Archive

Posts Tagged ‘KIA2M’

E-BOOK 3 : Panduan Asas Mengajar Pemulihan

24 November 2010 6 comments

Salam sejahtera,

Alhamdulillah, berkat dorongan dan usaha yang tidak mengenal erti putus asa, akhirnya saya berjaya juga menghasilkan sebuah lagi ebook berkaitan pendidikan Pemulihan untuk semua.

Dengan terhasilnya ebook PANDUAN ASAS MENGAJAR PEMULIHAN ini di harap sedikit banyak dapat membantu anda di luar sana memahami dan lebih mengetahui teknik pengajaran dalam pendidikan Pemulihan.

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan buat anda semua yang sudi memberi respon terhadap kajian rawak saya sepanjang ebook ini dihasilkan. Terima kasih juga kepada Encik Hasnor, Encik Firdaus, Encik Zakuan, Puan Munirah serta ramai lagi yang memberi dorongan dan semangat agar ebook ini dapat dihasilkan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ebook ini, sila klik di e-book atau layari http://norhaidisarponen.webs.com untuk maklumat lanjut.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Penulis,

Panduan Asas Mengajar Pemulihan

 

Gagal LINUS Tapi Cemerlang UJIAN BULANAN

18 Ogos 2010 4 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berbahagia di samping dapat melaksanakan ibadah puasa dan tugas harian dengan sempurna. Terima kasih kerana sudi melayari laman ini.

Semalam saya terbaca satu komen mengenai kekecewaan seorang pelawat laman ini kerana anaknya telah dimasukkan ke kelas LINUS walaupun sebenarnya anak beliau bijak.

Rentetan itu, saya ingin kongsikan sebuah kisah mengenai anak didik saya yang juga dalam kategori yang sama iaitu LINUS bagi subjek Matematik dan Bahasa Melayu.

Sedari awal tahun, saya dapati kebanyakan anak murid tidak menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dengan baik. Hasil kolaborasi guru dan ibu bapa, anak murid saya kini sudah ‘berpindah kelas’.

Ada yang dari kelas TEGAR ke kelas LINUS, dan dari kelas LINUS ke kelas PERDANA. Boleh dikatakan sejak akhir-akhir ini murid menunjukkan perkembangan mendadak dalam kedua-dua subjek ini.

Majoriti murid dalam kelas Matematik saya sudah menguasai kemahiran asas menambah dan menolak dalam lingkungan 18 berbanding awal tahun, hendak menambah pun tidak tahu.

Majoriti murid dalam kelas Bahasa Melayu saya pula sudah menguasai kemahiran membaca ayat dari lavel ‘kv+kv’ sehingga ‘kvk+kvkk’ berbanding pada awal tahun mereka merangkak-rangkak membaca.

Namun, usaha ini bukan hasilnya daripada saya seorang. Saya percaya, sebahagian besar murid juga berusaha untuk bangkit daripada ketinggalan dalam pelajaran, dorongan ibu bapa serta ‘imbuhan’ yang bakal diperolehi jika mereka berjaya meningkatkan prestasi akademik masing-masing.

Kemusykilan

Untuk makluman, saringan 2 LINUS telah pun selesai. Ramai dalam kalangan murid saya yang tidak dapat menguasai beberapa soalan dalam konstruk yang diuji. Alamatnya, ramailah yang masuk ke kelas LINUS kerana untuk ke kelas PERDANA, murid perlu menguasai kesemua konstruk yang diuji.

Berbanding dengan UJIAN BULANAN, majoriti murid saya mendapat markah 70% hingga 96%.

Persoalannya, mengapa mereka masuk ke kelas LINUS sedangkan UJIAN BULANAN mereka ada yang mendapat markah setinggi 96%?

