Arkib

Posts Tagged ‘pra-tulis’

Mengajar Murid Cara Menulis Part-1

19 Februari 2012 18 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan ceria di samping dapat menjalankan tugas harian dengan sempurna. Semoga apa jua yang anda lakukan pada ketika ini akan memberi manfaat kepada diri anda dan orang-orang di sekeliling anda. Terima kasih atas kesudian anda melakukan kunjungan ‘rasmi’ ke laman ini.

Baiklah, topik yang hendak saya kongsikan pada hari ini adalah tentang kemahiran pra-tulis. Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya ‘dikekalkan’ oleh pihak pentadbir untuk terus memegang kelas paling hujung dan secara langsung mengajar murid-murid LINUS.

Di dalam kelas saya ada seramai 29 murid. 6 murid perempuan dan selebihnya adalah murid lelaki. Setiap kali mengajar, saya dapati murid mengambil masa yang terlalu lama untuk menulis sesuatu perkataan. Ada murid yang mengambil masa 30 minit untuk menulis satu perkataan. Apabila ditegur mengapa lambat menulis? murid ini akan menangis.

Saya mula membuat pemerhatian selama 30 minit terhadap cara murid menulis, apa yang mereka buat ketika menulis, mengapa satu patah perkataan pun tidak disalin ke dalam buku, dan macam-macam lagi. Segala aktiviti murid ketika itu saya tidak ganggu. Maka banyaklah jawapan dan kemungkinan yang saya peroleh dalam tempoh 30 minit itu.

Ada murid boleh menulis, tetapi disebabkan hilang fokus kerana asyik berbual daripada menulis menyebabkan kerja yang hendak disalin dalam buku tidak menjadi. Ada pula murid berangan, berkhayal dan bermain dengan pemadam, pembaris. Bila ditegur, satu-satu abjad disalin. Apabila dibiar, mereka akan bermain semula dengan pemadam, botol air dan sebagainya.

Dalam 29 murid saya ini, cuma 4 orang sahaja yang saya dapati memang mereka betul-betul tidak boleh menulis kerana tiada asas menulis. Jadi, saya tidak boleh mendesak mereka untuk menyiapkan kerja yang diberi. Melihat kepada cara mereka berempat ini memegang pensel yang tidak betul, arah menulis yang salah, postur badan tidak betul semasa menulis, maka saya harus perbetulkan semua itu.

Oleh yang demikian, langkah yang saya ambil adalah seperti berikut :

  • Minggu Ke-4 dan ke-5 : Mewarnakan gambar, menyambung titik-titik membentuk gambar, menyambung garisan putus-putus membentuk abjad. Tujuannya untuk membiasakan murid memegang pensel dengan cara yang betul dan menulis atau mewarna mengikut arah yang sesuai. Tujuan lain juga adalah untuk melembutkan tangan murid ketika memegang pensel agar tidak terlalu kaku. Latihan ini dapat memperbetul koordinasi mata dan tangan. Pada minggu ini juga, postur duduk murid dibetulkan supaya mereka tidak salah semasa menulis. Menulis mesti dalam keadaan menegak, bukan kepala disengetkan. Cara memegang pensel juga harus diperbetul. Tidak boleh pegang terlalu pendek atau terlalu panjang.
  • Minggu Ke-6 dan ke-7 :Menulis abjad di papan putih, menulis abjad di dalam buku bergaris, menulis suku kata di dalam buku. Bimbingan menulis secara individu, guru akan bantu murid menulis dengan memegang tangan murid dan membimbing murid menulis abjad mengikut arah yang betul. Mulakan dengan menulis abjad yang mudah seperti huruf ‘a’, ‘c’, ‘i’, ‘l’, ‘t’, ‘v’ dan ‘u’.
  • Minggu ke-8 : menulis suku kata ‘kv’ dan ‘kvk’. bimbingan berterusan daripada guru. Jika murid melakukan kesilapan semasa menulis, jangan izinkan murid memadam kesalahan itu. Biarkan kesalahan itu dan minta murid menulis di tempat yang baru. Kemudian minta murid bandingkan tulisan yang mana lebih baik. Minta murid ulang tulis suku kata atau perkataan yang betul dengan kerap. Ingatkan murid supaya lebih berhati-hati semasa menulis dan kurangkan kesilapan. Sentiasa berada di sisi murid setiap 10 minit untuk memastikan murid menulis mengikut arahan.

Pada minggu ke-7, saya mula mendapat hasil bagi dua orang murid yang dapat memahami konsep menulis. Mereka mula menunjukkan peningkatan dalam aspek menulis. Walaupun masih ada kesalahan, tetap saya benarkan dua orang murid ini memadam kesalahan dan memperbetulkannya kerana mereka sudah tahu bagaimana hendak menulis abjad mengikut bentuk dan arah.

Dua orang murid lagi masih ketara kelemahan dilihat dalam menulis. Kadang-kadang mengambil masa satu jam untuk menulis empat abjad. Perkara ini tidak merisaukan saya kerana saya faham mereka tiada asas pendidikan diterima sebelum ke tahun satu. Oleh yang demikian, saya perlukan masa yang panjang untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikesan. Insyaallah, jika semuanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, baki dua murid ini lagi akan mengikut jejak rakan-rakan mereka yang sudah boleh menulis.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin,

Teacher’s Department

Advertisements