Arkib

Archive for Jun 2011

LINUS vs Bomoh

24 Jun 2011 6 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di luar sana. Tidak kira apa jua yang sedang anda lakukan ketika ini, semoga ianya mendatangkan manfaat yang paling berharga untuk anda. Terima kasih kerana anda masih sudi mengunjungi laman ini.

Semalam saya didatangi salah seorang penjaga yang merupakan ibu kepada murid LINUS Tegar dalam kelas saya. Hampir dua jam kami berbincang. Kebetulan saya sibuk dengan penubuhan kelas LINUS yang baru, Sukan Tahunan, Ujian Pertengahan Tahun, jadi saya tidak dapat melayan penjaga tersebut lama-lama.

Namun, dua jam hasil pertemuan tersebut, saya sempat mencatatkan maklumat untuk kegunaan pada masa akan datang. Kasihan melihat anaknya yang masih tidak memberi apa-apa perubahan dalam akademik. Saya cuba selidik sedalamnya masalah sebenar yang dihadapi oleh anak murid saya melalui penjaganya. Apa yang kami bincangkan itu, telah mengingatkan saya kepada beberapa situasi yang saya hendak kongsikan di bawah :

SITUASI 1

Rahman (bukan nama sebenar) dijaga oleh datuk dan neneknya. Bapanya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya selepas 3 bulan Rahman dilahirkan. Ibunya meninggal dunia selepas 6 bulan mengalami kekecewaan tidak dapat menerima takdir kematian suami. Selama 9 bulan lahir, Rahman memang tidak kenal siapa ibu bapanya. Dia dijaga oleh datuk dan neneknya yang tua dan uzur.

Saya mengenali Rahman ketika dia memulakan sesi persekolahannya kali pertama pada usia 8 tahun. Kelakuan dan tingkah lakunya amat pelik. Orangnya normal tetapi perlakuannya berbeza. Menurut datuknya, Rahman terkena demam panas ketika berusia 5 tahun sehingga mulutnya berbuih. Tetapi lambat dibawa ke hospital. Penjaganya pula tidak bekerja. Tiada wang untuk membiayai rawatan. Mereka mengambil jalan singkat dengan membawa Rahman berjumpa bomoh.

Rahman berjaya disembuhkan. Tetapi mengalami kegagalan dari segi pertuturan. sekali lagi Rahman dibawa berubat dengan bomoh yang sama. Semasa sesi rawatan, lidah Rahman telah ditarik keluar. Bomoh mengeluarkan sebilah pisau lalu mengikis lidah Rahman. Sesi rawatan tersebut dipercayai mampu menyembuhkan pertutran Rahman. Namun, hasilnya tiada. Malah, Rahman menjadi semakin sukar untuk bertutur.

Sekali lagi Rahman dibawa berjumpa bomoh yang sama. Kata bomoh tersebut, nama Rahman membawa malang. Jadi, namanya kini telah ditukar kepada Salleh. Sehingga saya mengajar murid ini bermula 2006 hingga 2008, namanya masih lagi dipanggil Salleh. Bukan Rahman seperti yang tercatat dalam surat beranak.

SITUASI 2

Julia (bukan nama sebenar) dilahirkan dalam keadaan yang serba daif. Ibu dan bapanya kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Atas desakan hidup, mereka berjumpa dengan ‘pakar’ (bomoh) yang kononnya dipercayai mampu memberi sesuatu yang lebih baik untuk kehidupan mereka di masa akan datang.

Kata bomoh, anak yang sedang dikandung si ibu itu akan membawa malang. Ia harus digugurkan. Si suami yang terlalu percayakan bomoh membawa isteri pulang dan mencadangkan supaya anak dalam kandungan itu digugurkan. Si ibu menangis kerana tidak sanggup berbuat sedemikian. Akhirnya berlaku pertengkaran antara suami dan isteri.

Sejak dari hari pertama Julia dilahirkan, bapanya tidak pernah menyentuhnya. Dia menganggap Julia pembawa malang. Julia semakin membesar dan mula meniti alam persekolahan. Setiap hari, Julia akan pulang dari sekolah dengan membawa kerja rumah. Jika dia tidak faham, dia akan merujuk kepada ibunya.

