Arkib

Posts Tagged ‘analisis SWOT’

Buatlah Sekadar Yang Termampu

6 Julai 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Semoga di hari yang indah ini membuatkan kehidupan anda sentiasa lebih ceria. Jangan membebani minda anda dengan perkara yang remeh temeh kerana sedikit banyak hal itu bakal menjejaskan rentak perjalanan kehidupan anda hari ini.

Sejak kebelakangan ini, saya menerima banyak email daripada guru pelatih di Institut Perguruan dan bersembang menggunakan Yahoo! Messenger (YM) bersama guru-guru yang telah bertugas yang mana mereka bertanyakan tentang Program Pemulihan Khas, Protim dan KIA2M.

Banyak masalah yang dibangkitkan dari segi pengurusan tingkah laku, latar belakang keluarga murid yang bermasalah, masalah kewangan, faktor murid, masalah guru, masalah pentadbir dan banyak lagi.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda yang terus membaca blog ini dan berkongsi masalah anda bersama saya. Suka saya ingatkan sekali lagi bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang Pendidikan Pemulihan ini.

Banyak perkara yang boleh saya pelajari dan ambil iktibar daripada kisah yang dibangkitkan oleh pembaca dalam blog ini. Di sini saya ingin paparkan satu kisah yang saya ambil dari email yang diterima.

Seorang guru dari Melaka yang mengajar mata pelajaran Pemulihan menghadapi masalah untuk mengajar muridnya membaca. Pelbagai kaedah telah dicuba, namun tiada hasilnya. Saya telah meminta guru ini menghubungi saya melalui YM.

Semasa bersembang dengannya, guru terbabit mengatakan muridnya tidaklah ramai. Namun, perkara yang membimbangkannya adalah prestasi murid (tahun 2) yang masih merangkak-rangkak membaca sedangkan tahun ini (2009) sudah masuk bulan ke-7 (Julai).

Saya bertanya akan kaedah yang digunakan guru berkenaan dari segi teori dan praktikalnya. Jenis-jenis bahan bantu mengajar yang digunakannya, peralatan permainan dalam kelas dan faktor murid itu sendiri.

Guru terbabit menjelaskan dengan terperinci. Saya dapati, guru ini telah mencuba sehabis baik dalah usahanya membantu murid. Pelbagai kaedah telah dicubanya, namun masih tiada hasil.

Suka saya ingatkan guru berkenaan supaya jangan mudah berputus asa dan sentiasa optimis. Jika hari ini murid gagal sedangkan guru sudah melakukan yang terbaik. Sampai di situ sahajalah akhirnya. Maksud saya, usah bimbang akan kegagalan murid.

Guru patut risau akan kegagalan murid sekiranya guru tidak mengajar atau tidak berusaha ke arah pembangunan diri murid.

Saya amat berharap agar guru terbabit dapat memanggil kedua ibu bapa murid atau penjaga untuk hadir ke sekolah. Guru perlu melakukan sesi temubual untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dari segi kesihatan dan latar belakang murid sebelum ini.

Daripada maklumat berikut, guru perlu buat analisis. Ada sesetengah murid, kita lihat mereka normal daripada pandangan mata kasar.

Guru juga perlu senaraikan kaedah-kaedah, teori dan bahan bantu mengajar yang telah dipraktikkan. Buat analisa untuk mengetahui di mana kesilapannya.

Mungkin guru pernah dengar analisis SWOT. Gunakan ia untuk merancang kejayaan guru.

Akhir sekali, guru tidak boleh mudah putus asa. Segalanya telah dicuba, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin dari segi niat mengajar nak diperbetul, kaedah, praktikalnya dan segala macam lagi. BUATLAH SEKADAR YANG TERMAMPU. Jangan membebani diri dengan masalah murid Pemulihan. Jalan untuk mengatasinya masih ada. Hanya kita yang masih belum jumpa.

Jadi, berusahalah. Mudah-mudahan anda akan berjaya.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 106 other followers