Kesimpulan yang saya dapati ialah,

  • Dalam saringan LINUS, ada beberapa konstruk yang akan diuji. Jika murid melakukan kesilapan semasa memberi dan menulis jawapan dalam mana-mana konstruk, murid akan dikira sebagai tidak menguasai konstruk itu.
  • Oleh yang demikian, secara automatik murid tidak akan layak ke kelas PERDANA kerana untuk ke kelas berkenaan, murid mestilah menguasai kesemua konstruk yang diuji.
  • Berbeza dengan UJIAN BULANAN, jika murid betul menjawab soalan pertama tetapi gagal menjawab soalan kedua, murid tetap mendapat markah.
  • Jika murid menjawab dengan betul 28 daripada 40 soalan, secara automatik murid akan mendapat 70 markah perseratus (70%).
  • Jika murid menjawab dengan betul 42 daripada 60 soalan, secara automatik murid akan mendapat 70 markah perseratus (70%)
  • Dalam kertas Bahasa Melayu (penulisan), ada murid LITERASI kelas saya yang berjaya menjawab dengan betul 57 soalan daripada 60 soalan yang diuji. Kerana itu, markah murid berkenaan menjadi 95 perseratus (95%) dan mendapat A.

Saringan LINUS tidak memandang markah sebagai potensi untuk melonjakkan murid berada di kelas PERDANA atau sebaliknya kerana saringan LINUS adalah untuk memastikan murid sama ada menguasai kemahiran asas dalam setiap konstuk yang diuji atau sebaliknya.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Eja Betul, Tapi Salah Sebut

3 Ogos 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda dalam keadaan sihat dan ceria sentiasa. Terima kasih kerana anda terus mengunjungi laman ini.

Baiklah. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai masalah pengamatan yang dialami oleh murid terutamanya dalam bidang bahasa.

Hari ini seorang guru datang berjumpa dengan saya dan bertanya bagaimana hendak memperbetulkan cara sebutan murid kerana kebanyakan murid sudah boleh mengeja. Murid pula mengeja betul, tetapi mereka menyebut pula salah.

Contoh 1 :

ejaan perkataan : ‘masjid’

murid eja              : ‘mas’ + ‘jid’

murid sebut         : ‘mesjid’

Contoh 2 :

ejaan perkataan : ‘loceng’

murid eja              : ‘lo’ + ‘ceng’

murid sebut         : ‘lonceng’

Dalam kes ‘Eja betul, tapi salah sebut’ ini ada beberapa faktor yang perlu diambil perhatian kerana perkara-perkara berikut :

  • Sesetengah murid masih tidak faham akan konsep mengeja yang diterapkan oleh guru.
  • Ada murid mengeja tanpa melihat bahan bantu mengajar yang diberi. Murid mengeja kerana terikut-ikut dengan sebutan rakan-rakan. Jadi, rakan silap eja dan sebut, murid berkenaan juga akan melakukan kesilapan.
  • Sesetengah murid yang lambat perkembangannya tidak dapat menguasai kemahiran mengeja dengan pantas. Jadi, murid akan kerap melakukan kesilapan. Jangan bimbang, guru perlu bimbing  murid ini eja dan sebut secara berulang-ulang.
  • Sesetengah murid pula hanya tahu bunyi dua abjad sahaja. Contohnya, suku kata ‘KA’. Jika guru menambah suku kata dibelakangnya seperti, ‘CANG’. Murid tetap akan mengeja suku kata kedua ini sebagai ‘CA’ tetapi dibunyikan sebagai ‘CANG’.
  • Ada murid yang yang lemah pengamatannya. Justeru, murid akan alami kesukaran untuk memindahkan cara pandang dan baca suku kata dalam satu perkataan antara suku kata pertama kepada suku kata kedua.

Justeru, diharapkan selepas ini, guru akan dapat mengatasi kekurangan ini. Tidak kira apa kaedah yang guru gunakan sekalipun, asalkan murid ini berjaya mencapai objektif pengajaran, saya kagum dengan usaha yang dilakukan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Deparment

Murid Buta Huruf Naik Kelas

5 November 2009 1 komen

IBU BAPA mana yang tidak risau jika anak mereka asyik mendapat nombor corot dan semakin tahun dia diturunkan kelas. Adakah kerana dia gagal bersaing, malas atau sebenarnya mempunyai masalah lebih serius sehingga

pemulihan

Noor Saifah Ahmad (kanan) memantau peningkatan pembelajaran Mohd. Anuar dan Nur Kamalia di akademi i-Sina.

menghalangnya mengikuti pelajaran pada kadar normal seperti murid-murid lain?

