Arkib

Archive for Ogos 2011

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN

26 Ogos 2011 5 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian pada hari ini dengan sempurna. Tidak kira di mana anda berada, saya doakan kesejahteraan anda. Terima kasih atas kesudian anda mengunjungi laman ini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua pelawat laman Teacher’s Department. Andai ada tulisan-tulisan saya dalam laman ini yang kurang disenangi atau menyentuh sensetiviti anda sebagai pembaca dan pelawat laman ini, harap dapat dimaafkan.

Kepada pembeli ebook 1, ebook 2 dan ebook 3, saya ada ‘hadiah’ buat anda sebagai tanda menghargai sokongan anda terhadap penulisan ebook saya selama ini. Nantikan ‘hadiah’ tersebut dalam peti email anda. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat semua.

Insyaallah, selepas hari raya nanti, kita akan berjumpa dan berdikskusi lagi dalam laman ini.

sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Admin,
Teacher’s Department

Advertisements

LINUS TEGAR : Ambil Tindakan Segera

19 Ogos 2011 73 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. Alhamdulillah, hari ini kita diberi peluang untuk menikmati pemandangan dunia yang masih lagi indah. Semoga apa jua aktiviti yang anda lakukan pada hari ini akan mendatangkan manfaat untuk diri anda sendiri dan persekitaran.

Terima kasih kerana anda masih sudi mengunjungi laman ini. Terima kasih juga kepada individu yang telah membeli ebook yang saya hasilkan. Semoga ebook berkenaan akan mendatangkan banyak manfaat kepada anda yang telah membeli dan mengaplikasikannya dalam kelas.

Baiklah. Topik pada hari ini adalah berkaitan dengan murid LINUS TEGAR yang saya percaya membelengu reputasi sesebuah sekolah. Pelbagai andaian yang timbul dengan adanya murid kategori TEGAR ini, bermakna guru tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

Sebelum kita pergi lebih jauh, eloklah kita bincangkan sedikit mengenai murid LINUS TEGAR ini. Umum sedia maklum, lebih-lebih lagi guru yang mengajar murid kategori ini. Andaikan sehingga bulan Ogos 2011, murid masih belum melepasi konstruk 1 dan 2 sedangkan guru setiap hari memerah idea dan tenaga untuk memastikan murid ini melepasi konstruk 1 hingga 8. Malangnya, ada saki baki murid yang tertinggal akibat tidak melepasi konstruk 1 dan 2.

Bagaimana hal sedemikian boleh terjadi? Adakah guru terlepas pandang murid ini? Saya tidak berpuas hati apabila pelbagai tomahan dilemparkan kepada sesetengah guru LINUS apabila murid TEGAR masih ramai di sekolah berkenaan, guru tersebut didakwa tidak mengajar dengan bagus, guru tidak menjalankan tugas dengan baik, guru tidak buat ‘home work’ untuk kaji masalah murid dan macam-macam lagi.

Kasihan apabila mendengar ramai guru LINUS merungut bukan salah mereka. Kita jangan sesekali terlalu mudah menghukum guru tanpa memahami masalah yang dihadapi. Saya sendiri masih mempunyai murid TEGAR dalam kelas yang saya ajar sekarang. Adalah tidak adil sekiranya guru lain, pentadbir atau pegawai yang memantau mengatakan cikgu LINUS tak menjalankan tanggungjawab dengan baik tanpa mendengar luahan mereka. Janganlah bertanya soalan putar alam dengan bertujuan untuk mencari salah guru juga.

