami isi kandungan mesyurat terutamanya berkaitan sistem pentaksiran mengikut mata pelajaran yang disampaikan oleh wakil Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Hari ini, semua peserta didedahkan dengan konsep dan sistem pentaksiran dan penulis dapat memahami isi kandungan yang disampaikan oleh pegawai terlibat. Oleh yang demikian, segala kekeliruan yang timbul sebelum ini sudah tiada lagi.

Hari ini, semua peserta dalam kumpulan mata pelajaran masing-masing akan menghasilkan instrument pentaksiran dan membuat pembentangan.

sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Hari Ke-2 Mesyuarat Penataran Dokumen Standard KSSR

23 Mac 2011 4 comments

Salam sejahtera,

Sesi pada hari ini berjalan dengan lancar. Selepas majlis perasmian pada sebelah pagi, semua peserta didedahkan secara mendalam tentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini.

Banyak juga soalan-soalan yang dikemukakan kebanyakan peserta yang masih keliru.Namun dapat dijelaskan dengan baik oleh para penceramah yang datang membentangkan maklumat dalam setiap sesi yang diadakan.

Program pada sebelah malam akan disambung dengan sesi perbengkelan di mana semua peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut mata pelajaran masing-masing.

Sekian
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

NKRA Luar Bandar Capai Sasaran

22 Mac 2011 4 comments

KUALA LUMPUR 21 Mac – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah membina 751.9 kilometer jalan luar bandar yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk melalui projek Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sehingga 31 Disember lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebanyak 70,181 buah rumah pula telah menerima bekalan air melalui projek penyaluran Bekalan Air Luar Bandar, manakala 25,312 rumah lagi disalurkan bekalan elektrik melalui liputan Bekalan Elektrik Luar Bandar dalam tempoh sama.

“Sebanyak 16,626 buah rumah juga telah disediakan kepada penduduk luar bandar melalui Program Bantuan Rumah yang dilaksanakan melalui sasaran NKRA,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembangunan Daerah 2011 di sini, hari ini.

Mohd. Shafie berkata, walaupun pelaksanaan NKRA pada tahun lalu menunjukkan pencapaian memberangsangkan, namun pihaknya tidak boleh mengambil mudah keadaan dan keperluan rakyat luar bandar.

Katanya, kementerian amat memerlukan kerjasama erat daripada pejabat dan pegawai daerah di seluruh negara untuk turun padang bagi menyediakan data serta maklumat yang lebih lengkap dan menyeluruh mengenai keperluan penduduk di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, kerjasama itu amat penting bagi memastikan segala projek dan perancangan di bawah NKRA yang disasarkan kepada kementerian itu dapat terus dilaksanakan dengan lancar.

“Pelbagai masalah yang dihadapi di kawasan luar bandar bukan hanya perlu didengar dan dikenali semata-mata tetapi ia perlu diatasi secepat mungkin. Oleh itu peranan pegawai daerah amat penting bagi membantu kementerian,” katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan dan kerjasama pegawai daerah, kementerian akan berupaya memperolehi pangkalan data yang kuat dan jelas mengenai apa yang berlaku di kalangan masyarakat luar bandar.

“Jika kita gagal maka apa yang kita lakukan, segala usaha dibuat tidak akan selari dengan apa yang kita rancang. Oleh itu pegawai daerah perlu menyelami betapa pentingnya untuk turun padang, melawat kampung dan mendampingi rakyat serta tahu apa yang diperlukan mereka,” katanya.

Sumber : www.utusan.com.my

Kategori:Berita Tag:

Mesyuarat Penataran Dokumen Standard Prestasi Tahun 1 (KSSR)

21 Mac 2011 5 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Maaf kerana lambat mengemaskini laman ini. Bagi mereka yang masih membeli ebook penulis, terima kasih diucapkan. Kepada mereka yang menghadapi masalah untuk download ebook, insyaallah masalah tersebut akan penulis atasi secepat mungkin.

Minggu ini, guru terlibat di sekolah penulis giat menjalankan saringan 1 LINUS tahun 1 2011 dan saringan 4 LINUS tahun 2 2011.

Penulis terpaksa meninggalkan sekolah sekali lagi kerana terpaksa berkampung di Hotel Empress Sepang bermula 21-24 Mac 2011 kerana menghadiri MESYUARAT PENATARAN DOKUMEN STANDARD PRESTASI TAHUN 1 BERDASARKAN KSSR.

Insyaallah, penulis akan cuba kongsikan segala maklumat yang penulis perolehi untuk disebarkan kepada semua.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Pendaftaran PJJ Di UPSI

18 Mac 2011 67 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Terima kasih yang tidak terhingga kerana anda masih sudi melayari laman ini.

Sejak kebelakangan ini, laman ini tidak dikemas kini seperti tahun sebelumnya yang mana penulis kerap memasukkan maklumat-maklumat terbaharu.

Mohon maaf kepada individu yang menghantar email tetapi masih belum menerima jawapan daripada penulis. Insyaallah, dalam masa terdekat penulis akan cuba membalas email yang dihantar satu persatu.

Hari ini, penulis telah mendaftarkan diri sebagai pelajar PJJ di UPSI. Sekian lama meninggalkan alam sebagai pelajar, hari ini penulis kembali sebagai pelajar semula.

Terasa seronok kerana penulis tidak sabar untuk mendapat idea-idea segar daripada para pensyarah.

Selamat mendaftar juga kepada guru-guru seluruh negara yang telah dan akan mendaftarkan diri di pusat pengajian terpilih. Selamat maju jaya.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Kursus Pemantapan P&P LITERASI Tahun 2

15 Mac 2011 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera di samping insan tercinta. Bagi yang sedang bercuti, selamat bercuti bersama insan tersayang. Bagi yang bekerja, semoga pekerjaan yang anda lakukan pada hari ini akan mendatangkan manfaat yang lebih baik dari hari yang sebelumnya.

Terima kasih atas kesudian anda terus mengunjungi laman ini. Terima kasih juga kepada anda yang masih membeli ebook yang penulis hasilkan.

Bagi guru gred DGA29 yang ditawarkan melanjutkan pelajaran ke pringkat Ijazah di institusi terpilih, selamat berdaftar dan semoga berjaya.

Pada 9 dan 10 Mac yang lalu, penulis telah mengikuti satu Kursus Pemantapan P&P LITERASI tahun 2 di PKG Bangsar.

Terdapat enam slot yang perlu dihadiri sepanjang dua hari peserta berada di PKG berkenaan.

Alhamdulilah, banyak input-input baharu yang kami terima. Cuma diharapkan pada masa akan datang, lebih banyak kursus berkaitan pembinaan bahan bantu mengajar, teknik mengajar yang berkesan daripada fasilitator, teknik penyelesaian masalah dari fasilitator serta perkongsian idea untuk mengurangkan jumlah murid LINUS akan diadakan.

Kursus berasaskan teori semata-mata atau banyak menguji kemampuan guru menghasilkan BBM atau mengajar pastinya tidak akan menguntungkan kerana bukan semua guru yang menghadiri kursus adalah guru berpengalaman atau guru opsyen Bahasa Melayu.

Guru yang menghadiri kursus kebanyakannya opsyen PSV, PJK, MUZIK dan lain-lain yang mana mereka tidak tahu teknik mengajar dan penyelesaian masalah dalam LITERASI.

Harap fasilitator dapat membantu.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department