Dua tahun lalu, Nor Marziani Nazri diletakkan di kelas pemulihan dan sering menduduki tempat terakhir setiap kali peperiksaan akhir tahun.

Hari ini, murid Tahun 6 Sekolah Rendah Setapak Indah mampu tersenyum gembira sambil memberitahu dia mendapat nombor dua dalam peperiksaan kepada bapanya, Nazri Desa, 44, dalam bahasa isyarat kerana pekak dan bisu.

Marziani juga naik kelas ketiga dalam tempoh dua tahun setelah kemahiran membacanya meningkat membuatkan setiap mata pelajaran menjadi lebih jelas dan mudah difahami.

“Dulu saya cuma suka Matematik, sekarang saya paling suka Bahasa Melayu, Sains dan Bahasa Inggeris,” katanya yang yakin dengan sasaran mendapat semua A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Begitu juga dengan Noor Saifah Ahmad, 41, ibu kepada Nur Kamalia, 10, dan Mohd. Anuar, 9, yang sedih apabila anak-anaknya itu ditempatkan di ‘kelas harapan’ (pemulihan) kerana hanya mampu mengenal suku kata mudah.

“Masa mereka tadika memang tak dapat kesan sebab tahu ABC tapi bila naik Tahun 2 pelajaran semakin merosot, bila suruh baca di papan tanda atau tulisan di surat khabar masing-masing garu kepala,” kata ibu kepada lima orang anak ini.

Pun begitu, seperti Che Israfahmikinawati Ani, 32, mereka mendapat bantuan Global Peace Mission Malaysia (GPM) yang menganjurkan Program Literasi Kanak-Kanak JomBaca khas untuk anak-anak miskin yang buta huruf.

Kata ibu kepada Tunku Putra Isamudin Shah, 12, dan Izudin Shah, 8 ini, program yang menggunakan kaedah pembelajaran i-Sina itu berjaya mengubah keputusan anak-anaknya dari E kepada C dan B.

“Yang penting ibu bapa kena beri dorongan kepada anak-anak. Apa sahaja yang boleh kita lakukan, korban masa, bawa mereka pergi perpustakaan, tambah bahan bacaan dalam rumah sebagai latihan membaca,” ujarnya.

Menurut Pengarah Program 2M i-Sina, Rahmalizah Ali, dalam usaha mengatasi masalah buta huruf bukan sahaja di kalangan kanak-kanak luar bandar malah di dalam bandar, ibu bapa perlu menilai tahap kemampuan sebenar anak-anak mereka.

“Jangan terlalu mudah anggap anak-anak boleh membaca kerana sebenarnya mereka belum mampu menguasai kemahiran membaca dengan sempurna,” katanya.

Sebagai tambahan kepada program pemulihan yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah, Program JomBaca! menilai tahap kemahiran membaca murid-murid Tahun 1 hingga 6 .

Ia terbuka kepada murid-murid dari golongan miskin, anak yatim piatu, ibu tunggal dan ibu bapa orang kurang upaya (OKU) yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M).

Terdapat beberapa tahap atau kategori kelemahan penguasaan 2M iaitu:

1) Kenal huruf tetapi belum boleh membaca.

Ramai kanak-kanak kecil kenal huruf A hingga Z, sama ada melalui cara menghafal huruf tersebut (biasanya melalui nyanyian) atau mengenal bunyi huruf-huruf tersebut.

Namun, mengenal huruf tidak bermakna mereka boleh membaca. Malah, ribuan murid di sekolah-sekolah mampu mengenal nama-nama huruf namun mereka masih tidak mampu membaca dengan baik.

2) Hanya boleh membaca perkataan dengan dua suku kata.

Sistem pembelajaran membaca di negara ini kebanyakannya berdasarkan binaan dan gabungan bunyi suku kata serta bermula dengan perkataan dua suku kata terlebih dahulu.

Malangnya kategori murid yang hanya mampu membaca dua suku kata merupakan majoriti di kalangan kanak-kanak yang maju ke peringkat pembelajaran seterusnya di sekolah.

Mereka mampu membaca perkataan-perkataan dua suku kata ini dengan lancar dan yakin tetapi hanya terbatas serta belum menguasai kemahiran membaca dengan sempurna.

