Arkib

Archive for Jun 2012

“..Kasihan, Aina..”

27 Jun 2012 5 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga mahu pun insan tersayang. Di mana jua anda berada ketika ini, saya doakan semoga hari ini adalah hari yang boleh mendatangkan sejuta keceriaan kepada anda. Di mana jua anda berada ketika ini, terima kasih kerana anda sudi melayari laman ini.

Hari ini saya hendak kongsikan kisah salah seorang anak murid saya di tahun satu. Murid ini murid perempuan, ketinggian kurang dari 110 cm, pakaiannya agak kurang kemas apabila ke sekolah dan manja orangnya.

Apabila saya masuk ke kelas, saya akan disambutnya bersama dengan beberapa rakan-rakannya yang lain. Apabila mengajar, murid ini akan memberikan perhatian yang sepenuhnya. Pada mulanya, saya fikir tentu murid ini faham apa yang saya cuba ajarkan. Tapi sangkaan saya meleset.

Kali pertama mendengar murid ini bersuara, saya sudah tahu murid ini bermasalah. Mana tidaknya, sebutannya yang pelat. Cara bercakap tidak seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun. Cara menulisnya pula tidak sekata, banyak huruf terbalik, tulisan yang tidak jelas, menulis di atas, tengah-tengah dan bawah garisan..

Apabila dibuli rakan-rakan, murid ini tidak tahu bagaimana hendak memarahi rakan yang membulinya. Baginya itu semua adalah gurauan, suka-suka dan cara bermain.

Saya akui tidak pernah memarahi atau mendenda murid ini berbanding rakan sebayanya yang lain. Bagi saya murid ini istimewa. Enam bulan lamanya saya mengajar murid ini mengenal abjad masih tidak berjaya. Ingatannya singkat. Kerap lupa. Selama itulah saya mengajar murid ini menulis, tetapi masih tiada peningkatan dari segi susunan perkataan dan gaya tulisan.

Saya pernah berjumpa dengan abangnya yang belajar di tahun empat. Tetapi sekadar perbualan rambang. Apalah sangat informasi tentang murid ini yang saya boleh dapat dari abangnya yang berusia 10 tahun??

Beberapa kali saya menggunakan si abang ini untuk memujuk ibu bapa mereka hadir ke sekolah berjumpa dengan saya untuk membincangkan masalah berkaitan anak mereka. Malangnya alasan sibuk ‘mengejar duit’ dijadikan faktor tidak dapat hadirkan diri.

Saya bersimpati dengan murid perempuan ini. Tak mengapalah. Selagi berdaya, saya akan usaha yang terbaik setidak-tidaknya untuk masa depan murid ini juga. Kasihan..

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin

Teacher’s Department

Advertisements
Kategori:Pend.Pemulihan

Gaya Pembelajaran Murid

18 Jun 2012 16 comments

Salam sejahtera,

Syukur kepada-NYA kerana dengan izinNYA juga dapatlah saya kembali meluangkan masa untuk berkongsi ilmu kepada semua setelah melalui hari-hari yang sibuk dan urusan-urusan yang memenatkan. Terima kasih kepada anda yang masih sudi mengunjungi laman ini walaupun hampir sebulan lamanya saya tidak dapat mengemas kini laman ini.

Kepada pembeli-pembeli ebook, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan atas sokongan anda kepada ebook yang telah saya hasilkan. Masih ada kelemahan yang saya lihat dan banyak respon daripada anda yang membeli ebook berkenaan cukup membantu saya untuk menghasilkan ebook yang lebih berkualiti kelak.

Topik pada hari ini saya hendak sentuh sedikit berkenaan dengan gaya pembelajaran murid di sekolah rendah terutamanya murid yang berada di kelas belakang. Sila anda perhatikan situasi dalam gambar di bawah.

Saya percaya ramai dalam kalangan guru di sekolah rendah khususnya telah banyak melihat situasi seperti dalam gambar yang ditunjukkan. Ini bukanlah gambar murid di denda. Tetapi ini adalah cara murid belajar dalam kelas saya.

Peliknya mereka ada meja yang disediakan selesa untuk menulis, tetapi memilih lantai untuk baring walaupun berkali-kali saya menegur mereka lantai itu kotor.

Satu situasi lain pula kita dapat lihat beberapa orang murid menulis dengan meletakkan buku pada papan putih. Bila ditanya mengapa mereka berbuat sedemikian, jawapannya mudah. “Tulisan cikgu ‘berdiri’. Kalau letak kat meja tulisan jadi ‘baring’..”, terdengar juga alasan seperti ini “tak nampaklah, cikgu..”

Satu lagi praktis menulis dalam gambar di atas merupakan cara menulis yang tidak betul. Murid ini kerap memadam hasil kerja kerana selalu sahaja salah tulis. Mengapa boleh salah tulis? Kerana murid menutup huruf yang hendak ditulis dari pandangan mata. Jadi tidak tahu bentuk itu ke mana arahnya. Atas garisan atau bawah garisan.

Percaya atau tidak? Faktor di atas adalah salah satu sebab mengapa murid lambat menyiapkan kerja bertulis yang diberi walaupun tempoh 90 minit diperuntukkan!

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department