Arkib

Archive for the ‘Agama’ Category

Sambutan Maulidur Rasul SK Seri Suria Meriah

20 Februari 2012 5 comments

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,

Terima kasih atas kunjungan ‘rasmi’ anda ke laman ini. Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat hendaknya. Hari ini saya hendak kongsikan mengenai sambutan Maulidur Rasul yang telah diadakan pada 17 Februari 2012 yang lalu.

Program oleh Panitia Pendidikan Islam ini telah diadakan dengan begitu meriah sekali. Berikut disertakan gambar sepanjang aktiviti program ini.

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin,

Teacher’s Department

LINUS vs Bomoh

24 Jun 2011 6 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di luar sana. Tidak kira apa jua yang sedang anda lakukan ketika ini, semoga ianya mendatangkan manfaat yang paling berharga untuk anda. Terima kasih kerana anda masih sudi mengunjungi laman ini.

Semalam saya didatangi salah seorang penjaga yang merupakan ibu kepada murid LINUS Tegar dalam kelas saya. Hampir dua jam kami berbincang. Kebetulan saya sibuk dengan penubuhan kelas LINUS yang baru, Sukan Tahunan, Ujian Pertengahan Tahun, jadi saya tidak dapat melayan penjaga tersebut lama-lama.

Namun, dua jam hasil pertemuan tersebut, saya sempat mencatatkan maklumat untuk kegunaan pada masa akan datang. Kasihan melihat anaknya yang masih tidak memberi apa-apa perubahan dalam akademik. Saya cuba selidik sedalamnya masalah sebenar yang dihadapi oleh anak murid saya melalui penjaganya. Apa yang kami bincangkan itu, telah mengingatkan saya kepada beberapa situasi yang saya hendak kongsikan di bawah :

SITUASI 1

Rahman (bukan nama sebenar) dijaga oleh datuk dan neneknya. Bapanya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya selepas 3 bulan Rahman dilahirkan. Ibunya meninggal dunia selepas 6 bulan mengalami kekecewaan tidak dapat menerima takdir kematian suami. Selama 9 bulan lahir, Rahman memang tidak kenal siapa ibu bapanya. Dia dijaga oleh datuk dan neneknya yang tua dan uzur.

Saya mengenali Rahman ketika dia memulakan sesi persekolahannya kali pertama pada usia 8 tahun. Kelakuan dan tingkah lakunya amat pelik. Orangnya normal tetapi perlakuannya berbeza. Menurut datuknya, Rahman terkena demam panas ketika berusia 5 tahun sehingga mulutnya berbuih. Tetapi lambat dibawa ke hospital. Penjaganya pula tidak bekerja. Tiada wang untuk membiayai rawatan. Mereka mengambil jalan singkat dengan membawa Rahman berjumpa bomoh.

Rahman berjaya disembuhkan. Tetapi mengalami kegagalan dari segi pertuturan. sekali lagi Rahman dibawa berubat dengan bomoh yang sama. Semasa sesi rawatan, lidah Rahman telah ditarik keluar. Bomoh mengeluarkan sebilah pisau lalu mengikis lidah Rahman. Sesi rawatan tersebut dipercayai mampu menyembuhkan pertutran Rahman. Namun, hasilnya tiada. Malah, Rahman menjadi semakin sukar untuk bertutur.

Sekali lagi Rahman dibawa berjumpa bomoh yang sama. Kata bomoh tersebut, nama Rahman membawa malang. Jadi, namanya kini telah ditukar kepada Salleh. Sehingga saya mengajar murid ini bermula 2006 hingga 2008, namanya masih lagi dipanggil Salleh. Bukan Rahman seperti yang tercatat dalam surat beranak.

SITUASI 2

Julia (bukan nama sebenar) dilahirkan dalam keadaan yang serba daif. Ibu dan bapanya kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Atas desakan hidup, mereka berjumpa dengan ‘pakar’ (bomoh) yang kononnya dipercayai mampu memberi sesuatu yang lebih baik untuk kehidupan mereka di masa akan datang.

Kata bomoh, anak yang sedang dikandung si ibu itu akan membawa malang. Ia harus digugurkan. Si suami yang terlalu percayakan bomoh membawa isteri pulang dan mencadangkan supaya anak dalam kandungan itu digugurkan. Si ibu menangis kerana tidak sanggup berbuat sedemikian. Akhirnya berlaku pertengkaran antara suami dan isteri.