Dengan tekun dan sabar ibunya mengajar walaupun berkali-kali Julia membuat silap. Si bapa yang tidak tahan melihat Julia kerap membuat kesilapan semasa belajar, terus memaki. Itulah makanan telinga Julia setiap hari. Itulah kata-kata ‘sayang’ yang diucap oleh seorang bapa untuk anaknya. Kasihan.

Satu hari, si bapa pulang lalu mengajak si ibu duduk berbincang. Katanya baru lepas jumpa bomoh. Si bapa mencadangkan supaya nama Julia ditukar kerana budak itu bukan sahaja pembawa sial, malah nama J.U.L.I.A itu menurut bomoh sama dengan perkataan B.O.D.O.H. Kerana tidak mahu bertengkar, mereka menukar nama Julia kepada Zarina. Si ibu berkata, nama si bapa juga ada lima huruf. Kenapa tidak ditukar juga nama itu?

Saya terkilan dengan apa yang telah dilakukan oleh penjaga murid yang sebegini. Kedua-dua situasi sebenarnya ada jalan penyelesaian. Apabila berlaku masalah akademik, kenapa bertindak begitu? Kenapa tidak berjumpa dengan guru? Guru perlukan maklumat untuk bantuan. Jika guru tidak mampu membantu, murid boleh dirujuk dengan doktor. Di negara kita ada ramai doktor pakar kanak-kanak.

Kita perlu gunakan saluran yang betul untuk membantu murid. Tetapi mengapa bomoh harus menjadi pilihan? Saya tidak menafikan peranan bomoh. Tetapi dalam situasi rawatan yang dinyatakan dalam situasi 1 dan 2, diharapkan ibu bapa penjaga boleh menjadi lebih cerdik akal untuk menerima sesi rawatan sama ada relevan atau tidak.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Advertisements

~Menangani Murid Bermasalah-Mesti Serius~

20 Jun 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Selamat bertemu kembali. Semoga pada hari ini anda sentiasa ceria dan dapat melaksanakan tugas harian dengan sebaik mungkin. Terima kasih kerana anda masih sudi mengunjungi laman ini.

Topik yang hendak saya sentuh pada hari ini adalah mengenai pembentukan disiplin murid secara umum. Semoga isu yang saya kupas pada kali ini dapat memberi manfaat kepada anda dan diri saya sendiri dalam perkongsian ilmu secara maya.

Pagi tadi, sebelum ke tempat kerja saya sempat membelek sebuah majalah berbahasa Melayu. Saya membaca satu topik am yang menyentuh mengenai gejala disiplin murid sama ada di sekolah atau pun di luar kawasan sekolah.

Di mana-mana pun jika seseorang guru itu pergi, soalan-soalan wajib berkaitan masalah disiplin murid di sekolah pasti akan disentuh. Saya sendiri ketika bertandang ke rumah rakan untuk beraya, kenduri atau majlis jamuan tidak terkecuali dari soalan ini.

Setiap kali isu disiplin dibangkitkan, hanya dua pihak ini sahaja yang selalu dipersalahkan, guru – ibu bapa. Tidak dinafikan, segala perubahan tingkah laku anak bermula dari rumah dan ibu bapa adalah orang pertama yang dipertanggungjawabkan memberi didikan yang sempurna kepada anak.

Namun, bukan semua ibu bapa boleh memberi pendidikan asas ini sebaik mungkin kepada anak-anak. Banyak faktor yang perlu dilihat dalam pembentukan disiplin kendiri anak-anak dalam sesebuah keluarga itu.

Guru pula adalah orang kedua yang bertanggungjawab menanam asas kemanusiaan dalam diri murid. Tanggungjawab tidak hanya kepada mengajar untuk murid pandai semata-mata kerana bukan semua murid mempunyai bakat dan potensi yang sama.

