Arkib

Posts Tagged ‘pengalaman’

Pengalaman Adalah Guru ..

26 Mei 2009 1 komen

Salam sejahtera..

“PENGALAMAN ADALAH GURU YANG TIDAK PERNAH MEMBOHONGI DIRI KITA”

Sangat mendalam kata-kata ini. Saya ingin kaitkan kata-kata ini dengan diri saya sendiri sebagai muhasabah diri.

Tahun 1980-an

Sejak kecil lagi, saya sudah diajar hidup susah. Saya masih ingat lagi ketika masih kecil, ibu kejutkan adik beradik semua untuk bangun pagi seawal subuh.

Abang dan kakak akan dihantar ke sekolah. Abah sudah lama ke kebun getah. Selepas menyiapkan makan pakai abang dan kakak, mereka ke sekolah berjalan kaki yang jauhnya 5 kilometer dari rumah. Masa itu, jalan tidak berturap. Masih merah.

Kemudian, ibu mengikat saya dengan kain batik di belakangnya. Membawa saya ke kebun getah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer untuk membantu abah menoreh. Saya diletakkan di pondok kecil di tengah-tengah kebun getah.

Sebelum meninggalkan saya dalam gelap tersebut, ibu sempat mengambil cebisan getah untuk memasang api. Kemudian mengutip ranting dan melonggokkan daun basah untuk dijadikan unggun bagi menghalau nyamuk.

Sebelah petang pula, abah membawa saya dan ibu untuk menjaga lembu. Saya tidak faham erti semua itu. Cuma yang masih saya ingat ketika berehat di bawah rimbunan pokok kelapa sawit, ketika itu abah dan ibu sedang berbual. Kata emak, “kita mesti jual lembu ni..Duit nak belanja anak dah tak ada..”

Ketika berbual itulah cuaca yang cerah tiba-tiba hujan. Abah segera bangkit mengarahkan ibu membawa saya pulang.

Ketika itu hujan lebat diikuti dentuman bunyi guruh. Sebelum dibawa pergi, saya menoleh abah sedang sibuk menghalau lembu supaya pulang ke kandang.

Bagi mengelakkan saya demam, ibu masukkan bahagian kepala saya ke dalam bajunya. Sampai di rumah, kami basah kuyup.

Kak Long pada masa itu sudah sediakan makan malam. Sejam kemudian, abah pun pulang dalam keadaan yang basah kuyup juga.

Abah terus ke bilik air, mandi dan solat. Ibu sekadar memandang sayu. Apabila diajak makan malam bersama, abah menolak. Kata abah, “suruh anak-anak yang lain makan dulu..”

Malam itu, kami makan nasi ulam pucuk ubi dengan ayam masak sambal. Rasanya habis lauk dan nasi. Yang pasti, abah dan ibu tak makan lagi. Tapi, kami adik beradik mana faham semua itu?

Hari itu, abah tak menjamah sedikit makanan pun. Sebelah malam lepas makan, Kak Long mengajar tulis baca. Beberapa kali saya kena marah kerana banyak buat salah.

Tengah malam, saya ke dapur kerana dahaga. Dalam gelap gelita saya berjalan dengan sebatang lilin, terdengar bunyi sesuatu di dapur.

Saya menghendap dari celah kayu rumah….abah sedang menghirup kuah ayam masak kicap..tak ada nasi, tak ada sesuatu pun makanan untuk dijamah.

Saya terkedu.

Tahun 2009

Kesusahan hidup abah dan ibu hari ini mungkin tidak terbalas oleh saya. Walaupun menghulurkan wang belanja setiap bulan, tidak sama dengan penat lelah mereka. Kini saya menjadi guru hasil penat lelah abah dan ibu. Hasil susah payah abah dan ibu.

Tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa ibu dan abah. Setakat menghantar mereka menunaikan Haji pada tahun 2008 masih tidak memadai.

Pengalaman hidup mereka dari susah sejak saya kecil telah mengajar saya erti kasih sayang, kehidupan, kepayahan dan ilmu.

Abah dan ibu tak pernah kesal kerana hidup susah pada masa itu. Mereka cuma risaukan anak-anak yang tak cukup duit belanja, tak dapat makan secukupnya, tak dapat ke sekolah dan lain-lain.

Kisah hidup abah dan ibu sentiasa saya jadikan panduan agar dengan kesenangan hidup yang dikecapi pada hari ini tidak akan membuat saya lupa siapa diri ini.