3) Kelihatan seakan-akan boleh membaca.

Kanak-kanak tertarik kepada gambar berwarna-warni yang menghiasi buku. Ini penting untuk menarik minat tetapi pada peringkat awal, buku seumpama itu mengakibatkan segelintir murid menghafal cerita tersebut.

Lama-kelamaan anak itu seolah-olah boleh membaca dengan lancar sebaliknya ia hanya menghafal ayat. Ibu bapa sukar mengesan tabiat ini dan boleh mengakibatkan murid itu tidak mampu membaca perkataan yang ditulis pada kertas lain.

4) Membaca dengan mengeja terlalu lambat.

Adakalanya kanak-kanak terlalu bergantung kepada kaedah membaca sambil mengeja dalam kepala.

Cara ini mengakibatkan pembacaan yang terlalu lambat dan jika keadaan ini berterusan dia akan merasai bebanan pembelajaran apabila Tahun 3 ke atas.

Ada di antara kanak-kanak ini mengambil masa beberapa minit untuk membaca satu ayat pendek tetapi rakan sebayanya habis membaca satu perenggan!

Tabiat mengeja harus dibuang kerana boleh mendatangkan masalah lain seperti sukar membaca perkataan dalam Bahasa Inggeris.

5) Membaca dengan laju tetapi salah.

Apabila disuruh membaca, ramai kanak-kanak yang belum boleh membaca dengan sempurna mengambil jalan mudah dan meneka perkataan yang dicuba dibaca.

Perkataan seperti ‘selekoh’ dibaca sebagai sekolah, ‘belalang’ sebagai belang dan sebagainya. Ada di kalangan murid sebegini yang mampu membaca dengan betul apabila perlahan tetapi menjadi gopoh bila disuruh membaca laju.

Tabiat ‘meneka’ perkataan mesti dibuang kerana menyebabkan kanak-kanak itu tidak faham apa yang dibacanya.

6) Tidak boleh membaca perkataan yang sukar seperti ‘eksklusif’, ‘infrastruktur”atau ‘penyelesaian’.

Ini adalah perkara biasa di kalangan murid yang belum mampu membaca dengan sempurna. Oleh kerana mereka membaca secara mengeja dan memecahkan perkataan kepada suku kata mudah, maka perkataan yang panjang dan sukar dieja adalah sukar untuk dibaca.

Masalah ini menyumbang kepada faktor mengapa murid-murid di Malaysia hadapi masalah membaca perkataan panjang dalam Bahasa Inggeris.

Perkataan dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dibaca mengikut suku kata mahupun dengan mengeja, kerana huruf yang digunakan dalam perkataan tersebut lazimnya tidak konsisten.

7) Tidak boleh membaca perkataan yang tidak dikenali.

Kanak-kanak lebih gemar menghafal apabila diperkenalkan dengan perkataan awal (whole words) menggunakan flash card atau buku cerita.

Rahmalizah berkata, Ada kanak-kanak pintar yang dapat mengklasifikasikan penggunaan bunyi huruf-huruf dengan efisien lantas boleh membaca.

Namun terdapat segelintir yang terus terjerumus dalam dunia hafalan. Ini mengakibatkan kanak-kanak itu kelihatan seperti boleh membaca tetapi sebenarnya hanya mampu menyebut perkataan mudah yang dihafal sahaja.

Ini menyebabkan katanya, ibu bapa hanya menyedari anak mereka gagal menguasai pembacaan dengan betul selepas menjangkau usia 9 tahun.

Masalah berkenaan menyebabkan kanak-kanak yang tergolong dalam kelompok itu menjadi murung dan tidak bersemangat untuk belajar apabila melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar.

Akhir tahun lalu, program pemulihan 2M intensif dilaksanakan selama 32 hari membabitkan lebih 80 murid di Kompleks Anjung Rahmat, Jalan Gombak. Daripada jumlah itu, 76 menamatkan program dengan 74 daripadanya berjaya dipulihkan dan 42 murid tamat program dengan cemerlang.