Sejak dari hari pertama Julia dilahirkan, bapanya tidak pernah menyentuhnya. Dia menganggap Julia pembawa malang. Julia semakin membesar dan mula meniti alam persekolahan. Setiap hari, Julia akan pulang dari sekolah dengan membawa kerja rumah. Jika dia tidak faham, dia akan merujuk kepada ibunya.

Dengan tekun dan sabar ibunya mengajar walaupun berkali-kali Julia membuat silap. Si bapa yang tidak tahan melihat Julia kerap membuat kesilapan semasa belajar, terus memaki. Itulah makanan telinga Julia setiap hari. Itulah kata-kata ‘sayang’ yang diucap oleh seorang bapa untuk anaknya. Kasihan.

Satu hari, si bapa pulang lalu mengajak si ibu duduk berbincang. Katanya baru lepas jumpa bomoh. Si bapa mencadangkan supaya nama Julia ditukar kerana budak itu bukan sahaja pembawa sial, malah nama J.U.L.I.A itu menurut bomoh sama dengan perkataan B.O.D.O.H. Kerana tidak mahu bertengkar, mereka menukar nama Julia kepada Zarina. Si ibu berkata, nama si bapa juga ada lima huruf. Kenapa tidak ditukar juga nama itu?

Saya terkilan dengan apa yang telah dilakukan oleh penjaga murid yang sebegini. Kedua-dua situasi sebenarnya ada jalan penyelesaian. Apabila berlaku masalah akademik, kenapa bertindak begitu? Kenapa tidak berjumpa dengan guru? Guru perlukan maklumat untuk bantuan. Jika guru tidak mampu membantu, murid boleh dirujuk dengan doktor. Di negara kita ada ramai doktor pakar kanak-kanak.

Kita perlu gunakan saluran yang betul untuk membantu murid. Tetapi mengapa bomoh harus menjadi pilihan? Saya tidak menafikan peranan bomoh. Tetapi dalam situasi rawatan yang dinyatakan dalam situasi 1 dan 2, diharapkan ibu bapa penjaga boleh menjadi lebih cerdik akal untuk menerima sesi rawatan sama ada relevan atau tidak.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Juadah Berbuka Bercampur Wain

3 September 2010 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Di hari yang baik di bulan yang baik, semoga anda dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik daripada semalam. Terima kasih kerana anda terus melawat laman ini.

Hari ini, saya hendak kongsikan laporan penuh dari sebuah akhbar tempatan mengenai masakan. Semoga artikel yang tersiar ini dapat dijadikan iktibar buat semua umat Islam di negara ini.

SUBANG JAYA: Entah berapa ramai pelanggan yang sudah ‘terkena’ apabila sebuah restoran makanan Barat yang menganjurkan bufet Ramadan mengaku dengan sengaja mencampurkan arak masakan di dalam hidangan yang disajikan kepada orang ramai.

Lebih mengejutkan apabila pemilik restoran turut sewenang-wenang memalsukan logo halal Jakim yang dicetak pada katalog menu bagi meyakinkan pelanggan yang menyangka restoran itu mendapat pentauliahan sijil halal Jakim.

Perbuatan itu dibongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah restoran makanan Barat di Subang Jaya, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, pegawai Jakim diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah memeriksa restoran terbabit yang menganjurkan bufet Ramadan.

Sumber Jakim berkata, restoran terbabit sebelum ini mengundang tanda tanya pegawai Jakim dan KPDNKK berikutan didapati sengaja menjual minuman keras dan wain kepada pelanggan walaupun pada masa sama menganjurkan bufet Ramadan.

“Pemeriksaan lanjut di dapur restoran terbabit menemui beberapa botol wain masakan yang digunakan chef sebagai bahan dalam masakan.

“Ketika disoal siasat, chef bukan beragama Islam terbabit mengaku mencampurkan wain itu ketika memasak juadah yang disajikan di dalam hidangan bufet Ramadan,” katanya.

Menurutnya, chef terbabit turut mengaku memasukkan kicap mengandungi alkohol di dalam kebanyakan masakannya yang dianggap sebagai perisa tambahan bagi menyedapkan masakan.

