Arkib

Archive for November 2011

Gemar Bercakap Kuat, Faktor Kurang Pendengaran.

3 November 2011 18 comments

Salam sejahtera,

Lama saya tidak menjenguk ke laman ini. Masa lapang yang ada semakin dipenuhi dengan pelbagai aktiviti rasmi menyebabkan saya menjadi terlalu sibuk. Maaf kepada individu yang menghantar email kepada saya. Masih ramai yang belum kesempatan untuk saya menjawab pertanyaan anda.

Baiklah, topik hari ini saya hendak sentuh tentang sisi murid LINUS yang biasanya dilihat gemar bercakap kuat atau suka menjerit. Tidak merujuk kepada mana-mana kajian, saya menulis berdasarkan apa yang saya lalui. Saya dapati kebanyakan murid LINUS memang gemar bercakap seakan-akan menjerit walaupun rakan mereka hanya di sebelah sahaja.

Tidak diketahui punca utama mereka bersikap sedemikian. Barangkali hendak menarik perhatian, menunjukkan kuasa ‘memerintah’ rakan, atau lain-lain sebab. Apabila bercakap, mereka akan meninggikan nada suara.

Faktor inilah yang menyumbang kepada punca kebisingan. Bayangkan jika kelas tanpa guru. Tentu riuh rendah jadinya.

Murid-murid yang gemar bercakap dengan nada suara yang tinggi atau menjerit saya dapati selalunya mereka tidak akan dapat mendengar dengan jelas apabila guru mengajar atau ketika menerima arahan.

Keadaan ini lebih buruk jika murid ini turut mempunyai masalah pendengaran walaupun di tahap sederhana. Dalam hal ini, guru perlu selalu menasihati murid supaya tidak bercakap dengan nada seperti menjerit. Memadai dengan bercakap seperti biasa atau sopan.

Murid perlu dibimbing supaya belajar untuk menghormati rakan, guru dan orang lain dengan nada pertuturan yang sopan. Mereka masih kecil dan terlalu mentah untuk bercakap seperti orang yang matang.

Walaupun tidak semua murid suka bercakap kuat, tetapi pengaruh sikap gemar bercakap kuat ini seolah-olah sudah menjadi ikutan. Di mana-mana sekolah saya pergi, semua ini dapat dilihat.

Murid yang pendiam dan tahu buat kerja sendiri itu tidak mengapalah. tetapi bagi murid yang sukar dikawal, suka terpekik dalam kelas walaupun ada guru, sikap itu perlu sentiasa ditegur. Murid perlu sentiasa diberi peringatan supaya mereka tahu dan sedar tindakan mereka yang gemar bercakap dengan cara menjerit itu tidak sesuai diamalkan.

Admin,

Penyelaras Program LINUS

Advertisements