Abah tidak mahu terima wang belanja yang dihulur setiap bulan. Abah cuma minta supaya saya jangan tinggalkan solat walau apa keadaan sekalipun.

Terima kasih abah.

Terima kasih ibu.

Sekian,

Teacher's Department

NORHAIDI BIN SARPONEN
Teacher’s Department.

Internet Marketing Business

Malam Yang Menyeramkan!!

13 Mei 2009 1 komen

Salam sejahtera..

Maaflah jika topik kali ini saya tidak menyentuh berkenaan isu pendidikan. Bukan apa, jiwa sedang kacau. Nak tahu apa sebabnya?

1

Lokasi : Rumah Sewa, Taman Impian Emas, JB

Tarikh : 12 Mei 2009

Selesai main bowling petang semalam di DANGA CITY MALL, saya rasa sangat lapar. Balik pula da masuk waktu Maghrib. Sebelum sampai rumah, saya singgah di sebuah restoran untuk memesan nasi goreng pattaya.

Tiba di rumah, hujan renyai-renyai turun mengikut arah angin. Sayup saja waktu Maghrib. Saya bersendirian di rumah. Selesai makan, saya segera mandi dan solat.

Sambil melayari internet, ada rasa sedikit janggal dengan suasana malam. Cuaca sejuk, tetapi tubuh saya berpeluh-peluh. Selepas solat Isya’ sekali lagi saya mandi. Bukan apa, tak selesa dengan tubuh yang berpeluh-peluh ni.

Kemudian, sambung update blog. Malam yang sunyi di sambut dengan suara anjing yang mendayu-dayu seolah-olah seperti suara seseorang sedang meminta tolong.

Saya lihat jam, sudah pukul 11 malam. Saya intai keluar, bulan mengambang penuh. Pelik. Terlalu sunyi sangat-sangat. Sejuk tetapi saya berpeluh-peluh.

Biasanya, pada waktu begini, ada beberapa orang remaja akan ‘melalak’ dengan gitar masing-masing di pondok dekat rumah ni. Tapi malam ni tiada seorang pun di luar rumah dan tiada suara sumbang dan petikan gitar anak-anak ramaja ini.

Malas nak ambil kisah, saya terus melayari internet. Akibat terlalu mengantuk agaknya, saya tertidur tanpa menutup lampu. Situasi itu masih saya sedar.

Jam 3.00 pagi.

Saya terjaga. Cuaca bertambah sejuk, tetapi peluh semakin mencurah-curah. Saya lihat sekeliling. Keadaan sekitar bilik menjadi sangat gelap. Saya mula terfikir. Sebelum tertidur, saya tidak menutup lampu. Tidak mungkin ada rakan yang masuk bilik menunjukkan kerajinan semata-mata mahu menutup lampu.

Lagi pun bilik berkunci. Kipas terpasang di tahap paling maksimum. Siapa pula yang buka kipas ni? Tiba-tiba langsir di tepi tingkap terbang ditiup angin. Eh? Bila pula saya buka tingkap?

Akibat kesejukan, saya menutup tingkap dan kipas. Keadaan yang gelap membuatkan saya teraba-raba mencari selimut. Eh?! Mana pula selimut ni? Kenapa gelap sangat ni?

Saya bingung lalu baring semula dan mata terpandang ke arah syiling rumah. Mata saya terbeliak!! Tidak mampu bercakap apa-apa.

Selimut saya sedang terbang di dalam bilik ‘menyelimuti’ segenap bahagian bilik!! Saya jadi panik. Kemudian terfikir mengapa suasana yang terang boleh jadi gelap.

Saya kuatkan semangat, apa sahaja ayat-ayat al-quran yang teringat pada masa itu semuanya saya baca.

Tingkap terbuka tiba-tiba. Angin bertiup kencang. Langsir berterbangan. Serta merta selimut saya jatuh semula ke lantai. Keadaan menjadi terang semula.

Saya segera mengucap. Bingung tidak tahu apa yang terjadi. Peristiwa lebih 30 minit itu sungguh menyeramkan. Pertama kali kejadian seumama itu terjadi kepada diri saya.

Jam 3.45 pagi

Akibat kejadian itu, saya mula waspada. Tidak boleh tidur. Mata mengantuk. Saya lihat di pintu bilik. Di atasnya ada tersangkut sebuah jam besar. Pagi ini kena bangun awal ke sekolah. Badan letih, dan mengantuk sangat.