“Pemilik restoran terbabit tidak pernah memohon sijil halal dan pihak Jakim tidak akan membenarkan logo itu diguna pakai berikutan restoran terbabit turut menawarkan arak kepada pelanggan.

“Pihak pengurusan restoran terbabit diberikan notis. Berdasarkan kesalahan dilakukan kerana memalsukan logo halal jakim, pengusaha restoran terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Difahamkan, operasi terbabit antara puluhan pemeriksaan dan operasi berterusan dilakukan pihak Jakim terhadap hotel dan restoran sekitar ibu negara yang menawarkan bufet Ramadan sejak hari pertama puasa lalu.

sumber : www.hmetro.com.my

p/s : berhati-hatilah sebelum terkena!

Ikhlaslah Dalam Mendidik ‘Ikhlas’

23 Ogos 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda sihat sentiasa dan ceria disamping dapat mekakukan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana terus sudi melayari laman ini.

Selepas bersahur pagi tadi, saya membaca sebuah majalah ilmiah yang menceritakan tentang keikhlasan dalam mendidik anak. Justeru, ingin saya kongsikan isi kandungan bahan bacaan berkenaan. Semoga ianya dapat dijadikan panduan yang berguna. Mari kita lihat satu persatu.

IKHLAS adalah amalan hati. Tanpa ikhlas, maka sia-sialah segala penat lelah dalam beribadah. Ikhlas dari segi epitemologi bermaksud menjernihkan sesuatu atau membersihkannya, manakala dari segi istilah pula membawa maksud menjadikan Allah S.W.T sebagai satu-satunya tujuan dalam segala amalan.

IKHLAS adalah syarat diterima amal selain perlu berlandaskan syariat. Walaupun tiada sesiapa yang tahu apa yang terselindung di sebalik hati, namun ada beberapa induksi yang menunjukkan sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak. Antaranya :

  • Tidak suka dipuji oleh orang lain
  • Mengalukan nasihat daripada sahabat handai
  • Tidak gila pangkat dan tidak mencalonkan diri untuk jawatan-jawatan tertentu.
  • Merasakan bahawa sumbangannya kecil jika dibandingkan dengan sumbangan orang lain.
  • Suka mengerjakan solat malam (Qiamullail)
  • Lebih suka menderma secara sembunyi daripada menzahirkannya.

Baiklah, mari kita lihat pula bagaimana hendak mendidik dengan penuh keikhlasan menurut majalah ini. Pepatah Arab mengatakan, “mendidik ketika kecil umpama mengukir di atas batu. Manakala mendidik ketika dewasa umpama mengukir di atas air..”

Asasnya benih sifat ikhlas itu ialah iman kepada Allah. Justeru, melatih anak supaya ikhlas mestilah menanam rasa beriman kepada Allah. Ini dapat dilakukan sama ada secara formal di sekolah atau tidak formal melalui pendekatan bersahaja.

Selalu mengajak anak berfikir kebesaran Allah. Contohnya apabila melihat pokok-pokok, guru mungkin boleh bertanya kepada murid, “Agaknya berapa jumlah daun-daun di atas pokok itu?..” Tentu anak murid menggelengkan kepala atau menjawab, “Tidak tahu..”

Maka bolehlah kita mendidik dengan berkata, “Tapi Allah Maha Mengetahui. Allah mampu mengira bukan sahaja daun di pokok, tapi daun yang gugur di malam hari itu juga termasuk dalam kiraan Allah..”

Jika anak membuat sesuatu kebaikan atau pertolongan dan mereka melaksanakannya dengan baik, beri ganjaran yang sewajarnya. Namun, jangan jadikan ganjaran itu satu kemestian. Gantikan dengan ucapan terima kasih yang setulusnya seperti :

  • “Hari ini, ibu bangga dengan kamu kerana telah membantu. Insyaallah, Allah akan sayang kamu kerana telah buat ibu gembira.”

Sebaliknya, apabila anak-anak melakukan kesalahan yang patut dihukum, maka berilah hukuman yang sewajarnya tetapi jangan lupa tanamkan rasa tauhid seperti :

  • “Maaf, ibu terpaksa merotan kamu kerana masih cuai melaksanakan solat walaupun telah beberapa kali diingatkan..”
  • “Hukuman rotan ini hanya kecil saja berbanding hukuman Allah di akhirat nanti. Di sana hukumannya adalah api neraka..”

