Arkib

Archive for April 2012

Kanak-Kanak Disleksia – part 1

29 April 2012 15 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera di samping insan tercinta. Semoga apa jua yang anda lakukan ketika ini akan mendatangkan manfaat yang besar untuk diri anda dan persekitaran anda. Terima kasih atas kesudian anda untuk mengunjungi laman ini. Maaflah kerana kesibukan diri sebagai pekerja dan pelajar serta tumpuan terhadap keluarga menyukarkan saya untuk mengemas-kini laman ini.

Baiklah, hari ini saya cuba untuk kongsikan sedikit maklumat berkaitan kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Tentunya saya akan sentuh mengenai Disleksia untuk bahagian pertama ini. Pernahkah terjadi kepada anda apabila melihat tulisan anak-anak yang kurang memuaskan seperti tidak konsisten, tidak sekata, ada huruf tinggi rendah, ada huruf kecil besar dan lebih banyak huruf yang terbalik atau bersifat cermin?

Ya, itulah yang saya hendak kongsikan sedikit maklumat mengenai kanak-kanak Disleksia ini. Kita akan pergi pada bahagian pertama yang menyentuh mengenai definisi kanak-kanak Disleksia terlebih dahulu. Disleksia adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan.

                        Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi seseorang disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Berikut adalah beberapa pendapat mengenai definisi Disleksia :

  • Word Federation Of Neurology ( 68 ) sebagai kecelaruan berbahasa di kalangan murid-murid yang telah mengalami pembelajaran dalam kelas biasa tetapi gagal untuk memperolehi kemahiran membaca ,menulis , dan mengeja separa dengan kebolehan intelektual mereka
  • Disleksia merupakan kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna (Persatuan Disleksia Malaysia)
  • Dyslexia is a specific learning difficulty that hinders the learning of literacy skills. This problem of managing verbal codes, others symbolic systems, such as mathematics and musical natotion , can also be affected.
  • Dyslexia can occur at any level of intellectual ability (British Dyslexia Association 1972)

Disleksia terbahagi kepada beberapa jenis atau kategori dan dapatlah dinyatakan kategorinya seperti yang berikut :

  • Disleksia Visual
  • Disleksia Auditori
  • Disleksia Visual Auditori

                        Disleksia Visual merupakan kategori masalah yang melibatkan penggunaan deria penglihatan bila mana seseorang kanak-kanak itu mengalami kesukaran untuk membezakan apa yang dilihat walaupun kita dapati secara kasarnya penglihatan mereka dalam keadaan yang baik.

                        Ini sememangnya kerap terjadi terutamanya bagi kanak-kanak antara usia lima hingga tujuh tahun. Kita akan mendapati tulisan mereka menjadi rapat bagi semua perkataan yang ditulis, tulisan cermin (terbalik) dan songsang. Hal ini akan menyebabkan kanak-kanak sukar untuk membuat intepretasi serta mengingati apa yang dilihat walaupun satu perkataan. Mungkin kerana masalah visual ini juga menyebabkan mereka mudah lupa tentang sesuatu perkara yang diajar oleh guru.

                        Disleksia Auditori pula merupakan kategori masalah yang melibatkan deria pendengaran. Dalam kes ini, kanak-kanak bukan tidak boleh mendengar bunyi, mereka boleh mendengar tetapi sukar untuk mendiskriminasikan bunyi, mengecam atau mengenal pasti bunyi bagi sesuatu perkataan atau membahagikan perkataan kepada beberapa suku kata.

                        Mereka juga didapati tidak dapat membunyikan huruf yang hampir sama seperti ‘f’ disebut ‘s’, ‘n’ disebut ‘m’, ‘b’ disebut ‘d’. Mereka juga mengalami masalah untuk membunyikan antara vokal dan konsonan serta mengaitkan antara bunyi kepada perkataan yang dicetak atau ditulis. Kanak-kanak yang mengalami masalah kategori ini sememangnya akan mengalami kesukaran untuk mengeja.

                        Disleksia Visual Auditori pula merupakan kategori masalah bagi kedua-dua deria iaitu penglihatan dan pendengaran. Penghidap kategori ini akan menghadapi kerumitan untuk mengintepretasikan apa yang dilihat mahu pun didengar. Akibat daripada gangguan visual dan auditori serentak ini mengakibatkan kanak-kanak mengalami kesukaran membaca yang teruk.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin

Teacher’s Department

Rujukan :

http://www.ceritarasahati2.com/2011/08/27/disleksia-dyslexia-pengenalan-disleksia/

http://www.cikgufais.net/2010/09/kenali-disleksia/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Disleksia