Arkib

Archive for Oktober 2012

Kewajaran PMR digantikan dengan PBS

25 Oktober 2012 66 comments

Salam sejahtera,
Mungkin ramai yang belum tahu tentang pemansuhan PMR tidak lama lagi. Justeru, saya ingin kongsikan sedikit maklumat mengenainya untuk makluman guru dan ibu bapa khususnya. Semoga kita sama-sama memahami tujuan pemansuhan PMR ini dengan sebaiknya.

Arkib : 22/10/2012

KEMENTERIAN Pelajaran menjelaskan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bertujuan menambah baik sistem peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan dimansuhkan menjelang tahun 2014.

Menurut Unit Komunikasi Media kementerian, sistem pembelajaran baharu itu telah dimulakan pada tahun 2012 bagi pelajar tingkatan 1.

Sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi merupakan penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.

Kemajuan dan pertumbuhan seseorang murid dinilai secara adil dengan menggunakan Standard Prestasi.

Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan Standard Prestasi.

“Kementerian juga akan meningkatkan secara sistematik bilangan peratusan soalan kemahiran berfikir aras tinggi melalui PBS dan peperiksaan awam” kata kenyataan itu yang disiarkan pada laman rasmi kementerian baru-baru ini

Kementerian memberitahu, soalan yang berasaskan Taksonomi Bloom ini akan menguji kemahiran seperti aplikasi, analisis, dan penilaian.

Menjelang 2016, peratusan soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan ditambah sehingga 80 peratus daripada keseluruhan soalan UPSR, 80 peratus dalam pentaksiran pusat untuk Tingkatan 3.

Selain itu, 75 peratus daripada keseluruhan soalan bagi mata pelajaran teras SPM dan 50 peratus dalam soalan mata pelajaran elektif SPM.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan.

Format pentaksiran baharu ini membolehkan murid dinilai berdasarkan keberhasilan yang lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang, seperti yang dihasratkan oleh dasar kementerian.

Advertisements

Guru Perlu Fahami PBS

24 Oktober 2012 4 comments

Salam sejahtera,

Mulai 2013, sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau PBS akan dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah melibatkan semua murid tahun 1,2 dan tiga serta pelajar tingkatan 1 dan 2 tanpa sebarang masalah. Justeru, beberapa siri kursus telah diadakan bagi memantapkan lagi pemahaman guru mengenai pelaksanaan PBS ini. Berikut saya sertakan sedikit maklumat daripada akhbar tempatan mengenai isu pelaksanaan PBS ini.

Arkib : 22/10/2012

BAHAGIAN Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran berdepan tugas berat bagi melengkapkan kemahiran kira-kira 420,000 guru sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menghadapi perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, pihaknya perlu menyediakan program latihan yang sesuai dan mencukupi bagi meningkatkan pemahaman di kalangan guru terhadap perlaksanaan PBS sekali gus menepati hasrat kerajaan melahirkan pelajar yang lebih berkualiti.

Menurutnya, guru perlu dilengkapi dengan latihan kemahiran yang memenuhi tahap perlaksanaan PBS sebelum sistem pembelajaran baharu tersebut dilaksanakan sepenuhnya tahun depan.

“Paling penting, guru perlu memahami konsep perlaksanaan sistem PBS ini kerana jika tidak faham, macam-macam masalah yang mungkin akan ditimbulkan oleh guru misalnya pertambahan bebanan kerja dan lain-lain isu, ” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.

Ia mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pada masa yang sama, kata Mohd. Ghazali, latihan dan pemahaman yang disalurkan kepada guru perlu dilaksanakan secara berperingkat sebelum sistem baharu dapat dilaksanakan sepenuhnya nanti.

Tegasnya, selain guru, para ibu bapa juga perlu diberikan pemahaman yang jelas mengenai perlaksanaan PBS agar tidak timbul kecelaruan dengan membuat tanggapan negatif terhadap sistem pembelajaran baharu itu.

“Pada masa ini, kita sudah mengerakkan program latihan kepada guru sehingga ke peringkat tingkatan dua dan kita jangkakan menjelang tahun depan, sistem PBS ini sudah boleh dilaksanakan.

“Kita bimbang jika guru tidak diberi latihan pemahaman yang secukupnya, mereka akan laksanakan pembelajaran cara lama dan akhirnya timbul masalah,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya menerima reaksi yang positif daripada guru yang pernah menjalani latihan pemahaman PBS dan turut mengakui bahawa perlaksanaan konsep pembelajaran baharu itu lebih menyeronokkan serta bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa.

Kem LINUS SK Seri Suria 2012

5 Oktober 2012 3 comments

Salam sejahtera,

Terima kasih atas kesudian anda melayari laman ini. Semoga perkongsian ilmu sesama kita akan berterusan dan semog apa yang saya sampaikan melalui laman ini kita akan dapat manfaatkan sebaiknya.

Baiklah, pada 19 September 2012 yang lalu, satu program yang dianjurkan oleh Jawatakuasa LINUS Sekolah Kebangsaan Seri Suria iaitu Kem LINUS telah dilaksanakan dengan jayanya. Walaupun tidak ramai ibu bapa dapat hadir bersama murid untuk menyertai kem ini, program ini tetap dijalankan dan turut diundang sama adalah dua orang pegawai FasiLINUS dari PPD Bangsar Pudu.

Admin

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department