Namun, bukan setiap kesalahan harus dihukum. Adakalanya menanam rasa bersalah dalam diri anak-anak juga adalah lebih baik ketika mendidik. Sekiranya kita tahu anak melakukan kesalahan tetapi anak tersebut cuba menyembunyikannya, maka lebih baik kita membongkar kesalahan itu.

Ini kerana kelak dia akan malu dan hilang harga diri. Apa yang boleh kita lakukan, tegur secara umum melalui cerita atau kata-kata tidak langsung.

Anak-anak juga wajar dihukum sekali sekala pada ketika dan tempat yang bersesuaian. Tabiat buruk semasa makan, melalaikan solat, berbohong, meninggikan suara di hadapan orang tua, bergaduh dengan adik beradik adalah kesalahan serius yang tidak boleh dipandang sebelah mata oleh ibu bapa. Jika anak-anak terlibat dalam perkara tersebut, berilah peringatan dan teguran seperti :

  • “Ayah benci perbuatan kamu cuai solat..”
  • “Kamu tidak malu makan rezeki daripada Allah tetapi tidak berterima kasih kepadanya? Kamu hendak menjadi hamba yang tidak mengenang budi?..”
  • “Kamu sudah pandai meninggikan suara sekarang. Perbuatan itu buruk sekali. Hanya orang yang derhaka sahaja yang berbuat begitu. Kamu tidak takutkah dengan kemurkaan Allah?..”

Jika kita selalu mengaitkan setiap yang anak-anak fikirkan, lakukan dan alami dengan roh tauhid, lambat atau cepat langkah itu akan menampakkan kesannya. Benih ikhlas akan tumbuh jua nanti. Mendidik anak bagai menanam pokok. Hari ini kita siram, baja..apa yang kita dapat? hanya benih yang basah bukan?

Setelah berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan, barangkali bertahun barulah anak benih itu membesar dan menampakkan hasilnya menjadi pokok, berdaun dan berbuah. Semua ini akan mengalami proses yang berperingkat-peringkat.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

sumber : Majalah SOLUSI isu no 11, 2009 [PP 15048/05/2010 (024506)

70% Bufet Ramadan Campur Arak

19 Ogos 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Agak mengejutkan apabila laporan akhbar tempatan hari ini mengatakan hampir 70 peratus daripada pemeriksaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas hotel-hotel dan premis makanan di sekitar Lembah Klang yang berselindung di sebalik terma bufet Ramadan diragui status halalnya.

Penulis baru saja bercadang hendak berbuka puasa di salah sebuah hotel yang menyediakan bufet pada Ramadhan ini. Tetapi, keinginan itu terpaksa dibatalkan nampaknya.

Berikut adalah laporan penuh mengenai berita ini :

Hotel terbabit yang tidak memiliki sijil halal telah mencampurkan alkohol dalam masakan untuk penyediaan bufet Ramadan.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan oleh 20 penguat kuasa pasukan jabatan itu.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya mengarahkan hotel terbabit dengan serta-merta tidak menggunakan alkohol agar tidak mengelirukan pengguna Islam yang menikmati juadah berbuka puasa di situ.

“Kita melakukan pemeriksaan setiap hari dan meningkatkan pemantauan mulai 1 Ramadan lalu di semua hotel di sekitar Lembah Klang dan didapati kebanyakan hotel gemar mencampurkan arak dalam masakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jakim baru-baru ini mengeluarkan amaran kepada pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal supaya tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadan atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dilaporkan berkata, bufet Ramadan merupakan perbahasaan halal dan mereka yang menyalahgunakan terma ini boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Pihak kami juga menasihati mereka supaya segera memohon sijil halal daripada Jakim memandangkan mereka memberi alasan tidak tahu bagaimana untuk membuat permohonan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Amri menggalakkan umat Islam berbuka puasa atau menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel yang disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.