Mata saya melirik ke bawah. Pakaian yang digantung di pintu bilik menarik perhatian. Ada sehelai seluar panjang warna hitam yang digantung bersama seluar lain terjulur hingga ke lantai.

Saya segera amati. Timbul persoalan lagi. Mengapa seluar itu terlebih panjang hingga mencecah ke lantai? Saya perhatikan betul-betul.

YA ALLAH!! Itu bukan seluar, tetapi sepasang kaki berbulu!!!. Saya hampir menjerit kerana terkejut. Dalam keadaan bingung, saya kuatkan semangat dan capai sebatang besi di bawah tilam. Dengan kudrat yang ada, saya bangun dan salawat ke atas Nabi lalu libas besi ke pintu. TAANNGGG!!

Saya lihat dengan jelas, ‘si kaki berbulu’ lari menembusi dinding bilik. Saya bingkas bangun dan keluar dari bilik. Di ruang tamu, pintu masuk utama rumah sewa sudah terbuka. (Pada hal dikunci sebelum tidur)

Saya terduduk. Masih bingung dengan apa yang telah terjadi. Tidak berapa lama kemudian, kedengaran azan Subuh. Hati saya menjadi lega. Segera mandi dan solat, saya terus ke sekolah.

Di pertengahan jalan, seorang wanita tua menumpang hendak pergi ke tempat kerja yang kebetulan berhampiran dengan sekolah saya. Saya bersembang dengan wanita itu. Tanpa di soal, wanita itu berkata,

“Cikgu nak tau kenapa dah tak ada budak-budak bising lagi kat pondok tu?”

“Kenapa..”

“Malam semalam dia orang kena kacau dengan langsuir…”

Saya terkedu. Tak tahu nak cakap apa lagi.

“Tempat ni ‘keras’ sikit cikgu. Bawah jambatan tu dulu ada anak dara gantung diri sebab kena rogol…”

“Lain kali cikgu jangan balik malam lagi. Bukan apa, takut cikgu pun ‘terkena’..”

Sekian,

NORHAIDI SARPONEN

Teacher’s Department

p/s :

Harap malam ni perkara yang sama tak berulang lagi. Seramm!!

Kategori:Al-kisah Tag:,

Keajaiban Akal Fikiran

1 Mei 2009 4 comments

Oleh : Idris Musa
idris@hmetro.com.my

Rabu
15 April 2009

“SATU unsur sangat menonjol pada penciptaan manusia ialah akal fikiran yang menjadikan insan makhluk istimewa berbanding yang lain sehingga layak menggalas amanah sebagai khalifah di bumi”

SATU unsur sangat menonjol pada penciptaan manusia ialah akal fikiran yang menjadikan insan makhluk istimewa berbanding yang lain sehingga layak menggalas amanah sebagai khalifah di bumi.

Islam memandang tinggi akal fikiran kerana ia sumber segala ilmu malah banyak disebut dalam al-Quran.

“Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah- belah kerana takut kepada Allah. Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.” (a-Hasyr:21)

Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Dalam satu kisah, Abu Said al-Khudri menyampaikan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berilah hak matamu di bidang ibadat!”

Sahabat bertanya: “Apakah hak mata di bidang ibadat itu wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Membaca al-Quran, memikirkan isinya dan mengambil pengajaran keajaiban kandungannya.”

Wahab bin Munabih pula berkata: “Semakin tajam seseorang itu berfikir, semakin berilmulah dia dan apabila dia berilmu, semakin banyaklah amalnya.”

Al-Ghazali berkata, akal itu mulia dan menjadikan manusia mulia. Melalui akal, manusia mendapat ilmu.

Ibn Khaldun bersetuju akal fikiran (quwwah natiqah) membezakan antara manusia dengan makhluk lain.

Menurut Aristotle, jiwa manusia adalah hakikat diri manusia dan potensi berfikir adalah sebahagian darinya, sementara orang bijak pandai berkata ‘berfikir itu pelita hati.’

Hasan al-Basri r.h berkata: “Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka sentiasa mengulangi apa yang mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat berbicara dengan kata-kata hikmah.”

Lukman al-Hakim berkata: “Sesungguhnya dengan lamanya duduk, aku akan lebih memahami untuk berfikir dan panjang berfikir, petunjuk jalan ke syurga.”