Tahun ini, GPM memperluaskan bantuan pendidikan itu ke Wangsa Maju, Setapak, Sentul dan Sungai Pusu di Gombak Utara termasuk anak-anak Orang Asli di kawasan berkenaan.

Bilangan peserta yang dijangka meningkat lima kali ganda berbanding sesi sebelumnya memerlukan sokongan dan sumbangan semua pihak sama ada individu, syarikat awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Baru-baru ini, Tabung JomBaca! Program Literasi Kanak-kanak dilancarkan oleh Penasihatnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim di Petaling Jaya bagi memperkenalkan program itu dan mengumpul dana untuk melaksanakannya tersebut akhir tahunini.

Tabung JomBaca! akan digunakan untuk menampung kos kem membaca sempena cuti sekolah di bawah program JomBaca 2009 bermula 21 November sehingga 3 Januari 2010.

Setiap murid memerlukan RM750 untuk mengikuti program selama 32 hari itu termasuk yuran pengajian, makan minum, pengangkutan, perkakas (buku, alat tulis, kertas kerja) dan menerima sumbangan kelengkapan sekolah sebagai persediaan sesi persekolahan tahun 2010.

“Kali ini kami jangka kira-kira 500 murid menyertai program ini dengan lebih 300 permohonan dari ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghadapi masalah membaca,” katanya lagi.

Maklumat mengenai program JomBaca! 2009 boleh hubungi Akademi i-Sina, di talian 03-61883230 layari laman web http://www.gpm.com.my atau Global Peace Mission, No 2-2A Jalan GJ 2 Batu 5 1/2 Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur.

Penulis : Diyana Rose kamalluddeen

Sumber : www.utusan.com.my

Peperiksaan Akhir Tahun 2009

27 Oktober 2009 8 comments

Selasa, 27 Oktober – Hari ini bermulanya peperiksaan akhir tahun bagi semua murid di SK Taman Impian Emas sehingga hari Jumaat, 30 Oktober. Semoga semua murid dapat menjawab soalan dan memberikan yang terbaik untuk meningkatkan prestasi akademik.

Saya antara salah seorang guru yang mengajar murid  di kelas belakang. Paling merisaukan sudah pastilah apabila terdapat 10 murid PROTIM tahun lima dan 7 orang murid KIA 2M di tahun satu yang akan mengambil peperiksaan kertas Bahasa Melayu kerana berdasarkan prestasi terkini, kesemua murid ini berada dalam kategori GALUS (gagal-lulus).

Sasaran saya terhadap semua murid ini tidaklah terlalu tinggi. Sekadar mampu lulus kedua-dua kertas sahaja sudah memadai. Namun, saya faham sasaran itu sukar dicapai jika diambil kira prestasi terkini murid.

Perkara yang dirisaukan saya adalah apabila murid tidak menjawab soalan kerana lebih banyak bermain dengan pensel (melukis gambar) semasa peperiksaan berjalan. Namun, saya sudah mengingatkan murid agar membuat yang terbaik semasa menjawab soalan.

SEMOGA BERJAYA!

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

Mendidik Anak – Guna Kekerasan @ Psikologi??

30 September 2009 2 comments

Salam sejahtera..

Semoga anda sihat sentiasa dan dapat menjalankan tugas harian seperti biasa. Terima kasih kerana anda masih sudi mengunjungi laman ini. Tidak kira siapa dan di mana anda berada, saya doakan anda sentiasa ceria. Insyaallah.

Topik pada hari ini berkaitan dengan sistem pemulihan tetapi dilaksanakan oleh ibu bapa murid sendiri. Saya akan nyatakan isu ini dalam bentuk situasi.

Pada malam tadi, saya dan rakan serumah pergi ke sebuah gerai di Taman Tun Aminah, Skudai untuk menjamu selera. Apabila berada dalam keadaan di mana ramai orang di satu-satu tempat, saya akan ambil peluang itu untuk memerhati gelagat dan tindak tanduk mereka.

Sambil menjamu selera, mata saya meliar melihat ke kiri dan kanan melihat gelagat orang ramai. Selang dua meja di hadapan saya, ada sepasang suami isteri dan dua orang anak mereka yang masih kecil sedang menjamu selera juga.