“Saya harap masyarakat Islam negara ini tidak memilih hotel yang tidak memiliki sijil halal kerana mencari yang halal adalah wajib dan jauhilah perkara yang meragukan,” katanya sambil memberi amaran akan terus memantau hotel-hotel yang mencurigakan.

sumber : www.utusan.com.my

SENARAI HOTEL DAN RESORT YANG MENDAPAT SIJIL HALAL

(sijil masih sah)

Hotel / Resort Kuala Lumpur

Hotel / Resort Selangor

sumber : JAKIM

Sokong Hukuman Lebih Berat Terhadap ‘Pembunuh Bayi’

14 Ogos 2010 2 comments

Salam sejahtera,

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh.

Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Selain itu, mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam.

Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa.

Penulis menyokong usaha membanteras masalah ‘pembunuhan bayi’ yang menyayat hati dan dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Remaja hari ini seolah-olah tidak serik dengan apa yang mereka lakukan. Penulis berasa terkilan dan bersedih setiap kali melihat bayi-bayi yang comel dibuang, cuba dibakar, dimakan anjing, dihanyutkan air, dan macam-macam cara dilakukan mereka yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap ‘dosa’ yang dilakukan.

Ingatlah, sesal dahulu pendapatan. Sesal kemudian tidak berguna.

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department.

p/s :

  • Pasangan yang telah berkahwin, bertahun-tahun menunggu untuk menimang cahaya mata. Betapa susahnya pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata ini menjalani kehidupan. Tetapi, remaja ini berzina, kemudian dengan mudahnya membunuh bayi ini tanpa ada rasa bersalah dalam diri.

Selamat Menyambut Awal Ramadhan

10 Ogos 2010 Tinggalkan komen



SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA PELAWAT ‘TEACHER’S DEPARTMENT’ YANG BERAGAMA ISLAM KHASNYA DAN SELURUH UMAT ISLAM DI SERATA DUNIA.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Salam Maal Hijrah

18 Disember 2009 4 comments


Daripada,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Tazkirah Remaja

17 Disember 2009 38 comments

Tazkirah Remaja: Cuti cuti juga tapi jangan…
Bersama : Mohd Zawawi Yusoh

SEKARANG musim cuti sekolah. Anak remaja pasti gembira selepas penat belajar, tiba musim merehatkan minda. Kepada yang berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, lebih bermakna meraikan cuti.

Kepada mereka yang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pasti sedang bertungkus-lumus dan didoakan mereka melakukan yang terbaik.

Sesetengah ibu bapa mungkin sudah atau sedang merancang untuk memanfaatkan cuti yang panjang. Semoga perancangan digarap terbaik untuk anak-anak. Sebab anak aset paling berharga untuk keluarga, agama dan negara.

Manusia memang perlu didisiplinkan dengan sistem. Islam sendiri adalah satu sistem. Solat ialah satu sistem, puasa, zakat ada sistem tersendiri, apa lagi ibadat haji. Dengan amalan Islam, hidup kita lebih bersistematik.

Pada musim cuti sekolah ini, cuti cuti juga tetapi jangan sampai lupa sistem. Jika ketika bersekolah kita kena bangun awal sebab mahu ke sekolah. Dengan adanya sistem solat, walaupun musim cuti sekolah tetap kena bangun awal.

Janganlah mentang-mentang tidak bersekolah, solat Subuh menjadi Subuh gajah. Yang ini ibu bapa kena pastikan anak-anak bangun bersolat Subuh.

Begitu juga pelajar perempuan, mereka ke sekolah pakai tudung. Tutup aurat bukan kerana disiplin sekolah atau untuk kelihatan cantik menawan atau bersopan atau sebab orang lain memakainya tetapi mereka melakukan demikian disebabkan perintah Allah.

Begitu juga dengan waktu, jangan buang masa, sebab masa adalah kehidupan. Sebenarnya walaupun kita ada masa cuti dan berehat perlu diingat syaitan dan iblis serta konco-konconya tidak pernah berehat atau cuti. Makhluk ini tidak tidur malam, malah misinya tidak akan berhenti sehingga manusia tergoda dengan pujukannya.

Syaitan dari awal lagi mengisytiharkan perang dengan anak Adam untuk menyesatkannya selagi nyawa masih di badan.