Imam al-Ghazali menyifatkan akal fikiran sebagai sumber, tempat terbit dan asas ilmu. Ilmu pula apabila dinisbahkan kepada akal ibarat buah kepada pokok, cahaya kepada matahari, pandangan kepada mata.

Beliau memberikan empat kategori mengenai akal:

  • Akal merujuk kepada suatu sifat yang membezakan manusia dari sekalian haiwan. Akal dalam erti kata ini adalah sifat semula jadi manusia.
  • Akal merujuk kepada ilmu daruri, terhasil apabila seorang mencapai usia tamyiz. Ilmu daruri ialah ilmu membolehkan dikenali perkara wajib, mustahil dan harus pada akal. Contohnya, mustahil seorang manusia di dua tempat pada satu masa.
  • Akal merujuk kepada ilmu pengetahuan diperoleh melalui uji kaji dan pengalaman hidup.
  • Akal merujuk kepada kesempurnaan sifat akal, apabila ia mengetahui akibat setiap perkara dan mengekang syahwat dari menurut kelazatan sementara.

Apabila keadaan ini terhasil pada diri seseorang, dia dipanggil ‘manusia berakal’ kerana yang memandu tindakannya ialah kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatannya, bukan dorongan hawa nafsu.

Merujuk kepada kategori ketiga, iaitu ilmu yang dipelajari dari pengalaman, perbezaan antara manusia berpunca daripada kemampuan asli akal itu sendiri dan pengalaman dilalui.

Bagi kategori keempat, perbezaan manusia kerana berbeza kemampuan mengekang nafsu. Manusia memiliki keupayaan berbeza dalam hal ini, bahkan seseorang mungkin berupaya mengekang nafsu dalam perkara tertentu dan tidak dalam hal lain.

Faktor yang boleh dikaitkan dengan akal fikiran dalam perbezaan ini ialah ilmu yang menyedarkan seseorang mengenai kemudaratan, akibat hawa nafsu. Seorang yang berilmu lebih mampu menjauhi maksiat berbanding si jahil kerana lebih tahu kemudaratannya.

Akal fikiran membolehkan manusia menilai baik dan buruk, mampu membezakan di antara yang benar dan palsu, bersih dan kotor, untung atau rugi, malah memandu untuk mengenal diri dan Penciptanya.

Penggunaan daya fikir yang tinggi dan lebih serius membolehkan manusia mencapai ketamadunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan.

Umat Islam satu ketika mampu meraih kegemilangan apabila menggunakan kemampuan daya fikir yang tinggi, sebagaimana ditonjolkan tokoh Muslim seperti Jabir bin Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Farabi dan banyak lagi.

Al-Kindi (801-873) misalnya, cukup terkenal di Barat dengan nama Alkindus, seorang cerdik pandai Arab dalam pelbagai bidang, terutama sains, astrologi, kosmologi, logik, matematik, muzik, fizik, psikologi dan meteorologi.

Kisah seorang Barat, Isaac Newton (1643-1927), iaitu seorang ahli fizik, matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga diambil pengajaran.

Sejak lahir beliau tidak pernah melihat bapanya bekerja sebagai petani, kerana beberapa bulan sebelum lahir bapanya meninggal. Kehidupan beliau sangat susah, namun masih berpeluang mendapat ijazah sarjana muda pada usia 22 tahun.

Pada suatu malam, beliau berjalan-jalan di sekitar kebun sambil berfikir dan memerhatikan keadaan sekeliling. Tanpa sedar, fikirannya berakhir pada satu persoalan; mengapa bulan bergerak mengelilingi bumi?

Selepas letih berjalan dan tidak mendapat jawapan, beliau berehat di bawah pohon epal. Tiba-tiba buah epal jatuh berdekatannya.

Kejadian itu menimbulkan persoalan di dalam benaknya. Mengapa buah itu harus jatuh tepat di bawahnya dan tidak ke sekitarnya atau ke atas?

Beliau berfikir lagi hingga menemui satu kesimpulan, iaitu buah epal jatuh ke bawah kerana adanya tarikan dari bumi dan daya seperti itu dinamakan daya graviti. Ia bukan saja berlaku pada bumi, malah planet lain termasuk bulan, bintang dan matahari mempunyai daya gravitinya.

Demikianlah dengan kemampuan dan kehebatan akal fikiran. Bahkan, dengan fikiran yang sihat dapat memupuk keimanan kepada Allah serta menolak perkara bersifat tahyul dan khurafat.

Sekian,

teachers-department5

Teacher’s Deparment