Namun, bukan semua guru mampu menjadikan diri seseorang murid itu benar-benar sempurna sebaik murid itu keluar dari perkarangan sekolah. Latar belakang murid berbeza. Begitu juga budaya dan cara hidup mereka. Penerimaan asas didikan di rumah yang diterima berbeza dengan asas didikan yang diterima di sekolah.

Itu belum lagi dicampur dengan ‘asas didikan’ yang diterima semasa berada bersama rakan sebaya atau masyarakat sekeliling. Saya sendiri kerap kali terserempak dengan murid tahun enam yang suka memaki hamun makanan yang dibeli di kantin. Entah dari mana mereka belajar perkataan yang tidak senonoh itu saya sendiri tidak pasti

Setiap murid mempunyai perwatakan diri yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah. Di rumah, lain perangainya. Di sekolah juga lain. Di luar rumah atau luar sekolah kita tidak tahu macam mana. Murid akan melalui proses perkembangan diri dan mereka tahu apa yang mereka buat sebenarnya. Mereka inginkan keinginan dipenuhi tanpa syarat.

Bagi sesetengah murid yang matang berfikir, ada kalanya keinginan tidak dipenuhi tidak mengapa kerana mereka faham mengapa keinginan itu tidak dapat dipenuhi. Bagaimana pula bagi murid-murid yang tidak faham atau buat-buat tidak faham? Saya rasa guru-guru yang mengajar kelas hujung tahu apa jawapannya.

Saya mengajar di kelas LINUS. Murid-murid saya sentiasa bermasalah dari segi kehadiran, tingkah laku, emosi dan banyak lagi. Semua ini perlu ditangani dengan segera sebelum ianya menular sehingga mereka tamat darjah enam. Pernahkah anda perhatikan bahawa dalam tempoh 6 tahun murid belajar di sekolah dari usia 7 hingga 12 tahun, mereka melalui proses perkembangan yang berbeza.

Murid tahun satu dilihat begitu baik, naik tahun dua sudah pandai melanggar peraturan. Masuk darjah tiga sudah pandai membuli dan mencuri. Naik darjah empat sudah tahu ponteng sekolah, mencuri makanan di kantin. Ketika di darjah lima sudah pandai merokok, menyertai kumpulan luar supaya nampak hebat dan digeruni. Naik darjah enam sudah pandai menengking guru. Itu belum lagi melihat proses perkembangan mereka ketika di tingkatan satu dan seterusnya.

Memanglah bukan semua murid itu bermasalah. Tetapi bagaimanakah cara penyelesaian terbaik untuk mengurangkan apa yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan di sekolah sekarang? Mungkin salah satu cara adalah pihak pentadbir sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama dan serius menangani isu ini. Janganlah apabila ibu bapa dipanggil ke sekolah untuk berkongsi pandangan, mereka hanya tahu mencari salah guru itu, salah guru ini. Pihak sekolah pula menyalahkan ibu bapa macam itu dan macam ini. Sudahnya, satu kata sepakat takkan tercapai pun.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ SARPONEN

Admin,

Teacher’s Department

PENGUMUMAN

15 Jun 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa dalam keadaan sihat sentiasa. Terima kasih kerana anda masih sudi melayari laman ini..

Untuk makluman semua, saya sedang mengemas kini laman ini. Banyak bahan yang saya cuba upload untuk dikongsi sebenarnya. Tetapi saya menghadapi masalah teknikal dan masih gagal sehingga kini untuk memberi maklumat dan informasi terkini kepada anda semua.

Harap semua dapat bersabar. Insyaallah, saya akan dapatkan bantuan dalam masa yang terdekat supaya segala masalah dapat diatasi.

Bagi yang bertanyakan tentang EBOOK Pemulihan Matematik, ini jawapan saya. Sebenarnya saya telah pun menyiapkan dua buah ebok berkaitan pendidikan Pemulihan untuk subjek Matematik. Namun, fail ebook tersebut telah disabotaj. Jadi, saya tidak dapat meletakkan ebook tersebut ke dalam ruangan ini.

Sekian, terima kasih.

NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Admin,
Teacher’s Department

Kategori:Pengumuman