Cuti, cuti juga tetapi jangan sampai solat pun bercuti, tutup aurat cuti dan al-Quran pun cuti. Sebenarnya Allah memerintahkan kita mentaati-Nya supaya kita hidup bersistem dan Allah hendak menjanjikan syurga kepada kita.

Syaitan yang tidak pernah cuti itu akan terus menggoda kita supaya sama-sama menemaninya di neraka dan supaya kita hidup tidak berdisiplin.

Apabila tidak mengikuti Islam kita tidak berdisiplin. Apabila tidak berdisiplin akan menjadi seperti Mat Rempit, bukan saja tidak berdisiplin di jalan raya, malah kadangkala mencabar undang-undang, menagih dadah dan apabila sudah tidak takut Tuhan, membujur lalu melintang patah.

Remaja Punk dan Black Metal sanggup makan tulang dan makanan buangan sedangkan yang baik mereka tinggalkan sebab sudah tiada disiplin. Semuanya bermula kerana tidak takut Allah. Apabila tidak takut, tiada disiplin.

Kepada ibu bapa, cuti-cuti juga, program pembangunan iman untuk anak-anak mesti masuk dalam agenda. Bawa anak-anak remaja mengerjakan solat berjemaah di masjid.

Ajak mereka bersama mendengar kuliah yang tidak pernah lekang diadakan di masjid, malah mengaji al-Quran bersama sama ada pada awal pagi atau petang.

Hadiahlah mereka dengan buku-buku dan cerita bermanfaat. Hantar mereka ke kem motivasi untuk peningkatan sahsiah (peribadi), ajak menziarahi rumah anak yatim supaya timbul keinsafan, bawa mereka menziarahi sanak saudara untuk meningkatkan ukhuwah dan filem yang menginsafkan ditonton bersama.

Bagi masjid, rancanglah program yang efektif kepada masyarakat. Wang derma yang dihulurkan jemaah jangan hanya disimpan untuk pembelian cat dan pengindahan masjid semata-mata, tetapi sebaliknya pulangkan wang terbabit kepada jemaah dalam bentuk program dan pembangunan pendidikan.

Melalui program sebegini barulah jemaah berasa berbaloi dan akan menderma lagi, sesuai dengan hasrat negara membangunkan modal insan.

Cuti-cuti juga, beribadat jangan berhenti, taat jangan berkurang, kerja diteruskan, sebab di dunia tempat mencari bekalan. Bercuti dan berehat sebenarnya di syurga yang abadi. Selamat bercuti!

Sumber : www.hmetro.com.my

Sekian,


NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Kategori:Agama, Kasih Sayang Tag:,

Tazkirah Jumaat

11 Disember 2009 Tinggalkan komen

Salam sejahtera,

Di pagi Jumaat ini, saya ingin berkongsi sebuah artikel hangat yang saya ambil daripada sebuah akhbar tempatan. Semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar daripada topik yang dipaparkan.

Kenapa ada remaja tidak percaya Tuhan?

sumber : www.utusan.com.my

KEADAAN zaman yang kini semakin gawat dan keliru ternyata telah memberi kesan yang amat serius kepada akidah anak-anak remaja kita. Kalau dahulu kita dikejutkan dengan gejala menghina agama dan al-Quran oleh pengikut-pengikut black metal, kini muncul pula gejala baru, iaitu ateis (tidak percaya pada kewujudan Tuhan).

Pengerusi Sahabat Insan dan Iman Malaysia (SIDIM), Hanafi Malek ketika mendedahkan perkara itu berkata, masalah ini perlu dipandang serius kerana jumlah remaja Islam yang mula tidak percaya atau sangsi dengan kewujudan Allah, kini semakin membimbangkan.

Sejak terlibat membantu remaja-remaja bermasalah kira-kira 10 tahun lalu, beliau sudah menemui lebih daripada 100 orang remaja yang terlibat dengan fahaman tersebut.

Katanya, sepanjang empat tahun SIDIM ditubuhkan, beliau telah berjumpa dengan lebih kurang 60 remaja yang berfahaman demikian.

“Bukan itu saja, mereka turut mempermain dan meremeh-remehkan kewujudan serta kekuasaan Tuhan.

“Itu ketika bersama SIDIM, tetapi kalau dicampur dengan pengalaman saya sebelum itu ketika masih bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, jumlahnya lebih daripada seratus orang,” tegas Hanafi.