Tidak berapa lama kemudian, kedua-dua anak pasangan ini tadi berkeliaran. Si bapa memanggil anaknya yang semakin jauh dari tempat makan. Suara si bapa memanggil anaknya menyebabkan ramai orang tersentak!. Anaknya yang masih kecil pula seronok bermain berdua. Agaknya tidak mendengar panggilan si bapa atau memang tidak peduli langsung dengan tempikan si bapa. Budak kecil-lah katakan. Apalah sangat yang mereka faham?

Tiba-tiba si bapa bangun dan menuju ke arah anaknya. Dua anak perempuannya tadi di seret kembali ke meja makan. Si kecil di sepak-sepak macam bola. Sambil mulut memarahi anaknya, kakinya tak henti-henti menyepak si kecil bertalu-talu.

Kasihan anak kecil itu meraung kesakitan. Orang ramai termasuklah saya sekadar memandang sayu dan menggeleng-geleng kepala.

Selepas makan malam, saya pulang ke rumah dan memikirkan semula situasi yang berlaku. Ada dua perkara berbeza yang bermain di minda. Satu positif dan satu lagi negatif. Namun, saya lebih terarah kepada berfikir secara positif.

Barangkali, itu adalah caranya mendidik anak yang tidak mendengar kata? Entahlah. Sesetengah orang bersetuju ibu bapa menggunakan kekerasan untuk mendidik anak mereka berbanding menggunakan pendekatan psikologi. Beberapa ibu bapa yang saya temui turut sama bersetuju dan mengakui bahawa anak-anak sekarang semakin moden.

Mendidik tanpa menggunakan kekerasa tidak akan menjamin anak itu akan menghormati atau mendengar kata orang tua kelak. Jika semasa kecil anak tidak dipukul, apabila besar nanti tidak akan menjadi ‘orang’

Sesetengah pendapat mengatakan, mendidik anak-anak dengan cara yang kasar adalah tidak betul. Menggunakan kekerasan bukanlah jalan terbaik untuk mendidik anak-anak. Apabila ibu bapa menggunakan kekerasan, anak-anak akan berasa takut dengan ibu bapa. Ibu bapa pula menganggap anak mereka menghormati mereka dan mendengar kata. Menggunakan kekerasan yang melampau juga pasti akan mendatangkan kesan buruk terhadap anak juga terutamanya dari segi mental. Mereka akan hilang keyakinan kendiri.

Guru pula bagaimana? Ramai dalam kalangan pelajar sekolah kini yang semakin biadap! Ada dua pendekatan juga untuk mengatasi masalah ini. Walau pun telah banyak kali diperkatakan, adakah kedua-dua pendekatan tersebut mendatangkan kesan yang lebih baik setelah dilaksanakan? Hanya yang mengalami ‘proses’ itu sahaja akan mengetahui sejauh mana keberkesanannya..

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

  • Anda ada pandangan atau idea? harap dapat berkongsi pandangan anda bersama saya. Terima kasih

Masalah Pengamatan dan Cadangan Mengatasi – Part 4

9 September 2009 5 comments

Salam sejahtera..

Semoga hari ini merupakan hari yang indah dalam hidup anda. Bersyukurlah kerana kita masih dapat menikmati kehidupan pada hari ini. Gunakan peluang dan anugerah yang dikurnia ini sebaik-baiknya.

Hari ini saya sambung lagi topik yang sama iaitu masalah pengamatan dan cadangan mengatasinya. Hari ini saya sambung berkenaan masalah pengamatan penglihatan.

Visual Closer

  • Kemahiran ini ialah satu kemahiran di mana kanak-kanak dapat membuat sesuatu rumusan dengan melihat sesuatu yang tidak lengkap.
  • Dalam bacaan, seseorang kanak-kanak akan memerlukan kebolehan membaca dengan hanya melihat beberapa perkataan dan membuat tanggapan sendiri terhadap ayat itu.

Cadangan Mengatasi :

  • Memadan atau mencantumkan gambar-gambar jigsaw puzzle.
  • Membuat teka-teki misalnya, guru membuat perkataan seperti merah, biru, kuning dan hijau. Kemudian, minta murid beri satu perkataan yang boleh merumuskan maksud perkataan tersebut.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department