Archive

Archive for September 2012

Perubahan Sistem Pendidikan – Edisi Wajib Tahu

12 September 2012 21 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sentiasa walau di mana jua anda berada. Terima kasih atas kunjungan rasmi anda ke laman ini. Semalam secara rasminya Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara.

Melalui pelan itu katanya, kerajaan berharap rakyat terutama generasi muda mempunyai akses yang sama dalam bidang pendidikan berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

Dalam transformasi pendidikan kali ini, Perdana Menteri turut mencadangkan pelaksanaan Sastera Inggeris bagi membantu penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, di mana Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan modul itu yang diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

Pelan awal itu juga akan menjemput cadangan balas, kritikan komen dan sokongan bersesuaian dengan hakikat bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

“Rupa bentuk negara masa depan akan ditentukan oleh keputusan, langkah dan tindakan yang kita ambil hari ini. Kita tidak mampu menangguhkan atau berdikit demi masa depan lebih baik dan untuk mengaut laba masa hadapan kita perlu berani melabur serta menyemai secara bijak,” kata Perdana Menteri.

Sekilas…

  • Pelajar pintar selesaikan UPSR dalam lima tahun dan SPM empat tahun.
  • Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan beri fokus kemahiran berfikir aras tinggi. Contoh, 80 peratus soalan UPSR berbentuk pemikiran aras tinggi.
  • Sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah. − Penjenamaan semula Tingkatan Enam –
  • kelonggaran pemakaian pakaian seragam, Majlis Pelajar ditubuh.
  • Bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai Tahun Empat pada 2014. Kelas peralihan mansuh 2017.
  • Insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun, laluan pantas kenaikan pangkat.
  • Guru cemerlang boleh dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 lebih cepat berbanding purata ketika ini 25 tahun.
  • Guru yang mencatat prestasi rendah selepas bimbingan, akan diberi tugas lain seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin,

Teacher’s Department

sumber : www.bharian.com.my

Mengajar Murid Cara Menulis – Part 4

10 September 2012 3 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Di mana jua anda berada, apa jua yang anda lakukan ketika ini, semoga segalanya dipermudahkan dan dapat memberi manfaat kepada persekitaran anda.

Baiklah, topik hari ini berkaitan dengan tulisan. Seorang murid saya (dari kelas lain yang dikehendaki belajar di kelas saya kerana masalah menulis) alami masalah menulis dengan tulisan yang sangat besar, tiada jarak antara perkataan, pembentukan huruf yang condong, tidak sekata dan meninggalkan banyak huruf ketika menulis perkataan.

Saya percaya ramai murid di luar sana juga mengatasi masalah yang sama. Oleh itu, isu ini perlu diatasi sebaiknya. Ada murid yang faham bahasa mudah akan dapat perbaiki cara menulis dalam masa yang singkat. Ada juga yang mengambil masa yang lama.

Tulisan kanak-kanak yang tidak cermat masih boleh diperbaiki. Tetapi mesti diteliti terlebih dahulu apakah punca utama murid menulis sedemikian. Saya senaraikan antara punca murid mempunyai tulisan yang tidak kemas, tidak tersusun, tertinggal huruf, huruf tidak sekata dan sebagainya di bawah ini :

  • masalah pergerakan koordinasi mata-tangan
  • cara memegang pensel tidak betul hingga menutup penglihatan
  • postur kedudukan semasa menulis
  • menulis cepat asalkan siap
  • menulis huruf bertindan menjadikan tulisan bergaris dua kali kerana tidak dipadam
  • menulis bukan di atas garisan yang disediakan
  • tidak memadam kesalahan tulisan asal, sebaliknya menulis huruf yang sama di atas huruf asal menjadikan tulisan pada huruf berkenaan sukar dikenal pasti
  • cuai atau leka ketika menulis menyebabkan banyak huruf ditulis terbalik atau tertinggal huruf dalam perkataan
  • masalah membaca – kesukaran membaca mempengaruhi murid untuk mengeja perkataan dalam situasi yang sukar, apatah lagi menulis
  • masalah mengingat perkataan – akan menyebabkan murid menyalin perkataan dengan menulis huruf satu persatu. Bukan perkataan demi perkataan.
  • kerap memadam perkataan yang salah ditulis – bertujuan melengah-lengahkan aktiviti menulis
  • masalah pengamatan penglihatan – keliru dengan bentuk tulisan atau abjad yang ditulis oleh guru
  • kecelaruan abjad – murid menjadi keliru apabila melihat terlalu banyak perkataan dalam sebaris ayat.
  • Masalah kesihatan – disleksia, masalah saraf,
  • banyak bercakap dari menulis dan sering kali memberi alasan penat apabila disuruh menulis tetapi tidak penat pula apabila diberi peluang bermain.
  • bosan dengan aktiviti menulis

Saya percaya masalah ini masih boleh diperbaiki lebih-lebih lagi jika kita sendiri mengetahui apakah masalah sebenar yang dialami oleh murid.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin,

Teacher’s Department