Beliau memberitahu, kebanyakan remaja ini berasal daripada keluarga kaya, berjaya dan tinggal di bandar. Sebahagian lagi daripada keluarga yang terlalu miskin.

Dari segi umur pula, ujar Hanafi, kebanyakan mereka berusia sekitar 14 hingga 25 tahun, iaitu golongan yang masih tercari-cari identiti hidup.

Berdasarkan pengalamannya itu, Hanafi menjelaskan, terdapat beberapa faktor mengapa remaja terbabit memilih untuk menjadi seorang ateis.

Antaranya, latar belakang keluarga yang porak-peranda seperti ibu bapa bercerai, keluarga yang kaya tetapi mengabaikan anak-anak, pengaruh rakan, mengagungkan cara hidup barat, kurang didikan agama dan sejarah silam.

“Remaja-remaja ini kebanyakannya tertekan dengan masalah hidup. Antara yang saya temui ialah mangsa cabul oleh ahli keluarga sendiri,” kata beliau.

Akibat tertekan dengan masalah itu, remaja ini mula tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Kata remaja ini, kalau Tuhan wujud, kenapa Tuhan membenarkan dirinya dicabul dan ahli keluarganya tadi tidak ditangkap dan dihukum?

“Ada juga mat rempit yang berkata, kalau Tuhan wujud, kenapa dia tidak ditangkap? Kenapa dia menang perlumbaan? Kenapa kawannya mati pada malam Jumaat?

“Malah ada yang mengatakan, kalau Allah Maha Berkuasa kenapa ada orang susah. Kenapa Allah tidak beri semua manusia kaya?” kata Hanafi.

Bagaimanapun, jelasnya, paling membimbangkan ialah anak muda yang asalnya berpendidikan agama serta penuntut Institusi Pengajian Tinggi.

“Saya pernah menemui seorang remaja berpendidikan agama yang mengalami kejutan budaya dan kemudian terlibat dengan gejala maksiat. Remaja ini berkata, kalau Tuhan ada dan Maha Pengampun, kenapa Dia menciptakan syaitan dan neraka?

“Bila berlaku peperangan di Palestin dan Iraq, ramai orang Islam terbunuh. Selepas peristiwa itu, pelajar ini kata, kalau Allah berkuasa pasti diselamatkan umat Islam dan dihapuskan kaum kafir.

“Sejak itu, pelajar ini terus menafikan kewujudan Tuhan dan menjadi ateis,” kata Hanafi.

Anak muda penuntut IPT pula terikut-ikut dengan fahaman itu selepas membuat pemerhatian ilmu secara logik akal dan tidak diseiringkan dengan pendekatan Islamiah.

Justeru untuk berhujah dengan remaja dan anak muda ini, logik akal amat diperlukan kerana mereka sememangnya telah menolak al-Quran.

“Saya bagi contoh ceritakan kepada mereka tentang tiupan bayu laut. Pastinya hembusan bayu itu akan membuatkan seseorang itu terasa dingin, sejuk dan nyaman, sedangkan angin itu kita tidak nampak.

“Begitu juga dengan Tuhan. Manusia tidak nampak tapi tahu akan kewujudan-Nya kerana percaya setiap benda di dunia ini pasti ada penciptanya.

“Secara keseluruhannya, bagi saya, punca utama gejala ini ialah iman tidak kental dan tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya,” tegas Hanafi.

Lantaran itu, Hanafi meminta pihak keluarga, kerajaan dan NGO bersama-sama menggembleng tenaga menangani gejala ini sebelum ia menjadi bertambah parah.

Di atas adalah petikan daripada siasatan eksklusif majalah Al Islam, keluaran Disember 2009, mengenai gejala ateis.

Selain artikel tadi, majalah tersebut turut menyiarkan rencana-rencana lain sebagai iringan, antaranya mengenai pengakuan remaja-remaja ateis, latar belakang fahaman itu dan bagaimana untuk berhujah dengan mereka.

Rencana lain yang menarik dan perlu dibaca antaranya, kisah pahlawan Aceh yang diseksa sehingga buta, imam yang dibenci makmum, masalah tatu di badan dan isu Wahabi.

Sekian,


NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department

Kategori:Agama Tag:,