Sebagai penyelaras LINUS di sekolah, saya sendiri menghadapi masalah dengan murid LINUS TEGAR ini. Antaranya :

  1. murid kerap tidak hadir ke sekolah (rekod paling lama 4 bulan)
  2. murid daftar lewat (bulan 7 baru masuk sekolah atas sebab tertentu)
  3. masalah ibu bapa (gaduh depan anak-anak)
  4. masalah peribadi (gangguan seksual di rumah terhadap murid menyebabkan murid trauma ke sekolah dan fobia dengan ‘lelaki’)
  5. tidak ada kelengkapan asas pembelajaran yang cukup di rumah.
  6. ibu bapa bercerai / meninggal (murid dijaga oleh nenek yang uzur)
  7. bilangan murid yang ramai menyukarkan kawalan guru dalam kelas (bukan semua murid boleh dengar cakap, masing-masing ada perangai dan kerenah)

Tujuh perkara di atas adalah antara perkara biasa yang dilaporkan dan terjadi di sesetengah sekolah. Namun, saya percaya sekolah di pedalaman turut menghadapi masalah yang lebih serius.

CARI JALAN PENYELESAIAN SEGERA

Bagi murid yang menghadapi masalah tidak hadir untuk sesuatu tempoh yang lama tanpa sebab atau surat doktor, saya cadangkan kepada guru LINUS supaya meminta guru kelas terlibat menghantar surat amaran kepada ibu bapa  atau penjaga murid berkenaan. Satu salinan surat amaran ponteng sekolah tersebut hendaklah dimasukkan dalam fail LINUS.

Jika guru dapati murid menghadapi masalah kesihatan yang memungkinkan murid tersebut akan terus mengalami kegagalan jika terus belajar di kelas normal, sila kemukakan surat kepada penjaga untuk mendapatkan pengesahan dan laporan kesihatan daripada doktor.

Sertakan bersama surat tersebut hasil kerja murid untuk rujukan doktor. Mohon kepada ibu bapa supaya merujuk anak mereka dengan pakar kanak-kanak. Bukan dengan pembantu perubatan di klinik biasa. Pemeriksaan mungkin akan makan masa hampir sebulan (paling lambat).

Doktor akan menjalankan sekurang-kurangnya lapan (8) jenis ujian terhadap murid. Hasil keputusan akan diserahkan kepada penjaga dan guru perlu mendapatkan salinan surat tersebut. Jika murid itu memang bermasalah, doktor akan mencadangkan supaya murid tersebut ditempatkan di sekolah khas. Berdasarkan laporan doktor nanti, cikgu akan tahu apa yang perlu dilakukan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Penyelaras LINUS

Bukti Murid LINUS Boleh Berjaya

18 Ogos 2011 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Masih tidak terlewat bagi saya untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam seluruh dunia. Maaf kerana saya mengambil masa yang lama untuk mengemas kini laman ini.

Syukur alhamdulillah, peperiksaan di UPSI telah selesai dan keputusan yang diperoleh setimpal dengan hasil tugasan yang diserahkan untuk dinilai.

Baru-baru ini, saringan 2 dan 5 LINUS telah pun selesai dijalankan di sekolah saya. Hasil saringan lisan dan bertulis, saya dapati pencapaian mendadak murid LINUS bagi tahun 1 dan 2 adalah yang terbaik berbanding pada tahun sebelumnya.

Kebanyakan guru agak terkejut dengan keputusan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik termasuk juga bagi subjek-subjek lain apabila murid bukan pilihan berjaya mencatat markah terbaik dalam ujian bulan Ogos yang dilaksanakan baru-baru ini.

Cuma yang sedihnya, masih ada sebahagian murid yang gagal ‘diselamatkan’ dari kelompok LINUS TEGAR kerana beberapa masalah yang dihadapi oleh guru dan juga murid. Saya sendiri akui terdapat 5 orang murid dalam kelas yang saya ajar masih belum menguasai abjad dengan baik walaupun setelah bulan Ogos hampir melabuhkan tirainya.

Perkara ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Post Mortem saringan 2 dan 5 yang akan datang untuk mengetahui punca masalah ini masih wujud.

Walau bagaimana pun, sekalung tahniah buat semua guru LINUS tahun 1 dan 2, termasuk guru Pemulihan yang telah bertungkus lumus memastikan sasaran LINUS peringkat sekolah tercapai.

sekian,
NORHAIDI SARPONEN
Penyelaras LINUS