Arkib

Archive for Ogos 2012

Jangan Hilang Fokus

28 Ogos 2012 1 komen

Salam sejahtera,

Terima kasih kerana sudi melayari laman ini. Pastinya anda masih lagi dalam ‘mood’ raya ketika ini. Terima kasih kepada pengunjung yang tidak henti-henti memberi sokongan agar saya meneruskan perkongsian ilmu dalam laman ini.

Baiklah, cuti pertengahan penggal kedua sudah pun berlalu. Bercuti pula dalam bulan Syawal. Maka, pastinya anak-anak didik kita masih lagi dalam ‘mood’ raya. Oleh kerana itulah banyak latihan yang guru beri tidak disiapkan atas alasan terlupa.

Maka tak hairanlah jika pada hari pertama selepas cuti, ramai murid yang kena denda dengan guru subjek masing-masing. Ada kala murid ini perlu diberikan pengajaran. Mereka ini tidak tahu betapa seriusnya guru mendidik dan mencurahkan ilmu untuk menjadi insan berguna. Bagi peringkat kanak-kanak yang belum matang cara berfikir, mereka tidak ambil serius semua ini.

Sesi pengajaran berjalan seperti biasa. Saya masuk ke kelas LINUS dengan harapan cuti seminggu yang lalu tidak akan melupakan minda anak-anak didik terhadap perkara yang telah diajar. Tetapi harapan itu tidak menjadi kenyataan. Malah, apa yang berlaku adalah semakin teruk. Murid yang sudah pandai membaca kembali tergagap-gagap dan merangkak membaca. Yang sudah boleh menulis kembali terkial-kial memegang pensel. Apa sudah jadi?

Dalam hal ini, saya perlu bertenang. Murid perlu diberi perhatian. Fokus semula terhadap perkara yang telah dipelajari. Rata-rata murid saya ketika belajar pada hari ini hilang fokus terhadap pelajaran yang disampaikan. Inilah perkara biasa yang saya percaya guru di sekolah lain juga mengalami masalah yang sama.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin,

Teacher’s deparment

 

 

 

Advertisements

Salam Aidilfitri 2012, Maaf Zahir Batin

16 Ogos 2012 5 comments

Salam sejahtera,

Buat pengunjung laman Teacher’s Department, hampir tiga bulan lamanya saya tidak dapat mengemaskini laman ini berikutan terlalu banyak komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab wajib. Tentunya ada dalam kalangan pelawat laman ini yang berkecil hati berkemungkinan kerana pertanyaan demi pertanyaan lambat dijawab atau dibalas.

Selaku admin laman ini, saya menyusun sepuluh jari mohon ampun maaf zahir dan batin jika ada kata-kata atau tulisan saya dalam ruangan ini ada membuat sesetengah pihak bertelagah, terguris emosi atau berasa negatif.

Semoga di hari lebaran kita akan sentiasa saling bermaaf-maafan. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin..

Sekian,

Admin,

Teacher’s Department